Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Wednesday, November 25, 2009

Four Wheel Drive??



Kereta?

Setiap bulan, kena servis..tidak kira kereta besar atau kecil
Kalau tidak, meragam pastinya kereta yang dipandu

Kereta?

Perlu dicuci, jika tidak ke kedai cuci kereta, tangan sendiri kan ada..
Kena selalu bersih, lebih-lebih lagi pabila hendak balik beraya

Kereta?

Kalau boleh nak yang besar
Kecualilah jikalau orang itu tidak mahir memandu (macam penulis..)
Kereta kecil memadai, asalkan boleh dipandu
Selamat ke destinasi yang dituju

Itulah perihal kereta, belum lagi perihal manusia. Lebih-lebih lagi manusia akhir zaman seperti kita. Kereta itu boleh diibaratkan sebagai agama. Kitalah pemandunya yang bakal menggerakkan kereta itu, sama ada ke tempat yang dituju atau sebaliknya.

Jika begitu, apa yang diservis? Sudah pasti iman kita, iman manusia yang turun naiknya tidak dapat dijangka. Oleh yang demikian, perlulah dipertingkatkan dengan amal ibadah yang ikhlas dan menjauhi segala larangan-Nya. Larangan-Nya penuh hikmah, sesungguhnya dijadikan sesuatu itu tanpa sia-sia.

Kenapa perlu dicuci? Kenapa tidak dibiarkan kotor? Sendiri boleh jawab, siapa suka bawa kereta kotor. Kita mencerminkan agama kita. ISLAM itu bukan hanya ada pada ustaz-ustaz, ustazah-ustazah, pelajar-pelajar sekolah agama, bukan juga hanya milik mereka yang menetap di negara Timur Tengah seperti Mesir, Iraq, Iran, Palestin. ISLAM itu bersifat universal, ia milik mereka yang mengucap dua kalimah syahadah, tidak kira secara lisannya atau warisan. Selain itu, ISLAM menitikberatkan penjagaan kebersihan bukan? Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman. Fikir-fikirkan.

Kenapa mahukan kereta besar? Itulah impian manusia. Fitrah manusia, inginkan sesuatu yang gah. Diharapkan begitu jugalah, kita yang beragama ISLAM, berasa gah, AKU BERAGAMA ISLAM! Jangan kita malu mempamerkan cara hidup ISLAM kerana kita ISLAM yang bukan pada nama.

Tetapi kereta besar mesti berat kan? Susah nak bawa juga, perlukan kemahiran. Itulah amanah yang dipikul setiap hamba-Nya. Walaupun berat, perlu dipikul dan dilaksanakan hingga ke arah matlamat hidup yang sebenar. Begitu jugalah kereta, apa guna kereta besar yang disimpan tanpa digerakkan ke mana-mana. Lama-kelamaan rosak juga enjinnya, karat juga kereta itu kelak tanpa menuju ke mana-mana destinasi. Kan merugikan. Untuk mendapatkan kemahiran, kita perlulah menuntut ilmu. Itulah yang ditekankan dalam ISLAM itu sendiri.

Tetapi apa beza kereta dan manusia??

Sudah pastinya manusia itu bernyawa, mempunyai ruh yang dikandung jasad. Tidak seperti kereta yang hidupnya apabila enjin dihidupkan, geraknya apabila dipandu sahaja.

Oleh itu, bergeraklah demi ISLAM selagi jasad dan ruh itu bersatu. Bergerak bukan bersendirian tetapi dengan kesatuan.

Demi Yang SATU! [51:56]


30/11/2009 Harapan dan cita-cita yang mulia itu bergerak seiring. Usah dipisahkan. Semoga diakhirnya syurga tertinggi itu menanti. Insya-Allah. [metafora] :) 2009++++

Tuesday, November 24, 2009

Gua Vs Dunia

Align Center

Adakah dunia itu seluas tapak tangan?

Sedangkan itu yang sering dibangga-banggakan kita dewasa ini. Hal dunia semata-mata sehingga terlupa akan alam yang kekal selamanya. ALLAH tidak pernah zalim terhadap hamba-hamba-Nya tetapi manusia itu sendiri yang seringkali menzalimi diri mereka sendiri.

Kenapa dunia itu sempit?


Kerana debu-debu dosa kian bertebaran di sana-sini. Mana arah tujuan? Apakah matlamat? [51:56]


Biarlah dunia itu hanya digenggaman, bila sampai masanya, genggaman itu pasti akan terlepas. Letakkan ISLAM itu di dalam hati. Kerana kesejahteraan beragama itu yang dicari, hiduplah berTuhan, bukan diperhambakan dunia sehingga melupakan pengakhiran.

Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah permainan dan hiburan. Sedangkan kampung akhirat itulah hidup yang sebenar andai mereka mengetahui [al-Ankabut:64]



Gua mampu menjadi seluas dunia?

Sudah semestinya boleh, asalkan diterangi dengan pelita keimanan, bertikarkan amal soleh sebagai hamparan. Mengapa tidak? Sempit kepada mereka yang hanya memandang kepada dunia fana ini. Bukalah jendela hati ke akhirat untuk kita lebih tekun memperhambakan diri kepada Pencipta tanpa meninggalkan dunia. Insya-Allah.

Nabi Yunus. Tempat yang sempit memberi seribu maghfirah. Apabila Nabi Yunus dimakan oleh ikan Nun, maka bergelaplah, hiduplah Nabi Yunus dalam kegelapan dalam beberapa ketika. Tiga kegelapan: kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan di dasar lautan dan kegelapan malam. Tetapi di tempat yang sempat inilah, sinar cahaya keimanan mampu melonjak ke tahap maksima. Sepertimana yang kita ketahui, iman para rasul itu semakin meningkat dan tidak menurun, berbeza dengan manusia biasa. Imannya turun naik, tetapi itu bukan asbab untuk kita menyerahkan keimanan itu hidup berdikari. Kita yang menentukan naik atau turunnya.

"Tiada Tuhan selain Engkau ya ALLAH Yang Maha Suci. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menganiaya diri sendiri."

Nabi Muhammad. Penghijrahan baginda mendapat banyak halangan. Tetapi ALLAH sentiasa menjaga, memelihara kekasih-Nya. Gua Thur menjadi tempat persinggahan. Sempit bukan? Tetapi di sanalah tempat yang ALLAH jadikan untuk menyelamatkan keimanan hamba-Nya, insan yang terpilih.

Waallahu'alam.

24/11/2009 Hidup bagai pentas luahan rasa. Tetapi matlamat akhirnya tetap sama..cuma kadangkala kita lupa dengan mengatakan matlamat kita berbeza. SELAMAT MELAKSANAKAN TUGAS HAMBA!!

Monday, November 23, 2009

FIKRAA [Episode 3]

[Salam yati, awk d mn skrg?]

Jari-jemari Ainul giat menaip kerana sejak daripada tadi, orang atau datin yang dinanti-nanti tidak muncul lagi. Hampir sejam Ainul menunggu. Memang menguji kesabaran, jam di tangannya menunjukkan jam 9 malam. Ikut perancangannya, Hayati akan menjemput Ainul di kolej kediaman pada jam 8.15 malam.

[Yati, jdi ke x keluar mlm ni? Awk kt nak sy belanja..xnk ke..sy tgu awk ni]

Risau Ainul dibuatnya. Kemana sahajalah kawannya ini pergi. Hayati jarang berada di kolej kediaman. Dia selalu pulang ke rumah dengan alasan rumahnya dekat, rugi katanya jika tidak balik. Lihat muka ibu bapa itu kan lebih afdhal, ambil berkat katakan..inilah yang selalu Hayati katakan sebelum hendak pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat pengajiannya, kira-kira 15 minit perjalanan.

Ainul yang menunggu dengan kesabaran daripada tadi mula mendail nombor telefon bimbit datin tersebut. 019-636.....Tut..Tut..Tut..Tut..Talian mati dihujungnya.

"Bismillahirrahmanirrahim...Ya ALLAH, permudahkanlah."

Ainul terus mendail sekali lagi. Pada kali ketiga ini, panggilannya dijawab.

"Assalamu'alaikum, Yati. Awak di mana? Jadi jemput saya untuk di belanja makan?" Ainul tersenyum di akhir kata.

"Wa'alaikumussalam wa rahmatullah. Maaf ya Ainul, saya ada hal sikit. Mungkin lain kali kita keluar. Maaf ya."

"Kenapa ni Yati? Awak baik-baik sahaja kan?" Terdetik persoalan dalam hatinya.

"Maaf Ainul. Saya kena pergi sekarang. Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumussalam." Belum sempat Ainul menamatkan salam balasnya, talian telah pun diputuskan.

Perancangan tidak menjadi. Betullah, sesungguhnya, kita hanya merancang tetapi ALLAH sahaja yang layak menentukan. Persoalan masih bermain-main dalam fikirannya. Panggilannya yang dijawab oleh Hayati meninggalkan seribu tanda tanya.

Kenapa suaranya agak berbeza daripada biasa? Kenapa soalannya tidak dijawab? Apa telah terjadi pada Hayati?

Bersambung..

Saturday, November 21, 2009

Haji dan Korban

Assalamualaikum,

Setelah 24 jam berhempas pulas membaiki blog ini yang telah rosak akibat buatan tangan sendiri. Akhirnya berjaya dibaiki. Alhamdulillah, dapat berkongsi kisah dan cerita, disamping peringatan buat diriku yang mudah alpa. InsyaALLAH.

Apakah itu Raya Aidiladha atau turut dikenali dengan Hari Raya Korban? Hari ini dirai pada tanggal 10 Zulhijjah. Sempena memperingati peristiwa Nabi Ibrahim, anaknya, Nabi Ismail dan isterinya Siti Hajar.Di sinilah bermulanya tamadun besar di Mekah.Pada hari-hari tasyrik kita diharamkan berpuasa, iaitu pada 11, 12, 13 Zulhijjah.

13 Zulhijjah sering mendatangkan rasa sedih dalam diri. Pada tanggal itu ayahandaku kembali ke sana. Babah..teringat kembali kisah dahulu kala. Di kala talkin dibacakan, teringat sewaktu babah mengajar Amal surah an-nas, surah terakhir dalam al-Quran. Babah tegas sampai menangis Amal mengaji dengan babah :) Semoga babah ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Babah always be the best for me! Semoga ruhnya dicucuri rahmat-Nya. Al-Fatihah..

Sekarang, ayuh kita hayati sejenak kisah Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail. Saya tertarik dengan kisah ini. Terbaca menerusi pencarian dalam internet, kisahnya agak panjang. Oleh yang demikian, wujudlah ruangan shared @ FIKRAA untuk berkongsi file-file yang boleh dimanfaatkan bersama. Download untuk baca ya :) Turut di upload manifestasi ibadah haji dan korban mengikut perspektif umat masa kita. Insya-ALLAH akan dicari juga kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, pengorbanan mereka menjadi tauladan ummah.

Pengorbanan itu tidak mengenal siapakah kita pada pandangan-Nya. Pengorbanan bukan sahaja dituntut ketika kita susah tetapi dikala senang juga, pengorbanan itu diperlukan seperti menginfakkan harta kepada yang berhak. Kerana itu juga kita dituntut mengeluarkan zakat sebagai toharoh atau penyucian diri. Definisi pengorbanan itu luas, bersama kita muhasabah diri dan fikir-fikirkan.



** Isnin ni ada kuiz, banyak lagi tak baca. Sibuk mengadap blog yang ni, apa nak jadi? Nak sambung study. Hehe..Kepada kawan-kawan yang sedang bercuti. SELAMAT BERCUTI! Rindu kalian. FIKRAA telah 2 episode dikeluarkan, tiba-tiba terpanggil ingin menulis sebuah kisah hidup insan dengan peringatan-peringatan yang khususnya ditujukan pada diri sendiri. Ada dalam bentuk PDF untuk di download bagi sesiapa yang tidak berkelapangan membaca secara online. Siapa nak baca? Hehe, diri sendiri kot. Aku insan biasa :)

21/11/2009 Maaf sebab membuat ada pembaca tertanya-tanya, mana pergi blog amal? Masih ada di sini selagi diizinkan-Nya untukku terus menulis dan mencoretkan kisah ini :) Semoga maju jaya dalam setiap lapangan kerjamu, kerja agamamu.

FIKRAA [Episode 2]

Perjuangan itu tidak pernah berakhir,
Semangat dari-Mu ibarat padang pasir,
Menjadikan ku kental hadapi segala anasir,
Kerana ku yakin, janji-Mu tidak sekali mungkir..

Perjuangan itu tidak akan berakhir selagi makhluk Tuhan ini bernyawa selagi ruh menakluki seluruh jasad. Selagi itu kita akan berperang dengan hawa nafsu yang tidak pernah puas malah dikuatkan lagi dengan perisai hasutan syaitan yang terus menewaskan hamba-Nya.

Semangat itu hanya datang daripada-Nya yang sangat bernilai, tidak mampu diperoleh daripada orang lain. Ibarat butir-butir pasir yang tidak terbilang nilai butiran yang ada, yang pasti butiran itu banyak walaupun selepas ditiup angin yang kuat. Masih ada di situ dan terus berada di situ, tidak pernah hilang.

Semangat itu menjadikan aku kental kerana semangat itu dari-Nya, bukan dari makhluk Tuhan. Jika ada sekalipun, sesungguhnya semangat itu hakikatnya datang daripada-Nya dengan sandaran buat hamba-Nya yang terpilih. Aku kental berhadapan anasir propaganda dunia. Aku kental hadapi semua itu dengan semangat daripada-Nya, dengan izin-Nya. Tetapi aku sedar iman manusia itu ada turun naiknya bukan?

Aku yakin janji ALLAH itu pasti berlaku dan tidak pernah dimugkiri-Nya, dan benar sebenar-benarnya, tiada yang benar selain itu. Itu menjadikan aku terus kuat dan bersemangat sehingga saat engkau membaca tulisanku. Cuma manusia itu seringkali berjanji dan seringkali menungkiri-Nya.

Surat yang diterima Ainul buat pertama kalinya ini amat membuatkannya tertanya-tanya. Mengapa selepas hampir 5 tahun dia tidak mendengar sebarang khabar berita daripada sahabat baiknnya ini, tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan sepucuk surat yang dikirimkannya dari Aberdeen, Scotland. Lebih membuatkan dia tertanya-tanya, puisi di dalam surat itu pernah dicoretkan pada muka hadapan buku kesayangannya, Himpunan Hadith Muslim. Ainul masih ingat.

******************************

"Sumayyah, awak buat apa dengan buku saya tu?" Ainul faham sangat dengan perangai Fikraa yang suka menulis, mencoret kata-kata dimana sahaja yang dia suka.

Sumayyah, nama gelaran Fikraa kerana dahulunya dia pernah melakonkan watak Sumayyah dalam drama pentas sempena Minggu Penghayatan Islam di Kolejnya. Fikraa, dia memang layak melakokan watak itu kerana dia ibarat Sumayyah dengan kecekalannya mempertahankan agama yang sentiasa mekar dalam dirinya.

"Oh lupa, maaf Ainul. Boleh saya pinjam buku awak sekejap. Sekejap sahaja. Boleh lah ya." Deretan gigi putih Fikraa kelihatan. Ainul pula tersenyum.

"Pinjamlah. Beberapa hari pun tidak mengapa." Fikraa tersenyum malu, dia tidak akan ambil barang kepunyaan orang lain tanpa kebenaran tetapi cuma di kala itu dia terlupa kerana pantang nampak buku, dia akan capai dan tulisannya bermula. Bermula dimana sahaja yang dia suka. Sumayyah..Sumayyah, dia memang begitu.

******************************
Tanam pesanan Saidina Ali ini dalam benakmu sahabat.

"Sesungguhnya ALLAH mempunyai bejana di atas bumi-Nya iaitu hati-hati...maka hati yang paling disukai oleh-Nya ialah hati yang lembut, bersih dan cekal. Cekal ini ditafsirkan sebagai kecekalan dalam pegangan agama, bersih di dalam keyakinan dan lembut terhadap saudara-saudara mu'min."

Kata sahabat Rasulullah ini lagi,

"Hati seorang mu'min itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam serta berpenyakit."

Semoga kesejahteraan senantiasa bersamamu, Ainul Mardhiah Ahmad. Padamkan segala persoalan yang bermain di dalam fikiranmu disebabkan kejutan suratku yang telah sekian lama tidak engkau terima.

Ayat puitis pula saya guna. Harap awak akan selalu ingat pada-Nya. Tidak mengapa jika tidak ingat pada saya. Hehe..Siapalah saya, hanya manusia biasa, hamba ciptaan-Nya. Awak sihat? Saya tahu awak sihat. Hehe..Dah makan? Saya tahu awak kena belanja Hayati si kuat merajuk tu makan, nanti masa makan tu, jangan lupa ALLAH. Biarkan iblis laknatullah tu kurus meleding, kempunan melihat makanan kita.
Sumayyah ini pelik, selalu pelik, fikir Ainul sendirian semasa membaca surat sahabatnya itu. Bagaimana dia tahu semua ini, mengenai kesihatanku. Itu mungkin andaiannya sahaja.

Tetapi bagaimana dia tahu aku kena belanja datin tu? Ainul berfikir sendirian. 6th sense? Mungkin juga, kuasa milik-Nya itu merangkumi segala yang ada di langit dan bumi. Tetapi, kenapa aku tidak tahu perkara ini? Fikiran Ainul jauh merantau, melayang jauh, yang pasti tidak sampai lagi ke Aberdeen.

"Ainul, jadi tak belanja saya makan hujung minggu ni?" Tersengih-sengih Hayati menegur temannya, Ainul yang masih dengan surat itu ditangannya.

"Insya-ALLAH. Boleh sahaja. Saya belanja awak makan tapi saya bayar guna duit awak ya. Ok set! Awak drive, I'm sit by your site, datin. Hehe.." Sukar melihat kegembiraan diwajah Ainul selepas hilang sayap kirinya. Fikraa ibarat sayap kirinya selepas dia pernah jatuh kecundang dahulu.

"Ok tapi awak ambil duit saya yang saya keluarkan daripada your purse ok! Saya drive, awak tu dah dua tahun lebih ada lesen tapi saya juga yang kena drive" Hayati memuncung kemudian tersenyum. Dia tidak pernah mengalah begitu sahaja.
Ainul, tuntutlah ilmu sehingga ke akhir hembusan nafasmu kerana itu tidak akan manjadi sia-sia. Malah itulah bekalanmu ke sana kelak. Sekian sahaja daripada sahabatmu ini. Usahlah awak merindui saya kerana tiada satu faedah pun daripada itu. Tetapi ingatilah saya dalam doa awak. Semoga doa-doa itu mengekalkan jalinan kasih sayang antara kita. Insya-ALLAH. Sampaikan salam saya pada sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.

Hidup ke arah mardhotillah,
Fikraa Muhammad
Itulah Fikraa, kata-kata lebih kepada nasihat buat sahabatnya yang sering alpa, lupa ini. Apa khabarnya di sana. Tidak sedikitpun diceritakan mengenai dirinya, keadaannya disana. Aku merinduinya, Ainul kembali muram setelah gembira menerima surat daripada orang yang ditunggu-tunggunya selama ini. Sumyyah..Fikraa, bila akan kita ketemu.

Lusa, Ainul akan menghadapi peperiksaan. Buku-buku di atas mejanya masih menanti giliran untuk ditelaah, inilah tahun ketiga Ainul dalam perjuangannya sebelum bergelar tabib muslimah. Begitu jugalah perjuangan Fikraa di sana tetapi dia dalam tahun keempat disana. Aku kena mula sekarang! Study..Study! Sebuah buku Clinical Examination diambil, Chapter 4 : Examination for Chest Pain.

Sambil melipat semula helaian surat itu, Ainul terbaca kata-kata dibelakang helaian surat itu. Mengapa barisan ayat ini dibelakang, kenapa terasing. Persoalan bermain difikirannya.
Doakan saya wahai sahabat. Kelak bacakan al-Fatihah dan Yaasin untukku. Sesungguhnya hidup ini memenatkan dan kerana itu ia diciptakan.
Bersambung..


Friday, November 20, 2009

FIKRAA [Episode 1]

Perjuangan itu tidak pernah berakhir,
Semangat dari-Mu ibarat padang pasir,
Menjadikan ku kental hadapi segala anasir,
Kerana ku yakin, janji-Mu tidak sekali mungkir..

Ainul termenung sejenak menatap tulisan seorang sahabat baiknya. Sungguh mendalam maksudnya yang kadangkala tidak tercapai akal untuk mentafsir setiap bait-bait madah yang dipenuhi dengan coretan bahasa metaforanya, tidak ketinggalan hiperbola dan personafikasinya. Dia sahabat yang satu-satunya bergelar teman dalam dirinya.

Coretan kisah indah kita bersama tidak pernah pudar dek hujan panas yang silih berganti...

Bilakah hujan dan panas ini akan berakhir? Ainul bermonolog keseorangan. Tulisan sahabat baiknya itu terus ditatap dan dibaca berulang kali. Kerinduan mula menerpa dalam diri terhadap seorang teman yang kini jauh di perantauan meneruskan agendanya memperjuangkan matlamat yang satu kerana baginya tujuan hidup itu hanya satu.

"Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia itu, melainkan supaya mereka menyembah-Ku" [51:56]

Matlamat hidup sahabatnya yang utuh menjadikan Ainul kental dalam perjuangannya sehingga hari ini. Walaupun dahulunya Ainul pernah patah semangat, hilang arah tuju tetapi nasib yang baik masih berpihak padanya. Datanglah seorang sahabat menghulurkan tangan, memimpin dirinya, dan menyuntik bara semangat perjuangan dalam mengejar redha-Nya dengan sisa hidup yang ada. Kata-katanya seringkali terngiang-ngiang di ingatan walaupun sudah hampir 5 tahun tidak berjumpa. Aduhai sahabat, aku merindui kamu..Ainul masih bersendiri di dalam biliknya termenung, mengimbas kembali kenangan bersama. Ainul masih teringat, teman baiknya itu selalu mencoret kata-kata dalam buku-buku yang dipinjamkan. Ada sahaja madah-madah yang ingin diungkapkan dalam diam, dalam tulisannya.

Hidup kita fitrahnya berTuhan tetapi kenapa kita kini menafikannya? Indahnya hidup berTuhan, tiada lagi makna sepi dan sunyi. Sepi itu akan datang apabila kita meninggalkan Dia. Sunyi itu akan menyelubungi kita jika lupanya kita pada Pencipta.

"Assalamualaikum, Ainul" Tersentak Ainul dari lamunan apabila ditegur dari belakang oleh seorang teman sebiliknya.

"Waalaikumussalam. Oh, Hayati. Kamu rupanya. Kamu dari mana? Sejak pagi tadi tidak nampak batang hidung." Batang hidung, memang sengaja Ainul menggunakan perkataan itu. Sahaja ingin melihat telatah Hayati yang suka merajuk.

"Saya tahulah, hidung saya tidak mancung, batang hidung pun tiada. Saya dari Pejabat Hal-Ehwal Pelajar. Ini ada surat untuk kamu. Oleh kerana kata-kata kamu tadi dan kebaikan saya mengambil surat ini untuk kamu, dipersilakan saudari Ainul Mardhiah Ahmad membelanja Datin Wan Noor Hayati Wan Kamaruddin makan malam hujung munggu ini." Terkena sudah pada batang hidung sendiri. Diharapkan supaya Hayati merajuk tetapi lain pula jadinya.

"Surat daripada siapa?" Ainul tertanya-tanya. Mahluk Tuhan manakah yang sudi mengirim surat kepadanya.

"Dari Fikraa Muhammad..." Surat dari dialah yang ku tunggu-tunggu, hati Ainul melonjak gembira. Dia sahabat, teman baikku.

Bersambung..

Sunday, November 15, 2009

Cardiac MODE + Memorable KMPk

Assalamualaikum

Review Anatomy of Heart


Heart, jantung (bahasa melayu sarawak), atau dalam bahasa iban, tungkul ati. Ini adalah sebagai bahan ulangkajiku. Bilakah keseriusan dalam
study akan datang? Bilakah? [Sedang study, blog ini seakan-akan memanggilku untuk menaip di sini. Hehe..]

Ada matlamat yang perlu dilaksanakan sebelum tamat riwayat hidupku. Mencapai matlamat atau syahid di perjalanan menuju matlamat [Hassan al-Banna], aturanNya itu yang terbaik. Semoga keindahan tawakal kepadaMu pengubat hati yang gundah gulana. [Gundah gulanakah hatiku di kala ini? Tidak, alhamdulillah] Sesungguhnya hati mu'min itu damai, tiada apa yang dapat menjadikannya berkeluh kesah kerana pegangan teguhnya pada janji ALLAH, tidak pernah diragui.



Kepada sahabat-sahabat yang sedang cuti semester sekarang, SELAMAT BERCUTI! Semoga masa yang terluang diisi dengan kegiatan dan aktiviti yang berfaedah untuk diri dan orang lain, InsyaALLAH.




Kepada adik-adik di SMK Wangsa Maju 2 dan SMK Sungai Pusu, Adik Hidayati, Adik Najwa, SELAMAT BERJUANG! Kelak kejayaan menunggu adik-adik semua dihujung pengembaraan menimba ilmu, InsyaALLAH. Melangkah tanpa henti, kelak ditemui permata yang dicari :)


Ada sebuah hadith yang dikira molek dikongsikan bersama. Renung-renungkan dan selamat bermujahadah :) sokmo [senyuman bukan sekadar sedekah tetapi juga sebagai refleksi ketenangan jiwa]
"Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan"

Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah buah kepada keimanan.

Rasulullah pernah ditanya tentang apa itu agama. Baginda menjawab: Kemuliaan akhlak (Husnul khalq). Apabila ditanya apa itu kejahatan, baginda menjawab: Akhlak yang jelik (Su'ul khalq)

Sumber: Apa Ertinya Saya Menganut Islam - Fathi Yakan
Waallahu'alam.

Tiba-tiba terkenangkan kenangan terindah di Kolej Matrikulasi Perak (2007/2008). Indah, tersangat indah. Kini, ku hilang jejak segelintir sahabatku. Di mana kalian? Walaupun di mana kalian berada, semoga berjaya dunia akhirat. Ukhwah fillah abadan abadaa..









18/11/2009 Semai dunia, tuai akhirat. Selamat beramal! Menghitung hari..moga tercapai impian, matlamat terlaksana, InsyaALLAH :)

Thursday, November 12, 2009

Manusia dan Kita

Assalamualaikum awalul kalam,
Di pagi hari yang penuh berkat,
Diiringi penulisan dengan selawat dan salam,
Semoga bermanfaat buat bekalan dunia akhirat,

InsyaALLAH..

Kasih mula beralih arah. Ke mana arahnya? Tidak pasti akan tujuannya, sedangkan sisa hembusan nafas tinggal beberapa hela lagi sebelum menghadap Yang Maha Pengasih. Kami mengharapkan kasihMu Ya ALLAH sebelum Engkau menjemput kami ke duniaMu yang kekal, bukannya fana.

Kini..

Kasih manusia kepada hidup,
Lupa kita kepada mati,

Kasih manusia kepada harta,
Lupa kita kepada hisab,

Kasih manusia kepada mahligai,
Lupa kita kepada kubur,

Kasih manusia kepada dunia,
Lupa kita kepada akhirat,

Kasih manusia kepada makhluk,
Sedangkan kita lupa,
Lupa kita kepada ALLAH,
Seungguhnya kasihNya itu kasih sejati..

Renung-renungkanlah wahai makhluk ciptaan. Kita bukan hak mutlak kita. Segalanya milik ALLAH, Tuhan semesta alam yang menjadikan apa yang ada di antara langit dan bumi. Syukuri nikmat, kejar akhirat.

RahmatNya tiada bertepi, Dialah cinta sejati yang kekal selamanya. Walaupun pahit perjalanan meraihnya, demi redhaMu, akan ku redahi jua.



Waallahu'alam.

Sumber : Kitab Alam Barzakh

**Penulisan di pagi hari sebelum ke kuliah. Semoga bermanfaat walaupun isi yang terkandung sedikit tetapi jika direnungkan, insyaALLAH boleh membawa kepada anjakan paradigma kepada hidup yang lebih berkualiti. Today, clinical session and video show. Brighten your day! (6.50AM)

12/11/2009 Ingat kita pada mati, mentaqarrubkan diri kita kepada Pencipta.

Tuesday, November 10, 2009

Suatu Ketika Dahulu

Gambar daripada Muzium Sarawak..Cantik kan?

Assalamualaikum,

Hari ini teringat blog lama yang sudah lama tidak dibuka kerana ada masalah dengan HTMLnya yang sehingga kini tiada jalan penyelesaiannya. Dengan itu, terciptalah FIKRAA ini yang lebih bersifat sederhana dengan pengisian berkonsepkan pemikiran yang insyaALLAH bermatlamatkan Islam dalam mencari redha Ilahi.

www.makrifatulme.blogdrive.com
link blog pertama. Maka dengan itu, langkahku tercipta ke alam cyber ini. Mula aktif sejak tahun 2006, insyaALLAH.

Bila baca kembali entry di sana. Ku terfikir, "Adakah benar aku sedang menulis? Adakah ini yang ku fikir dulu?" Seperti membaca hasil tulisan dan pemikiran orang lain. "Adakah aku kini orang yang berbeza?" "Atau adakah darah yang kini mengalir dalam badanku (pada hujung tahun 2006, menjalani pembedahan yang melibatkan pemindahan darah) menyebabkan diriku berubah?" Ada kesankah? ALLAH Maha Mengetahui setiap sesuatu.

Sesungguhnya hidayah itu hanya milik ALLAH. Ini menarik minatku untuk membuat koleksi hasil penulisanku MAKRIFATULME dalam bentuk PDF file. InsyaALLAH, semoga dapat dimanfaatkan. Nantikan keluarannya dalam masa terdekat, jemput download ya :)

Ini antara kata-kataku di MAKRIFATULME -->
"Muhasabah diri kerana itu kunci peribadi. Suburi jiwa dengan semarak perjuangan yang tidak pernah padam. Semai pekerti mulia dikalangan manusia. Moga menjadi insan yang berpegang teguh dengan Islam, agama yang indah."(28 April 2007)

"Syukurilah akan segala nikmat kurniaanNya sebelum tidak sempat bagimu melihatnya buat selama-lamanya"(26 Januari 2007)

"Iman tanpa Amal adalah sia², Amal tanpa bakti bawa kerugian" (14 Januari 2007)
Sesungguhnya hari semalam itu tidak akan menjengah hari ini, mustahil bagi hari-hari berikutnya. Hargai masa yang ada kerana walaupun ia berputar pada paksi yang sama, waktu-waktu yang sama diulang-ulang tetapi hari ini tidak akan sama seperti hari semalam. Jangan biarkan masa itu berlalu pergi tanpa sebarang manfaat buat diri sendiri dan orang ramai.

Waallahu'alam.

9/11/2009 Manusia itu seringkali berubah sifatnya, begitu juga hatinya. Asalkan ia tidak berubah kepada kejahilan, itu baik baginya. Berubah kepada hidup berTuhan, itulah sebaiknya.

Saturday, November 7, 2009

Doa 7/11

Assalamualaikum,
Hari ini meningkat sudah usia sahabatku ini. Usia mematangkan diri, mudah-mudahan begitu.


Katanya, "Nak minta hadiah balasan boleh?"

"Hadiahnya, doakan..."

Semurah itu hadiahnya. Namun, itulah hadiah yang bermakna, mentaqarrub diri pada Pencipta. Nilainya tidaklah mahal tetapi intipatinya tepat sebagai seorang makhluk Tuhan yang hidup bertuhan. Hadiah daripada Pencipta andai dimakbulkan. InsyaALLAH, amin.

Bakal pensyarahkah?




Semoga dimakbulkan. Amin..


Waallahu'alam. Kepada Munirah, selamat menulis! :)

7/11/2009 Coretan kisah aturanNya..

Friday, November 6, 2009

Mahabbatullah

Assalamu'alaikum awalul kalam,
Dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah bersabda : "Allah 'Azza wa Jalla berfirman (kepada malaikatNya) : 'Apabila hambaKu berniat hendak melakukan kejahatan, janganlah kamu tuliskan. Apabila telah dilakukannya, tulislah baginya satu kesalahan. Apabila dia berniat hendak berbuat kebajikan, tetapi belum melakukannya, tulislah baginya satu kebajikan. Apabila dilakukannya, tulislah untuknya sepuluh kebajikan'. (Riwayat Muslim)

Tanda Mahabbatullah (Syeikh Amr Khalid)
  • Allah melambatkan pembalasan atau seksa kepada hambaNya.
Subhanallah, Maha Suci ALLAH. Begitu cintanya Allah pada hambaNya sehingga sanggup menunggu hambaNya menyesal dan kembali kepadaNya, memohon maghfirahNya. Wahai penghuni muka bumi, malulah kepada Penciptamu.
  • Asma ul-Husna (maksud nama-namaNya indah, penuh dengan kasih dan sayang Allah)
  • Dia memberi, menganugerahkan hambaNya agama.
  • Kasih sayangNya akan dirasai apabila hambaNya mendalami ilmu agama.
  • Dikurniakan olehNya sifat lemah lembut termasuklah dalam hidup berkeluarga.
  • Allah permudahkan kita melakukan ibadah kepadaNya dan memberi kesukaran untuk melakukan kemungkaran yang membawa kemurkaanNya.
  • Husnul Khatimah :)
Cinta Allah tiada tandingan. Siapa yang mampu berbuat demikian? usah kita membeza kerana yang pastinya tidak ada. Tetapi adakah kita menghargainya? Sesungguhnya diri ini perlu banyak bersyukur atas kurniaNya yang terlalu banyak sehingga tidak dapat dihitung lagi. Nak buat jahat? Ingat Allah, itulah sumber kasih sayang sejati.

Waallahu'alam. Sesungguhnya segala yang baik itu hanya dariNya.


Hari ini, keluar ziarah rumah Izzah, sempat makan tengahari. Alhamdulillah, sedap!! Belacan..hehe.


Sujud syukurku hanya padaMu..
Hidupku cukup denganMu..

6/11/2009 Talk in silence
. 30 minutes before be..

Thursday, November 5, 2009

There's Something Wrong

Letih nampak..jiwa meronta? Nak makan?

Terasa lelah menempuh onak dan duri,
Terkadang sesat tanpa haluan.


Apa akan kita lakukan jika kita sesat?
Apa yang akan kita buat jika tersalah jalan?


Terutama buat rakan seperjuangan (there's something wrong), juga buat pembaca umumnya. Harap bersama kita meneutralkan jiwa kita yang berasid atau beralkali itu. Kerana itu diciptakan manusia, saling lengkap-melengkapi.
Jiwa manusia itu hakikatnya lemah, mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu. Mudah terdorong beranggapan negatif. Itulah manusia, mudah lupa hakikat kejadian.

Lupakah kita akan janji-janji Allah?

Perjalanan masih jauh bahkan menjadi semakin jauh sekiranya segalanya diambil mudah. Maaf buat pembaca, penulisanku kadang-kala sukar difahami. Bertanyalah sekira ada sebarang kemusykilan di hati.


Antara permata dan kaca. Mana yang akan kita pilih? Tentunya permata. Ini kerana kita tahu apa itu permata dan kita ketahui harganya. Kenapa tidak kaca? Jika perbuatan baik kita ini ganjarannya permata, pasti semua berlumba-lumba kerana kita tahu, dan dapat dilihat. Jika ganjarannya kaca? "Kaca di tepi-tepi jalan pun boleh dapat, buat apa nak berebut-rebut".


Kembali pada kekacauan jiwa. Apa ada dengan kekacauan jiwa? Itu daripada dalam diri kamu dan hanya diri kamu sahaja yang boleh selesaikannya. Nak minta bantuan siapa? Dia sentiasa ada, Maha Mendengar..Rindu mendengar rintihan tanpa jemu. Belajar untuk mengungkapkan sesuatu yang baik itu daripada hati, agar kelak ia akan terus menetap di dalam hati kita. Jika ada pun manusia yang boleh membantu, dialah orang tengah perantara kamu dan Dia. Bersyukurlah kepada Dia jika kamu jumpa dia.
"Dan untuk setiap (umat) ada kiblat, dia mengadapnya, maka berlumba-lumbalah kamu mengejarkan kebaikan. Di mana sahaja kamu berada, Allah akan menghimpunkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya ALLAH Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu" (2:148)
Segala yang baik datang daripadaNya. Waallahu'alam.

5/11/2009
ALLAH Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, usah sembunyikan lagi.

Wednesday, November 4, 2009

Hari ini berlalu pergi..


Ustaz Saiful Azhar (Kursus Toharoh dan Penyucian)

Kursus Toharoh dan Penyucian oleh Ustaz Saiful Azhar. Info yang disampaikan amat berguna untuk dipraktikkan. ISLAM itu mudah dan tidak membebankan hambaNya kerana itu ISLAM itu indah dan selamanya akan begitu.

Hari itu telah berlalu pergi. InsyaALLAH ilmu yang diperolehi akan dipraktikkan, disampaikan kepada orang lain. Kursus ini berjalan selama sehari. Ilmu yang disampaikan amat banyak, jika hendak disampaikan disini secara keseluruhannya agak sukar. InsyaALLAH akan diusahakan.

Alangkah indahnya hidup ini dengan ilmu. Tingginya darjat mereka yang berilmu, tetapi ilmu tersebut perlulah disampaikan kepada teman-teman yang lain. Semoga memperoleh redhaNya walaupun tidak dilihatkan di dunia, biarlah disaksikan di akhirat kelak, insyaALLAH.

Hidup biar berilmu,
Isi hidup agar tidak jemu,
Bukanlah berhibur sahaja tidak kira waktu,
Sedarlah, masa akan berlalu,
Nasib kita di sana belum tentu,
Kelak di hadapanNya kita malu.

Waallahu'alam.

Hari ini meneruskan tugasan penyelidikan elektif. Daging..daging. Tajuk elective research kami : Histological Difference between Local Fresh Meat and Imported Frozen Meat :) Diharapkan penyelidikan ini dapat diselesaikan sebelum tahun baru untuk persediaan Profesional Exam tahun hadapan. Semoga dipermudahkan. Amin :)

Semoga hari ini lebih baik daripada semalam dan esok semestinya lebih baik daripada hari ini. InsyaALLAH. Andai esok tiada lagi, hari inilah masa untuk kita bekerja keras bagi kejayaan dunia dan akhirat. Andai hari ini berlalu pergi, semoga esok akan muncul lagi untuk langkah penuh azam memartabatkan Islam di atas muka bumi.

4/11/2009 Tidak kira apa, aku milikNya. Siapa yang mencintaiNya, juga seperti aku..semoga kita bersahabat baik! :) Usah risaukan apa yang bakal terjadi, tetapi bersedialah untuk menghadapi apa yang berada dihadapan kita. Kerana jika kita gagal berhadapan dengan cabaran dihadapan, sudah tentu cabaran seterusnya kita rebah, tidak berdaya lagi.

Monday, November 2, 2009

Andai Esok Tiada Lagi

Assalamualaikum,

Andai esok tiada lagi,

Maka dengan itu lenyaplah segala warna-warni dunia yang selama ini mempersonakan penghuninya. Bunyi kicauan burung di pagi hari tidak lagi kedengaran, pelangi yang indah selepas hujan tidak lagi kelihatan kerana esok tiada lagi.

Andai esok tiada lagi,

Maka terputus segala hubungan kecuali bekalan anak yang soleh serta doa orang beriman. Mulut yang selama ini banyak berbicara hal dunia kini bisu tidak terkata apa-apa kerana tugasmu sudah berakhir. Kaki dan tangan yang selama ini mampu melakukan tugas dan amanah kini kaku tiada kudrat lagi. Adakah terlaksana sudah amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasmu?

Andai esok tiada lagi,

Ibu ayah kehilangan anak. Guru-guru kehilangan anak didiknya. Sahabat-sahabat mula merindui sahabat yang tidak akan kembali lagi selamanya. Hilang permata harapan, yang selama ini penuh impian.

Andai esok tiada lagi,

Tangisilah hari ini muhasabah diri dengan apa yang telah dilakukan agar tidak menyesal di kemudian hari. Tangisilah hari ini akan debuan dosa yang selama ini menutup hati yang pada asalnya suci. Tangisilah di kala ini kerana belum pasti apa yang menanti di sana nanti.

Andai esok tiada lagi,

Maka istirehat selamanya berjaya dimiliki. Kelak mizan bersedia untuk menimbangi amalan. Maka hargai hari ini, syukur pada Ilahi kerana bisa alhamdulillah itu diungkapkan kerana esok tiada lagi. Hargailah hari ini, usah menanti sehingga esok.

Andai esok tiada lagi,

Dia telah mengotakan janji. Di mana ada pertemuan, perpisahan pada akhirnya tetap akan terjadi. Tetapi..Mahabbatullah belum dimiliki. Peluang berakhir sudah, tiba masa bertemu Pencipta yang juga merindui hambaNya..Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun.

Andai esok tiada lagi...
Masih belum terlambat kerana hari ini belum berakhir lagi...
Moga ISLAM pilihan dihati...
Moga syurga tertinggi menanti...

Waallhu'alam.



2/11/2009 Andai esok tiada lagi bagiku, teruskan hidup kerana perjalanan hidup ini masih jauh..Walaupun berliku, kau mampu merentasinya. Yakin dan pasti..tiada yang mustahil.

When I Feel..

When I feel happy,
Alhamdulillah, i'm very lucky,
Because not everyone can be..

When I feel free,
I turn to feel so sad,
When that time gone already..
Without anything had been done.

When I feel alone,
I know that i'm never be alone,
Because ALLAH always be with..
ISLAM loves unity..

When I feel angry,
Useless..
Nothing I can do with it,
Forget it,
Let it go, turn to calm then..
I'm just can't be mad, because they 'll laugh at me,
No reason, I'm just can't be mad,
Muslimah's heart forever in peace :)

When I feel sad,
Tears thrown out..
I know He always be here,
Love to see Him,
Meaningful time at the moment..
Because He knew everyhting 1st from me,
Love Him..

Besides, my lovely book let me think,
"Inna ALLAH ma'as shobirin"
InsyaALLAH..




Menuntut ilmu itu amanah. Walaupun ia perit, telan jua kerana itu pilihan kita suatu ketika dahulu, juga ketentuanNya agar kita berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Agama sentiasa menjadi keutamaan. Sudah alang-alang berlari, biarlah sampai ke garisan penamat. Sudah pastinya menuntut ilmu suatu yang memenatkan tetapi hasilnya membuatkan kita rasa bertenaga semula. Ilmu ALLAH itu Maha Luas, carilah selagi kaki mampu melangkah, bisa lagi bernafas, teruskan usaha kerana sesungguhnya ALLAH lebih melihat sejauh mana kita berusaha daripada hasilnya.

Aku mesti kuatkan semangat,
Tidak kan putus asa,
Arwah babah pernah msg semasa di matrik,
"TRY TILL SUCCEED"
Itulah kali pertama dan terkhir msg semangat daripada seorang ayah..
Mama tahu akan anaknya ini,
Tidak akan rebah dengan adanya Islam dalam diri,
InsyaALLAH..

2/11/2009 Kuat..kuat..kuat dan sabar hadapi semuanya. Hati-hati..jangan jatuh. Tuntutlah ilmu hingga akalmu tepu tidak mampu lagi memikirkan hal dunia yang melalaikan.
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates