Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Wednesday, June 23, 2010

Y 307 : Belajar

Assalamualaikum,

Alhamdulillah belajar lagi, sebenarnya banyak sekali ingin dikongsi bersama tetapi kekangan masa selalu merencatkan akal untuk menulis di laman ini. [Ayat apakah ini..]

Alhamdulillah hari ini hari pertama bagi tahun 3 ke Hospital Umum Sarawak, sebelum ini ada beberapa kali menziarahi tempat itu dan subhanallah banyak dapat dipelajari. InsyaAllah lepas ini akan kongsikan banyak lagi perkara. Cari masa kerana masa itu sentiasa ada, cuma kadangkala kita tidak pandai menghargai kesempatan yang ada.

Subhanallah, ditemukan dengan satu kes yang simptomnya sama seperti yang dihidapi oleh ayah seorang sahabatku. Diharapkan kesihatan ayah sahabatku itu baik-baik belaka, InsyaAllah.

Ingatlah bahawa kita tidak selamanya sihat,
Ingatlah juga bahawa kita tidak akan selamanya hidup.

Dalam setiap perkara, sedarlah bahawa hidup kita berTuhan. InsyaAllah segalanya akan dipermudahkanNya walaupun kadangkala kita rasakan ianya terlalu berat buat kita.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya." [Al-Baqarah : 286]
Waallahu'alam.

23/6/2010 Hidup tanpa Tuhan ibarat hidup ditengah-tengah padang pasir yang kering kontang, tiada makanan rohani dan jasmani malah perjalanannya juga hanya meletihkan.

Monday, June 21, 2010

Y 306 : Date

Assalamualaikum,

Entry ringkas buat peringatan pada diri yang akan memulakan posting di Hospital Sibu minggu hadapan, InsyaAllah. Tanggungjawab digalas demi satu amanah.
Medicine posting : 28/6/2010 - 3/9/2010
Obstetrics and Gynaecology posting : 13/9/2010 - 5/11/2010
Paediatrics posting : 8/11/2010 - 31/12/2010
Surgery posting : 3/1/2011 - 18/3/2011
Maka tersurat sudah perjalanan sepanjang tahun 3 yang bakal di tempuh, InsyaAllah. Pertama kali kena on-call nanti bagaimana ya? Semoga di beri kekuatan untuk terus menuntut ilmu Tuhan, InsyaAllah.

InsyaAllah untuk medicine posting ada 5 kali on-call daripada jam 5.30 petang sehingga 9.30 malam. Selamat menuntut ilmu dan beramal dengannya, InsyaAllah.
"Medicine posting paling susah, kena rajin clerk patient."

"Medicine posting 1st? Hati-hatilah, mmg tough."

"Medicine posting??" Hanya mampu tersenyum.
Tanggapan manusia itu berbeza-beza. Hakikatnya semua itu perlu juga ditempuhi, InsyaAllah. Mohon diberi kekuatan dan kesihatan yang baik. Semua itu perlu kita lalui walaupun sesukar mana sekalipun, kerana selepas kesusahan itu InsyaAllah ada kemudahan.

Study!
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. " [Surah al-Baqarah : 216]
Waallahu'alam.

21/6/2010 Selamat berpenat lelah wahai diri, jangan pernah rebah. Entry khas buat diri.

Kamu dilahirkan sebagai umat terbaik :)

Tuesday, June 15, 2010

Y 305 : Alam Baru

Assalamualaikum,

Alhamdulillah seinfiniti kesyukuran di rafa'kan kepada Pencipta yang menciptakan manusia itu berpasang-pasangan wa Alhamdulillah dengan izinNya selamat abang sulungku bernikah di rumah ibu bapa mertuanya di Terengganu.

Pejam celik, waktu itu berlalu begitu cepat. Setahun dua itu ibarat beberapa bulan mendatang, memang cepat masa berlalu. Adakah petanda dunia ini sudah tua? Fikir-fikirkan.



Dalam gambar, abang sulung, abang kedua dan mama. Kami hanya berempat [Babah tetap dihati kami] Amal tidak dapat turut serta kerana sudah memulakan pengajian tahun ke-3, alhamdulillah. InsyaAllah waktu walimatul urus pihak lelaki nanti Amal akan pulang sebagai seorang VVIP :)




SELAMAT PENGANTIN BARU, abangku. Semoga masjid yang dibina ini senantiasa makmur dan diwarisi generasi yang berguna buat bangsa, negara dan AGAMA terutamanya. Amin.

Giliran abang kedua sudah tidak lama lagi. Sekali dua orang menantu mama dapat, InsyaAllah. Inilah orangnya, berbaju putih :) you look smart in white.


Biar kenangan itu disimpan disini. Alam baru, alam berumahtangga. Mesti ada yang bertanya, 'Amal bila lagi?' Mama akan jawabkan. Restu ibu bapa itu menjadi keutamaan.

Alam berumahtangga, alam baru bagi abang sulungku. Lain pula bagi sahabatku yang seorang ini, Norhaslina binti Rosli. Hari ini genap umurnya, 22 tahun :) SELAMAT HARI KELAHIRAN KE-22. Ini khas buat dia.



Ina suka kan :)

Sahabatku,
Kelembutan itu adalah kekuatan,
Kelembutan itu juga adalah kelemahan,
Maka jagailah dia,
Sebagai sumber kekuatanmu,
Dikau muslimah harapan,
Akan tertanam di dalam sanubari,
Untuk sedia berjuang,
Sedia berkorban demi agama,

Sahabatku,
Perjuangan ini bukan mainan,
Perjuangan ini bukan khayalan,
Sama-sama akan kita lalui,
Hanya langkahnya berbeza,
Kerana hidup ini atas aturanNya,
Tiada siapa mampu menandingi,
Jadikan doa itu senjatamu,
Tawakal itu letaknya ketenangan,

Sahabatku,
Perjalanan ini masih jauh,
Sedangkan langkah ini kian terhenti,
Sama ada sampai ke penghujungnya,
Atau terhenti di medan syahid,
Teruskan, jangan berundur lagi,
Usaha itu ikhtiar,
Amal itu bekalan,
Bekalan ke akhirnya yang abadi.

Alam baru tetapi masih di dunia. Jika alam baru itu adalah alam barzakh macam mana? Ya ALLAH, adakah aku sudah bersedia menempuh alam itu? Di sana kelak mulut akan terkunci dan anggota lain akan menjadi saksi atas setiap perbuatan dan tindakan kita. Mari bersiap sedia! Bersama baiki diri, InsyaAllah semoga dipermudahkan.

Teringat pula, di waktu sebelum Rasulullah wafat, baginda ditanya oleh malaikat sama ada memilih untuk terus hidup di atas muka bumi dengan segala kesenangan atau bertemu Penciptanya. Maka Muhammad bin Abdullah, Rasulullah memilih untuk bertemu Tuhannya. Indahnya bertemu Pencipta, tiada pertemuan seindah itu.

Hidup di dunia penuh dengan tipu daya. Seringkali tertipu kemudian tersedar semula, tertipu lagi, maka tersedar semula. Risau sekiranya tertipu dan terus tertipu dan tanpa disedari terus leka dengan tipu daya itu. Na'uzubillah min zalik.

Oleh itu, sahabat-sahabat, ingatkanlah antara satu sama lain akan perihal hakikat hidup. Manusia itu pelupa sifatnya. Tegurlah sekiranya ada salah dan silap.


Tegurlah diri ini..
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." [Al-Ankabuut : 64]
Waallahu'alam.

16/6/2010 Selamat bertunang buat sahabat matrikulasi, Nurfadhilah :) Semoga segala urusan dipermudahkanNya.

Monday, June 14, 2010

Y 304 : Practice

Assalamualaikum,

Belajar lagi, setiap hari ilmu di tuntut tetapi sejauh mana kita amalkan dan praktikkan? Mari amalkan ilmu Tuhan yang tidak dapat dinilai dan diukur.

Praktikkan..practice :)


-Gambar Hiasan-

Hari ini, kuliah jam 8 pagi oleh Prof. Dr. Khin Tun, salah seorang doktor muslim myanmar. Semangatnya dalam mendalami ilmu menaikkan semangat diri untuk bersungguh didalam bidang ini. Beliau sudah hampir 40 tahun dalam bidang perubatan, seorang pakar bedah.

He said, "Do you think practice makes perfect? Practice doesn't makes perfect."

Kami tertanya-tanya kenapa beliau berkata begitu.

Later he said, "Only perfect practice makes perfect."

:)

Diri menganggukkan kepala menunjukkan tanda faham. Ya! Jika kita latih diri untuk menjadi lebih baik ke arah kesempurnaan, hendaklah betul caranya. Jika caranya songsang, maka matlamat yang ditetapkan tidak dapat dicapai sepenuhnya.
"Only perfect practice makes perfect"
Dalam bidang perubatan sendiri, skill need to be developed before become a safe, good doctor in the future. But to improve the skill, we need knowledge as our guideline towards a accurate, good practice. Diri ini perlu sedar bahawa bidang ini bukan mudah, semua bidang ada tahap kesukarannya.

Dalam bidang-bidang lain juga, kemahiran untuk mempraktikkan dan mengamalkan ilmu itu amat penting. Ilmu tanpa amal itu ibarat pohon yang tidak berbuah :)
"Tuntutlah ilmu daripada dalam buaian hingga ke liang lahad."
Waallahu'alam.

14/6/2010 Belajar itu suatu nikmat kerana rasa dekat dengan Tuhan. InsyaAllah.

Sunday, June 13, 2010

Y 303 : Perang Hati

Assalamualaikum,

InsyaAllah jam 9 tadi ada mesyuarat JPK Kolej Perubatan, alhamdulillah hampir setahun memegang jawatan dalam organisasi ini dan banyak pengajaran yang diperoleh. Jelas sekali bahawa ilmu itu bukan semata-mata daripada buku, internet, dan guru. Ilmu ALLAH itu Maha luas.

Kesempatan demi kesempatan dicari untuk menulis. InsyaAllah masa dan waktu daripada ALLAH. Melihat alam sekeliling. Lihat tingginya langit biru tanpa tiang, rendahnya tanah hiasan alam yang ditumbuhi rumput-rumput menghijau merehatkan mata yang memandang.

Alam berzikir mengingati Tuhannya, dan manusia itu diberi kelebihan untuk berfikir akan kekuasaan Pencipta dan berzikir bagi menenangkan jiwa, menjaga kerendahan hati kepada ALLAH.

Mari berkongsi, dibelek-belek kitab di surau. Bacalah dengan mata hati :)
Aisyah berkata kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, ALLAH telah menganugerahkan kamu setinggi-tinggi anugerah dan mengampunkan dosa-dosamu, maka kasihanilah badanmu, jagalah kesihatanmu."

Aisyah berkata begitu setelah melihat suaminya bertambah tekun sembahyang terutama pada waktu malam dengan sedih dan ratapan ketika sujudnya.

Rasulullah menjawab, "Wahai Aisyah, apakah bukan selayaknya bagiku menjadi seorang yang budiman yang kenal berterima kasih kepada Tuhannya?"
Begitulah kerendahan hati Rasulullah kepada Tuhannya. Kita bagaimana? Sudah budimankah kita? Masih banyak yang perlu diperbaiki. Macam mana hendak membaikinya?

Tuntutlah ilmu dan berfikirlah, manfaatkan ilmu itu. Semoga sedikit sebanyak dalam memperbaiki diri kita. Biarpun perubahan yang dibuat itu sedikit, asalkan istiqamah untuk mengamalkannya. Hakikatnya susah untuk istiqamah di jalan kebaikan kerana hati manusia itu boleh di bolak-balikkan bila-bila masa.



Oleh itu, gunakanlah senjata kita untuk menetapkannya. Perang!

Perang dengan diri
Perang dengan musuh
Perang dengan nafsu
"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di jalan agamaMu, tetapkanlah hati kami ini untuk terus mentaatiMu"
Gunakan senjata ini, jangan disimpan-simpan. Jika yahudi laknatullah itu berperang dengan senjata, Islam juga ada senjata yang jauh lebih hebat daripada senjata mereka. Doa adalah senjata terhebat sepanjang zaman.

Percaya atau tidak. Setiap kali peperangan, Rasulullah akan mendahulukan solat hajat dan berdoa kepada ALLAH agar memberi kemenangan untuk umat Islam supaya dengan itu Islam boleh berkembang ke setiap penjuru alam.

Ya! Doa itu adalah senjata. Bukan ramai tentera perang itu yang membawa kemenangan. Contohnya jelas bagi perang Badar dan perang Hunain. Ramai itu hanya menjadi asbab kemenangan, niatkan kerana ALLAH. Semoga itu membawa kita lebih dekat kepada Pencipta.

Perang Badar dan Perang Hunain. InsyaAllah amal akan cerita tentang perang ini. Amat menarik, banyak pengajaran. Buku Biografi Muhammad bin Abdullah ada di rumah, InsyaAllah nak berkongsi lagi, InsyaAllah.

Selagi bernafas, berbaktilah kepada semua kerana mungkin ini kali terakhir, mungkin tidak berpeluang lagi. Hidup ini bukan untuk diri sendiri, tetapi kita dihidupkan oleh ALLAH untuk patuh dan ta'at kepada perintahNya.
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan." [Adz-Dzariyat : 56-57]
Waallahu'alam.

13/6/2010 Sempat lagi menulis :) alhamdulillah. Buat diri si penulis, ini semua peringatan buat dirimu. Mulakan dahulu, jika ini sekadar kata, sedarlah wahai penulis itu adalah sia-sia.

Sesiapa yang berkelapangan 10 Julai, jemput ke walimah dua abang amal, walimah serentak, dua pasang pengantin baru :) Nak alamat, sila maklumkan ya.

Y 302 : Satu Minggu

Assalamualaikum,

Lamanku, kini dihiasi lagi dengan tulisan seorang hamba yang mendambakan kasih dan redhaNya, InsyaAllah. Perjalanan hidup sepanjang seminggu di sini, Alhamdulillah. Seinfiniti kesyukuran kepadaNya kerana mengizinkan hamba ini meneruskan langkah dalam perjuangan duniawi yang bersegi-segi.

Dalam kumpulan demo dan praktikal, ditakdirkan bersendirian sebagai muslimah dalam kumpulan itu. Lelaki muslim ada dua orang dan yang lainnya non-muslim.

Hari pertama dah kena sentuh lelaki ajnabi. Bukan sentuh saja-saja, suka-suka tetapi bagi tujuan pelajaran yang pastinya model pesakitnya adalah pelajar lelaki dalam kumpulan. Alhamdulillah semakin banyak belajar, semakin banyak berfikir tentang kekuasaan Tuhan, InsyaAllah.

Alhamdulillah semalam abang sulung amal nikah, dan hari ini walimah di pihak perempuan di Terengganu. Cepat betul masa berlalu, seperti baru semalam bertunangnya :)

"Abang Ejat, balik dari Terengganu nanti, hantar gambar nikah Abang A as soon as possible tau."

"Iyolah..hehe."Balas abangku.

Ahmad Aizat nama betulnya, abang kedua yang juga bakal bernikah Julai nanti, InsyaALLAH. Siapa nak jadi teman gurau senda di rumah? Siapa lagi nak leter dekat adik yang 'baik' ni? Gurau dengan mama lah lepas ni.

13/6/2010 Gambar?InsyaAllah akan upload lepas dapat dari abang. Kenangan di blog ni, hari ini dalam sejarah.

Monday, June 7, 2010

Y 301 : Jangan Lupa

Assalamualaikum,

Y -- Year/Tahun. Sekarang berada di tahun ke-3, InsyaAllah.
Ini adalah entri pertama sebagai penuntut di tahun ke-3, Alhamdulillah.

Laman ini sudah lama tidak terusik, setiap kali hendak menaip terfikir pelajaran tetapi betullah katanya bahawa 'Agama itu selamanya no.1 dan pelajaran itu bukan no.2'.

Hari ini, di pagi hari yang hening dengan kicauan burung akan membuatkan hambaNya ini berfikir. Ketenangan dan keamanan ini harus, mesti disyukuri. Angin sepoi-sepoi bahasa menempiaskan kesayuan di jiwa apabila mengenangkan 'apa khabar saudaraku di sana?'

'Apa khabar mereka?'



InsyaAllah, dengan limpahan rezeki kurniaanNya ini. Gunakanlah ke jalan yang diredhai Allah dan ini adalah peluangnya, InsyaAllah.

Kadangkala kita lupa itu semua kerana manusia itu pelupa sifatnya yang perlu selalu diingat-ingatkan. Sehinggakan kehidupan ini tidak terarah, lupa yang hidup ini ada penghujungnya yang pasti akan tiba. Kita lupa, daripada mana asal kita. Tanah. Kita lupa yang ENAM, kita lupa yang LIMA yang menjadi kekuatan berdirinya kita sebagai hambaNya.

Apa yang LIMA?

Mengucap dua KALIMAH SYAHADAH
Menunaikan SOLAT LIMA WAKTU sehari semalam
Berpuasa di bulan RAMADHAN
Membayar ZAKAT
Mengerjakan HAJI bagi mereka yang mampu

Ingat yang LIMA, jangan lupa yang ENAM. Apa yang ENAM?

Percaya kepada ALLAH
Percaya kepada para MALAIKAT
Percaya kepada KITAB
Percaya kepada NABI dan RASUL-NYA
Percaya kepada HARI KIAMAT
Percaya kepada QADA' dan QADAR

Ya, dahulu ustazah suka tanya. Berebut-rebut nak jawab, sekarang? Insan kerdil masih merangkak selepas bertatih membaiki diri, InsyaAllah. Nak berebut-berebut macam dahulu :)

Jika dahulu kita berlumba hendak menjawab soalan. Apa kata kali ini kita berlumba-lumba untuk melaksanakannya. Berlumba-lumba ke arah kebaikan, tetapi ingat untuk sentiasa menjaga hati agar sentiasa subur dan tidak dikotori dengan sifat mazmumah seperti riak dan hasad dengki. Nauz'uzubillah min zalik.

Mari kita berlumba-lumba!
Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. [Al-Baqarah : 148]
Perlumbaan yang tidak sia-sia. Ingatlah bahawa kehidupan ini ibarat satu persembahan teater di pentas dunia. Siapakah pelakon terbaik? Anugerah itu milik siapa? Tetapi hidup dengan lakonan itu adalah sia-sia kerana hebatnya hanya pada pandangan manusia, kerana iman dan taqwa adalah sebenarnya menjadi taruhan.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan.

Ikhlas dalam beramal kerana matlamat akhirnya hanya SATU, selamanya SATU.

Waallahu'alam.

12/6/2010 Hari ini abang sulongku bernikah. SELAMAT MENEMPUH ALAM BARU! :) Walaupun tidak dapat bersama-sama di sana, tetapi kalian tetap dekat di hati.

Akhirnya entry ini siap, biarpun isinya sedikit tetapi penting buat diri ini untuk bertatih, merangkak dan berjalan ke arah redhaNya. Cari gali!

Thursday, June 3, 2010

CC 018 : Setia

Assalamualaikum,

Akhir-akhir ini sudah mula demam kahwin agaknya sebab kebanyakannya memperkatakan soal perkahwinan memandangkan cuti sekolah yang bakal tiba. Kalah musim bola ya. Alhamdulillah, mencari yang halal dan keredhaan-Nya itu suatu tuntutan.

Jika ada masa terluang, bolehlah baca artikel ini. Perkahwinan itu bukan dengan wang, bukan dengan kemewahan dan kekayaan. Perkahwinan mencari redha-Nya pastinya memberi impak yang besar dalam diri apabila lengkap agama seseorang itu, InsyaAllah perjuangannya lebih mantap dan dipermudahkan-Nya.



Apa cakap pasal perkahwinan pula ni? Memandangkan ramai yang memperkatakannya, apa kata tumpang sekaki. Tutup kisah ini.

Cuti? Tinggal 3 hari lagi, nak balik Sarawak ke tak? :)

Hari ini, InsyaAllah kita bercerita lagi, tidak tahu kenapa akhir-akhir ini suka bercerita berkenaan zaman Rasulullah. Bagi diri ini, kisahnya cukup dengan memberi impak dalam diri. Lebih-lebih lagi buat manusia yang bertatih membaiki kelemahan ini. Mari bercerita!
Seramai 11 orang sahabat tidak menyertai peperangan Tabuk. Antaranya adalah Abu Khaisamah. Dia bertangguh-tangguh kerana merasakan dia dapat mengejar tentera Islam, tetapi akhirnya tentera Islam sudah jauh dan dia tidak dapat mengejar mereka.

Apabila pulang ke Madinah, semua isterinya sudah membuat persediaan menyambutnya. Masing-masing membuat khemah di hadapan rumah mereka dan menyemburkan khemah dengan air serta membasahkan tanah supaya khemah menjadi sejuk.

Abu Khaisamah berkata, "Apakah aku mahu duduk di khemah yang nyaman ini dengan buah-buahan dan layanan isteri-isteriku sedangkan Pesuruh Allah dalam kepanasan. Ini tidak adil. Demi Allah! Aku tidak akan masuk ke dalam khemah, aku mahu siapkan persiapan perangku dan kenderaanku bagi mengejar Pesuruh Allah.


*********************

Muhammad menyedari beberapa orang sahabat tidak ada di kalangan sahabat-sahabatnya semasa membuat pemeriksaan tentera.

Muhammad berkata, "Kalau ada kebaikan kepada mereka, Allah akan datangkan mereka, tetapi kalau tidak ada kebaikan kepada mereka, Allah rehatkan kita daripada mereka."

Tiba-tiba mereka melihat ada orang datang mengejar mereka dengan untanya. Masing-masing mereka meneka orang yang datang itu. Apabila semakin dekat, mereka mengenalinya. Mereka memberitahu Muhammad, itu adalah Abu Khaisamah.
Setianya pada kekasih Allah, menyebabkan Abu Khaisamah lupakan kemewahan kerana bersama Rasulullah itu adanya berkat dan redha Allah. Indahnya, Subhanallah.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka). [Surah al-Taubah : 9]
Janji-janji Allah itu suatu kepastian. Tiada anjakan dalam pelaksanaannya. Lupa akan Allah dan rasul-Nya akan membuat kita lupa dari mana asalnya diri kita. Lupa akan perjanjian yang telah dibuat semasa di alam ruh iaitu akan mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Di mana janji kita?
Setiakah kita?

Waallahua'lam.

3/6/2010 Masihkah ada waktu?

Wednesday, June 2, 2010

CC 017 : Nabi dan Raja

Assalamualaikum,

Semakin giat jari-jemari menaip di saat cuti semakin hampir ke penghujungnya. Rumah ini bakal ku tinggalkan lagi. InsyaAllah waktu perayaan akan ada di rumah dan tidak lupa 10/7/2010 tarikh walimatulurus kedua-dua abangku.

Dulu mama pernah kata, "Kahwinkan dua-dua serentak kan lebih elok."

:)

Kata-kata seorang ibu itu lebih menghampiri Tuhannya. "Mama, amal nak pergi berjuang ni, kelengkapan dan bekalan, Insya-Allah sedia!" Mudah-mudahan begitu. Moga dipermudahkan perjalanan ini menuju redha-Nya.



"Jika ada syurga, di manakah neraka?" Rasulullah ditanya.
"Jika ada malam, mana siangnya." Jawab Rasulullah.

Muqadimah yang tiada kena mengena dengan tajuk hari ini. Mari berkongsi, perkongsian buat diri sendiri pada asalnya tetapi sesiapa yang tersinggah, jemputlah membaca. Semoga manfaat buat semua. Moga-moga menjadi salah satu bekal untuk melangkah ke alam sana dengan rahmat dan barakahNya, Insya-Allah.
Adi bin Hatim al-Ta'i, anak kepada Hatim al-Ta'i, orang arab yang paling pemurah pada zaman sebelum Islam datang selepas Muhammad menghantar pasukan tentera membuka keturunan Ta'i.

Adi berkata, "Aku mahu lihat sama ada dia nabi ataupun raja. Muhammad menjemputku ke rumahnya. Dalam perjalanan ke rumahnya, aku diiringi oleh salah seorang pemimpin Arab yang dihormati. Tiba-tiba datang seorang perempuan tua.

Kata perempuan tua itu kepada Muhammad, "Aku mahu memberitahu kamu sesuatu." Muhammad meninggalkan aku dan melayani perempuan tua itu selama satu jam.

Aku berdiri menunggu Muhammad. Aku berkata kepada diriku, raja tidak berbuat begini. Ini bukan akhlak para raja, tetapi ini adalah akhlak para nabi. Dia melayan pembesar dan melayan orang ramai dengan layanan yang sama. Kemudian, kami terus berjalan sampai ke rumah.

Apabila aku masuk ke dalam rumah Muhammad, aku melihat rumahnya kosong. Yang ada hanya sehelai tikar dan bantal. Aku berkata, ini bukan rumah raja. Ini adalah rumah nabi.

Apabila aku mahu duduk, Muhammad menyuakan bantal supaya aku duduk diatas bantal. Aku kembalikan kepadanya supaya dia duduk di atas bantal itu. Dipulangkan kepadaku semula. Akhirnya, aku duduk di atas bantal dan Muhammad duduk diatas lantai.

Aku berkata, raja tidak akan berbuat begini. Ini akhlak nabi.
Kemudian ada sedikit soal jawab antara dua insan ini dan akhirnya Adi memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku selepas perang Hunain. Begitulah akhlak Muhammad bin Abdullah yang dipilih oleh Allah menyampaikan risalah-Nya ke seluruh alam.

Perlukah lagi mencari contoh tauladan yang lebih baik selain ini? Qudwah hasanah ikutan sepanjang zaman, satu-satunya yang terbaik. Selamanya.

Alhamdulillah, cuti ini dapat tamatkan bacaan buku Biografi Muhammad bin Abdullah, Perjalanan Hidup Seorang Nabi. InsyaAllah sedikit sebanyak memberi pengajaran yang baik buat diri. Mari mebaca!

Cintailah Allah dan rasul-Nya!

Waallahua'lam.

2/6/2010 Perjalanan hidup seorang insan di atas muka bumi perlu bersedia hadapi segalanya, kerana kadangkala sesuatu itu datang tanpa kita duga.

24 jam di rasa tidak cukup dalam satu hari. Tetapi apa sahaja yang ku lakukan? Baiki lagi!

Tuesday, June 1, 2010

CC 016 : Berita!

Assalamualaikum,

Sedang kita menikmati kemewahan, keamanan di sini, saudara se-Islam kita di sana menanti di mana lagi mujahid dunia. Situasi rejim zionis mengganggu gugat keamanan dunia, apakah matlamat mereka? Mereka hanya juara bukan dalam medan peperangan, serangan yang tiada perikemanusiaan ke atas kapal Mavi Marmara sahaja sudah membuktikan tu semua.

Mari jenguk-jenguk akhbar hari ini. Daripada kita membaca majalah-majalah atau akhbar-akhbar hiburan, apa salahnya kita mengambil tahu keadaan saudara se-Islam kita.

Flotila bantuan tak bawa senjata

KUALA LUMPUR 31 Mei - Salah seorang aktivis pro-Palestin dari Malaysia yang menyertai 'Flotila Pembebasan' membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza menafikan aktivis pro-Palestin yang menaiki kapal Mavi Marmara membawa senjata.

Seorang wakil delegasi Malaysia daripada Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal ketika menghubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, tidak ada seorang pun aktivis mahupun kapal-kapal yang menyertai 'Flotila Pembebasan' ke Gaza membawa senjata.

''Setiap kapal yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ini telah diperiksa setiap kali sampai di pelabuhan-pelabuhan negara-negara terbabit.

''Kami (kapal-kapal) telah diperiksa dengan ketat semasa tiba di Ireland, Cyprus, Gilbralta dan Malta,'' katanya.

Beliau berkata, Israel sengaja menggunakan alasan itu untuk menyerang kapal Mavi Marmara.

Shamsul Akmar yang menaiki kapal Rachel Corrie menyertai konvoi kapal-kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza itu kini berada di belakang setelah kapal itu terlewat berlepas dari Malta apabila pihak berkuasa Cyprus enggan memberi kebenaran kepada kapal tersebut berlepas melalui pelabuhannya.

''Kami terlewat berlepas kerana terpaksa menggunakan laluan dari Malta untuk berlepas setelah Cyprus enggan membenarkan kami berlepas dari pelabuhannya,'' kata beliau.

Menurutnya, kapal Rachel Corrie yang mereka naiki berlepas malam tadi dan kini berada 800 batu nautika dari Gaza.

''Kapal kami kini berada di Laut Mediterranean pada pukul 11 pagi (kira-kira pukul lima petang waktu Malaysia) pada jarak 800 batu nautika dari Gaza,'' katanya.

Shamsul Akmar berkata, kapal Rachel Corrie dijangka tiba dalam masa dua hari lagi bersama dua lagi kapal Challenger 1 dan Challenger 2 yang bertolak lebih awal.

Beliau berkata, semua kapal yang menyertai misi itu tidak membawa senjata kerana misi turut disertai seorang tokoh Nobel Keamanan, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland dan bekas Penolong Setiausaha Agung PBB, Denis Halliday.

Menurutnya, sebanyak sembilan kapal menyertai flotila tersebut bersama-sama 700 aktivis pro-Palestin.

Beliau melahirkan rasa sedih dengan berita kapal Mavi Marmara diserang tentera Israel dan mendoakan aktivis pro-Palestin yang lain yang berada di atas kapal itu selamat.

Menurutnya, terdapat empat wakil Malaysia dalam kapal Turki itu termasuk dua wartawan Malaysia.

Seramai 16 aktivis pro-Palestin terkorban dalam serangan tentera Israel itu pagi ini waktu tempatan. - Utusan

Jelas sekali propaganda Israel. Alasan demi alasan diberikan, kebenaran itu bukan dengan alasan. Bila hati sudah mati, tidak sesiapa dapat memberikan petunjuk kepada mereka selain daripada Allah. Ya, hidayah itu milik Allah. Sesungguhnya pengetahuan Allah itu merangkumi segala yang ada di antara langit dan bumi.

Mari kita jenguk lagi berita-berita uatama akhbar hari ini.

Flotila Gaza diserang Israel

BAITULMAQDIS 31 Mei - Sekurang-kurangnya 19 terkorban dan 30 lagi cedera apabila komando Israel hari ini menyerang flotila yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza, setelah mendakwa mereka menghadapi tentangan tidak disangka-sangka ketika menaiki kapal tersebut.

Sebuah badan amal Turki menyatakan bahawa kebanyakan mangsa yang maut terdiri daripada rakyat negara itu.

Kedua-dua belah pihak memberi maklumat berbeza-beza tentang apa yang berlaku dengan rejim Zionis mengarahkan semua maklumat berhubung mangsa yang cedera atau terbunuh dalam operasi kejam itu dihalang daripada disebarkan.

Berita terkini yang diperolehi menerusi khidmat pesanan ringkas daripada konvoi Life Line for Gaza (LL4G) dari Malaysia menyatakan bahawa satu daripada enam kapal dalam misi itu, Mavi Marmara telah diserang oleh helikopter tentera Israel pada pukul tujuh pagi waktu Mekah (kira-kira pukul 12 tengah hari waktu Malaysia).

Persoalan masih berlegar mengenai nasib penerima anugerah Nobel Keamanan 1976, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland Utara dan ahli Parlimen Eropah yang juga bangsa Yahudi yang terselamat dari Holocaust, Hedy Epstein, 85.

Sementara itu, nasib wartawan Malaysia dari saluran Astro Awani, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latip masih belum diketahui, namun enam lagi rakyat Malaysia lain berada dalam keadaan selamat.

'Flotila Pembebasan' itu menuju ke Gaza dalam misi untuk menarik perhatian dunia mengenai kepungan selama tiga tahun rejim Zionis ke atas wilayah Palestin itu selepas pergerakan Hamas mengambil alih kuasa di sana.

Kumpulan kapal itu mula menuju Gaza dari perairan antarabangsa Cyprus pada pukul tiga petang (pukul lapan malam tadi waktu Malaysia), dengan harapan dapat memasuki perairan Gaza pada waktu siang,

Enam jam selepas bertolak, tiga bot peluru berpandu Israel meninggalkan bandar Haifa untuk memintas flotila itu.

"Amat menjelikkan bila mereka naik ke atas kapal dan menyerang orang awam. Kami adalah orang awam," kata jurucakap pergerakan Free Gaza, Greta Berlin yang menganjurkan flotila itu.

Hamas hari ini turut menyeru negara-negara Arab dan umat Islam 'bangkit' mengadakan protes di hadapan Kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah tindakan pasukan tentera laut rejim Zionis Israel itu,

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai 'pembunuhan besar-besaran' sementara Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa menyifatkan ia sebagai 'jenayah' ke atas misi kemanusiaan.

Moussa juga meminta mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil oleh badan yang dianggotai 22 negara Arab itu terhadap 'tindakan pengganas' Israel ke atas flotila bantuan antarabangsa itu.

Flotila tiga kapal kargo dan tiga kapal penumpang itu mengangkut 10,000 tan bahan bantuan dan 700 aktivis yang dilarang oleh rejim Zionis seperti simen dan bahan-bahan pembinaan lain.

Ini adalah kali kesembilan pergerakan Bebaskan Gaza cuba membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Ogos 2008.

Israel membenarkan kapal seumpamanya masuk lima kali tetapi telah menarik balik kebenaran itu daripada memasuki perairan Gaza sejak serangan ketenteraan Zionis ke atas Gaza pada Disember 2008 hingga Januari 2009. - AFP/AP/Utusan

Propaganda tanpa berselindung daripada pihak yahudi laknatullah. Kita yang dikurniakan Allah akal fikiran ini boleh berfikir. Bagaimana kita boleh membantu?

  • Doakan saudara se-Islam kita di sana. Kerana doa itu adalah raja segala senjata, kecanggihannya mengikut arus kemodenan.
  • Boikot! [Nanti amal senaraikan, InsyaAllah, selongkar segala produk mereka]

Walau apa sekalipun yang berlaku, aturan Allah itu tiada siapa yang mampu menghalangnya. Kudrat dan iradatNya akan kekal selamanya menakluki dunia. Oleh yang demikian, usah kita persoalkan setiap apa yang terjadi di atas muka bumi ini.

Janji Allah itu adalah kepastian yang Islam itu akan tertegak jua akhirnya, hanya Allah tahu akan waktunya. Sesungguhnya dia lbh mengetahui akan setiap sesuatu, sedangkan kita tidak mengetahuinya.

Waallahua'lam.

1/6/2010 Sedia hadapi, terima segala aturanNya. Sedia!

 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates