Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Thursday, December 30, 2010

Y 370 : Terkesan



Umar Abdul Aziz dan Bumi Cinta, dua buah buku yang sempat dimiliki semalam selepas lebih kurang 1 jam berlegar-legar dalam Popular Delta Mall, Sibu.

Alhamdulillah.

Moga-moga aku dapat manfaat daripada buku ini. InsyaAllah.

Hari ini sewaktu membaca buku Umar Abdul Aziz, karangan Abdul Latip Talib selepas subuh tadi, ada satu ayat yang amat terkesan dalam diri. Pastinya ada ayat lain, tetapi ada satu ayat yang mengetuk pintu minda supaya sedar.

Sewaktu Khalifah Umar Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah selepas pemergian Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, beliau naik ke atas mimbar lalu mengucapkan puji-pujian Allah serta mengucapkan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad, seterusnya berkata,

Saya berpesan kepada kamu, bertakwalah kepada Allah kerana ketakwaan itu lebih penting daripada segalanya. Beramallah kamu untuk akhiratmu nescaya Allah menyelesaikan urusan duniamu. Perbaikilah tinkah lakumu dihadapan umum. Banyakkan mengingati mati dan buatlah persiapan menghadapinya, nescaya mencegah kamu hidup berfoya-foya mengikut nafsumu. Sesiapa yang tidak mengingati saat kematiaannya, nescaya dia mati dalam kehinaan.
Kena ketuk, baru sedar.

Rempah ketaqwaan perlukan iman dan ikhlas, juga istiqamah. Ya, ketaqwaan itu kunci segala tindakan. Percaya atau tidak, percayalah. Ketaqwaan itu akan memandu kita dalam setiap urusan, di mana ianya akan lebih teratur, sistematik dan yang paling penting redha Allah diraih bersama.

Apa itu Taqwa?

Sahabat Omar bin Khattab pernah bertanya kepada sahabat Ubai bin Kaab berkenaan maksud Takwa.

Ubai berkata, “Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?” Jawab Omar, “Ya pernah.” Ubai bertanya lagi, “Apakah yang kamu lakukan ketika itu?” Omar berkata, “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu).” Berkata Ubai, “Itulah taqwa.”

Daripada jawapan ini dapat disimpulkan, takwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak terjebak dengan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh semasa beramal berlandaskan Quran dan sunah.

Beramallah untuk akhiratmu. Dengan itu urusan dunia akan turut lancar. Bagaimana untuk kita selalu beringat untuk beramal untuk akhirat? Adalah dengan mengingati mati, demikian akan membuat kita berkejar-kejar membuat amal soleh. Menyiapkan bekalan untuk dipersembahkan di akhirat nanti.

Sentiasa mengingati mati yang dituruti dengan amalan soleh untuk ke akhirat itu akan mencegah kita daripada terjebak dengan dorongan berfoya-foya oleh nafsu. Sangat berkait, jika salah satu tertinggal atau ditinggalkan, maka disitulah terdapat kekurangan.

[Peringatan tegas buat diri]

Bermujahadah bagi melaksanakannya tidak semestinya dengan turun ke medan perang. Sedarkah? Sedangkan jihad kubra itu adalah dengan menangani hawa nafsu sendiri.

Maka, di situ ada kelemahan.
Maka, di situ juga perlu dibetul-betulkan.

Cuma dikala berusaha untuk memperbaiki. Hadir pula rasa lesu.
Maka lemah kembali jasad yang dahulunya kuat dengan azam dan iltizam.
Terkulai lesu, longlai tidak bermaya.

Adakah hambaNya dicipta untuk berlemah-lemah?
Sedangkan bilangan tentera yang sedikit mampu menumpaskan musuh yang ramai?

Usah lemah, apatah lagi menyerah.
Jika jatuh, bangunlah kerana ini bukan masa untuk mengeluh.
Jika runtuh, binalah semula benteng iman yang utuh.

Waallahua'lam.

30/12/2010 Banyak membaca jadikan kita banyak berfikir. Namun jangan ditinggal Al-Quran kerana itulah sumber ilmu, sumber akal untuk berfikir dalam iman.

Get ready for next posting..get ready for our journey in Miri :)

Wednesday, December 29, 2010

Y 369 : Peguam Bela



Dahulu cita-cita utamaku adalah peguam, mahu menjadi peguam yang mantap dengan hujahnya, tegas dalam urusannya membela nasib mereka yang teraniaya. Peguam bela. Tetapi itu adalah angan-angan yang sudah pasti kini hanya tinggal kenangan. Kenapa? Kerana sekarang aku memikul amanah berat daripada Tuhanku untuk berbakti kepada ummah juga masyarakat khususnya dalam bidang perubatan.

Selain bidang ini, bidang lain tidak ketinggalan. Jika diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan cerita-cerita, InsyaAllah bersedia untuk curahkan segalanya untuk dijadikan iktibar, pengajaran bagi menghadapi hari-hari mendatang. Aku juga banyak belajar daripada makhlukNya, kerana sudah tentu pengajaran itu datang daripadaNya juga secara tidak langsung.

Waktu sekolah rendah,

“Amal, dah besar nanti nak jadi apa?” Cikgu bertanya untuk mengisi buku rekod sahsiah.

“Amal nak jadi cikgu.” Bersemangat waktu itu.

Semangat berkobar-kobar untuk menjadi guru. Bukan senang hendak mengajar, begitu susah kita belajar, untuk menyampaikan ilmu itu pun tidak kurang susahnya.

Waktu awal zaman sekolah menengah,

“Amal, apa cita-cita kamu?” Soal cikgu di dalam kelas. Jawab ikut giliran dan itu giliran aku.

“Amal nak jadi peguam.” Tiba-tiba bertukar.

Mungkin pengaruh persekitaran juga. TV :) Semakin hari pelbagai cita-cita mula terbit dalam fikiran. Cikgu sentiasa ada dalam diri. Peguam, pakar forensik, ahli kimia, saintis mula mendapat tempat di jiwa anak muda ini. Doktor? Tidak terfikir langsung.

Sehinggalah aku menghidap satu sakit kronik 5-6 tahun yang lalu. Doktor mula mendapat tempat.

Ya, perjalanan hidup ini banyak yang tidak disangka-sangka yang perlu kita terima dengan tenang hati. Kerana itu semua adalah ketentuanNya juga dan itu yang terbaik.

Peguam.
Peguam bela.

Tugasnya membela. Jika mereka yang teraniaya itu kita bela, siapa yang akan bela diri kita kelak? Inilah yang ingin ditekankan. Atas atas-atas itu cuma pendahuluan :)

Siapa mahu bela nasib kita di dunia?

Siapa lagi jika bukan kita sendiri. Jika selalu mengharapkan orang lain, lain jadinya kerana pengharapan itu hanya layak padaNya. Pengharapan yang tulus ikhlas daripada seorang hamba kepada Pencipta. Belalah nasib diri dengan amalan yang baik, nescaya kisah akhir hidup kita juga akan baik-baik. InsyaAllah.

Juga, kita mampu untuk membela nasib saudara-saudara kita yang dizalimi dengan bantuan juga bantahan terhadap kekerasan. Contohnya isu Palestin. InsyaAllah sama-sama kita membantu, membela nasib mereka sekadar mampu kita. Kerana Pembela yang Maha Kuasa sentiasa dekat dengan mereka.

Ya Palestinian,
Jangan khuatir kerana Allah bersama kita semua.

Siapa mahu bela nasib kita di alam barzakh?

Tiada yang mampu membantu melainkan amalan kita. Dengan memperbanyakkan amalan, bersungguh dan istiqamah dalam melaksanakan amal soleh. InsyaAllah janji Allah itu tidak pernah mungkir, bersabar dan tenanglah wahai hati-hati yang menagih cintaNya.

Siapa yang mahu bela kita di akhirat nanti?

Boleh ke upah peguam bela versi akhirat? Tidak. Di sana kita sendiri, hanya mengharapkan amalan di dunia diterima, juga mengharapkan syafaat daripada Rasulullah. Di sanalah penentuan, bahagia atau sengsara hidup kita selamanya, lagi kekal abadi.

Peguam bela? Kita mampu menjadi peguam bela. Peguam bela yang tegas, istiqamah dalam mencari jalan untuk menang semasa perbicaraan. Untuk menang memerlukan bukti yang kukuh, juga fakta-fakta yang berkaitan, perlu dahulu mendalami kes (hidup) tersebut.

Mari jadi peguam. Kita semua mampu membela nasib kita, juga saudara kita.
Mari jadi cikgu. Kita semua adalah cikgu. [Jemput baca artikel Doktor vs Guru]

Muhasabah diri.
Kerana disitu letaknya salah satu kunci perubahan.

Waallahua’lam.

29/12/2010 Bagiku, orang ‘kaya’ adalah mereka yang kaya dengan akhlak yang baik, kaya dalam pengabdian kepada Pencipta.

Bagiku, orang yang ada ‘rumah besar’ itu adalah mereka yang di dalam rumahnya penuh dengan kasih sayang keranaNya. Walaupun rumah itu kecil, kasih sayang itu akan menjadikan rumah itu luas.

Mahu orang ‘kaya’ dan ada ‘rumah besar’ :)
InsyaAllah.

Mahu berjalan-jalan tadabbur alam ke Bintulu dan Miri. InsyaAllah.
Moga perjalanan selamat :)

Selamat menjejaki surgery posting (last but not least posting in Sibu.
InsyaAllah.

Saturday, December 25, 2010

Y 368 : Ill



Ilmu.

Adakah ilmu itu akan membuat kita ill?
Persoalan bonus sehingga kadangkala kita tuntut ilmu itu hingga rasa loya, mahu muntah.
Pernah rasa?

Kenapa kita perlu menuntut ilmu? Kenapa kita perlu menjadi orang yang berilmu?

Sedarkah kita bahawa daripada kecil lagi kita telah diasuh dan diajar, belum dikira lagi dengan asuhan sejak di dalam rahim ibu. Sedarkah? Ilmu juga kan.

Sejak kecil kita diajar bercakap, 'mamamama..papapapa'
Sejak kecil kita diajar duduk dan berjalan, bangun-bangun jatuh.
Sejak kecil kita diajar berdikari, agar besar nanti boleh hidup sendiri.
Sejak kecil lagi kita diajar mana baik, mana buruk.

Itulah juga ilmu, tarbiyyah, didikan daripada ibu ayah kita. Kita ikut sebab kita tidak tahu apa-apa, al-maklumlah baru sahaja lahir ke alam yang belum pernah dijejak.

Dalam perut ibu boleh berenang-renang dalam amniotic fluid. Boleh tendang-tendang perut ibu. Si ibu berkata, "Dah lahir nanti jangan nakal-nakal ya. Jadi anak yang soleh." Sambil membelai bayi dalam perut dari luar. Itu pun ajaran, pesanan dan nasihat secara tidak langsung, merupakan doa ibu kita. Moga termakbul, InsyaAllah.



Manusia itu diciptakan sebagai khalifah dimuka bumi dengan sebaik-baik ciptaan. Dengan akal fikiran yang membolehkan manusia itu berfikir mana hak, mana batil. Kerana itu juga kita dituntut menuntut ilmu.

Dengan ilmu dapat membuatkan kita dekat dengan Allah, ingat pada Dia selalu [zikrullah].
Dengan ilmu dapat buat kita berfikir akan keagunganNya yang tiada tolok banding.
Dengan ilmu dapat memartabatkan Islam di puncak tertinggi, InsyaAllah.

Dengan ilmu boleh membuat kita buta??

Tetapi kadangkala ilmu itu kita salah guna. Jadikan kita lupa siapa Pencipta, sombong dan angkuh dengan segala nikmat, jauh sekali untuk mengingati Allah. Dengan gelaran ciptaan terbaik membuat kita meninggi diri, tidak menjaga hak makhluk lain.

Sampaikankan haiwan dan tumbuh-tumbuhan itu lebih mulia, kerana mereka 24 jam berzikir kepada TuhanNya, Tuhan kita, Allah yang Maha Esa. Pemilik mutlak segala yang ada.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. [At-Tin:4]
Di dalam Al-Quran juga diterangkan pelbagai jenis nikmat di dunia, juga bakal diperoleh bagi penghuni tempat bahagia yang abadi di akhirat sana nanti. Juga pelbagai kisah tauladan manusia dan segala pengajaran sebagai panduan bagi manusia untuk menjalani hari-hari mendatang sebagai khalifah di muka bumi.

Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu? [At-Tin:7]
Sedalam mana pun ilmu kita, kita masih tidak ada sebab untuk mendustakan segala apa yang telah disyariatkan. Sedalam mana pun ilmu kita, kita tetap tidak akan dapat menakluki dunia kerana dunia ini bawah jagaan, taklukan Tuhan.

Setinggi mana ilmu kita, jangan lupa kita hidup berTuhan.
Sedalam mana ilmu kita, jangan lupa Rasulullah sebagai contoh tauladan.
Sehebat mana ilmu kita, ilmu itu tetap milik Allah.

Berhati-hati dalam menuntut ilmu kerana musuh Islam ada di mana-mana bagi menggoyahkan iman, juga pegangan kita. Tuntutlah ilmu, ingatlah pada Dia :) Moga hati-hati ini tenang belajar ilmu Tuhan. Moga hati-hati pandai tunduk pada syariat yang ditetapkan.

Jika rasa diri bukan dalam kalangan yang berilmu atau masih tidak cukup ilmu, jangan malu-malu, kita sama-sama belajar. Tidak istilah 'bodoh' atau 'bengong' kerana manusia itu diciptakan dengan nikmat akal, usah persiakan.

Dan ilmu yang bermanfaat itu ada pelbagai jenis, boleh didapati dalam bentuk penulisan, juga boleh diperoleh melalui deria pendengaran, dan tidak lupa dengan pemerhatian.

Wahai diri,
Engkau baca, engkau perlu buat.
Sia-sia engkau tulis jika sekadar lekat-lekat.

Waallahua'lam.

26/12/2010 Esok exam, doakan kejayaan kami semua.

'Ya Allah permudahkanlah urusan kami, redhailah setiap langkah usaha kami' Amin..

Aku perhatikan dia selalu.
Aku tahu dia tahu.
Walaupun jarak memisahkan aku dan kamu.
Moga Allah izinkan kita bertemu.
Pada suatu waktu.
Sabarlah, berdoalah, usah jemu.

[Buat dia-dia yang disayangi]

Study, InsyaAllah lepas ni akan ke Miri, tadabbur alam milik Ilahi :)
Raya cina jauh lagi, tapi dah mula menghitung hari [jadi pantun, hanya kebetulan]

Adakah di dunia banyak kebetulan?
Sesungguhnya itu semua dalam pengetahuanNya.

Friday, December 24, 2010

Y 367 : Key

As a student, we usually feel very satisfied when we achieve an excellent result.

But how the 'excellent' result was obtained?

By studying until 2 or 3 o'clock and then let the Subuh prayer gone?
Or by reading the notes until forgot to recite the Quran?
Or keep on study although the azan was heard?

If these types we study to get the result, the biggest question.
Is HE satisfied?
Is ALLAH satisfied?

Think about it!

[Reminder at FB from one of beloved lecturer at Matric]

Yes, we want to achieve our goal, highest aim in life.
We dream, obsess to a successful life.

But how we go through it?
There are many way, we have to choose..
Allah's REDHA still the priority to become the best servant.

InsyaAllah.
We try, to complete the entire part..Allah's there to complete it.
Doa and TAWAKKAL, keys of success!

InsyaAllah.
Waallahua'lam.

Tuesday, December 21, 2010

Y 366 : Monolog

Study..

Tiba-tiba rasa sakit dekat situ..
Sampai bila mahu biarkan ni..

Sampai bila mahu main sorok-sorok..
Sahabat-sahabat pun dah tegur, lama dah..

"Pergi jumpa doktor, janji tau."

Aku dah berjanji, tetapi bila mahu pergi?
InsyaAllah selepas peperiksaan minggu depan, masuk posting surgery..

"Dr. Chi, I want to meet u."



Monolog dalaman,

"Tiada harapku pada dunia kerana masa menemui Tuhanku semakin hampir. Oleh itu harus untukku bersedia dengan seberapa banyak bekalan. Doakan kesejahteraan semua, moga sama-sama gapai redhaNya."

"Sebelum ini seperti banyak buang masa untuk perkara yang tidak sepatutnya. Mahu tukar jadi perkara yang berfaedah dan bermanfaat, berguna untuk agama dan ummah. InsyaAllah."

Sambung study..

Waallahua'lam.

Sunday, December 19, 2010

Y 365 : Mood



Macam-macam mood sekarang ini. Bercampur-baur :)

Mood study, kali ini it's the priority [Exam lagi seminggu]
Mood Palestin, akan berjuang sungguh-sungguh untuk ini lepas ni.
[Semangat terpendam, simpan elok-elok]
Mood BADAR, ini paling best!


Gambar atas : Tempat kediaman di Sibu (ILF)
Gambar bawah : Ceramah Aman Palestin di Masjid Permai semalam

InsyaAllah mahu tulis satu puisi BADAR :) [Perancangan selepas exam]

Perang BADAR, perang penentuan..
Biarpun jumlah sedikit, namun di situ berkumpul kekuatan..

Rasulullah berdoa di kala saat kemuncak BADAR,
"Ya ALLAH, kurniakan kepadaku apa yang Engkau janjikan. Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon pertolonganMu. Ya ALLAH, sekiranya pasukan ini hancur, tentu Engkau tidak akan disembah lagi."

Doa itu diulangi lagi,
"Ya ALLAH, sekiranya kami kalah dan binasa, maka tidak ada siapa lagi yang akan menyembahMu."

Nabi Muhammad terus bermunajat dan berdoa dengan hati yang penuh pengharapan. Tidak lama selepas itu, wajahnya berseri-seri mendapatkan Abu Bakar as-Siddiq.

"Bergembiralah, sesungguhnya pertolongan Allah telah datang..."

Moga-moga mood BADAR merangkumi mood study dan Palestin :) InsyaAllah.
Setangkas Hamzah, seberani Muaz dan Muawwiz!

Andai rebah, jangan pernah menyerah, tidak pernah kalah.
Andai terjatuh, tiang iman biar kukuh.
Andai tersungkur, pada ketentuanNya kita akur.

Wahai semangat BADAR,
Moga gemilang dalam diri..tundukkan kata-kata nafsu dan musuh diri.

Waallahua'lam.

Saturday, December 18, 2010

Y 364 : Kisah Ini



Setiap kisah hidup ini telah Allah aturkan terbaik buat kita semua. Tidak seperti kisah-kisah novel atau kisah-kisah mitos lagenda terdahulu. Moga kisah-kisah kita, dapat tempat di sisi Allah, redha Allah sentiasa bersama dalam setiap penjuru kehidupan kita.

Tulisan kali ini hanya berkisahkan kenangan, perkara yang telah berlalu. Kerana yang pasti, perkara yang bakal ditempuhi semua di dalam pengetahuanNya. Maka, moga yang berlalu itu meninggalkan pengajaran buat diri-diri kita.

Moga semuanya berjalan dengan baik, InsyaAllah.



No 1 ~ gambar Sin Chan yang pernah diceritakan sebelum ini :) Aku belajar untuk merasai apa yang si ibu rasa. Kasih sayang kurniaan Ilahi.

No 2 ~ mainan seorang budak kecil yang sempat curi-curi ambil gambar, comel kan? [Tiada kaitan dalam kisah tetapi menjadikan jalan cerita lebih bermakna]

No 3 ~ apa yang masuk dalam perut semalam, alhamdulillah. Bersyukurlah dengan segala nikmat. Sesungguhnya tiada sebab untuk kita lupa tentang nikmatNya tetapi kenapa masih lagi lupa? Itulah manusia, ingat-ingat lupa. Lupa-lupa, terhantuk baru teringat semula.

Bila mahu ingat selalu ni?

No 4 ~ kami bersama-sama meramaikan program bersama Aman Palestin. Tiba-tiba terfikir, mungkin ini platform untuk aku mulakan misi, impian yang dirancang dalam diri. InsyaAllah. Semoga semua dipermudahkan, mahu bergerak-gerak supaya tidak mudah leka, jauhi kealpaan.

Mahu ingat selalu.

Hidup ini bukan untuk mencari kepuasan diri sendiri.
Tetapi hidup ini untukNya.

Hidup ini bukan untuk melayan perasaan.
Tetapi hidup ini untukNya.

Hidup ini bukan untuk menjinak-jinakkan hati yang gersang.
Tetapi hidup ini untukNya.

Tegaslah wahai diri,
Usah lagi terlentok dikala ditiup angin.
[Bahasa pujangga sudah mula keluar]

:)

UntukNya aku hidup.
UntukNya aku persembahkan segala.
Di akhirat nanti.

Moga-moga persembahan kita baik-baik, InsyaAllah yang TERBAIK.
Mari jadi orang-orang yang ingat!

Waallahua'lam.

Wednesday, December 15, 2010

Y 363 : Alam Paed 2



Minggu lepas, ada kenal seorang adik kecil, 5 bulan umurnya. Comel sangat-sangat, nak dukung takut-takut. Kasihan dia, batuk, selesema, demam. Tetapi dia tabah, diam sahaja, kalau menangis pun kadang-kadang bila merasakan diri tidak selesa.

Hampir seminggu dalam hospital. Pernah sekali bagi dia makan ubat :)
Berjaya! Alhamdulillah dia tidak muntahkan balik ubat tu.

"Kak, akak panggil dia apa?"

"Sin Chan"

"Sin Chan? Kenapa Sin Chan kak?" Terkejut. Comel nama.

"Sebab dia nakal macam Sin Chan" Ketawa kecil kami bersama :)

Lama-lama pandang dia, ada macam rupa Sin Chan :) Hari-hari pergi hospital mesti cari dia, lepas tu sebutlah nama dia, "Sin Chan....."


Masamnya muka Sin Chan yang ini :D
Nanti nak upload gambar Sin Chan yang baik!

Dia ada senyum :)

Hari akhir sebelum dia keluar hospital, akhirnya tidak malu-malu lagi dukung dia. Sempat lagi dia tinggalkan kenangan atas lab coat amal. 'Cop rasmi' :D Kena basuh lab coat ni sebab kena air liur dia. Mungkin dia suka lab coat, mahu jadi doktor bila sudah besar nanti barangkali.

:)

Tersenyum teringat Sin Chan. Baik!

Pengajaran : Kesihatan itu milik Allah. Jika diuji dengan penyakit, maka bersabarlah. Banyakkan diam daripada mengeluh kerana keluhan itu hanya sia-sia dan membuat diri lupa Pemilik kesihatan kita.

<><><><><><><>

Hari ini ada BST (Bed-Side Teaching) bersama Dr. Ameen :) Banyak belajar, dalam banyak-banyak perkara tu, aku ingat satu perkara daripada dia.

About social history, it is important to know and you must ask detail about the parents. Occupation and monthly income are important thing to know. Why?

Dia mula tanya patient soalan-soalan berkaitan. Kali ini kes Neonatal Jaundice (Penyakit kuning istilah kebanyakan orang) dalam kalangan bayi-bayi yang baru lahir. Dia tanya,

"Berapa kali menyusukan anak?"

"4-5 kali" Jawab pesakit itu. Sepatutnya setiap 2 jam sekali bagi bayi yang baru lahir.

"Ada berapa orang anak? Mereka menyusukan sampai umur berapa?" Dr. Ameen teruskan kaji selidik.

"7 orang. Susu badan sampai umur 3 tahun." Jawab pesakit itu lagi.

"Kerja apa? Gaji berapa sebulan?" Tanya Dr. lagi.

"Suami kerja penoreh getah. Pendapatan tak tetap, kalau cuaca baik dapat lebih kurang RM70 sehari. Kalau cuaca tidak baik, tidak kerjalah dia."

Dapat kesan sesuatu daripada dialog ni? Untuk tahu, kena cuba untuk faham. Lalu Dr. Ameen berkata.

"Thank God, bayi-bayi anak orang susah tidak akan kebuluran jika hanya dengan susu ibu. Betapa hebat kuasa Allah, orang yang tidak berkemampuan untuk beli susu untuk anak, Allah beri kelebihan untuk menyusukan anak sehingga satu jangka masa yang panjang. Dalam kes ni 3 tahun. Tidak perlu risau tentang wang untuk beli susu formula/ susu tepung."

SubhanAllah.
Alhamdullillah.

Pengajaran: Setiap ciptaanNya punya hikmah. Cuma yang perlu kita lakukan adalah bersyukur dengan segala nikmat dengan taat dengan segala perintahNya dan jauhi laranganNya. Boleh?

InsyaAllah sama-sama kita usaha kearah kebaikan. Andai rebah, usah gelisah dan jangan mudah mengalah kerana itu semua aturan Allah supaya kita, hambaNya faham erti bahawa hidup berTuhan itu indah.

:)

Waallahua'lam.

15/12/2010 Bakal melangkah ke tahun baru. Peperiksaan seminggu lagi, usaha!

Macam-macam berlaku tahun ini, InsyaAllah semakin matang walaupun kebudak-budakkan itu belum lagi hilang :) Akan hilangkah?

Sunday, December 12, 2010

Y 362 : Tunang & Tua



Alhamdulillah, selesai juga majlis pertunangan semalam. Nampak berjalan lancar :) Semoga segala urusan selepas ini dipermudahkanNya.

Alhamdulillah..
Alhamdulillah..
Alhamdulillah..

Selepas ini, mesti sibuk dengan persiapan nikah dan walimahnya. Hati mesti berdebar-debar menanti hari itu. Moga hati tenang sentiasa dengan zikir padaNya. InsyaAllah, jodoh kita dalam pengetahuanNya.



Atiqah, kamu jangan nakal-nakal ya. Pasti banyak persiapan bagi bergelar isteri kelak. Ini sahabat, teman sekolah rendahku dahulu, lama kami tidak bersua. Allah temukan kami dalam facebook. Kecilnya dunia, banyak kenangan kami bersama.

"Bukan Amal yang bertunang ya, sahabat Amal yang bertunang."

SELAMAT BERTUNANG, mabruk'alaik.
Moga-moga semua urusan dalam redha dan rahmatNya.
InsyaAllah.

Persiapan untuk bergelar isteri. Aku sendiri tidak tahu dari mana hendak mula buat persiapan, al-maklumlah belum bertunang lagi. Oleh yang demikian, tidak fikir sangat tentang itu. Adakah patut? Seperti tidak patut :)

Sekarang tengah buat persiapan untuk kembali kepadaNya, yang kita sendiri tidak tahu akan waktunya. Yang penting, perlu bersedia setiap masa. InsyaAllah, jika kita membuat persiapan untuk itu, persiapan yang lain akan turut serta.

Umur semakin meningkat, tahun hadapan, sudah ada 2 no sama duduk dekat-dekat -- 22 tahun. Sikap, perangai tidak ubah seperti kanak-kanak pun ada. Berubah jadi dewasa!

:)
Tersenyum sendiri.
Ya, Allah permudahkan urusan kami.

Dan satu lagi, hari ini 12/12/2010 seorang sahabatku sudah jejak umur sebaya denganku -- 21 tahun. Sama-sama tua :) Semoga Allah berkati setiap langkah kita dalam perjuangan ini.

[Walaupun dia tak baca blog ni, nak lekat juga gambar dia]



Hari tu ada tanya dia, "Apa azam, matlamat tahun baru ni?"

Tahu apa dia jawab? :) Rahsia, cukuplah kawan-kawan sudah buli dia hari ini. Cari jangan tak cari ya paien. Cari sampai dapat, didoakan selalu.

Dalam perjuangan, pasti ada dugaan,
Walau lelah dalam langkahan,
Teruskan perjuangan!

InsyaAllah, sama-sama kita jadi doktor muslimah yang berguna untuk agama ya.

Semarakkan semangat BADAR dalam perjuangan :)
Al-maklumlah sekarang tengah semangat baca buku perang. Nak kumpul strategi.

Waallahua'lam.

12/12/2010 Sin Chan, kakak rindu kamu :) Jangan nakal-nakal, jangan sakit lagi.

Jika di jemput, perlukah dipenuhi :) Sekurang-kurangnya singgah pun jadi. Macam-macam terjadi, seperti segalanya dipermudahkan. Tetapi masih ada satu perkara yang perlukan kepastian. Jangan ada yang bersedih lagi.

Yakin akan janjiNya :)

Siapakah aku? Insan yang suka menyakat orang :)

Monday, December 6, 2010

Y 361 : Orang Baru



Salam dalam penghijrahan yang bakal dilalui. Moga terus melangkah walaupun payah, moga terus mencari walaupun kadangkala terasa letih dan ingin berhenti.

Tahun baru. Adakah akan menjadikan kita 'orang baru'?
Tidak, kita tetap orang lama.

Namun demikian, haruslah kita berusaha untuk menbaiki kelemahan yang ada. Untuk menjadikan kita 'orang baru'.

'Orang baru' yang ringan badan melaksanakan amanah Tuhan.
'Orang baru' yang tahu hidup di dunia tiada yang berkekalan.
'Orang baru' yang paham erti hidup berTuhan.
'Orang baru' yang reti bersyukur dengan segala nikmat pemberian.

Adakah apabila menjelang tahun baru sahaja perlu berusaha jadi 'orang baru'?
Adakah apabila tahun baru tiba, baru hendak check list apa yang telah dilakukan?

Kena betulkan.

Tetapi tidak salah bila menjelang tahun baru itu, azam, semangatnya tinggi sikit daripada biasa. Semangat menggunung tinggi mahu jadi 'orang baru'. Azam mula dipasakkan kuat-kuat dalam diri. Moga kali ini usahanya berhasil dan tidak sia-sia lagi. InsyaAllah.

Istiqamahlah dalam beramal, bersabarlah hadapi segala ujian di hadapan. Ya, kadangkala kita terjatuh, tetapi Allah jua yang memberikan kita kudrat untuk bangun semula. Maka, jangan khuatir wahai diri, Allah sentiasa membantu hamba-hambaNya tidak kira masa, tidak kira tempat.

Cuma..Adakah kita ingat dia setiap masa?
Kalau tidak ingat, macam mana Dia hendak bantu?

Jauhi daripada menjadi hamba yang sombong.
Berusaha menjadi hamba yang ingat diri.

Jangan jadi 'orang baru' yang lebih lupa, bertambah lupa.
Nau'zubillah min zalik.

Baiki dan baiki.
Jangan berhenti ya :)

Text Color

Jangan lupa baca, maka hayatilah..

"SALAM MA'AL HIJRAH 1432H!"
Kegemilangan Islam terletak pada diri kita-kita semua.

Jangan sekali-sekali kita musnahkan kegemilangan sedia ada yang diusahakan oleh Junjungan Mulia, Nabi Muhammad S.A.W :) Penghulu ummah akhir zaman. Kekasih Allah, ikutan sepanjang zaman.

Waallahua'alam.

6/12/2010 bersamaan 29 Zulhijjah 1431H

:) pada diri.
Mampukah menjadi 'orang baru' yang lebih berdisiplin?
Tegas mempertahankan haknya, agamanya.

Check list..tambah-tambah mana patut :)

Thursday, December 2, 2010

Y 360 : D



D -- Deteriorated!

Ini sudah kes serius. Apa yang sedang diperkatakan? Segalanya seperti mengalami penurunan. Bagus kerana sedar, tetapi sejauh mana kita mengubah penurunan itu kepada peningkatan. Ya, bukan suatu perkara yang mudah, ia mudah diperkatakan melalui pertuturan tetapi hakikat pelaksanaannya agak sukar.

Baru sebentar tadi di hospital melihat seorang adik yang keadaannya semakin teruk. Semalam nampak seperti tiada apa-apa, tetapi hari ini her condition was deteriorated, so rapidly. She need blood transfusion. Pucat lesi mukanya, sebelum ini mampu berjalan. Hari ini cuma terlantar. Moga-moga keadaannya bertambah bagi dengan izinNya.

Ya Allah, Engkau yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap hambaMu.
Engkau juga yang milik kuasa bagi menyembuhkan.
Moga kesihatan dia bertambah baik.


Itu masalah kesihatan. Bagaimana keadaan kita yang sihat-sihat ini? Sekarang musim cuti, mungkin boleh fikir-fikirkan, juga muhasabah diri lalu membaiki segala kelemahan yang ada. Tutup, tampal segala lubang-lubang yang ada. Jangan dibiarkan lubang itu manjadi lebih besar.

Kerana apa?
Kerana Allah berikan kita pilihan.
Sama ada untuk menjadi baik atau sebaliknya.

Jangan biarkan yang acute jadi chronic, hakikatnya dua-dua bahaya. Diri kita sendiri tahu sejauh mana pengabdian diri kita kepadaNya, sedalam mana iman itu menetap dalam diri kita. Kita dan Dia yang tahu. Cuma kadangkala kita tidak sedar, ataupun sememangnya tidak mahu sedar. Bila keadaan iman menjadi chronic, seolah-olah mengalami prolonged shortness of breath lalu berlarutan sehingga menyebabkan cyanosis (bluish discolouration of skin or mucous membranes due to lack of oxygen in blood) menyebabkan kita tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengubahnya.


Sehingga menyangka apa yang kita lakukan itu adalah betul.
Sedangkan hakikatnya ia salah!

Keadaan menjadi bertambah chronic apabila yang tahu, buat-buat tidak tahu. As you eat, you vomit it out. Tetapi pastinya tidak sama dengan orang yang muntah-muntah kerana keracunan atau disebabkan pregnancy syndrome :) Bila sudah tahu, maka perbuatlah.

Ya benar, iman manusia itu turun naik. Jangan biarkan ia terus menurun tanpa naik-naik. Takut-takut parah jadinya. Apabila sudah parah, pastinya rawatannya juga memakan masa yang lama, juga membuatkan pesakitnya berasa bosan dengan rawatan itu. Ada juga yang berhenti daripada rawatan setengah jalan. Maka tidak sembuh sepenuhnya, sebaliknya menjadi deteriorated! Semakin parah.

Bukan seperti orang yang demam-demam biasa, telan panadol, dengan izin Allah kembali sihat seperti sediakala. Ya, penyakit itu salah satunya adalah kifarah dosa, juga peningkatan darjat iman. Tetapi penurunan iman itu bukan menunjukkan selepas ini akan berlaku peningkatan yang drastik. Sudah tentu tidak, maka perlu segera sedar, segera berubah.

Macam mana?
Dengan sentiasa menjaga kesihatan iman kita.
Makanan asasi seperti solat jangan diabaikan.
Vitamin seperti sedekah, doa dan sebagainya jangan dilupa.

:)

Don't let it be rapidly deteriorated. Selagi ada masa, itulah ketika kita untuk memperbaiki segalanya. Nampak keadaan diri seperti deteriorated juga. Kena baiki cepat, hope this condition will improve as soon as possible.

Wahai diri, perlu sedar bahawa hidup ini tidak lama. Masanya akan tiba untuk dirimu berjumpa dengan Pencipta. Adakah engkau mahu bertemu denganNya dalam keadaan yang menyedihkan lagi mengaibkan? Sudah tentu tidak kerana engkau pastinya ingin menjadi hambaNya yang terbaik.

Maka wahai diri, jangan pernah mengalah dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan yang menyebabkan kesihatan imanmu terganggu.



Jom jaga kesihatan iman!
InsyaAllah.

Waallahua'lam.

2/12/2010 Sudah masuk penghujung bulan, kita bakal melangkah ke tahun baru!

Kesihatan diri deteriorated, semoga cepat sihat wahai diri, banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Ubat? :) Biar kepala berat, tidak mahu makan ubat. Bertahan!

Ada cerita baru! :)

Saturday, November 27, 2010

Y 359 : Cuti


Selamat bercuti pertengahan semester buat rakan-rakan yang sudah dengan jayanya menamatkan peperiksaan yang kini sedang bercuti ataupun yang bakal bercuti. Selamat bercuti, moga cuti-cuti kalian dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Cuti?
Penulis blog ni tiada cuti.
Kami-kami di sini semua sudah rindukan keluarga.
Lebih-lebih lagi pada mereka yang sudah lama tidak pulang ke tanah air.

Bersabar ya.
InsyaAllah makin jauh makin dekat di hati.

:) Senyumlah wahai hati.
Walaupun ku tahu hati tidak mampu tersenyum.
Kerana kerjanya berat, melawan hawa nafsu, juga membezakan baik dan buruk dengan taakulan akal kurniaan Allah. Moga-moga lepas ini mampu tersenyum juga.

Cuti. Sebagai hamba Allah kita tidak pernah punya cuti. Surat cuti pun tidak ada. Setiap hari bertugas untuk duniawi dan ukhrawi. Buat terbaik untuk dunia dan akhirat. Mampukah kita bertugas tanpa cuti?

Ya, sesungguhnya mampu itu milik Allah. Allah tidak membebani hambaNya, semuanya bersesuaian dengan kemampuan kita. Jangan risau ya :) Jikalau diri terasa lelah, bersyukurlah kerana dengan penat lelah itu dapat menghalang kita daripada melakukan perkara-perkara yang Allah tidak suka. Bersabarlah wahai diri, berharaplah, bergantunglah hanya padaNya.

Selepas kesulitan itu ada kemudahan.

Mari bersungguh-sungguh dalam semua perkara. Bersungguhlah kerana Allah.
Bersungguh-sungguh membuat persiapan bertemu Tuhan.

Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap. [94:7-8]
Berharap pada Allah, kita tidak akan tertipu, malah jaminannya PASTI.
PASTI terjadi dengan segala ketetapanNya.

Mari jadi hamba yang bersungguh!

Waallahua'lam.

27/11/2010 Mak Cik, semoga Mak Cik kuat ya :) Seronok berkawan dengan Mak Cik.

Berkawan dengan semua orang, walaupun orang tu pernah buat kita :( Kerana sedarkah kita, mereka juga banyak mengajar kita. Senyumlah, berkawan-kawan antara nikmat yang perlu di syukuri. Berkawan kerana Allah.

:)

Thursday, November 25, 2010

Y 358 : JL



JL --- Jangan Lupa

Janji dia, selalu kita lupakan.

Itu yang membuat kita terus leka.
Malah tertipu dan terus tertipu.

..Engkau menghukumku kerana kesesatanku. Oleh itu, aku pasti menghalang mereka daripada jalanMu yang lurus. Aku mendekati mereka dari hadapan, belakang, kiri dan kanan. Engkau pasti mendapati kebanyakan daripada mereka tidak bersyukur padaMu. [Surah al-'Araf:16-17]
Itulah kata-kata musuh engkau.
Musuh aku.
Musuh kita.

Wahai diri, sedarkah dosa-dosamu sudah ibarat buih di lautan.

Wahai diri, sedarkah dosa-dosamu itu tanda tidak syukurmu padaNya.
Wahai diri, sedarkah dosa-dosamu bukan sebagai pemerintah.

Engkau cuma hamba.
Yang punya amanah dan tanggungjawab.

Ingat janji dia. InsyaAllah membuat kita lebih berhati-hati. Walaupun fitrahnya kita akan lupa atas asbab kelalaian diri, namun ingatlah padaNya, InsyaAllah kita akan ingat selalu.

Syaitan adalah seburuk-buruk teman. [Surah an-Nisaa:38]
Jangan lupa lagi. Berusaha membaiki diri, wahai diri.
Jangan lupa lagi, wahai diri.
Kerana sesaat terlupa, maka binasalah diri ini.

[Sibu] Mentari ini muncul lagi :)
Biar kecewa kerana lupa.
Biar menangis kerana leka.
Kerana itu petanda engkau ingat.

Waallahua'lam.

25/11/2010 Berfikir dengan setiap apa yang berlaku. Kenapa dia buat begitu padaku? Kenapa dia tidak yakin pada Allah sehingga mencari jalan lain? Mencari yang dapat membalas segala baginya. [metafora]

Maaf, aku tidak mampu memberi lebih daripada itu kerana selebihnya adalah milik Tuhanku. Diharap moga-moga dia tidak lupa sepertiku.

Tuesday, November 23, 2010

Y 357 : Alam Paed 1



Jalan-jalan dalam wad. Jalan-jalan? Jalan-jalan sambil melihat dan mentafsir. Ibu ayah menjaga anak-anak yang terlantar sakit. Chief complaint selalunya fever, cough, breathlessness and diarrhoea. Ibu ayah setia menanti disebelah anak mereka, ada yang tidur di lantai, ada juga yang siap bawa kerusi untuk tidur. Mereka hebat!

Hari pertama kemasukan ke dalam wad selalunya, adik-adik tu memang lemah. Cuba tengok pada hari kedua, ketiga, ligat bermain dalam wad. Nangis? Itu symptom bila lihat kami-kami yang memakai white coat ni. Apa orang putih kata, white-coat fobia :)

Hidup alam paediatrics, kena pandai 'masuk' dengan kanak-kanak ni. Jika tidak dapat masuk, masuk-masukkan juga. Tidak dapat juga, cari adik-adik lain yang sedia untuk diperiksa. Sekarang, mainan dalam beg semakin berkurang, tidak mengapa, itu boleh dibeli. Indahnya dapat gembirakan hati mereka yang sakit. Kegembiraan mereka tidak dapat dijual beli. Duit tidak pernah menjadi keutamaan bagiku, memadai cukup untuk hidup.

Pengajarannya, cukuplah dengan apa yang ada kerana semua ini bukan milik kita. Semuanya milik yang Maha Kekal, Maharaja segala raja-raja.

Lagi, hargailah ibu dan ayah selagi mereka masih ada di sisi kita. Pergi mereka tiada berganti. Jika mereka mampu memelihara, mendidik anak-anak yang pelbagai kerenah ini. Adakah kelak kita mampu menjaga mereka sebaik mana mereka menjaga kita?

Lagi, hargailah nikmat kesihatan yang baik kerana nikmat ini bukan selamanya berkekalan hingga akhir hayat kita. Sihatnya kita bukan untuk perbuatan, amalan yang sia-sia.

Lagi, kegembiraan itu bukan hanya milik kita seorang. Semua berhak untuk merasai rasa gembira kerana itu juga anugerah berharga daripada Allah :) Sharing is caring.

Waallahua'lam.

23/11/2010 Moga-moga tulisanku di sini selalu mengingatkan diri untuk terus bersyukur, untuk terus jalani hidup walaupun kekadang terasa lelah.

Kerana yakinlah, kerehatan itu hanya ada di SANA kelak. InsyaAllah.

Mama said, "Amal kena balik terus dari Sibu ke KL, jangan nak singgah mana-mana lagi." :D Seronok 'gaduh-gaduh' dengan mama perihal pulang ketika raya cina. No singgah Kuching. [Lakar kata-kata di sini]

Yes madam! [Tunduk akur] :)

Saturday, November 20, 2010

Y 356 : Hak Milik



Cuba nyanyi..

Bangun pagi,
Gosok gigi,
Cuci muka,
Ambil wudhuk,
Bentang sejadah,
Berdiri betul,
Niat solat Subuh.

Dapat nyanyi?
:)

Sejak masuk posting paediatrics (masalah kesihatan perihal kanak-kanak), perangai jadi macam budak-budak pula. Suka beli mainan, pergi shopping complex, beli mainan :) Beli coklat, gula-gula untuk bagi pada mereka. Mereka sakit, tidak sihat, suka tengok mereka gembira.

"Nak gula-gula tak. Kakak ada gula-gula." :)

Ada mereka yang malu-malu. Senyum-senyum :)

Bukan itu yang mahu diperkatakan tetapi hakikatnya ada kaitan. Segala apa yang berlaku pastinya suka tercatat di luh mahfuz untuk ia berlaku dengan izin Allah. Segalanya termaktub dalam perancangan Ilahi buat hamba-hambaNya.

Bangun pagi,
Semua dengan kasih sayangNya,
Ada kita ucapkan kata syukur kita?
Jika tidak ucapkan, ada kita buktikan dengan tingkah laku?

Gosok gigi,
Cuci muka,
Kudrat anugerah Ilahi,
Juga dengan rahmat kasih sayangNya,
Yang tidak ada belah bahagi,
Dia Maha Adil, Pengasih lagi Penyayang.

SubhanAllah.
Alhamdulillah.
Allahuakbar.

Untuk pergi ke hospital tiap-tiap hari juga dengan izin Allah. Tidak perlu pergi terlalu jauh. Hendak bernafas juga dengan izin Allah. Oksigen, karbon dioksida dan segala mcam jenis gas juga milik Allah.

Dalam solat kita, seringkali kita bacakan, moga-moga kita tahu maksudnya. Itu ikrar kita dan jangan kita lupa. Ingat Allah bukan hanya di dalam solat tetapi dalam setiap helaan nafas kita.

Ingat tak?

Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, semuanya bagi Allah,Tuhan semesta alam. [ Surah al-An'aam:162]
Allah sediakan segala kemudahan. Untuk kita beribahdah kepadaNya, taat dan patuh pada segala perintahNya. Malam dihiasi bulan dan bintang, pagi dihiasi awan putih, langit membiru. Kadangkala selepas hujan, Allah hadiahkan kita pelangi.

Dalam mengekspresikan rasa syukur itu perlu disertai sabar. Bukan untuk berasa riak mahupun takabbur. AKULAH HAMBA YANG BERSYUKUR! Bukan begitu, kerendahan hati yang dipraktikkan dalam Islam sungguh indah. Maka, pratikkan ia dengan cara yang betul.

"Perfect practice makes perfect"

Apa yang di sisimu akan habis dan apa yang di sisi Allah akan kekal. Demi, nanti Kami akan balasi orang-orang yang bersabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka amalkan. [Surah an-Nahl:96]
Sebelum ingatkan diri orang lain,
Diri sendiri kena ingat dahulu,
Bersyukur bukan hanya pada lisan,
Ia termasuk pada hati dan perbuatan.

Hak cipta Allah terpelihara. Allah jua yang memeliharanya.
Hak milik Allah kekal. Berfikirlah wahai manusia yang berakal.
Tiada penciptaanNya yang sia-sia.

Waallahua'lam.

Pelangi di Sibu :)
Di awal pagi semasa hendak ke hospital.
Bersyukurlah wahai diri,
Jangan jadi manusia yang kufur nikmat.
Na'uzubillah min zalik.

Y 355 : Aidiladha Sibu




Hari ini genap 3 tahun ayahanda tersayang kembali kepada Penciptanya. Pelbagai kisah ditempuhi demi melengkapkan kisah hidup ini. Moga niat-niat ini sentiasa diperbaharui, keranaNya hidup ini dijalani, keranaNya kelak kembalinya kita semua.

Al-Fatihah buat dia..

Dia banyak mengajarku. Ketika talkin dibacakan dahulu, aku teringat pertama kali dia mengajarku membaca Al-Quran. Tiga Qul..Seringkali dimarahi sebab bacaannya tidak betul :) Menangis kena marah.

"Babah garang, nak mengaji dengan mama."

Dahulu aku tidak memahami apa itu kasih sayang. Marah juga kasih sayang wahai anakku, kasih sayang ayah kepada anaknya. Kena marah juga mendidik diri jadi kuat :) Sekarang baru benar-benar faham kenapa dahulu kena marah. Dahulu tidak pernah kena rotan sebab dahulu budak baik, abang kena rotan, kena kejar pusing-pusing meja makan :) Bukan sebab dia tidak baik tetapi sebab dia nakal :D

Dia pendiam. Aku juga pendiam. Betulkah?
Dia hebat. Aku nak jadi macam dia :)

Itu kisah dahulu. Dia tiada lagi, tetapi sentiasa dekat di hati. Ya, yang pergi tidak akan pernah kembali. Kerana destinasi yang dituju itu lebih baik daripada dunia ini, InsyaAllah. Rindu dia, siapa tidak rindu bila berjauhan.

InsyaAllah akan disusuli dengan penulisan hal lain. Suka tulis-tulis tetapi bukan untuk sia-sia. Maka, hargai setiap masa kerana masa yang pergi tidak akan muncul lagi.

Waallahua'lam.

Ini kenangan beraya di Sibu tiga hari lepas. Inilah KAMI.



Terima kasih kepada sahabat kepada sahabat kami yang menjemput kami makan-makan di rumah. Suka pemandangan dari rumah sabahat kepada sahabat kami tu.

Makanan? Alhamdulillah, sedap. Lebih-lebih lagi pulut kuning tu.

Tuesday, November 16, 2010

Y 354 : Semakin



Hari-hari dilalui, penuh dengan onak dan liku. Pandang kiri, pandang kanan, semua milik Tuhan, hakikatnya tidak kekal. Pandang atas, pandang bawah, keduanya akan kelak bersatu (langit dan bumi) dengan perintah Tuhan. Tiada siapa yang dapat lari, yang dijanjikan pasti akan tiba jua.

Mata melihat langit, terpukau, terpesona dengan rahmat Yang Maha Kuasa.

Limpah kurniaanNya penuh kasih dan sayang.
Juga adil dan saksama.
Adakah tempat yang tiada langitNya di atas?

Apabila malam, tanpa segan silu bulan muncul indah di hadapan mata.
Tetapi semua ini tidak lama.
Hari-hari ini, malam-malam ini akan berakhir.
Berlalu pergi, sama ada memberi peringatan atau dilihat dengan mata yang buta.

Untuk mengisi masa yang ada, nafas pinjaman Tuhan. Semua antara kita mahu menjadi manusia yang baik, manusia yang berfungsi untuk agama terutamanya. Manusia yang hebat dengan sifat kemanusiaan, manusia yang tidak kufur nikmat malah bermujahadah untuk memenuhi kriteria hamba yang beriman, bertaqwa serta bersyukur kepada Pencipta.

Berjuang untuk menjadi hamba yang terbaik!

Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang berbuat baik. [Surah al-Ankabut:69]
Sejujurnya untuk berjuang, pastinya banyak halangan yang perlu ditempuhi. Hipotesis semakin dan semakin boleh diaplikasikan. Semakin bertekad kita untuk berubah ke arah kebaikan, berjuang menjadi hamba yang baik. Pasti halangan, ujian yang harus ditempuhi juga berganda dan ini bergantung pada sejauh mana tahap iman kita, juga setinggi mana pergantungan kita kepadaNya.

Hidup dan matiku, hanya untukMu.

Rasulullah pernah bersabda, "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah orang yang melawan hawa nafsunya kerana Allah. [Riwayat al-Tirmizi]
Bersungguh dijalanNya.
Andai letih, pasti akan ada kekuatan dariNya.
Segala sudah tercatat dalam firmanNya, kekuatan itu hanya milikNya.

Dalam kitab Minhaj al-Abidin, Imam al-Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas dalam melawan hawa nafsu. Jika rasa tidak mampu, kita manusia harus terus mencuba dan mencuba walaupun suatu ketika dahulu pernah menempuh jalan buntu ataupun tersalah jalan.

Pertama, menahan atau menyekat sumber kekuatan hawa nafsu kita. Bagaimana caranya? Iaitu dengan berpuasa, kerana disitu letaknya sumber kekuatannya. Selain itu, peliharalah mata, telinga juga hati daripada perkara-perkara yang lagha (sia-sia) serta daripada perkara yang melalaikan. Melalaikan, membuatkan kita lupa Allah, Pemilik hati. Maka hati ini hanya tenang dengan mengingati Pemiliknya.

Hawa nafsu itu diibaratkan seperti kuda liar, boleh dijinakkan jika betul caranya.

Kedua, bebanilah hawa nafsu kita dengan urusan ibadah. Ini termasuklah solat lima waktu, qiamullail, juga dengan mengingati Allah. Nafsu itu tidak pernah puas dan kehendaknya tidak pula pernah terbatas. Maka, berwaspadalah sentiasa.

Ketiga, sebagai hamba, pastinya pergantungan pada Allah tidak dilupa. Maka berdoalah kepada yang meniupkan hawa nafsu dalam diri kita. Bantuan Allah dalam usaha menewaskan nafsu amat, tersangat penting. Jangan lupa untuk berdoa, jangan kita sombong yang kononnya merasakan diri ini kuat dalam segala hal. Sedangkan kitalah insan yang lemah.



Ya Allah, bantulah aku mengingatiMu, bantulah aku mensyukuri nikmatMu, dan bantulah aku untuk memperbaiki ibadah kepadaMu.
Wahai insan lemah,
Langkahanmu longlai tanpa kudrat daripadaNya,
Gerakanmu sumbang tanpa pimpinanNya,
Maka, letaklah pergantungan padaNya,
Juga harapan menduduki syurgaNya.

Waallahua'lam.

16/11/2010 Aku melihat seorang ayah menjaga anaknya yang sakit. Sayu. Anaknya yang kurang sihat itu punya Down Syndrome. Ayahnya setia menunggu disamping anaknya yang berumur 9 tahun itu.

Wahai anak, itulah pengorbanan seorang ayah. Ayah yang menghargai kurniaanNya.
Wahai anak, maka ingatlah untuk menghargai mereka.

Allah...Allah...Allah.

SALAM EIDUL ADHA BUAT SEMUA :)
Walaupun Eidul Adha ini punya kenangannya yang tersendiri buatku.
Babah, tiga hari lagi genap tiga tahun kita tidak bersama.
Moga berbahagia disana.

Saturday, November 13, 2010

Y 353 : Maaf



Jom belajar sesuatu :)

Bagaimana hendak menjadi seorang yang pemaaf?

  1. Tidak perlu menang setiap masa.
  2. Memikirkan bahawa orang lain juga mempunyai masalah.
  3. Ingat bahawa Allah mengangkat darjat orang yang suka meminta maaf dan juga memaafkan orang lain.
  4. Berdoa semoga kesabaran itu milik kita :)
  5. Bersangka baik.
  6. Memikirkan kebaikan yang pernah kebaikan orang itu.

Kenapa perlu memaafkan?

Kita bukan manusia yang serba serbi sempurna. Bukan malaikat, apatah lagi Pemerintah Dunia. Tetapi ketidaksemprnaan itu bukanlah syarat untuk kita melakukan kemungkaran.

Kita hamba berstatuskan hamba, bukan siapa-siapa.
Rasa diri lebih baik?
Pada pandangan Allah, taqwa jadi tarikan.

Saidina Umar pernah berkata, "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab."
Moga-moga muhasabah itu menjadi salah satu rutin harian kita.
Moga-moga dengan memaafkan dapat menjadikan kita manusia yang hebat.

Manusia yang punya sifat kemanusiaan.
Yang mengerti hukuman bukan hak diri.


Apa ada pada kemaafan?

Pada kemaafan,
Ada sifat manusia,
Ada rasa sebagai hamba,

Pada kemaafan,
Ada limpahan rahmah,
Ada kasih bersaudara.

Maka, maafkanlah..

Waallahua'lam.

13/11/2010 Nota kaki, lama tidak tulis.

Prof pernah kata, "To be a better person, you have to start from somewhere."
Kata tajam, tetapi sangat-sangat suka.
Itu rahsia menjadi orang hebat :)

Dr. pernah kata, "Pelajar yang hebat akan duduk dihadapan. Seperti solat jemaah, penuhkan saf-saf hadapan." Ya, ISLAM is the way of life :)

Saturday, November 6, 2010

Y 352 : Lekat-Lekat 3 (BT)



Alhamdulillah selamat jalan-jalan :)
Naik bukit, udaranya subhanAllah segar.
Naik bukit, kepala pun segar, cuma pening-pening.
Apa tidaknya, pusing-pusing alam.



Awan,
Suka tengok kepul-kepul putih,
Latarnya langit nan biru.

Jumaat lalu sewaktu berada di dalam kapal terbang, di atas awan, dasarnya hijau. Pokok-pokok yang besar kini menadi kecil kerana jaraknya yang sangat jauh. Bila mendarat, mendongak ke atas, biru putih menyapa pandangan. Ya, Biru dan hijau tidak dapat dipisahkan. Walaupun gabungannya agak kelihatan janggal Tetapi itulah antara adunan serasi dunia :)

Di Bukit Tinggi,
Ada arnab,
Ada bunga-bunga,
Semua makhluk ciptaan Tuhan.






Apakah lagi alasan untuk tidak menghargai?
Apakah lagi alasan untuk tidak mahu bersyukur?

Kenapa masih mahu menutup mata yang terbuka?
Kenapa masih membutakan mata yang ada?

Suka tadabbur alam :) Tenang-tenang hati yang pernah gundah, tenang-tenang hati yang gersang. Kembali tenang, kuatkan tekad untuk berjuang habis-habisan. Lupakan kisah-kisah dusta dunia yang buat manusia lupa dan alpa. Jadi batu!

Paling suka gambar ini :)



Jom jadi rajin macam semut, kerjanya beramai-ramai.
Tidak pernah berhenti berjalan.
Jalan-jalan, bersuka ria di atas bumi Tuhan.

Apa yang penting?
Semua penting!

Waallahua'lam.
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates