Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Sunday, February 27, 2011

Y 391 : Sabar

Tiba-tiba teruskan mencari bahan untuk pembaikan diri, tidak boleh tangguh-tangguh. Semoga bermanfaat buat diri dan pengunjung yang sudi membaca blog yang cuma biasa-biasa ini.

Dan (bagi) orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri.

Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.

Dan sesungguhnya orang-orang yang membela diri sesudah teraniaya, tidak ada satu dosapun terhadap mereka.

Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih.

Tetapi orang yang bersabar dan mema'afkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.

[Surah asy-Syura : 39-43]

Ya, kita-kita hanya manusia yang punya kelemahan, bebas melakukan kesalahan. Kita bukan maksum seperti Rasulullah. Tetapi adakah itu menjadi sebab untuk kita mengabaikan peluang untuk melakukan kebaikan?


Dari Sarawak ke mana ya?? :)

Ya, sabar dan memaafkan itu senangnya hanya pada kata-kata tetapi nikmat disebaliknya lebih daripada apa yang kita jangka. Tidak tercapai akalmu. Sedangkan Rasulullah itu memaafkan ummatnya. ALLAH Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Kita?

Bila muhasabah kembali, jika ada manusia yang membuat kita marah atau sedih atau seangkatan dengannya, maka fikirlah bahawa ujian buat manusia itu bukan sekadar daripada musibah yang jelas kita nampak sahaja. Manusia juga adalah ujian buat manusia. Dengan itu, manusia itu diajar, ditarbiyyah melalui manusia yang hakiki daripada Allah.

Buka mata hati untuk melihat isi alam ini, InsyaAllah moga tenang hati-hati yang masih mencari-cari hikmah tersembunyi. Usah gundah gulana dalam mencari-cari, tenanglah hati dengan pergantungan dan pengharapan hanya padaNya. Kerana itu lebih baik, InsyaAllah.

Cukup sekadar satu nukilan seorang hamba.

Wallahua'lam.

Saturday, February 26, 2011

Y 390 : Disiplin dalam Bertunang

Soalan (daripada seorang hamba Allah, bukan saya)

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?

Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini

Jawapan

Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.

Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-

1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW.

Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk "Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah) ; , juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : "Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya" ; maka Anas menjawab : "Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ) Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW (Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput si pemuda ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di majlis itu, saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab : " Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim)

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : "Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ) Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)



3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan : "Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH" ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa) . Al-Allamah Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. (Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat), bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.

Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu (semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga.

* Sekadar perkongsian kerana kadangkala kita tahu tetapi kita lupa. Bacaan mereka yang sudah bertunang atau bakal menjadi tunangan orang. Yang suci itu jangan dicemari, moga redha Allah meniti pada setiap perjalanan hidup ini. InsyaAllah. Jadikanlah Al-Quran dan As-Sunnah itu sebagai panduan, juga ISLAM sebagai cara hidup yang pastinya membawa kepada ketenangan hati dan jiwa. InsyaAllah.

Ingat, cinta Allah tetap teratas, NO. 1 :)

Waallahua'lam.

Sumber : Asma Ismahani

27/2/2011

Sesungguhnya ajalmu sentiasa mengikuti jejak langkahmu. Jangan leka, jauhi alpa.
2013 :)

Friday, February 25, 2011

Y 389 : Dengar Cakap

Sejak akhir-akhir ini mula dengar cakap. Adakah sebelum ini tidak dengar cakap? Bukan, cuma mungkin kali ini dengar cakap walaupun tinggal berjauhan. Bukan dengan zauj pun, tetapi dengan mama sendiri.

Pagi-pagi hari telefon mama,

'Hah, dah basuh baju belum?' kena attack pagi-pagi.

'Belum lagi ma, kejap lagi amal basuh.' cari-cari alasan. Mama dah tahu semua jenis alasan.

'Basuh pagi-pagi, sambil tu boleh sarapan.' baik boss!

:)

Selepas letak telefon, cepat-cepat pergi basuh baju. Terus jadi rajin, sebelum ini tidak rajinkah?

****************

Malam-malam telefon mama lagi, saja mahu sembang-sembang. Gurau senda di malam hari boleh hilangkan mengantuk. Penyakit mengantuk ini tiada ubatnya barangkali.

'Amal dah makan belum ni?' mahu sedapkan hati mama ke tidak.

'Belum lagi ma, dah tempah kat kawan.' kebetulan memang betul-betul tempah pada kawan.
'Kejap lagi makan dulu, lepas tu baru sambung study.' baik boss!

:)

Lepas makanan sampai, terus makan tanpa jeling-jeling pada buku di sebelah. Maaf buku, mama pesan, kena makan dulu. Makan tidak sampai 10 minit, selepas itu, kembali pandang-pandang buku di sebelah. Mesti sedih ditinggalkan.

Ya, sekarang saya lebih dengar cakap.


Sedar atau tidak sedar, kita lebih senang dengar cakap manusia daripada perintah Raja segala manusia di bumi ini. Kenapa? Namun begitu, berpesan mengenai kebaikan daripada manusia itu juga adalah daripada Allah. Maka, tidak salah kita dengar dan ikut. Tetapi perintah direct daripada Allah itu kita anggap ringan? Seperti tiada effect pada kehidupan [amal, sila ketuk diri anda].

Manusia punya akal fikiran yang berfungsi, dapat membezakan dengan waras antara baik dan buruk. Maka, gunakanlah kelebihan kurniaan Allah ini dengan sebaiknya. Jadikan ISLAM itu sebagai cara hidup bukan alat untuk dipandang orang semata-mata. Ya, selalu diulang. Manusia itu punya pilihan, antara 2, untuk patuh atau ingkar.

Tepuk dada tanya iman.

Di sekolah, takut cikgu marah kalau tidak siap kerja sekolah, latih tubi yang cikgu bekalkan waktu cuti sekolah. Di universiti, assignment sangatlah banyak. Bertekad, bersungguh hati mahu siapkan, mahukan high score. Mahu score A. Di tempat kerja, kerja bersungguh-sungguh, mahu jadi pekerja terbaik tahun ini, untung-untung boleh naik gaji, dapat bonus. Tidak kisah kerja lebih masa pun, sanggup.

Tetapi, sayangnya..

Untuk ISLAM, untuk ALLAH, demi redhaNya, apa yang sanggup kita buat?
[amal, sila ketuk diri lagi]


Ada sahaja alasan untuk ingkar bukan?
Manusia punya bermacam alasan untuk itu.

Manusia perlu berusaha, walaupun hasilnya mengecewakan. Harus untuk terus berusaha. InsyaAllah hasil yang membahagiakan dan menenangkan itu akan datang, cuma tunggu tiba saatnya sahaja.

InsyaAllah.

Mahu jadi manusia yang dengar cakap, IKUT PERINTAH.
HambaNya yang terbaik.

Waallahua'lam.

27/2/2011 Lalui hari-hari dengan senyuman..

:) Selepas ditanyakan satu soalan pada mama hari tu, jawab mama, 'Carilah sendiri'.
Baik punya, direct..Baik!

Wednesday, February 23, 2011

Y 388 : Punya Fungsi

Fungsi. Semua yang ada di dunia ini punya fungsi tersendiri. Tidak kira bernyawa atau tidak bernyawa. Punya fungsi yang berfungsi, jika betul-betul berfungsi. Adakah manusia telah menjalankan fungsinya? Dengan kata lain, adakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita, adakah terlaksana amanah daripadaNya?

Moga sama-sama menjadi manusia yang berfungsi.

Fungsi itu tidak perlu dijunjung-junjung, tidak perlu dipuji-puji. Jika berfungsi dengan baik, maka hasilnya juga baik.

"Kau ni, tak guna betul la.."

Jawapan 1: 'Memang aku tak guna, apalah nak jadi dengan aku ni' monolog sendiri, tunduk dan sedih.

Jawapan 2: 'Kau peduli apa, cakap orang je lebih, kau lagi tak guna.' monolog sendiri, hati membara-bara dengan api kemarahan.
Eh..eh..eh..

Walaupun kedua-dua jawapan ini punya nada yang berbeza, tetapi tiada yang membantu dalam meningkat fungsi diri. Fungsi diri sebagai hamba Allah, masyarakat, anak, pelajar atau siapa sahaja.

Kita punya fungsi! Kita punya fungsi, berguna andai belajar untuk jadi berguna. Berfungsi jika sudah khatam manual cara untuk berfungsi. Kenapa memilih untuk menjadi yang tidak berfungsi, wujud tanpa manfaat? Ya, kita punya pilihan. Mulakan langkah untuk menjadi manusia yang berfungsi, manfaatkan peluang kehidupan yang sementara demi mencapai kemuncak redha Allah.

InsyaAllah.

Ulang suara.

Moga sama-sama kita menjadi hamba yang berfungsi untuk agama kita. Jika tidak mampu memaksimakan fungsi itu, sekurang-kurang kita masih berfungsi. 'Satu itu lebih baik daripada tiada langsung'. Walaupun siapa kita sekalipun diatas bumi ini, moga matlamat akhir kita sama. Berbangga dengan apa yang ada? Lupakan kerana semua itu adalah sementara.

Waallahua'lam.

23/2/2011 Alhamdulillah, stable enough. Kebal! Muslihat dikenalpasti, duduk diam-diam.

Practice usage of medical term dalam penulisan? :) Menulis sambil belajar, ulang-ulang yang sudah belajar. Ilmu yang sentiasa 'subur' dan disuburkan. InsyaAllah.

Surgery posting, bidang yang mencabar, terlalu banyak fungsi, juga punya risiko tersendiri. Hati-hati, knowledge, skill and attitude applied :)

Saturday, February 19, 2011

Y 387 : Buku

Alhamdulillah,

Jalan-jalan cuci mata di Popular Delta Mall, Sibu. Tertarik dengan sebuah buku karya Prof. Dato' Dr. Sidek Baba yang bertajuk FITRAHKAH KITA SEBAGAI HAMBA CIPTAAN ILAHI. Bukan mahu mempromosikan buku ini tetapi isi kandungan serta ilmu bermanfaat yang boleh diambil.

Ketahuilah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan} di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar. [surah Yunus : 62-64]

Bacalah,
Moga itu membuatkan kita lebih berfikir,
Juga lebih banyak berzikir,
Dengan ilmu, manusia itu tidak akan fakir.



Sejauh mana kita menapak,
Setinggi mana kita dijulang,
Usah dilupa fitrah asal sebagai khalifatul ardh,
Hamba kerdil yang sentiasa merisik redha-Nya!
-Prof. Dr. Sidek Baba-

Waallahua'lam.

19/2/2011 Buku sudah banyak, tinggal masa mahu bawa pulang ke rumah, isi ruangan rak-rak perpustakaan mini yang sedang dibina :)

Mama, jom sama-sama baca buku :))

Friday, February 18, 2011

Y 386 : Biasa Jadi Bisa

Tanpa ke sekolah, masih mampu belajar sesuatu. Kalau pergi sekolah, maka berlipat-gandalah ilmu yang kita peroleh. Tetapi adakah kita belajar daripada apa yang diajar? Adakah yang diajar itu kita ambil sebagai pengajaran?

Sudah lima tahun lebih menulis dalam alam maya ini. Sehingga kadangkala tangan kaku, risau-risau apa yang ingin disampaikan itu tidak sampai, malah disalah tafsir. Kaku kerana tidak mampu susun kata-kata dalam kotak pemikiran, terlalu banyak, serabut, sehingga tidak tertulis. Moga bermanfaat untuk pembaca yang sudi membaca, sedangkan umur ini makin singkat dan ajal itu pasti tiba.

Yang biasa itu kadangkala ada bisanya tanpa kita sedari. Yang bisa itu pasti membinasakan. Falsafah alam, perlu segera difahami :)


Lebah ini berbisa atau bermanfaat?
Mahu A di dunia perlu niatkan ALLAH dalam diri.

Banyak benda biasa, yang mana bila kita biasakan, boleh menjadi bisa yang akhirnya membunuh diri kita. Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Ibnu Rajab al-Hanbali dan Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab mereka Tazkiyatun Nufuz wa Tarbiyatuha kama yuqarrirruhu, Ulama As Salaf menuliskan terdapat empat racun hati yang paling biasa dilakukan, tetapi mempunyai kesan besar kepada hati, iaitu banyak berbicara, pemandangan yang tidak dijaga, terlalu banyak makan dan banyak bergaul dengan sembarangan orang.

Banyak bicara.

Semakin banyak berbicara, semakin banyak salahnya.
Realiti atau fantasi? Risau kalau-kalau kata-kata itu memakan diri sendiri. Namun begitu, berdiam juga ada hadnya, ada caranya. Mahu diam pun ada carakah? Ada, setiap sesuatu itu ada caranya.


عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليقل خيراً أو ليصمت , ومن كان يوم بالله واليوم الاخر فليكرم جاره , ومن كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليكرم ضيفه

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda : “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya”.

[Bukhari no. 6018, Muslim no. 47]

Berkata baik atau diam? Itu adalah pilihan yang boleh dibuat oleh manusia. Dalam diam, biar ada zikir, dalam kata-kata tambah nilai dengan hikmah.

Pandangan yang tidak dijaga.

Kita selalu kata, 'apa tengok-tengok?' :) pernah kata kan? Sedar atau tidak kata-kata itu boleh ada jika kita juga turut memandang. Betul kan? Bagaimana kita boleh katakan sedemikian jika kita tidak melihat orang itu? Muslihat dalaman. Ya, manusia itu sifatnya suka melihat, tetapi ada juga batasnya. Mahu lihat yang indah-indah? InsyaAllah di syurga Allah itu semuanya indah-indah, jauh lebih indah. Kalau terlihat atau tertarik untuk melihat?

Hadith yang diriwayatkan di dalam musnad Ahmad Ibn Hambal bahawa, daripada Jarir bin Abdullah radhiallahu’anhu berkata : "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan secara tidak sengaja, maka baginda menyuruhku memalingkan pandanganku.”

Dalam hadith yang lain, baginda SAW diriwayatkan bersabda kepada Saidina Ali k.w.: “Wahai ‘Ali, janganlah kamu ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua, sesungguhnya bagi kamu yang pertama tetapi tidak yang kedua.

Muslimah itu tidak memandang dan tidak memandang.

Muslimin bagaimana? Tepuk dada, tanya iman. Yang manakah boleh menaikkan imanmu?

Banyak makan.

Dari Abu Hurairah ra, katanya: Ada seorang laki-laki yang biasanya banyak makan. Setelah masuk Islam, makannya sedikit. Hal itu diceritakan orang kepada Rasulullah SAW. Beliau bersabda: "Orang yang beriman makan untuk satu perut. Orang kafir makan untuk tujuh perut." (Sahih Bukhari)

Kadangkala kita makan, sehingga rasa berat sangat perut. Semua jadi malas, maka terlepas peluang untuk melakukan kebaikan, kebajikan, juga melakukan yang terbaik dalam pengabdian dalam usaha menjadi hamba yang TERBAIK, ummat yang HEBAT.

Apabila terlepas peluang, bila lagi kan datang lagi peluang itu?

Banyak bergaul dengan sembarangan orang.

Bergaullah dengan sesiapa pun. Tidak kira apa pangkat pun, tidak kira jawatan apa pun. Cuma ingat satu, jika pergaulan itu dicemari, maka tercemar semua. Maka, peliharalah sebaik mungkin. Jika pergaulan itu diselangi dengan maksiat, maka jauhilah sejauh-jauhnya. Jika pergaulan itu menjauhkan kita kepada Pencipta, maka jauhkanlah diri daripada dia, dekatilah Pencipta.



Sekian dahulu penulisan daripada manusia biasa-biasa ini. Cuma ingin mengingatkan diri sendiri khususnya, juga pembaca yang sudi baca ayat panjang-panjang ini. Terketuklah wahai diri, jangan terlalu biasa dan selesa dengan perkara yang berbisa.

Bagaimana mahu tahu perkara itu berbisa atau tidak?

Muhasabah diri. Biar terketuk di dunia ini, diketuk di akhirat nanti bukan calang-calang. Azab Allah itu amat pedih. Kenapa masih lupa untuk beringat? Ayuh perbetulkan yang silap. Biasakan diri dengan perkara yang tiada bisa, malah punya manfaat buat diri dan seluruh manusia.

InsyaAllah.

Waallahua'lam.

18/2/2011 Perjuangan makin getir, tetapi tidak akan pernah menyerah, apatah lagi mahu rebah. Sekuat mana pun diri, tetapi bergelar hamba yang lemah dihadapan Penciptanya.

Ya Allah, permudahkanlah, bimbingilah diri ini ke jalan yang punya redhaMu. Amin.

Surgery hampir sampai ke pintu gerbang penentuan.

Tuesday, February 15, 2011

Y 385 : Ringan Mulut

Ringan mulut? Ke mahu perkatakan tentang banyak mulut? InsyaAllah penulisan yang pendek di petang hari, menanti mentari senja melabuhkan tirai. InsyaAllah akan ke hospital malam ini bagi on-call bagi kali ke 4 dalam surgery posting ini.

Ringan mulut?
Setahu saya (tukar kata nama diri, mengikut realiti hidup sebenar) peribahasa ringan tangan itu wujud. Bagaimana pula dengan ringan mulut, adakah orang yang banyak bertanya, banyak bercakap? Kena tanya pakar bahasa selepas ini.

:)

Mulut kita sangat ringan untuk berkata-kata kan? Lebih-lebih lagi dengan bantuan organ yang tidak bertulang, juga vocal cord bagi melantunkan kata-kata penuh makna. Tetapi apa yang selalu kita perkatakan? Ini yang menentukan manfaat atau tidak perkara yang kita katakan itu. Ya, kadangkala mulut mendahului akal fikiran yang mengatur kata-kata sebelum diungkapkan sehingga kita tidak sedar apa yang kita katakan itu baik atau sebaliknya.

Ops, hati-hati..

Mulut ini anugerah Allah buat hamba-hambaNya. Ini semua daripada kita telah sedia maklum. Tetapi sejauh mana kita mengaplikasikan hidup berTuhan kita ini dengan anugerah pemberian Allah. Percuma, tiada bayaran. Tetapi adakah kerana ia percuma, maka kita boleh menggunakannya mengikut kehendak diri, dorongan nafsu? Ya, mulut selalu terlibat dalam fenomena umpat-mengumpat, gosip-gosip yang tidak tahu hujung pangkalnya, kutuk-mengutuk dan sewaktu dengannya. Sedarkah kita, itu adalah sia-sia? Sedangkah mulut ini mampu memperkatakan perkara-perkara yang lebih baik.Tidakkah kita rugi? Rugi besar!

Kita tahu bagaimana untuk memanfaatkan hadiah daripada Allah tetapi kita selalu leka, lupa dan alpa. Maka, beringatlah wahai hamba-hamba Allah (peringatan terutama buat diri).

Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, api nerakalah yang layak untuk dirinya." (Hadis riwayat Baihaqi).

Sabda Rasulullah SAW lagi, "Tidaklah dihumban muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelik) lidahnya." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Ops, berpada-pada dalam berkata-kata.

Ayuh, membina generasi ummat Muhammad yang HEBAT! HEBAT dalam melawan hawa nafsu yang meronta-ronta untuk rasa bahagia sementara Juga HEBAT dalam perjuangan yang tidak sia-sia demi redha Allah. InsyaAllah. Sama-sama kita usahakan.



12 Rabi'ul awal 1432H, tarikh yang tepat untuk beringat dan sentiasa beringat, istiqamah dalam mengingatkan dan ingat-ingat selalu. Ayuh perbanyakkan selawat kepada Rasulullah, mulut ringan kan? Mengapa tidak mengambil peluang yang besar ini untuk sesuatu yang lebih baik?

Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia berselawat kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit atau banyak.” (Amir bin Rabiah r.a)

Istiqamah kunci pembentukan insan yang HEBAT!
InsyaAllah.

Waallahua'lam.

15/2/2011 Terlebih panjang :))

Sunday, February 13, 2011

Y 384 : Bukan Undur

Pergi bukan beerti undur,
Tetapi menyusun langkah teratur,

Demi mencapai matlamat agung,
Membawa rahmat ke seluruh alam.

Pergi itu bukan beerti kita undur menyerah kalah atau berputus asa, tidak juga kerana lari daripada menyelesaikan masalah yang ada. Tetapi hakikatnya bagi menyusun langkah teratur, bagi menghadapi hari-hari mendatang dengan pengharapan dan pergantungan hanya padaNya. Tetapi seringkali kita salah faham akannya. Kita anggap bahawa yang pergi itu beerti tidak mahu, malah menyerah, berputus asa, maka tiadalah lagi harapan.

Sungguh subjektif.

Cuba mengaplikasikan dalam kehidupan. Namun disalah erti, maka terjadi sebuah kisah perit dalam yang akan dikenang sampai bila-bila. Moga Allah ampuni dosa-dosa kita dalam salah faham yang berlaku. Kisah ini tetap akan meneruskan setiap chapter mengikut ketetapan.

Kembalilah kepada realiti hidup, bahawa segala aturan itu Allah telah tetapkan dengan cantik. Maka laluilah dengan tenang walaupun terpijak duri berbisa di jalanan. Itu mengajar kita untuk lebih berhati-hati dalam menelusuri jalan berduri. InsyaAllah.

**********

Rasulullah berhijrah ke Madinah bukan beerti pengunduran tanda lemahnya iman. Tetapi itulah perintah Allah. Yang pasti terkandung hikmah yang HEBAT bagi menyusun langkah seterusnya dan strategi dalam menyebarkan Islam, yang merupakan rahmat ke seluruh alam.

Islam itu gemilang dan akan terus bersinar gemilang. Gemilangnya kerana ummatnya, kerana Islam, maka apa fungsi kita sebagai ummat Muhammad? Adakah sekadar mengaku 'Akulah ummat Muhammad'? Mengaku tanpa menyusun apa-apa langkah untuk mengilap kembali kegemilangan yang pudar?



Ayuh, berjuang ke angkasa kejayaan,
Menggilap kembali sebuah kegemilangan.

Maju langkah di atas bumi Tuhan,
Moga redhaNya digenggam hingga pengakhiran.

Tiba masa untuk atur-atur langkah, dahulukan prioriti. Kilat-kilatkan, gosok-gosok sampai berkilat. Ya, perlu masa. Jangan biar masa itu mendahului kita :) Kejar!

Waallahua'lam.

14/2/2011 Kembali bersemangat dan terus-berterusan bersemangat. Matangkan diri dan minda, moga Allah bimbingi akal, juga setiap inci tingkah laku dan percakapan kita.

Allahumma amin...

Y 383 : Tempuh dan Rempuh

Alhamdulillah, di pagi penuh barakah ini, jari-jemari terus menari-nari atas papan kekunci ini. Berkongsi apa yang diperoleh, menyampaikan apa yang dirasakan perlu. Semalam sempat chatting dengan adik x-kmpk, sekarang dia sedang berjuang habis-habisan di medan yang Allah telah tetapkan untuk dia.

Ini antara coretan kami, bahasanya diolah sedikit.
:) YM

NRF : Kak, orang ada kawan.
NRF : Dia suka pakai selendang dan baju ketat.
NRF : Tapi bila dia tengok orang pakai baju kurung.
NRF : Dia kata dia nak berubah sebab tak mahu jadi perhatian lelaki.
NRF : Tapi kan kak, dia kena kutuk 'kaw'2 dengan kawan dia.
NRF : Orang pun cakap kat dia, tempuh dan rempuh demi redha Allah, selagi kita ikut syariat.

Banyak lagi yang kami borakkan. Alhamdulillah kami ingat-mengingatkan, buat aku senang sangat dengan dia. Ya, untuk berubah itu bukan perkara yang mudah. Ujian demi ujian perlu kita tempuh, apa erti hidup jika hanya bersenang-lenang. Kaki bergoyang-goyang, hidup akan rasa kosong kerana rasa semuanya begitu mudah untuk ditempuh.

Memberi peringatan, menyampaikan kebaikan itu memberi peluang pada diri untuk berkata-kata dengan diri sendiri untuk terus beringat, jauhi kelupaan. Cara penyampaian itu ada pelbagai cara, bukan sahaja melalui lisan atau pengucapan, tetapi juga dengan tingkah laku seharian kita. Malah, bagi pendapatku, cara melalui contoh tauladan itu lebih berkesan. Apa jua cara yang digunakan, yang memberi sinar, hidayah ke dalam diri, hanya Allah. Bukan manusia, bukan rasul, hanya Allah.

Maka, berusahalah.
Kerana hanya Allah yang menentukan segalanya, mengikut aturanNya.
Ingat, hasilnya bukan kayu ukur utama, redhaNya menjadi buruan kita.

Untuk menempuh ujian-ujian ini, kita perlu kuat, juga berbekalkan dengan sabar. Kita kadangkala terlalu mengambil kira pandangan manusia, pandangan orang sekeliling, pandangan masyarakat. Tidak dinafikan dunia itu banyak menutup mata manusia, berjaya dengan tipu dayanya. To change is not a crime. Bagaimana dengan pandangan Allah?

Kita rasa seronok dengan nikmat dunia, hingga terlupa matlamat asal kita. Kita lupa janji-janji kita di alam ruh bersama Tuhan kita. Kita lupa apabila kabus tipu daya, permainan dunia mengaburi mata-mata kita.

Kenapa kita terlalu lemah?
Tepuk dada, tanya iman.

Iman, adakah engkau sihat hari ini?
Iman, telahkah engkau suburkan taman-taman dalam hati ini?
Sesungguhnya dalam hati ada taman.

:)

Kenapa apabila kita ikut syariat, kita dipandang asing oleh kawan-kawan, orang lain? Orang asingkah kita? Dunia akhir zaman, kian ke penghujungnya. Islam itu akan kembali dagang, terasing, tersisih seperti zaman mula-mula ia bangkit. Bila ditanyakan, apa agama kamu? Jawapannya tetap sama, iaitu ISLAM. Apabila Islam itu bukan lagi cara hidup, maka indahnya tidak akan bersinar lagi.



Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing". [Riwayat Muslim]

Tempuhilah walaupun rasanya terlalu perit. Rempuhlah tanpa menoleh ke arah kebatilan dan kejahilan. Moga beruntunglah orang-orang yang asing itu. Jika untungnya bukan di dunia, InsyaAllah di akhirat itu dijanjikan kemanisan.

Waallahua'lam.

13/2/2011 Tempuh dan rempuh. Hati-hati jika mahu rempuh, lihat hadapan, cari jalan yang selamat, menuju kebenaran :)

Aku anak bongsu perempuan tunggal. Namun, ku punya ramai adik-adik yang baik-baik. Terima kasih Allah. Banyak belajar daripada mereka-mereka.

Last posting, surgery. Moga Allah permudahkan jalan ke lorong-lorong kejayaan. InsyaAllah.

Friday, February 11, 2011

Y 382 : Bermanfaat

عن جابر قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « المؤمن يألف ويؤلف ، ولا خير فيمن لا يألف ، ولا يؤلف، وخير الناس أنفعهم للناس »

Diriwayatkan dari Jabir berkata, Rasulullah saw bersabda, "Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia." (HR. Thabrani dan Daruquthni)

Hadits ini dishahihkan oleh al Albani didalam “ash Shahihah” nya.

Manusia bermanfaat bagi manusia. Mampukah? Kenapa tidak kan? Berbakti untuk memberi manfaat itu ada pelbagai cara, yakni harta, kuasa, dan sebagainya. Untuk menjadi mampu, perlu ada kudrat daripada Allah untuk kita berusaha dan usahakan.

Bukanlah bermanfaat kepada manusia itu supaya nanti-nanti boleh dikenang-kenang, diingat-ingat. Semata-mata mencari redha Allah di atas muka bumi ini. Ingatkah kita bahawa hidup ini ada penghujung? Penghujungnya adalah kematian, dan kematian itu pasti. Melakukan amal kebajikan itu suatu bakti yang memberi manfaat.

Jika dengan sedekah senyuman ikhlas dari hati, berlemah lembut itu dapat menyedarkan seseorang daripada sikap panas baran dan marah, maka moga-moga tindakan kita itu memberi manfaat kepada orang tersebut. Mudah kan? Ya, kita bukan berseorangan untuk memberi manfaat. Lagi ramai yang memberi manfaat, maka lebih ramai yang menerima manfaat itu. Jika ini yang cuba digarapkan dalam masyarakat, nescaya ramai di antara kita mampu menjadi yang TERBAIK.

HEBAT!


Dalam langkahan ini, kita bukan seorang-seorang

عن ابن عمر ، أن رجلا جاء إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فقال : يا رسول الله أي الناس أحب إلى الله ؟ وأي الأعمال أحب إلى الله عز وجل ؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « أحب الناس إلى الله أنفعهم للناس ، وأحب الأعمال إلى الله سرور تدخله على مسلم ، أو تكشف عنه كربة ، أو تقضي عنه دينا ، أو تطرد عنه جوعا ، ولأن أمشي مع أخ لي في حاجة أحب إلي من أن أعتكف في هذا المسجد ، يعني مسجد المدينة ، شهرا ، ومن كف غضبه ستر الله عورته ، ومن كظم غيظه ، ولو شاء أن يمضيه أمضاه ، ملأ الله عز وجل قلبه أمنا يوم القيامة ، ومن مشى مع أخيه في حاجة حتى أثبتها له أثبت الله عز وجل قدمه على الصراط يوم تزل فيه الأقدام »

Dari Ibnu Umar bahwa seorang lelaki mendatangi Nabi saw dan berkata,”Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling dicintai Allah? dan amal apakah yang paling dicintai Allah swt?" Rasulullah saw menjawab, "Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau masukkan ke dalam diri seorang muslim atau engkau menghilangkan suatu kesulitan atau engkau melunasi hutang atau menghilangkan kelaparan. Dan sesungguhnya aku berjalan bersama seorang saudaraku untuk (menunaikan) suatu keperluan lebih aku sukai daripada aku beritikaf di masjid ini—yaitu Masjid Madinah—selama satu bulan. Dan barangsiapa yang menghentikan amarahnya maka Allah akan menutupi kekurangannya dan barangsiapa menahan amarahnya padahal dirinya sanggup untuk melakukannya maka Allah akan memenuhi hatinya dengan harapan pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang berjalan bersama saudaranya untuk (menunaikan) suatu keperluan sehingga tertunaikan (keperluan) itu maka Allah akan meneguhkan kakinya pada hari tidak bergemingnya kaki-kaki (hari perhitungan).” (HR. Thabrani)

Hadits ini dihasankan oleh Syeikh al Albani didalam kitab “at Targhib wa at Tarhib” (2623)

Adakah susah untuk dicintai Allah? Masalah yang timbul hari ini adalah, bukan lagi cinta Allah itu yang menjadi rebutan, malah pintu-pintu hati kian tertutup. Lalu ada antara kita-kita mencari cinta alternatif yang lain. Jika untuk 'cinta alternatif' itu kita mampu berkorban apa sahaja, wang ringgit dan harta benda untuk memberi yang terbaik. Kenapa tidak kita berusaha mengejar cinta Allah yang tidak memerlukan wang ringgit dan harta benda? Mengapa kita tidak berusaha untuk menjadi yang TERBAIK? Demi Allah, pengorbanan demi cinta Allah, juga redhaNya itu tidak pernah sia-sia.

Hanya sebuah pengabdian yang luhur daripada hati yang ikhlas. Ya, ia sukar tetapi yang ini perlu kita usahakan. Sambil kita memberi manfaat, berbakti, sedar atau tidak sedar, kita sebenarnya telah menyumbang kepada agama kita, untuk membangunkan generasi rabbani. Ya, perlu ada titik permulaan.

Kata Prof. yang dihormati apabila aku bertanyakan,

Bagaimana untuk menjadi hebat?

Ringkas jawabnya,

Untuk menjadi hebat, perlu bermula pada suatu titik permulaan.

Jawapan yang ringkas tetapi ada maksud yang cukup luas. Betul, jika tidak bermula pada mana-mana garisan permulaan, bagaimana pula istilah hebat itu boleh ada. Sedangkan tidak ada apa-apa usaha yang kita mulakan, tiada langkahan yang kita buat untuk menjadi HEBAT.

Fikir-fikir, moga hati terus berzikir :)

Waallahua'lam.

Sumber hadith : eramuslim.com

11/2/2011 Kepada sahabat-sahabat yang belajar di Mesir, semoga ruh seorang mujahid/mujahidah itu akan ters mekar dalam diri kalian untuk terus berjuang mendalami ilmu Allah.

Y 381 : Kini Bermula

Setelah sekian lama tidak menulis, jika mahu dikatakan bercuti, dalam fikiran ada pelbagai perkara untuk dikongsikan tetapi akibat gagal untuk mengatur kata dan setiap patah perkataan, ilham yang datang mula pergi jauh. Siapa kata menulis ini mudah, kerana yang menyampaikan itu punya lebih tanggungjawab untuk melaksanakan apa yang telah disampaikan.

Amat besar kebencian di sisi Allah, kerana kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu perbuat. [Surah as-Saff:3]

Alhamdulillah kini aku menulis semula dengan azam yang baru, yakni untuk memberi manfaat pada orang lain, InsyaAllah. Tetapi yang terutama adalah untuk ketuk-ketuk diri sendiri terlebih dahulu. Kerana diri yang serba kurang ini perlu alami perubahan ke arah kebaikan untuk melaksanakan impian menjadi hambaNya yang terbaik. Kita semua punya matlamat yang sama, cuma pelaksanaannya sahaja yang berbeza.

Kenapa perlu tunggu lagi untuk mencari jalan ke arah redhaNya?
Kenapa perlu tunggu untuk bangkit, sedar?

Ayuh bangkit, menjadi yang serba boleh. All-rounders. Menjadi insan yang punya kelebihan dalam pelbagai bidang. Tidak pernah berasa cukup, sentiasa bertindak untuk menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Tidak pernah berasa cukup itu tidaklah bermakna kita tidak bersyukur dengan apa yang ada tetapi daripada perspektif seorang hamba yang sentiasa ingin lakukan yang terbaik, simpan banyak-banyak bekalan untuk dipersembahkan kelak di pentas akhirat sana.

InsyaAllah.



Jadilah manusia yang bermanfaat buat manusia lain kerana manfaat itu dengan izinNya akan berterusan, disampai-sampaikan kepada yang lain-lain.

Seorang guru mampu menjadi penulis, percaya atau tidak? Itu tidak mustahil. Sedangkan pisau boleh diasah, inikan pula bakat dalam diri yang memerlukan latihan demi latihan. Ya, semua dengan izin Allah. Seorang guru mampu menjadi pendakwah yang hebat. Semua itu mungkin, kenapa tidak? Adakah seorang guru itu hanya bertugas di sekolah. Adakah apabila digelar guru itu tempatnya hanya di sekolah?

Ibu bapa, mereka adalah guru terbaik bagi seorang anak. Mana tidaknya, sejak lahir menjadi contoh tauladan buat anak-anak. Dahulu, sewaktu zaman kecilku aku tidak tahu mengambil wudhuk, malu-malu mahu bertanya. Tiba-tiba datang idea untuk melihat gerak-geri babah mengambil wudhuk, tanpa tahu mana rukun atau sunat. Aku belajar.

Meningkat remaja, besar sedikit daripada kecil, aku sudah pandai membaca. Kurang dalam bidang pemerhatian, sering terlepas pandang. Meningkat usia, InsyaAllah tahun ini menjangkau 22 tahun, aku banyak belajar daripada pemerhatian. Gunakanlah pancaindera kurniaanNya ini dengan sebaik-baiknya.

Bak kata seorang sahabat,

Kehidupan di dunia hanya sekali. Jadi, kenapa kita tidak berusaha menjadi yang TERBAIK untuk kehidupan yang sekali ini? Ya Allah, Engkau permudahkan segala usaha aku ke arah menjadi hambaMu yang TERBAIK. Allahumma Amin..
[AMAT 2011]

Aku yakin.

(iaitu) bahawa beriman kamu kepada Allah dan rasulNya dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan dirimu. Itulah yang terlebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. [Surah as-Saff:11]

Waallahua’lam.

10/2/2011 Ini hasilnya selepas cat-cat rumah baru. Simple blue, elegant and mature :) Perasan sudah. InsyaAllah semoga bermanfaat.

Make the simple one better.
Make the one comes true :)
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates