Apa khabar sahabat-sahabatku di semenanjung? :)
Sedarkah kita, dalam kita sibuk menuntut ilmu, ada juga yang terabai. Kesihatan jarang-jarang terabai sebab rakan-rakan sering mengingatkan.
"Hah, dah makan ke belum? Muka nampak pucat je."
"Dok usah diet-diet ni, makan jangan tak makan. Sakit nanti kan susah."
Ingat, makan apabila lapar, berhentilah sebelum kenyang.
Jarang-jarang kesihatan terabai, apatah lagi masalah dalam pelajaran. Ada sahaja yang menghulurkan pertolongan di kala kesusahan, sesat semasa cari jalan pulang.
"Assalamualaikum, sihat? Macam mana study?"
"Jom buat study group malam ni..."
Badan dan pelajaran selalu terjaga. Namun ada sahaja yang terabai. Ada kita tanya hati-hati kita?
"Hati, 'sihat' ke hari ini?"
"Hati, dah 'makan' ke ni? Nampak lesu je ni.."
"Hati, faham ke apa yang engkau belajar hari ini?"
Kita lupa, kita abaikan dia. Kasihan, kadangkala bukan setakat layu, tetapi sudah hampir mati. Ya, kita semua akan menempuhi kematian tetapi jangan biarkan hati-hati kita mati sebelum masanya. Alangkah ruginya, anugerah Allah yang amat bernilai ini kita abaikan, sedarkah ini tanda-tanda hamba yang tidak bersyukur?
Imam al-Ghazali mengkategorikan hati ini kepada tiga golongan:
(1) Hati yang sihat sejahtera
(2) Hati yang sakit
(3) Hati yang mati
Maka beruntunglah hati-hati yang bersih. Sentiasa tenang dalam nikmat Allah, sentiasa bersyukur dengan jalan hidup anugerah Ilahi. Dengan hati dan tubuh yang sihat, maka badan kita dapat berfungsi secara optimal, dipandu iman yang utuh seterusnya dapat membentuk akhlak islami yang benar-benar mantap. InsyaAllah.
Orang yang paling beruntung memiliki hati yang sihat adalah orang yang dapat mengenal Allah Azza wa Jalla dengan baik. Semakin cemerlang hati maka akan semakin mengenal Dia.
Semakin bersih hati, dengan izin Allah maka hidup ini akan selalu diselimuti rasa syukur. Apa sahaja yang dikurniakan oleh Allah, tidak sedikit pun melalaikan hatinya bahkan sentiasa yakin bahawa semua ini adalah titipan Allah. Pinjaman, bukan hakiki milik kita. Maka jauhlah diri daripada sifat ujub dan takabur.
Persis seperti ucapan yang terlontar daripada lisan Nabi Sulaiman A.S tatkala diri dianugerahi Allah dengan perlbagai kelebihan “Haadzaa min fadhli Rabbii liyabluwani a-asykuru am afkuru.” Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku apakah aku mampu bersyukur atau malah kufur atas nikmatNya.
HEBAT!
Wahai diri,
Jika komputer cepat-cepat diformat apabila dijangkiti virus,
Kenapa tidak hati ini segera dirawat apabila sakit?
Komputer riba atau laptop, mesti siap dengan anti-virus. Bukan calang-calang anti-virus, mahu yang paling bagus, boleh bunuh semua virus-virus perosak. Ada kah virus yang baik? Sanggup beli mahal-mahal, paling tidak anti-virus AVG Free seperti yang penulis guna. Itu komputer, selalu diambil berat bukan? Bagaimana dengan hati ini?
Bukankah hati mempunyai prioriti yang lebih?
Manusia itu tidak adil kepada diri mereka sendiri. Jika begitu, bagaimana untuk adil kepada orang lain? Banyak persoalan perlu dijawab, tepuk dada tanyalah iman. Iman itu bukan bisu walaupun pada hakikatnya ia tidak berkata-kata. Tepuk dada, tanya jugalah pada hati, kerana hati itu bukanlah buta walaupun pada hakikatnya ia tidak bermata. Moga hati-hati ini celik dengan panduan iman dan hidayah daripadaNya.
Jangan sombong,
Tanyalah hati, moga ia tidak layu dan mati.
Muhasabah diri bersama.
Dengan kesibukan diri dengan dunia, bukalah mata untuk melihatnya dengan kaca mata akhirat.
Waallahua'lam.
24/3/2011 Diri ini bukanlah penulis yang hebat, cukup sekadar menulis sebagai wadah perkongsian untuk diri juga sahabat yang sudi baca-baca disini.
Tulis sikit-sikit, lama-lama terpanjang. Apa nak jadi??
:))
2 Buah fikiran:
salam..
anda manusia yg hebat!..
thanx..
very informative..
lagi panjang lagi bgus..hehe..
alia_yaya
wsalam kak yaya :))
InsyaAllah memberi selagi mampu, selagi masa itu masih ada untuk memberi :)
Kak yaya, bila blh jmpa ni..sempat jumpa kak syqin tadi :D
Post a Comment