Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Thursday, December 31, 2009

Hidayah

Kenangan semasa 1st year!

Hidayah,

Kenapa sering engkau melarikan diri daripadaku,
Apa yang telah aku lakukan?
Jika engkau ada, hidupku lebih bermakna,

Hidayah,
Kenapa engkau hanya berkawan dengan orang-orang tertentu?

Adakah engkau terlalu memilih?
Engkau suka berkawan dengan siapa?
Boleh aku tahu?

Kerana diriku ingin menjadi teman sejatimu..

Hidayah,
Kenapa dirimu tidak setia pada seseorang?

Adakah engkau hanya setia pada orang-orang tertentu sahaja?
Aku masih tidak mengerti..



Hidayah menjawab..

Wahai milik Pencipta,

Aku ini hanya milik-Nya,
Aku tidak pernah melarikan diri,
Aku ada dimana-mana dengan izin-Nya..
Engkau tidak bersalah wahai milik Pencipta,
Jangan engkau salahkan dirimu,

Wahai milik Pencipta,

Sudah aku katakan,
Aku hanya milik Penciptamu,
Tiada selain itu,
Aku tidak pernah memilih tetapi aku berkawan dengan izin-Nya,
Sekarang engkau sudah tahu bukan?


Wahai milik Pencipta,

Bukanlah diriku tidak mahu setia,

Cuma kadangkala dirimu alpa,
Sombong, lupa kepada Pencipta,
Sudah aku katakan
aku setia berkawan dengan izin-Nya,

Kerana AKU MILIK-NYA..
Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman. [Al-An'aam, 6:125]
Ya! Hidayah itu milik-Nya. Siapa kita hendak menentukan hidayah itu milik siapa. Melainkan nama anak, menantu, isteri kita bernama Hidayah. Tetapi tetap mereka bukan hak mutlak kita. Mereka tetap milik mutlak Allah. Berdoalah, semoga hidayah itu sentiasa bersama kita sebagai penyuluh jalan menuju redha-Nya.

Semoga hidayah Dia milik kita semua :)

31/12/2009-1/1/2010 Bercuti di rumah menenangkan, mententeram jiwa dengan melihat air muka mama :) 3 days more..perjuangan itu masih berlangsung! Tidak akan pernah berhenti walaupun sesaat!

Monday, December 28, 2009

Hadapan Dia



Assalamu'alaikum awalul kalam,

Alhamdulillah hari pertama peperiksaanku berakhir hari ini. Dua hari bakal menyusul dengan cabaran yang lain pula. Dalam kesuntukan masa ini, Dia memberiku peluang untuk menaip di laman ini. Laman yang tidak seberapa buat peringatan diri yang lemah ini.

Sujud dalam kerinduan, itulah yang ku harap setiap kali temujanjiku dengan Dia. Waktu itu terkenang segala nikmat kurniaan-Nya. Tetapi aku? Dia beri aku segala-segalanya, cinta, kasih sayang, harta benda. Segala-galanya daripada Dia. Tetapi aku? Apa aku beri pada Dia?

Dia beri apa yang ku minta. Adakah hanya pandai meminta tanpa memberi? Is there only take but never give?

Fikirkan sejenak di mana kita. Di mana kita?



Ingin sekali ku kongsikan satu kisah. Semoga dijadikan pedoman dalam mencari redha ALLAH. Doakanlah kejayaan bersama, umat Islam seluruhnya. InsyaALLAH semoga Islam itu terus indah di mata dunia :)
Pada suatu hari, Hatim al-Asam ditanya tentang solatnya, dia berkata: "Apabila tiba waktu solat aku mengambil wudhuk dengan sempurna, kemudian aku pergi ke tempat solat dan aku duduk seketika sehingga seluruh anggotaku menjadi tenang, kemudian aku bangun dengan menggambarkan bahawa kaabah di hadapan dua keningku, dan aku menganggap bahawa titian sirat di bawah kakiku, syurga di kananku, neraka di kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka bahawa itu adalah solat terakhirku, kemudian aku meletakkan diriku antara raja'(harapan) dan khauf(takut) kepada Allah, kemudian aku bertakbir dengan penghayatan yang sebenar, aku membaca bacaan solat dengan tartil, aku rukuk dengan tawadhuk, aku sujud dengan khusyuk, aku duduk atas kaki kiri dan aku tegakkan kaki kanan (duduk tasyahud) lalu aku ikutinya dengan ikhlas, setelah itu tidak tahu sama ada ia diterima atau tidak. (Nazarat Hawla Wasaya Luqman: 2/584)
Bagaimana dengan kita?? SELAMAT BERAMAL! Waallahu'alam.

28/12/2007 Sahabatku memberitahu, "Baca yaasin sebelum pergi dewan peperiksaan" Semoga dipermudahkan segala urusan agama kita di dunia dan akhirat :)

Sunday, December 27, 2009

Alhamdulillah..

Assalamualaikum,

Kak Mira :) Meriah sungguh..hehe


Hantaran pihak perempuan..pink! (just nice..)


Hantaran pihak lelaki (jangan lupa tinggalkan coklat tu sikit..)

Ahli keluarga pihak perempuan ramai. Dalam keluarga kami ada empat (mama, dua abang and penulis blog ni) Mama kata, "Alhamdulillah selesai..Meriah Amal, ada 10 buah kereta ke rumah kak mira tu, saudara belah arwah babah ada, belah mama ada."

"10 buah kereta?" Hehe..Macam rombongan Che' Kiah ni.

"Mama time Amal nanti, bagi ada 20 buah kereta tau." Mama menjawab, "Yelah tu..Belajar betul-betul dulu" Mama rajin layan kerenah anak perempuan tunggal dalam keluarga ni.

Gambar keluarga penulis tiada pula. Abang kata minggu depan baru siap. Bersabarlah, tidak sabar rasanya ingin melihat gambar keluarga belah mama dan belah arwah babah. Jarang mereka disatukan. (gambar penulis tidak ada kerana tidak dapat pulang ke semenanjung..)

Keluarga pihak perempuan (mana keluarga abang ni..mama, where r u?)

Harapan atau cita-cita yang mulia lagi terpuji akan membawa kepada syurga (yang tertinggi), demi agamaku.

Semoga kelak menjadi kenyataan. Cita-cita kita, harapan semua. Amin.

Penulis blog ini dikata suka menguji. Tetapi bukan semua orang akan diujinya. Ujian dari penulis blog ini mungkin agak tersirat, tidak terlihat dek mata kasar apa yang ingin disampaikannya. Percayalah wahai orang yang diuji, ujian ini bukan sia-sia, akan dibongkarkan segala yang tersembunyi kelak. Ia bukan kerana kepentingan diri tetapi kerana-Nya penulis berbuat begini.

Sedangkan hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan-Nya. Ujian yang harus kita tempuh dengan kesabaran, pegangan yang utuh dan niat yang ikhlas.

27/12/2009 Berkata tentang ujian. Esok hingga Rabu Amal exam. Doakan kejayaan bersama, dunia dan akhirat :)

Wednesday, December 23, 2009

Laut

Assalamualaikum,



Air laut itu biru warnanya ketika ia bersih,
Dipelihara oleh mereka bernama manusia,

Subhanallah indah ciptaan-Nya,
Tiada tandingan..



Air laut itu ada pasang surutnya,
Begitu juga iman manusia..
Ada pasang-surutnya

Tika tiba saat surutnya,
Kering kontang tiada yang indah pada pandangan,
Ditambah dengan teriknya cahaya mentari,
Sesungguhnya manusia itu mudah alpa..
Mudah lupa akan asal kejadian,
Dibiarkan iman itu subur sendiri,
Itu sia-sia,
Iman yang mantap daripada didikan,
Pentarbiyahan yang berterusan..

Jangan biarkan iman kita surut seperti lautan,
Pasang dan surut yang silih berganti,
Biarkan ia terus disuburi dengan baja taqwa,
Hidup subur dengan alunan angin dari lautan..

Hayati keindahan lautan dengan mata hati. Dengan kerendahan hati, tunduk dan patuh pada Pencipta. Ya! Lautan itu penuh hikmah. Memisahkan dua daerah, pemisahan yang penuh hikmah bagi menjaga hati-hati insan. Bersyukurku dapat menuntut ilmu di bumi Sarawak.

Mata kuyu menaip bagi meneruskan hikayat blog ini. Biarkan hidup ini meletihkan, asalkan pegangan masih utuh pada yang SATU. Iman itu akar budi yang akan menyinari peribadi dan tiadalah kemanisan hidup tanpanya.
"Diam itu bijaksana kerana sedikit perilakunya manakalah berfikir itu lebih baik daripada ibadah sepanjang malam."
23/12/2009 Maka berfikirlah dalam diam :) Waallahu'alam.

Tuesday, December 22, 2009

Stetoskop



Stetoskop A ditanya, "Jika diberi pilihan, pilih stetoskop atau gear?"

Stetoskop A masih memikirkan jawapannya...buntu!



Kerana stetoskop A masih berfikir ke manakah arah akhirnya kelak. Apa yang pasti, itu ketentuan-Nya, kita hanya mampu memikirkannya. Apakah akhirnya? Dia tahu! [Mode sleepy sekarang ni. Sedar atau tidak? Hasilnya, ini penulisanku] :D

Dalam kehidupan, kesabaran manusia itu sering diuji. Mengapa? Kerana itu manusia dihidupkan. Hakikatnya hidup ini juga menggunakan exam oriented system. Siapa yang akan lulus? Mereka yang beriman dan bersabar dengan segala ujian ang diberi. Dengan kesabaran juga, pilihan itu dapat dibuat dengan pertolongan dan bimbingan-Nya. Maka, perbanyakkan bersabar dalam menghadapi hidup ini. Itu kunci menuju pintu ketaqwaan.

Sabar,
Iringi langkahku,
Agar kelak aku kuat,
Menghadapi segala mehnah hidup,
Hidup yang berpenghujung,
Dihujung dengan keadilan,
Perhitungan oleh Tuhan,
Menuju kehidupan hakiki di SANA.

Ya ALLAH,
Kuatkan aku,
Moga semangatku kental hadapi semuanya..
Dengan izin-Mu, ya ALLAH..

"Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu" [Surah Luqman,31:17]

"Menanti saat kesenangan dengan sabar adalah ibadat" [Kanz al-'Ummal]
End Of Block Exam minggu hadapan untuk cardiovascular and respiratory block. Apa yang selalu dikaitkan? SMOKING! Please stop smoking now because it's silent killer ever, you kill yourself. Sempat lagi buat promosi amalkan cara hidup sihat disini :) Semoga bermanfaat. Untuk berhenti merokok, banyakkan bersabar. Kunci utama membawa perokok jauh daripada rokok :)

Waallahu'alam.

23/12/2009 Mama waiting me at home! I'll be back soon..wait for me there [30/12/2009 --> from Kuching, 2.05PM --> KLIA --> KLIA express --> KL sentral --> Wangsa Maju] Long journey to go :) Study..study..Exam dulu baru boleh balik, Amal! Tajuk entry sebagai hiasan.

Saturday, December 19, 2009

Awan

Assalamualaikum,
[3 Muharram 1431H]


Awan warna putih berlangitkan biru :) Bila kulihat awan, pasti teringat tempat kelahiranku. Apatah lagi apabila terlihat kapal terbang dengan kemegahan sayapnya terbang menembusi awan. [Amal memang buang tabiat la ni...] Awan itu berarak, mendung dan cerah saling berganti mengikut musim.

Jika bila melihat awan, boleh teringat kampung halaman. Kenapa tidak kita berfikir tentang kebesaran ALLAH, Pencipta awan tersebut? Subhanallah, Maha Suci ALLAH. Ciptaan-Nya sama sekali tiada bandingan. Adakah kerana manusia itu kurang berfikir, maka tahap pemikiran itu tidak sampai ke tahap ingat pada Tuhan? Waallahu'alam.
Katakanlah: "Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi. Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman."
[Surah Yunus, 10:101]


Kasih sayang ALLAH itu ada di setiap penjuru dunia, ALLAHU AKBAR!

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.
[Surah al-'Imran, 3:190-191]



Setiap penciptaan-Nya tidak pernah sia-sia, manusia perlu berfikir bukan sekadar merenung :)

Diri ini memang suka menulis. Diharapkan sekiranya ada apa-apa kesalahan atau kekurangan, tegur insan yang lemah ini. Sedia menerima teguran :) Hari ini, apa aktivitiku? Insya-ALLAH tidak ke mana-mana. Hidup untuk study tetapi study itu bukan hidupku [Dalam perjalanan hidup ini biarlah kita menuntut ilmu, menuntut ilmu yang membawa diri taqarrub pada Pencipta, insyaALLAH] Seperti makan, makan untuk hidup tetapi hidup ini bukan untuk makan :D

20/12/2009 Penciptaan langit dan bumi itu tidak sia-sia dan jangan sia-siakannya :) Langit itu selubungi bumi tetapi lautan itu juga yang memisahkan kita [ayat apakah ini..] Selamat beramal dan istiqamah dalam pengabdian!

Friday, December 18, 2009

1431H Permulaan Langkah

Assalamualaikum,

2 Muharram 1431H.. Sehari sudah kita tinggalkan 1 Muharram, New Year for all ummah, muslims. Bertambah kuat tekad mengharungi liku-liku hidup dengan pelbagai ragam, kerenah manusia, ujian kurniaan-Nya tidak akan putus-putus. Selagi jasad masih bernyawa, diharapkan hidup ini disulami dengan kesabaran dan senantiasa berbaik sangka, tidak kiralah sesama manusia yang kita kenali atau tidak. Jika kita berburuk sangka pada manusia, buruk sangka itu akan berbalik kepada ALLAH, maknanya kita berburuk sangka pada ALLAH. Bukankah begitu?

Langkah sentiasa bermula, tiada penhujungnya bagi mereka yang mencari redha Ilahi. Semoga segala nikmat kurniaan ALLAH digunakan dengan sebaik mungkin, agar tidak kufur nikmat yang kelak azab perit akan menanti siapa pelakunya.



Langkah..
Aku terus melangkah,
Walaupun berduri,
Walaupun berombak,
Walaupun berbukit,
Langkah dan terus melangkah..

Langkah..
Permulaannya dengan basmalah,
Hamdalah pada segala nikmat,
Istihgfar penghapus dosa penyesalan,
ALLAHU AKBAR!
ALLAH Maha Besar,
Memuji kekuasaan Tuhan pada perjalanan,
Perjalanan menuju Tuhan..

Langkah..
Biarpun lemah, tetap terus melangkah,
Dengan bermatlamatkan SATU,
Langkah setapakku menuju redha-Mu..
Itu yang ku harapkan, Ya ALLAH,
Permudahkanlah urusan agamaku,
Pada setiap langkahku..
Setiap baki hela nafasku..

AMIN..
"Dan turutilah jalan orang yang rujuk kembali kepada-Ku. Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan" [Surah Luqman, 31:15]
Ayuh kita beramal, kembali menuju Tuhan yang Maha Berkuasa atas segalan makhluk ciptaan-Nya. Bersempena dengan tahun baru ini. Mari tingkatkan amal dan bakti kepada agama kita, ISLAM, yang indah, sejahtera lagi sempurna. Ingatlah, walaupun kebaikan itu hanya sedikit yang mampu kita lakukan pada satu-satu masa, pasti kelak ada ganjarannya di sana. Sepertimana Luqmanul Hakim menasihati anaknya. Indah pesanan, kebijaksanaan itu kuncinya.
Luqman berkata, "Wahai anakku, segala perbuatan yang jahat atau baik walaupun sebesar biji sawi yang tiada timbangan baginya, sama ada ia tersembunyi di dalam batu ataupun di penjuru langit dan bumi, tetap akan dihisab da diberi ganjaran oleh ALLAH dengan sempurna. Sesungguhnya ALLAH Azzawajalla mengetahui segala yang menjadi rahsia dan tersembunyi dan juga yang terang. Sesungguhnya ALLAH Azzawajalla Maha Halus lagi Maha Mengetahui."
Maha Suci ALLAH, Subhanallah. Bercadang mahu coretkan sedikit madah awal muharram sahaja. Terpanjang pula jadinya. Awal muharram dirai dalam suasana yang sederhana tetapi meriah disini. Bubur As-syura menjadi kemestian setiap tahun, walaupun kami disini tidak mahir dalam pembuatannya. [gambar belum upload lagi :)

Bagai pinang dibelah dua kan :)

Pada hari ini, bersatulah dua hati. Dr. Zulkarnaen dan isteri, semoga kalian berbahagia selalu. Dr. Zul, pathologist yang mantap lagi berwibawa. Semua pathologist disini begitu, kepakaran mereka tiada bandingan, dengan ilmu kurniaan-Nya. SELAMAT PENGANTIN BARU! :)

Jodoh dan pertemuan itu ALLAH yang tentukan. Tiada siapa yang mampu mengubahnya. Demikianlah suratan hidup manusia. Siapakah jodohku? Bukan diri ini yang tentukan, yang pasti tanggungjawab merentasi masa yang ada. Usah impikan teman yang soleh, beriman sekiranya kita sendiri tidak berusaha untuk menjadi seperti yang demikian.

Waallahu'alam.

19/12/2009 SALAM MA'AL HIJRAH 1431H buat sahabatku. Semoga tahun baru ini menguatkan lagi tekad dan azam kita untuk berjuang di jalan-Nya, walaupun akhirnya belum kita ketahui bagaimana jadinya, berjuanglah selagi daya dan upaya itu mampu bersatu. Semoga dikurniakan keindahan tawakkal kepada-Nya. Amin.

Thursday, December 17, 2009

Terasing


Assalamualaikum,

Rasulullah SAW bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini” [Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]

Itulah hidup manusia. Hidupnya terasing atau dikerumuni orang ramai. Apa yang pasti, Islam itu akan kembali asing pada pandangan manusia. Kini kian asing..
"Pakai kopiah pergi kuliah? Zaman mana kau ikut ni..pelik aku tengok. Bukan ke pakai kopiah untuk ke kelas-kelas agama ataupun hendak ke masjid." (Walau ia hanya penutup kepala tetapi tetap akan dipandang pelik..)

"Jubah..tak sesuailah untuk pergi function. Nampak baik sangatlah.." (Adakah kita hidup untuk jadi jahat??)
Jikalau hendak dituliskan contoh dialog, memang banyak. Mungkin akan ada yang terasa hati. Cukuplah sekadar kita menghayati yang sedikit ini. Bagi kita menginsafi diri, memperbaiki diri untuk menjadikan hamba-Nya yang patuh dan taat pada segala suruhan-Nya.

Waallahu'alam.



Di sini ada diuploadkan satu artikel ringkas. Boleh di download pada ruangan shared @ FIKRAA. Semoga bermanfaat buat semua. Artikel ini memuatkan lagu Al-Ghuraba' (orang asing) bersama-sama dengan maksudnya dan sedikit renungan buat kita, hamba yang lupa.

17/12/2009 Maal Hijrah bakal kita sambut. Semoga berubah ke arah kebaikan dan amalan disulami dengan keikhlasan demi rahmat dan kasih sayang Tuhan. Insya-ALLAH :)

Tuesday, December 15, 2009

3 + 2

Assalamualaikum,



Walaupun tak dapat balik..
Harap dapat hantar bayang-bayang pun jadilah :)



Dua orang hero dalam hidupku selepas arwah babahku..
Kalian akan mendirikan masjid tidak lama lagi..
Tahun hadapan? Insya-ALLAH :)

Kami hanya 3
Tinggallah adikmu ini sendiri..
Tiada tempat bergurau senda..
Hehe..mama kan ada!

Kak Mira & Kak Noni..
Selamat mengenali keluarga kami!

Mama, rindu mama ni!
Lepas exam block ni amal balik!
Ummu Naasih, see u there too!

Sebagai penamat entry kali ini, alangkah baiknya dapat berkongsi sesuatu walaupun sedikit, semoga bermanfaat buat bekalan menjalani hari-hari mendatang ini. Dalam hadith Nabi S.A.W diriwayatkan bahawa sahabat bertanya:
"Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah Taala?"

Baginda menjawab: "Sembahyang pada waktunya."

Sahabat bertanya lagi: "Selepas daripada itu?

Baginda menjawab: "Berbuat baik kepada kedua ibu bapa."

Sahabat bertanya pula: "Berjihad fi sabilillah."
Abdullah Ibn Amru telah berkata: "Seorang lelaki telah datang kepada Nabi S.A.W untuk berbai'ah dan berhijrah, sedangkan ia meninggalkan ibu bapanya menangisi pemergiannya."

Kemudian Rasulullah bersabda: "Pulanglah kamu dan gembirakanlah mereka berdua sepertimana engkau telah membuat mereka menangis." (Riwayat Bukhari)

Ya! Menuntut ilmu itu satu jihad. Berda'wah itu satu jihad. Tetapi jangan dilupa pada satu perkara di mana tempat pembaktian kita yang sebenarnya selepas ALLAH. Kita sanggup pergi usrah, berjemaah tanpa pulang ke rumah pada waktu cuti, pergi makan angin bersama kawan-kawan, ianya tidak salah cuma pastikan restu ibu bapa itu bersama-sama kita di mana sahaja kita berada. Gembirakanlah hati mereka di kala kesempatan yang ada ini.

Berhubunglah selalu. Zaman canggih serba moden, banyak kemudahan tersedia. Telefon, internet, chatting room, hantar surat pun boleh :) Tiada alasan lagi kan?

Tanpa mereka siapalah kita..ALLAH kurniakan ibu bapa yang terbaik buat kita. Usah kita persiakan. Waallahu'alam.

16/12/2009 Pada 26/12/2009 abangku yang ke-2 akan bertunang. Semoga rumahtangga yang akan dibina kelak berkekalan hingga ke akhir hayat dan senantiasa di bawah lembayung rahmat-Nya, Insya-Allah :)

Friday, December 11, 2009

Tangan



Daripada 'Abdullah bin 'Umar R.A, katanya: "Ketika Rasulullah S.A.W sedang berkhutbah di atas mimbar, beliau menyebut perihal mencegah diri dari meminta-minta." Sabdanya : "Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Tangan yang di atas ialah tangan yang memberi, sedangkan tangan yang di bawah ialah tangan yang meminta.
Berilah selagi mampu memberi. ALLAH kurniakan tangan itu bukan untuk perkara yang sia-sia. Setiap penciptaan-Nya pasti ada hikmah di sebaliknya. Tangan digunakan untuk memberi tetapi tidak semestinya kita memberi menggunakan tangan. Betul kan? Contohnya sedekah. Senyuman juga merupakan satu sedekah sedangkan fungsinya sama sekali tidak serupa dengan tangan, Subhanallah, Maha suci ALLAH. Menciptakan segala yang ada di angit dan bumi dengan berjuta keindahan bagi mata yang benar-benar melihat dan memerhatikan.

Tangan,
Hulurkanlah,
Selagi dayamu mampu memberi,
Selagi kudratmu tiada yang membatasi,
Selagi niatmu menuju Ilahi.

Tangan,
Usah ditahan melakukan kebaikan,
Usah sembunyikan untuk kebenaran,
Usah diikat demi kemaslahatan.

Tangan,
Jangan asyik berkira-kira,
Kelak akan ada perkiraan di hadapan Tuhanmu,
Bakal menyaksikan akuan seorang hamba,
Yang menggunakan nikmat tanpa segan silu.

Sabtu baru-baru ini, berkunjungku ke rumah keluarga angkatku di Sarawak ini. Kali ini kami ditugaskan membuat soal selidik berkaitan dengan kesedaran tentang cara hidup sihat dan pengetahuan mengenai asma. Kami dilayan dengan amat baik walaupun hidup mereka serba kekurangan. Sebelum kami pulang, mereka sempat menghidangkan mee hoon, lazat sekali sehingga menjilat jari tetapi makan pakai sudu, jilat sudulah nampaknya :)

"Mungkin kedudukan kewangan mereka tidak seberapa bulan ini.."

Fikirku kerana selalunya mereka akan membuat hidangan besar-besaran buat kami. Aku berfkir, walaupun hidup susah bagaimana sekalipun, tetamu perlu dirai. Tidak perlukan kemeriahan itu, tetapi berkat dan rahmat-Nya itu yang lebih utama. Sebelum pulang, diberinya bekal kepada kami. Rambutan..limau kasturi yang dipetik dari halaman dan KETAM!! Pengajaran, tangan yang memberi itu lebih mulia daripada tangan yang menerima :)

"Alhamdulillah, tidak disangka-sangka..Ketam? Sudah lama tidak menjamahnya." Nyum..nyum, balik kolej nanti boleh masak lemak..dan sekarang ketam itu telah selamat berada di dalam perutku. Hehe :D

Setelah puas lari daripada topik asal, mari kita fokus semula kepada tujuan penulisanku. Tangan, gunakan ia sebaik mungkin kerana kelak tangan ini akan menjadi saksi di hadapan Tuhan di atas setiap perbuatan kita walaupun cuma sebesar zarah. Perbanyakkan sedekah dan amal-amal soleh. Semoga kelak kita tergolong dalam golongan yang sedikit itu seperti dalam firman ALLAH, daripada surah Saba', ayat 13:
"..Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih (bersyukur)."


Dari Asma' binti Abu Bakar R.A, katanya Rasulullah S.A.W bersabda: " Bersedekahlah kamu dan jangan menghitung-hitung, kerana ALLAH akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu, dan jangan kikirk kerana ALAH akan kikir pula kepadamu."



14/12/2009 Occupational lung disease (daripada persekitaran kerja termasuk asap rokok) akan menyebabkan seseorang itu kesukaran untuk bernafas, batuk-batuk dan sakit dada. Pernah alaminya? Segeralah membuat pemeriksaan kesihatan. Kesihatanmu begitu berharga untuk terus memberi dan memberi :)

Thursday, December 10, 2009

Lautan Ilmu pada Paksi

Assalamu'alaikum

Hari ini aku menulis lagi :) dengan kehidupan yang serba serbi mencabar. Kalau tidak mencabar, bukan hidup namanya. Betul tak? Sebetulnya aku bukanlah penulis yang hebat tetapi hanyalah hamba Tuhan yang menaip menggunakan papan kekunci bagi memuhasabah diri sendiri.

Dalam menjalani hidup ini kita perlukan ilmu pengetahuan. Untuk memperoleh ilmu, bukan sekadar duduk goyang kaki. Buat apa tu? Tunggu ilmu dari langit? Bergeraklah sekarang. Go! :) Ilmu itu adalah untuk dicari, perlu diterokai bagi mendalaminya.



Ilmu ALLAH itu pelbagai dan tidak terhad pada satu-satu bidang. Boleh diibaratkan seperti hidupan di dasar lautan yang dipenuhi dengan warna-warni ciptaan Tuhan yang mengkagumkan, subhanallah. Rugi jika dibiarkan tanpa diterokai kan?



"Aku tak pandai, memang dilahirkan begitu. Apalah nasib badan.."

"Nak belajar macam mana, duit pun takde, tak cukup nak sambung belajar.."
Sedangkan ikan mampu terbang dengan tekad, melakukan anjakan paradigma bagi mengubah nasib hidupnya. Sedangkan manusia itu...? Fikirkan. Ilmu bukan buku. Tidak semestinya kita perlu ada buku untuk menuntut ilmu. Ilmu bukan semata-mata sains, akaun, ekonomi, ilmu ALLAH itu luas. Nak masak perlu ilmu, nak menulis perlu ilmu, nak memandu perlu ilmu.

Ilmu agama jangan lupa :) Itu asas kehidupan yang arah yang di redhai-Nya, insya-ALLAH. Waallahu'alam. [11/12/2009]



Demi masa,
Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh
dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan
dengan kesabaran. [103:1-3]

Monday, December 7, 2009

Aku Belajar Lagi...

Assalamualaikum,



Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan. [Surah Yaasin, 36:83]
Baru-baru ini kerap kali dikejutkan dengan berita kematian. Apa yang hendak dihairankan, sedangkan kita hanya milik-Nya. Dia berhak mengambil semula segala kepunyaannya, termasuklah ruh dan jasad kita. Kerana Dia Maha Berkehendak, tiada yang lain selain-Nya.
Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia. [Yaasin, 36:82]
JADILAH! Maka tiada apa yang dapat menghalangnya daripada berlaku. Cuma hanya manusia yang mudah lupa dan alpa. Kerana itu jugalah adanya amar ma'ruf nahi munkar. Supaya kita saling ingat-mengingatkan.

Kita tahu tapi lupa,
Kita paham tapi lupa,
Kita ingat lupa???

Berita kematian ini mengajarku satu perkara apabila melihatkan ketenangan pada mereka yang menghadapi berita tersebut. Mereka tenang. Adakah kerana mereka lelaki? Tidak, ketenangan itu datangnya hanya daripada-Nya. Aku kagum dengan nikmat pemberian-Nya pada teman seperjuanganku ini.

Kematian itu bukan untuk diratapi,
Kematian itu untuk direnungi, diinsafi,
Merenungi saki baki kehidupan,
Tingkatkan pengabdian kepada Tuhan.

Orang yang ingat tidak mungkin lupa kerana mustahil bagi 'lupa' dan 'ingat' itu berlaku serentak. Kecualilah sekiranya kita ada penyakit yang sekejap lupa, selepas itu ingat semula ataupun ingat benda lain, lupa benda lain. Yang kedua ini yang selalu berlaku. Betul kan?


Ingat dunia, lupakan ahirat..(dunia lanjut usia)
Ingat exam, lupa niatkan kerana Tuhan..
Ingat makan, lupa dahului dengan basmallah..
Ingat tarikh lahir, lupa suatu hari akan dijemput Tuhan..
Ingat ini...lupa itu...

Dunia itu ibarat syurga bagi orang-orang kafir..
Ibarat neraka bagi orang-orang yang beriman..

ALLAH itu tidak pernah menzalimi hamba-Nya tetapi kita yang selalu menzalimi diri kita sendiri. Kita yang selalu bersifat zalim kepada-Nya. Nikmat ALLAH menggunung tinggi tetapi masih kita lupa bersyukur, lupa akan kesungguhan dalam pengabdian. Penulisanku sebenarnya untuk diriku sendiri yang bergelar manusia. Semoga bermanfaat untuk semua pembaca juga, insya-Allah.



Ayuh kembali kepada matlamat [51:56]!
Sedarlah, setiap helaan nafas itu milik-Nya,
Sampai bila manusia akan lupa, alpa?

Waalahu'alam.

8/12/2009 Ingat ALLAH hati kan tenang, ingat-ingatlah selalu :)

Wednesday, December 2, 2009

Eidul Adha d' Sarawak



Proses melapah daging lembu korban








Sarapan selepas solat sunat eidul adha





Pemandangannya indah, ucaplah..Subhanallah





Ukhwah fillah. Di ingatan sampai bila-bila :)





Potong..hehe

Begitulah hari-hari itu berlalu, kenangan tetap terlakar setiap kali beraya di sini. Ayuh, bersyukurlah kita kepada yang menciptakan segala yang ada dilangit dan bumi. Sesungguhnya kesyukuran itu boleh melipat-gandakan nikmat-Nya, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras" [Surah Ibrahim, 14:17]
Fikirkanlah di saat kita melakukan dosa, nikmat-Nya tetap mencurah-curah kepada kita. Adakah semasa kita buat dosa, ALLAH akan mengurangkan oksigen untuk kita bernafas? Adakah ketika kita alpa dan leka, lupa kepada-Nya ALLAH akan tarik semua nikmat anggota? Sedangkan anggota itu banyak melakukan dosa? Fikir-fikirkan. Bersama kita muhasabah diri.

Kita manusia, kesempurnaan itu hanya milik-Nya. Perlu diingat bahawa bersyukur itu bukan sekadar pada perkataan tetapi perlu menyeluruh termasuk hati dan perbuatan. Semoga kita terus istiqamah dalam pengabdian diri kita kepada-Nya.

** Walaupun pemulisanku agak sedikit
pengisiannya pada petang ini. Tetapi biarlah yang sedikit ini dapat menyedarkan kita akan erti hidup berTuhan. Semoga bermanfaat!

Waalahu'alam.

3/12/2009 Hati-hati mukmin itu sentiasa bawah jagaan-Nya. Semoga berubah ke arah kebaikan :)

Tuesday, December 1, 2009

Pengorbanan itu



Sempena 'eidul adha yang berlalu pergi..

Kedatanganmu ku nanti,
Eidul Adha menjelang lagi,
Namun terdetik sedih dihati,
Pabila kisah 2 tahun itu terimbas kembali,
Saat orang tersayang selamanya pergi..

Namun ku sedar,
Yang pergi tetap kan pergi,
Kerana itu ketentuan Ilahi..

Daripada itulah ku belajar,
Belajar erti sebuah pengorbanan,
Pengorbanan seorang ayah..
Pengorbanan seorang ibu..
Pengorbanan seorang anak..

Manusia perlu belajar erti pengorbanan itu,
Moga kelak makin dekat diri pada Yang SATU..
Bukan memahami maksudnya,
Tetapi selaminya nilainya..

Waallahu'alam.

** dalam proses upload gambar Hari Raya Aidiladha di Sarawak. Insya-ALLAH dalam entri akan datang dalam masa terdekat. Sibuk? Boleh dikatakan begitu, masa mencemburui hamba-Nya. Perjuangan itu...perlu diteruskan walaupun kadangkala rebah. Bangkit semula! Teruskan melangkah hingga ke akhirnya :)

30/11/2009 Sajak buatan manusia itu tidak seindah kalam ciptaan Tuhan. Mari beramal dengan al-Quran! :D Macam pantun pula. Amal memang begitu..hehe, adeh, sakit belakang.

Wednesday, November 25, 2009

Four Wheel Drive??



Kereta?

Setiap bulan, kena servis..tidak kira kereta besar atau kecil
Kalau tidak, meragam pastinya kereta yang dipandu

Kereta?

Perlu dicuci, jika tidak ke kedai cuci kereta, tangan sendiri kan ada..
Kena selalu bersih, lebih-lebih lagi pabila hendak balik beraya

Kereta?

Kalau boleh nak yang besar
Kecualilah jikalau orang itu tidak mahir memandu (macam penulis..)
Kereta kecil memadai, asalkan boleh dipandu
Selamat ke destinasi yang dituju

Itulah perihal kereta, belum lagi perihal manusia. Lebih-lebih lagi manusia akhir zaman seperti kita. Kereta itu boleh diibaratkan sebagai agama. Kitalah pemandunya yang bakal menggerakkan kereta itu, sama ada ke tempat yang dituju atau sebaliknya.

Jika begitu, apa yang diservis? Sudah pasti iman kita, iman manusia yang turun naiknya tidak dapat dijangka. Oleh yang demikian, perlulah dipertingkatkan dengan amal ibadah yang ikhlas dan menjauhi segala larangan-Nya. Larangan-Nya penuh hikmah, sesungguhnya dijadikan sesuatu itu tanpa sia-sia.

Kenapa perlu dicuci? Kenapa tidak dibiarkan kotor? Sendiri boleh jawab, siapa suka bawa kereta kotor. Kita mencerminkan agama kita. ISLAM itu bukan hanya ada pada ustaz-ustaz, ustazah-ustazah, pelajar-pelajar sekolah agama, bukan juga hanya milik mereka yang menetap di negara Timur Tengah seperti Mesir, Iraq, Iran, Palestin. ISLAM itu bersifat universal, ia milik mereka yang mengucap dua kalimah syahadah, tidak kira secara lisannya atau warisan. Selain itu, ISLAM menitikberatkan penjagaan kebersihan bukan? Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman. Fikir-fikirkan.

Kenapa mahukan kereta besar? Itulah impian manusia. Fitrah manusia, inginkan sesuatu yang gah. Diharapkan begitu jugalah, kita yang beragama ISLAM, berasa gah, AKU BERAGAMA ISLAM! Jangan kita malu mempamerkan cara hidup ISLAM kerana kita ISLAM yang bukan pada nama.

Tetapi kereta besar mesti berat kan? Susah nak bawa juga, perlukan kemahiran. Itulah amanah yang dipikul setiap hamba-Nya. Walaupun berat, perlu dipikul dan dilaksanakan hingga ke arah matlamat hidup yang sebenar. Begitu jugalah kereta, apa guna kereta besar yang disimpan tanpa digerakkan ke mana-mana. Lama-kelamaan rosak juga enjinnya, karat juga kereta itu kelak tanpa menuju ke mana-mana destinasi. Kan merugikan. Untuk mendapatkan kemahiran, kita perlulah menuntut ilmu. Itulah yang ditekankan dalam ISLAM itu sendiri.

Tetapi apa beza kereta dan manusia??

Sudah pastinya manusia itu bernyawa, mempunyai ruh yang dikandung jasad. Tidak seperti kereta yang hidupnya apabila enjin dihidupkan, geraknya apabila dipandu sahaja.

Oleh itu, bergeraklah demi ISLAM selagi jasad dan ruh itu bersatu. Bergerak bukan bersendirian tetapi dengan kesatuan.

Demi Yang SATU! [51:56]


30/11/2009 Harapan dan cita-cita yang mulia itu bergerak seiring. Usah dipisahkan. Semoga diakhirnya syurga tertinggi itu menanti. Insya-Allah. [metafora] :) 2009++++

Tuesday, November 24, 2009

Gua Vs Dunia

Align Center

Adakah dunia itu seluas tapak tangan?

Sedangkan itu yang sering dibangga-banggakan kita dewasa ini. Hal dunia semata-mata sehingga terlupa akan alam yang kekal selamanya. ALLAH tidak pernah zalim terhadap hamba-hamba-Nya tetapi manusia itu sendiri yang seringkali menzalimi diri mereka sendiri.

Kenapa dunia itu sempit?


Kerana debu-debu dosa kian bertebaran di sana-sini. Mana arah tujuan? Apakah matlamat? [51:56]


Biarlah dunia itu hanya digenggaman, bila sampai masanya, genggaman itu pasti akan terlepas. Letakkan ISLAM itu di dalam hati. Kerana kesejahteraan beragama itu yang dicari, hiduplah berTuhan, bukan diperhambakan dunia sehingga melupakan pengakhiran.

Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah permainan dan hiburan. Sedangkan kampung akhirat itulah hidup yang sebenar andai mereka mengetahui [al-Ankabut:64]



Gua mampu menjadi seluas dunia?

Sudah semestinya boleh, asalkan diterangi dengan pelita keimanan, bertikarkan amal soleh sebagai hamparan. Mengapa tidak? Sempit kepada mereka yang hanya memandang kepada dunia fana ini. Bukalah jendela hati ke akhirat untuk kita lebih tekun memperhambakan diri kepada Pencipta tanpa meninggalkan dunia. Insya-Allah.

Nabi Yunus. Tempat yang sempit memberi seribu maghfirah. Apabila Nabi Yunus dimakan oleh ikan Nun, maka bergelaplah, hiduplah Nabi Yunus dalam kegelapan dalam beberapa ketika. Tiga kegelapan: kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan di dasar lautan dan kegelapan malam. Tetapi di tempat yang sempat inilah, sinar cahaya keimanan mampu melonjak ke tahap maksima. Sepertimana yang kita ketahui, iman para rasul itu semakin meningkat dan tidak menurun, berbeza dengan manusia biasa. Imannya turun naik, tetapi itu bukan asbab untuk kita menyerahkan keimanan itu hidup berdikari. Kita yang menentukan naik atau turunnya.

"Tiada Tuhan selain Engkau ya ALLAH Yang Maha Suci. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menganiaya diri sendiri."

Nabi Muhammad. Penghijrahan baginda mendapat banyak halangan. Tetapi ALLAH sentiasa menjaga, memelihara kekasih-Nya. Gua Thur menjadi tempat persinggahan. Sempit bukan? Tetapi di sanalah tempat yang ALLAH jadikan untuk menyelamatkan keimanan hamba-Nya, insan yang terpilih.

Waallahu'alam.

24/11/2009 Hidup bagai pentas luahan rasa. Tetapi matlamat akhirnya tetap sama..cuma kadangkala kita lupa dengan mengatakan matlamat kita berbeza. SELAMAT MELAKSANAKAN TUGAS HAMBA!!

Monday, November 23, 2009

FIKRAA [Episode 3]

[Salam yati, awk d mn skrg?]

Jari-jemari Ainul giat menaip kerana sejak daripada tadi, orang atau datin yang dinanti-nanti tidak muncul lagi. Hampir sejam Ainul menunggu. Memang menguji kesabaran, jam di tangannya menunjukkan jam 9 malam. Ikut perancangannya, Hayati akan menjemput Ainul di kolej kediaman pada jam 8.15 malam.

[Yati, jdi ke x keluar mlm ni? Awk kt nak sy belanja..xnk ke..sy tgu awk ni]

Risau Ainul dibuatnya. Kemana sahajalah kawannya ini pergi. Hayati jarang berada di kolej kediaman. Dia selalu pulang ke rumah dengan alasan rumahnya dekat, rugi katanya jika tidak balik. Lihat muka ibu bapa itu kan lebih afdhal, ambil berkat katakan..inilah yang selalu Hayati katakan sebelum hendak pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat pengajiannya, kira-kira 15 minit perjalanan.

Ainul yang menunggu dengan kesabaran daripada tadi mula mendail nombor telefon bimbit datin tersebut. 019-636.....Tut..Tut..Tut..Tut..Talian mati dihujungnya.

"Bismillahirrahmanirrahim...Ya ALLAH, permudahkanlah."

Ainul terus mendail sekali lagi. Pada kali ketiga ini, panggilannya dijawab.

"Assalamu'alaikum, Yati. Awak di mana? Jadi jemput saya untuk di belanja makan?" Ainul tersenyum di akhir kata.

"Wa'alaikumussalam wa rahmatullah. Maaf ya Ainul, saya ada hal sikit. Mungkin lain kali kita keluar. Maaf ya."

"Kenapa ni Yati? Awak baik-baik sahaja kan?" Terdetik persoalan dalam hatinya.

"Maaf Ainul. Saya kena pergi sekarang. Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumussalam." Belum sempat Ainul menamatkan salam balasnya, talian telah pun diputuskan.

Perancangan tidak menjadi. Betullah, sesungguhnya, kita hanya merancang tetapi ALLAH sahaja yang layak menentukan. Persoalan masih bermain-main dalam fikirannya. Panggilannya yang dijawab oleh Hayati meninggalkan seribu tanda tanya.

Kenapa suaranya agak berbeza daripada biasa? Kenapa soalannya tidak dijawab? Apa telah terjadi pada Hayati?

Bersambung..

Saturday, November 21, 2009

Haji dan Korban

Assalamualaikum,

Setelah 24 jam berhempas pulas membaiki blog ini yang telah rosak akibat buatan tangan sendiri. Akhirnya berjaya dibaiki. Alhamdulillah, dapat berkongsi kisah dan cerita, disamping peringatan buat diriku yang mudah alpa. InsyaALLAH.

Apakah itu Raya Aidiladha atau turut dikenali dengan Hari Raya Korban? Hari ini dirai pada tanggal 10 Zulhijjah. Sempena memperingati peristiwa Nabi Ibrahim, anaknya, Nabi Ismail dan isterinya Siti Hajar.Di sinilah bermulanya tamadun besar di Mekah.Pada hari-hari tasyrik kita diharamkan berpuasa, iaitu pada 11, 12, 13 Zulhijjah.

13 Zulhijjah sering mendatangkan rasa sedih dalam diri. Pada tanggal itu ayahandaku kembali ke sana. Babah..teringat kembali kisah dahulu kala. Di kala talkin dibacakan, teringat sewaktu babah mengajar Amal surah an-nas, surah terakhir dalam al-Quran. Babah tegas sampai menangis Amal mengaji dengan babah :) Semoga babah ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Babah always be the best for me! Semoga ruhnya dicucuri rahmat-Nya. Al-Fatihah..

Sekarang, ayuh kita hayati sejenak kisah Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail. Saya tertarik dengan kisah ini. Terbaca menerusi pencarian dalam internet, kisahnya agak panjang. Oleh yang demikian, wujudlah ruangan shared @ FIKRAA untuk berkongsi file-file yang boleh dimanfaatkan bersama. Download untuk baca ya :) Turut di upload manifestasi ibadah haji dan korban mengikut perspektif umat masa kita. Insya-ALLAH akan dicari juga kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, pengorbanan mereka menjadi tauladan ummah.

Pengorbanan itu tidak mengenal siapakah kita pada pandangan-Nya. Pengorbanan bukan sahaja dituntut ketika kita susah tetapi dikala senang juga, pengorbanan itu diperlukan seperti menginfakkan harta kepada yang berhak. Kerana itu juga kita dituntut mengeluarkan zakat sebagai toharoh atau penyucian diri. Definisi pengorbanan itu luas, bersama kita muhasabah diri dan fikir-fikirkan.



** Isnin ni ada kuiz, banyak lagi tak baca. Sibuk mengadap blog yang ni, apa nak jadi? Nak sambung study. Hehe..Kepada kawan-kawan yang sedang bercuti. SELAMAT BERCUTI! Rindu kalian. FIKRAA telah 2 episode dikeluarkan, tiba-tiba terpanggil ingin menulis sebuah kisah hidup insan dengan peringatan-peringatan yang khususnya ditujukan pada diri sendiri. Ada dalam bentuk PDF untuk di download bagi sesiapa yang tidak berkelapangan membaca secara online. Siapa nak baca? Hehe, diri sendiri kot. Aku insan biasa :)

21/11/2009 Maaf sebab membuat ada pembaca tertanya-tanya, mana pergi blog amal? Masih ada di sini selagi diizinkan-Nya untukku terus menulis dan mencoretkan kisah ini :) Semoga maju jaya dalam setiap lapangan kerjamu, kerja agamamu.

FIKRAA [Episode 2]

Perjuangan itu tidak pernah berakhir,
Semangat dari-Mu ibarat padang pasir,
Menjadikan ku kental hadapi segala anasir,
Kerana ku yakin, janji-Mu tidak sekali mungkir..

Perjuangan itu tidak akan berakhir selagi makhluk Tuhan ini bernyawa selagi ruh menakluki seluruh jasad. Selagi itu kita akan berperang dengan hawa nafsu yang tidak pernah puas malah dikuatkan lagi dengan perisai hasutan syaitan yang terus menewaskan hamba-Nya.

Semangat itu hanya datang daripada-Nya yang sangat bernilai, tidak mampu diperoleh daripada orang lain. Ibarat butir-butir pasir yang tidak terbilang nilai butiran yang ada, yang pasti butiran itu banyak walaupun selepas ditiup angin yang kuat. Masih ada di situ dan terus berada di situ, tidak pernah hilang.

Semangat itu menjadikan aku kental kerana semangat itu dari-Nya, bukan dari makhluk Tuhan. Jika ada sekalipun, sesungguhnya semangat itu hakikatnya datang daripada-Nya dengan sandaran buat hamba-Nya yang terpilih. Aku kental berhadapan anasir propaganda dunia. Aku kental hadapi semua itu dengan semangat daripada-Nya, dengan izin-Nya. Tetapi aku sedar iman manusia itu ada turun naiknya bukan?

Aku yakin janji ALLAH itu pasti berlaku dan tidak pernah dimugkiri-Nya, dan benar sebenar-benarnya, tiada yang benar selain itu. Itu menjadikan aku terus kuat dan bersemangat sehingga saat engkau membaca tulisanku. Cuma manusia itu seringkali berjanji dan seringkali menungkiri-Nya.

Surat yang diterima Ainul buat pertama kalinya ini amat membuatkannya tertanya-tanya. Mengapa selepas hampir 5 tahun dia tidak mendengar sebarang khabar berita daripada sahabat baiknnya ini, tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan sepucuk surat yang dikirimkannya dari Aberdeen, Scotland. Lebih membuatkan dia tertanya-tanya, puisi di dalam surat itu pernah dicoretkan pada muka hadapan buku kesayangannya, Himpunan Hadith Muslim. Ainul masih ingat.

******************************

"Sumayyah, awak buat apa dengan buku saya tu?" Ainul faham sangat dengan perangai Fikraa yang suka menulis, mencoret kata-kata dimana sahaja yang dia suka.

Sumayyah, nama gelaran Fikraa kerana dahulunya dia pernah melakonkan watak Sumayyah dalam drama pentas sempena Minggu Penghayatan Islam di Kolejnya. Fikraa, dia memang layak melakokan watak itu kerana dia ibarat Sumayyah dengan kecekalannya mempertahankan agama yang sentiasa mekar dalam dirinya.

"Oh lupa, maaf Ainul. Boleh saya pinjam buku awak sekejap. Sekejap sahaja. Boleh lah ya." Deretan gigi putih Fikraa kelihatan. Ainul pula tersenyum.

"Pinjamlah. Beberapa hari pun tidak mengapa." Fikraa tersenyum malu, dia tidak akan ambil barang kepunyaan orang lain tanpa kebenaran tetapi cuma di kala itu dia terlupa kerana pantang nampak buku, dia akan capai dan tulisannya bermula. Bermula dimana sahaja yang dia suka. Sumayyah..Sumayyah, dia memang begitu.

******************************
Tanam pesanan Saidina Ali ini dalam benakmu sahabat.

"Sesungguhnya ALLAH mempunyai bejana di atas bumi-Nya iaitu hati-hati...maka hati yang paling disukai oleh-Nya ialah hati yang lembut, bersih dan cekal. Cekal ini ditafsirkan sebagai kecekalan dalam pegangan agama, bersih di dalam keyakinan dan lembut terhadap saudara-saudara mu'min."

Kata sahabat Rasulullah ini lagi,

"Hati seorang mu'min itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam serta berpenyakit."

Semoga kesejahteraan senantiasa bersamamu, Ainul Mardhiah Ahmad. Padamkan segala persoalan yang bermain di dalam fikiranmu disebabkan kejutan suratku yang telah sekian lama tidak engkau terima.

Ayat puitis pula saya guna. Harap awak akan selalu ingat pada-Nya. Tidak mengapa jika tidak ingat pada saya. Hehe..Siapalah saya, hanya manusia biasa, hamba ciptaan-Nya. Awak sihat? Saya tahu awak sihat. Hehe..Dah makan? Saya tahu awak kena belanja Hayati si kuat merajuk tu makan, nanti masa makan tu, jangan lupa ALLAH. Biarkan iblis laknatullah tu kurus meleding, kempunan melihat makanan kita.
Sumayyah ini pelik, selalu pelik, fikir Ainul sendirian semasa membaca surat sahabatnya itu. Bagaimana dia tahu semua ini, mengenai kesihatanku. Itu mungkin andaiannya sahaja.

Tetapi bagaimana dia tahu aku kena belanja datin tu? Ainul berfikir sendirian. 6th sense? Mungkin juga, kuasa milik-Nya itu merangkumi segala yang ada di langit dan bumi. Tetapi, kenapa aku tidak tahu perkara ini? Fikiran Ainul jauh merantau, melayang jauh, yang pasti tidak sampai lagi ke Aberdeen.

"Ainul, jadi tak belanja saya makan hujung minggu ni?" Tersengih-sengih Hayati menegur temannya, Ainul yang masih dengan surat itu ditangannya.

"Insya-ALLAH. Boleh sahaja. Saya belanja awak makan tapi saya bayar guna duit awak ya. Ok set! Awak drive, I'm sit by your site, datin. Hehe.." Sukar melihat kegembiraan diwajah Ainul selepas hilang sayap kirinya. Fikraa ibarat sayap kirinya selepas dia pernah jatuh kecundang dahulu.

"Ok tapi awak ambil duit saya yang saya keluarkan daripada your purse ok! Saya drive, awak tu dah dua tahun lebih ada lesen tapi saya juga yang kena drive" Hayati memuncung kemudian tersenyum. Dia tidak pernah mengalah begitu sahaja.
Ainul, tuntutlah ilmu sehingga ke akhir hembusan nafasmu kerana itu tidak akan manjadi sia-sia. Malah itulah bekalanmu ke sana kelak. Sekian sahaja daripada sahabatmu ini. Usahlah awak merindui saya kerana tiada satu faedah pun daripada itu. Tetapi ingatilah saya dalam doa awak. Semoga doa-doa itu mengekalkan jalinan kasih sayang antara kita. Insya-ALLAH. Sampaikan salam saya pada sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.

Hidup ke arah mardhotillah,
Fikraa Muhammad
Itulah Fikraa, kata-kata lebih kepada nasihat buat sahabatnya yang sering alpa, lupa ini. Apa khabarnya di sana. Tidak sedikitpun diceritakan mengenai dirinya, keadaannya disana. Aku merinduinya, Ainul kembali muram setelah gembira menerima surat daripada orang yang ditunggu-tunggunya selama ini. Sumyyah..Fikraa, bila akan kita ketemu.

Lusa, Ainul akan menghadapi peperiksaan. Buku-buku di atas mejanya masih menanti giliran untuk ditelaah, inilah tahun ketiga Ainul dalam perjuangannya sebelum bergelar tabib muslimah. Begitu jugalah perjuangan Fikraa di sana tetapi dia dalam tahun keempat disana. Aku kena mula sekarang! Study..Study! Sebuah buku Clinical Examination diambil, Chapter 4 : Examination for Chest Pain.

Sambil melipat semula helaian surat itu, Ainul terbaca kata-kata dibelakang helaian surat itu. Mengapa barisan ayat ini dibelakang, kenapa terasing. Persoalan bermain difikirannya.
Doakan saya wahai sahabat. Kelak bacakan al-Fatihah dan Yaasin untukku. Sesungguhnya hidup ini memenatkan dan kerana itu ia diciptakan.
Bersambung..


Friday, November 20, 2009

FIKRAA [Episode 1]

Perjuangan itu tidak pernah berakhir,
Semangat dari-Mu ibarat padang pasir,
Menjadikan ku kental hadapi segala anasir,
Kerana ku yakin, janji-Mu tidak sekali mungkir..

Ainul termenung sejenak menatap tulisan seorang sahabat baiknya. Sungguh mendalam maksudnya yang kadangkala tidak tercapai akal untuk mentafsir setiap bait-bait madah yang dipenuhi dengan coretan bahasa metaforanya, tidak ketinggalan hiperbola dan personafikasinya. Dia sahabat yang satu-satunya bergelar teman dalam dirinya.

Coretan kisah indah kita bersama tidak pernah pudar dek hujan panas yang silih berganti...

Bilakah hujan dan panas ini akan berakhir? Ainul bermonolog keseorangan. Tulisan sahabat baiknya itu terus ditatap dan dibaca berulang kali. Kerinduan mula menerpa dalam diri terhadap seorang teman yang kini jauh di perantauan meneruskan agendanya memperjuangkan matlamat yang satu kerana baginya tujuan hidup itu hanya satu.

"Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia itu, melainkan supaya mereka menyembah-Ku" [51:56]

Matlamat hidup sahabatnya yang utuh menjadikan Ainul kental dalam perjuangannya sehingga hari ini. Walaupun dahulunya Ainul pernah patah semangat, hilang arah tuju tetapi nasib yang baik masih berpihak padanya. Datanglah seorang sahabat menghulurkan tangan, memimpin dirinya, dan menyuntik bara semangat perjuangan dalam mengejar redha-Nya dengan sisa hidup yang ada. Kata-katanya seringkali terngiang-ngiang di ingatan walaupun sudah hampir 5 tahun tidak berjumpa. Aduhai sahabat, aku merindui kamu..Ainul masih bersendiri di dalam biliknya termenung, mengimbas kembali kenangan bersama. Ainul masih teringat, teman baiknya itu selalu mencoret kata-kata dalam buku-buku yang dipinjamkan. Ada sahaja madah-madah yang ingin diungkapkan dalam diam, dalam tulisannya.

Hidup kita fitrahnya berTuhan tetapi kenapa kita kini menafikannya? Indahnya hidup berTuhan, tiada lagi makna sepi dan sunyi. Sepi itu akan datang apabila kita meninggalkan Dia. Sunyi itu akan menyelubungi kita jika lupanya kita pada Pencipta.

"Assalamualaikum, Ainul" Tersentak Ainul dari lamunan apabila ditegur dari belakang oleh seorang teman sebiliknya.

"Waalaikumussalam. Oh, Hayati. Kamu rupanya. Kamu dari mana? Sejak pagi tadi tidak nampak batang hidung." Batang hidung, memang sengaja Ainul menggunakan perkataan itu. Sahaja ingin melihat telatah Hayati yang suka merajuk.

"Saya tahulah, hidung saya tidak mancung, batang hidung pun tiada. Saya dari Pejabat Hal-Ehwal Pelajar. Ini ada surat untuk kamu. Oleh kerana kata-kata kamu tadi dan kebaikan saya mengambil surat ini untuk kamu, dipersilakan saudari Ainul Mardhiah Ahmad membelanja Datin Wan Noor Hayati Wan Kamaruddin makan malam hujung munggu ini." Terkena sudah pada batang hidung sendiri. Diharapkan supaya Hayati merajuk tetapi lain pula jadinya.

"Surat daripada siapa?" Ainul tertanya-tanya. Mahluk Tuhan manakah yang sudi mengirim surat kepadanya.

"Dari Fikraa Muhammad..." Surat dari dialah yang ku tunggu-tunggu, hati Ainul melonjak gembira. Dia sahabat, teman baikku.

Bersambung..

Sunday, November 15, 2009

Cardiac MODE + Memorable KMPk

Assalamualaikum

Review Anatomy of Heart


Heart, jantung (bahasa melayu sarawak), atau dalam bahasa iban, tungkul ati. Ini adalah sebagai bahan ulangkajiku. Bilakah keseriusan dalam
study akan datang? Bilakah? [Sedang study, blog ini seakan-akan memanggilku untuk menaip di sini. Hehe..]

Ada matlamat yang perlu dilaksanakan sebelum tamat riwayat hidupku. Mencapai matlamat atau syahid di perjalanan menuju matlamat [Hassan al-Banna], aturanNya itu yang terbaik. Semoga keindahan tawakal kepadaMu pengubat hati yang gundah gulana. [Gundah gulanakah hatiku di kala ini? Tidak, alhamdulillah] Sesungguhnya hati mu'min itu damai, tiada apa yang dapat menjadikannya berkeluh kesah kerana pegangan teguhnya pada janji ALLAH, tidak pernah diragui.



Kepada sahabat-sahabat yang sedang cuti semester sekarang, SELAMAT BERCUTI! Semoga masa yang terluang diisi dengan kegiatan dan aktiviti yang berfaedah untuk diri dan orang lain, InsyaALLAH.




Kepada adik-adik di SMK Wangsa Maju 2 dan SMK Sungai Pusu, Adik Hidayati, Adik Najwa, SELAMAT BERJUANG! Kelak kejayaan menunggu adik-adik semua dihujung pengembaraan menimba ilmu, InsyaALLAH. Melangkah tanpa henti, kelak ditemui permata yang dicari :)


Ada sebuah hadith yang dikira molek dikongsikan bersama. Renung-renungkan dan selamat bermujahadah :) sokmo [senyuman bukan sekadar sedekah tetapi juga sebagai refleksi ketenangan jiwa]
"Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan"

Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah buah kepada keimanan.

Rasulullah pernah ditanya tentang apa itu agama. Baginda menjawab: Kemuliaan akhlak (Husnul khalq). Apabila ditanya apa itu kejahatan, baginda menjawab: Akhlak yang jelik (Su'ul khalq)

Sumber: Apa Ertinya Saya Menganut Islam - Fathi Yakan
Waallahu'alam.

Tiba-tiba terkenangkan kenangan terindah di Kolej Matrikulasi Perak (2007/2008). Indah, tersangat indah. Kini, ku hilang jejak segelintir sahabatku. Di mana kalian? Walaupun di mana kalian berada, semoga berjaya dunia akhirat. Ukhwah fillah abadan abadaa..









18/11/2009 Semai dunia, tuai akhirat. Selamat beramal! Menghitung hari..moga tercapai impian, matlamat terlaksana, InsyaALLAH :)

Thursday, November 12, 2009

Manusia dan Kita

Assalamualaikum awalul kalam,
Di pagi hari yang penuh berkat,
Diiringi penulisan dengan selawat dan salam,
Semoga bermanfaat buat bekalan dunia akhirat,

InsyaALLAH..

Kasih mula beralih arah. Ke mana arahnya? Tidak pasti akan tujuannya, sedangkan sisa hembusan nafas tinggal beberapa hela lagi sebelum menghadap Yang Maha Pengasih. Kami mengharapkan kasihMu Ya ALLAH sebelum Engkau menjemput kami ke duniaMu yang kekal, bukannya fana.

Kini..

Kasih manusia kepada hidup,
Lupa kita kepada mati,

Kasih manusia kepada harta,
Lupa kita kepada hisab,

Kasih manusia kepada mahligai,
Lupa kita kepada kubur,

Kasih manusia kepada dunia,
Lupa kita kepada akhirat,

Kasih manusia kepada makhluk,
Sedangkan kita lupa,
Lupa kita kepada ALLAH,
Seungguhnya kasihNya itu kasih sejati..

Renung-renungkanlah wahai makhluk ciptaan. Kita bukan hak mutlak kita. Segalanya milik ALLAH, Tuhan semesta alam yang menjadikan apa yang ada di antara langit dan bumi. Syukuri nikmat, kejar akhirat.

RahmatNya tiada bertepi, Dialah cinta sejati yang kekal selamanya. Walaupun pahit perjalanan meraihnya, demi redhaMu, akan ku redahi jua.



Waallahu'alam.

Sumber : Kitab Alam Barzakh

**Penulisan di pagi hari sebelum ke kuliah. Semoga bermanfaat walaupun isi yang terkandung sedikit tetapi jika direnungkan, insyaALLAH boleh membawa kepada anjakan paradigma kepada hidup yang lebih berkualiti. Today, clinical session and video show. Brighten your day! (6.50AM)

12/11/2009 Ingat kita pada mati, mentaqarrubkan diri kita kepada Pencipta.
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates