Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Friday, November 20, 2009

FIKRAA [Episode 1]

Perjuangan itu tidak pernah berakhir,
Semangat dari-Mu ibarat padang pasir,
Menjadikan ku kental hadapi segala anasir,
Kerana ku yakin, janji-Mu tidak sekali mungkir..

Ainul termenung sejenak menatap tulisan seorang sahabat baiknya. Sungguh mendalam maksudnya yang kadangkala tidak tercapai akal untuk mentafsir setiap bait-bait madah yang dipenuhi dengan coretan bahasa metaforanya, tidak ketinggalan hiperbola dan personafikasinya. Dia sahabat yang satu-satunya bergelar teman dalam dirinya.

Coretan kisah indah kita bersama tidak pernah pudar dek hujan panas yang silih berganti...

Bilakah hujan dan panas ini akan berakhir? Ainul bermonolog keseorangan. Tulisan sahabat baiknya itu terus ditatap dan dibaca berulang kali. Kerinduan mula menerpa dalam diri terhadap seorang teman yang kini jauh di perantauan meneruskan agendanya memperjuangkan matlamat yang satu kerana baginya tujuan hidup itu hanya satu.

"Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia itu, melainkan supaya mereka menyembah-Ku" [51:56]

Matlamat hidup sahabatnya yang utuh menjadikan Ainul kental dalam perjuangannya sehingga hari ini. Walaupun dahulunya Ainul pernah patah semangat, hilang arah tuju tetapi nasib yang baik masih berpihak padanya. Datanglah seorang sahabat menghulurkan tangan, memimpin dirinya, dan menyuntik bara semangat perjuangan dalam mengejar redha-Nya dengan sisa hidup yang ada. Kata-katanya seringkali terngiang-ngiang di ingatan walaupun sudah hampir 5 tahun tidak berjumpa. Aduhai sahabat, aku merindui kamu..Ainul masih bersendiri di dalam biliknya termenung, mengimbas kembali kenangan bersama. Ainul masih teringat, teman baiknya itu selalu mencoret kata-kata dalam buku-buku yang dipinjamkan. Ada sahaja madah-madah yang ingin diungkapkan dalam diam, dalam tulisannya.

Hidup kita fitrahnya berTuhan tetapi kenapa kita kini menafikannya? Indahnya hidup berTuhan, tiada lagi makna sepi dan sunyi. Sepi itu akan datang apabila kita meninggalkan Dia. Sunyi itu akan menyelubungi kita jika lupanya kita pada Pencipta.

"Assalamualaikum, Ainul" Tersentak Ainul dari lamunan apabila ditegur dari belakang oleh seorang teman sebiliknya.

"Waalaikumussalam. Oh, Hayati. Kamu rupanya. Kamu dari mana? Sejak pagi tadi tidak nampak batang hidung." Batang hidung, memang sengaja Ainul menggunakan perkataan itu. Sahaja ingin melihat telatah Hayati yang suka merajuk.

"Saya tahulah, hidung saya tidak mancung, batang hidung pun tiada. Saya dari Pejabat Hal-Ehwal Pelajar. Ini ada surat untuk kamu. Oleh kerana kata-kata kamu tadi dan kebaikan saya mengambil surat ini untuk kamu, dipersilakan saudari Ainul Mardhiah Ahmad membelanja Datin Wan Noor Hayati Wan Kamaruddin makan malam hujung munggu ini." Terkena sudah pada batang hidung sendiri. Diharapkan supaya Hayati merajuk tetapi lain pula jadinya.

"Surat daripada siapa?" Ainul tertanya-tanya. Mahluk Tuhan manakah yang sudi mengirim surat kepadanya.

"Dari Fikraa Muhammad..." Surat dari dialah yang ku tunggu-tunggu, hati Ainul melonjak gembira. Dia sahabat, teman baikku.

Bersambung..

0 Buah fikiran:

 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates