Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Friday, May 29, 2009

Sireh Pulang lagi (",)

Assalamualaikum

Sireh Pulang ke Gagang kali ke-5 akan diadakan pada 19 hingga 21 jun 2009 bertempat di tidak lain dan tidak bukan, di matrikulasi kesayangan kita, Kolej Matrikulasi Perak. Bukan senang dapat berkumpul beramai-ramai, al-maklumlah masing-masing sibuk dengan urusan menuntut ilmu dan bekerja. Apa kata kali ini luangkan masa anda untuk datang beramai-ramai memeriahkan majlis itu nanti. Dikhabarkan macam-macam ada.
Untuk maklumat lanjut boleh layari blog ini, www.nassz.blogspot.com, ini adalah blog pengarah program ini, saudara MD NAZRUL BIN MAT SAMAN. Kediaman semua disediakan, jangan risau-risau..kedatangan anda dialu-alukan tanpa paksaan.

**tetapi :(

Alangkah ruginya, waktu tu amal ada di sarawak sebab dah memulakan sesi pembelajaran yang baru. Apa boleh buat.."Kata rindu dan sayang pada KMPk tapi...." ayat pedas ini dalam blog nassz tu. Apa boleh buat, sayang memang sayang..kenangan memang banyak tapi waktu yang menghalang. Mungkin tahun hadapan, tapi buat bulan hujung jun macam takkan boleh datang je..uwaaa, sebab sesi pembelajaran bermula selalunya pada pertengahan jun. Apa boleh buat, tiada rezeki nampaknya hendak bertemu rakan-rakan semua.

**tetapi :)

InsyaALLAH, khamis dan jumaat depan akan berangkat ke matrikulasi yang disayangi. Walaupun tak dapat datang program alumni tapi insyaALLAH tetap akan ke sana, berjumpa adik-adik dan pensyarah-pensyarah yang banyak berjasa. Adik-adik KMM214(2008/2009) yang menantikan kedatangan akak tu, sabar-sabar ye..InsyaALLAH khamis depan akak akan sampai ke sana.

**tetapi :]

Selasa hingga Jumaat nanti, di SMK Sungai Pusu ada perkampungan SPM. Cikgu minta bantuan bekas-bekas pelajar, insyaALLAH akan kami bantu sedaya kami walaupun tak banyak. Mungkin Khamis dan Jumaat minta excuse sebab hendak ke Matrikulasi Perak. Tak sabar nak jumpa adik-adik di SMKSP dan Matrikulasi Perak! Usah tapi-tapi lagi, teruskan perjalanan hidup seharian dengan udara kurniaanNya.
Banyak lagi hendak ditaip tapi rasanya cukup dahulu. Alhamdulillah tadi selamat menziarah haliza dan majidah di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), pemandangannya sangat indah. Subhanallah, Maha Suci ALLAH, mencipta segala yang ada diantara langit dan bumi yang terbentang luas ini. InsyaALLAH untuk ziarah ini, akan ditulias dalam satu entry khas.

InsyaALLAH Sabtu hingga Isnin ini, hendak pergi jalan-jalan makan angin (makan angin je...) cuti-cuti Malaysia di Kelantan. Jalan-jalan tenangkan fikiran, luaskan pemandangan. Semoga selamat pergi dan pulang, insyaALLAH. Waallahu'alam.

29 Mei 2009 (Jam 2326)

Thursday, May 28, 2009

Buku Motivasi Terbaik! -Promosi Hebat-

Assalamualaikum

Adik-adik, kakak-kakak, abang-abang..TAWARAN HEBAT! Buku motivasi terbaik dunia, dijual di semua negara. Tidak kira kecil besar tua muda, semua boleh mendapatkannya.

Harga boleh dirunding, ada murah ada mahal. Tetapi harga bukan cagarannnya, kandungannya mantap! Semua ada..Macam-macam ada. Rugi tak beli, tapi jangan beli je..kena baca dan hayati. Tak hayati pun tak dapat manfaat maksimanya.

Adik-adik nak apa? Nasihat, kisah-kisah tauladan, hukum-hukum, kisah alam ghaib? Semua ada..Perundangan? Tidak perlu dipertikaikan. Perubatan? Tiada tandingan! Dan banyak lagi.

Apa tunggu lagi, jangan tunggu sampai ke tua. Kejarlah lima perkara sebelum lima perkara itu tiba. Menangis air mata darah sekali pun tidak berguna (ayat...) Mandi air bunga pun tiada kesannya (metafora...)

Antara kandungannya:
Nasihat - "Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." (2:177)

Tazkirah - "Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya." (40:44)

Amaran - "Allah telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat." (2:7)

Kisah Tauladan - "Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyedarinya" (27:18)

"maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh." (27:19)

Alam Ghaib - "(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka, sama dengan orang yang kekal dalam jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?" (47:15)

Perubatan - "kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu ke luar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan."(16:69)
Subhanallah, Maha Suci ALLAH. Satu-satunya mukjizat yang kekal hingga hari ini buat umat manusia. Panduan hidup, teman sepanjang hayat. Pasti semua sudah tahu apa BUKU MOTIVASI TERHEBAT di dunia ini.

AL-QURANUL KARIM, panduan sepanjang zaman. Motivasi lain yang terdapat didalamnya adalah seperti, hikmah ujian dan kesabaran, hikmah berusaha, redha dan tawakkal kepadanya. Boleh dikiranya, LENGKAP infiniti% =)


Semoga bermafaat buat semua. Berpeganglah selama-lamanya dengan al-Quran dan as-Sunnah, nescaya kalian tidak akan sesat buat selama-lamanya. InsyaALLAH, amin~

p/s: ada bakat tak amal jadi marketing manager or promoter..pasti laris!

28 Mei 2009 (Jam 2350)

Tuesday, May 26, 2009

Warkah Kehidupan

Assalamualaikum

Selawat dan salam buat Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, sahabat-sahabat baginda, para tabi', tabi' tabi'in dan para mujahid, mujahidah yang masih berpegang teguh dengan tali ALLAH. InsyaALLAH 'Warkah Kehidupan' akan mengungkap sedetik kehidupan di dunia yang fana ini.

Wahai muda mudi,

Hari ini engkau kian pupus ditelan zaman. Zaman moden? Zaman globalisasi yang semuanya sensasi, zaman teknologi yang semuanya bergantung pada gaji. Masa menelan zaman, atau zaman itu menelan kita? Fikirkan, kerana ini bukan masa untuk kita bergoyang kaki sekadar mencari rezeki, menuntut ilmu duniawi semata-mata.

Wahai muda mudi,
Berhibur tiada salahnya,
Kerna hiburan itu indah,
Hanya apabila salah memilihnya,
Membuat kita jadi bersalah..
Raihan, lagunya indah. Tetapi adakah kita hayati lirik-liriknya? Akal kurniaan Tuhan buat setiap hambaNya, bertujuan buat hambaNya berfikir akan kebesaranNya. Bukan berkhayal perkara yang tercapai dek akal, tidak tersingkap di minda.

Hembusan nafas, unjuran saraf itu milik mutlak ALLAH. Tetapi kadangkala ada diantara kita yang merosakkannya. Hembusan nafas disertai kepulan asap. Apa maknanya? cool di mata masyarakat, menjadi super model. Sesekali tidak!

Wahai muda mudi,

Kehidupan bukan mudah sepertimana yang engkau sangkakan. Sesiapa mendapati dunia ini manis, muhasabah diri anda. Seindahnya mana dunia yang anda gambarkan. Indahkah dunia jika hendak dibandingkan dengan akhirat. Waallahu'alam. Indahnya tidak terhingga di syurga ALLAH, dahsyatnya, ngerinya hidup di neraka. Mana pilihan kita?
'Sesungguhnya dunia ini pahit kerana syurga itu manis'
Orang kata, 'Sekarang hidup di dunia, kenapa nak fikir jauh sangat' Sedangkan ajalmu seperti bayang-bayang yang senantiasa mengekorimu dari belakang. Ibarat putaran jam, tiada pusingnya. Jauh sangatkah ajal kita? Panjang lagikah umur kita? Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui akannya.

Wahai muda mudi,

Orang kata, 'Ayah aku imam masjid, guru agama. Apa hak kau nak nasihat aku?' Orang berkata lagi 'Aku dulu sekolah agama, aku lebih tahu dari kau. Kenapa kau nak masuk campur urusan aku?'
Iman adalah mutiara,
Di dalam hati manusia..

Iman tak dapat diwarisi,
Dari seorang ayah yang bertaqwa,
Iman tak dapat dijual beli,
Ia tiada di persisiran pantai..

Namun tak dapat jua dimiliki,
Jika tidak kembali pada ALLAH..
Walau apapun caranya jua, engkau mendaki gunung yang tinggi, engkau merentasi lautan api. Namun, iman tidak akan engkau miliki jika tidak kembali kepada Ilahi. Kembalilah kepada ALLAH dalam apa jua keadaan sekalipun. Mahupun susah atau senang, itu semua datangnya dari ALLAH.

Wahai muda mudi,

Lagi-lagi orang kata, 'Takpelah buat jahat sedikit, last-last nanti masuk syurga jugak' Sedikit lama-lama jadi bukit. Tidak takutkah dengan azab ALLAH? Azab ALLAH bukan calang-calang, ibarat setitis air dapat menghancurkan dunia. Waallahu'alam. Na'uzubillah min zalik.
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim : 7)
Tidak mahukah kita menjadi ummat yang terbaik? Sememangnya bukan mudah tetapi ia tidak mustahil. Ibarat mutiara dilautan, jika tidak kita selami, masa kan dapat mutiara yang berharga itu. Jika tidak kita selami, bukan sahaja mutiara itu tidak kita peroleh bahkan kilauannya juga tidak kelihatan.
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah al-Imran : 110)
Wahai muda mudi,

Sedari hikmah hidup di dunia. Semoga kelak tidak kerugian bagimu di sana. Ada lagi orang kata, 'Dah ketentuanNya aku jadi begini...apa boleh buat' ALLAH tidak suka akan hambaNya yang berputus asa. Engkau boleh mengubahnya jika engkau mahu. Dia Maha Pengasih, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
"Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehingga kaum itu mengubah nasib yang ada pada mereka sendiri" (ar-Ra'ad : 11)
Wahai muda mudi,

Amalkan ISLAM secara keseluruhannya. Disana akan engkau lihat akan keindahannya. Keindahan yang sebenarnya engkau cari didunia. Bukan keindahan 'plastik' buatan manusia. Menulis tanpa suara ini tidak mampu mengubah apa-apa. Usaha didahulukan, semoga ALLAH membuka pintu hidayahNya buat kita.
"Barang siapa yang Allah menghendakinya mendapat petunjuk nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kesesatan nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah ia sedang mendaki ke langit.” (Surah Al-An’am, ayat 125)
Wahai muda mudi yang disayangi ALLAH,

Serahkan padaNya jika adanya gusar dalam hati. Dia lebih mengetahui segalaNya. Ujian ALLAH tidak akan lekang buat hambaNya. UjianNya makna sayang, ujianNya makna rindu. Sayang melihat engkau leka, inginkan engkau kembalikan pergantunganmu padaNya. Rindu, rindu mendengar rintihanmu, mendayu-dayu rayuanmu. ALLAH Maha Pemurah, Maha Mendengar akan rayuan, doa, hajatmu.
"Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu." (Surah Huud : 56)
Berkatalah orang itu, 'Ya ALLAH, kenapa seberat ini ujian yang engkau turunkan padaku. Kenapa ya ALLAH, jahat sangatkah aku' Orang bergelar manusia berbicara, 'Ya ALLAH, aku patuhi segala suruhanmu, tetapi mengapa kesusahan ini menimpaku' Siapa kita hendak mempertikaikan. Kun fayakuun (Jadi, maka jadilah) ALLAH berkehendak akan sesuatu.

Wahai muda mudi,

Hikmah dari ALLAH yang tersirat, akan terlerai simpulannya, terbongkar jua akhirnya. Tika itu akan engkau rindui ujian itu. Itu janji-janji ALLAH. Mereka yang berbuat baik, mematuhi perintahKu, akan Aku balasi dengan yang lebih baik daripada itu. Usah engkau gusar lagi. Letaklah pengharapanmu hanya padaNya.



Waallahu'alam.

Di akhir ini, kuhulurkan seinfiniti kemaafan sekiranya nukilan ini mengguris mana-mana hati. Inilah hakikat kehidupan yang perlu kita tempuhi. Jangan kita menghukum mana-mana manusia kerana kejahilannya tetapi doakanlah semoga sama-sama kita menjadi hambaNya yang cemerlang gemilang dan terbilang di dunia dan yang lebih penting di akhirat kelak, insyaALLAH. Unity of Ummah is the key to the victory, the truly one.

Alhamdulillah, Warkah Kehidupan edisi pertama (macam ada edisi lain je amal..) InsyaALLAH jika masih bernafas, akan ada edisi kedua. Semoga sama-sama kita jadi ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat. Juga moga ibrah (pengajaran) daripada nukilan ini sampai kepada hati-hati kalian, yang mencari erti kehidupan.

26 Mei 2009 : Jam 1014

Nukilan Khas oleh,
Amal Athirah binti Zarzilah

Monday, May 25, 2009

Hadith 40 - Kedua (con't)

Assalamualaikum

Entry ini adalah sambungan entry yang lepas. Ini adalah pengajaran hadith yang ke-2. Sebelum itu, =) nak cerita, petang tadi sempatlah pergi ke Jaya Jusco Keramat (agak baru la juga) alhamdulillah, buku yang dicari-cari akhirnya ditemui tapi dalam versi bahasa Indonesia. Beli juga. Bila baca, bahasanya boleh difahami, tidak seperti yang dijangka. Ni buku yang dibeli di sana:
  • Syamail Muhammad, penerbitan Jahabersa (Imam Tarmizi)
  • Siapa Khadijah binti Khuwailid, PTS (Nabilah Hasan)
  • Tatatertib Solat dan Kuasa Solat Tahajjud (Ethics of Prayers & The Power of Night Prayers)
InsyaALLAH nak habiskan buku-buku yang dah beli sebelum ni. 2 minggu cuti, sempat ke? Baca mana termampu. InsyaALLAH akan dikongsikan bersama, moga berkesempatan berbuat demikian. Teruskan dengan agenda utama entry kali ini. Pengajaran Hadith ke-2.


Pengajaran Hadith

Agama lslam adalah agama yang datang dari Allah. Oleh itu ia dipanggil agama samawi atau bersifat Rabbani, iaitu bersumberkan wahyu dari langit yang diturunkan melalui malaikat Jibril. la bukanlah agama ciptaan akal manusia yang cetek, kerana itu ia amat sesuai untuk seluruh umat manusia di setiap tempat dan zaman.

Hadis ini menerangkan tiga tunggak agama, iaitu rukun lslam, rukun iman dan ehsan. Rukun lslam lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullahilharam.

Rukun lman enam perkara iaitu percaya atau beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari Qiamat dan beriman dengan qadar baik dan buruk datang dari Allah. Kesempurnaan seorang mukmin akan tercapai apabila dia menunaikan segala rukun lslam, menyempurnakan tuntutan rukun iman dan sifat ehsan. lslam tidak sempurna kalau hanya diambil dari segi zahir sahaja, atau batin sahaja atau aspek kerohanian semata-mata.

Kesempurnaan lslam hanya akan terserlah apabila diamalkan keseluruhannya. llmu dalam lslam mestilah dipelajari secara berguru dan berdasarkan panduan yang betul. llmu agama tidak boleh dipelajari melalui mimpi dan sebagainya.

Seorang murid mestilah mempunyai adab-adab yang tinggi sebagaimana beradabnya Jibril ketika datang mengadap Rasulullah SAW untuk bertanya beberapa soalan agama. Demikian juga seorang guru mestilah mempunyai adab yang tinggi. Dia sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang dia tidak tahu. ltu adalah tanda wara' para ulama dan orang berilmu.

Hari qiamat adalah peristiwa besar yang menjadi salah satu rukun lman. Tiada seorang manusia pun yang tahu bila ia akan berlaku, walaupun Rasulullah SAW. la adalah sebahagian dari ilmu ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah SWT. Sesiapa yang mengaku tahu bila berlaku qiamat atau mengetahui ilmu ghaib, maka dia adalah seorang penipu besar.

Walaupun tarikh qiamat tidak diketahui, namun ada beberapa tanda yang menunjukkan ia hampir tiba, antaranya ialah terjadi peristiwa seorang ibu melahirkan tuannya atau bossnya sendiri, yang menjadi hamba kepada anaknya. Di akhir zaman juga berlaku peristiwa si-miskin yang papa merempat bertukar menjadi hartawan yang kaya raya.
Sehari cuti berlalu. Semoga lebih baik pada hari-hari mendatang, InsyaALLAH. InsyaALLAH 'Warkah Kehidupan' akan ditatapi oleh kalian dalam masa terdekat ini. Bukan senang mood menulis nak datang. Jam menunjukkan jam 0430, mata dah tak boleh lelap mungkin sebab dah tidur tadi. Tunggu subuh dulu, tidur sekarang, for sure tak boleh bangun subuh. Amal..amal =D Bersama memperbaiki diri, baiki kelemahan dan kekurangan. Kesempurnaan ISLAM terletak pada unity of ummah, tegurlah diri ini kerana kurangnya ilmu, salah pentafsiran..Cuma MANUSIA BIASA. Waallahu'alam.



Solat tiang agama,
Why is it 'tiang'?
Di dalam solat adanya kepercayaan,
Dalamnya juga ada zakat,
Pembersihan diri,
Penyucian jiwa,
Adanya puasa,
Batalnya solat jika makan, minum,
Seperti batalnya puasa,
Haji?
Adanya takbir,
Menghadaplah hambaNya,
Ke Kaa'bah,
Di Makkah al-Mukarramah,
Runtuh tiang ini,
Runtuhlah agama yang selama ini dibina..

Sunday, May 24, 2009

Koleksi Hadith 40 - Kedua

Assalamualaikum

InsyaALLAH hari hendak buat huraian sedikit mengenai hadith kedua daripada himpunan 40 hadith karangan Imam Nawawi. Sebelum dahulu, alhamdulillah telah selamat sampai ke rumah dengan menaiki Malaysia Airlines MH2597 pada jam 2215. Cuti bermula, insyaALLAH akan diisi sebaik mungkin. Sambung...semoga hadith yang dibincangkan kali ini, dapat diambil pengajarannya dan disampaikan kepada sahabat2 lain.

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.

Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam.

Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.

Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau.

Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau.

Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan.

Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat.

Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.

Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba memibna bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim, tarafnya adalah sahih. InsyaALLAH huraiannya dan pengajarannya akan disambung dalam post akan datang. 'Warkah Kehidupan' ditunda, perlu jana mood dulu =)

Di kesempatan ini nak ucap semoga maju jaya bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan akhir walaupun ramai dah mula cuti sekarang. Semoga ALLAH berkati usaha kalian, insyaALLAH. Waallahu'alam.


Friday, May 22, 2009

Pulang ke Kampung Halaman

Assalamualaikum

InsyaALLAH esok akan berangkat pulang ke semenanjung menemui keluarga tersayang, sahabat yang dirindui, guru-guru dan sanak-saudara yang jauh dimata, dekat di hati (mcm ikut skrip je..) Alhamdulillah result telah selamat keluar, alhamdulillah setinggi kesyukuran dirafa'kan kehadratNYA diatas kurniaNYA. Alhamdulillah, amal lulus End of Year Examination, insyaALLAH akan masuk ke 2nd year selepas cuti nanti.

Dugaan sebagai pelajar perubatan memang tidak dapat dinafikan. Kalau x menitis air mata tu memang tak sah. Pahit, masin, semua ada. Manisnya sedikit cuma yang dapat dirasa, insyaALLAH bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Semoga nikmat kesenangan kelak akan digunakan di jalan yang hak. Sesungguhnya hidup ini bukan untuk bersenang-senang. "Jika ALLAH sudah beri segala nikmat sekarang, di akhirat apa yang akanku dapat?" Pernah seorang sahabat bertanyakan ini kepada Rasulullah. Bagaimana zaman sekarang? Ada yang memikirkan sedemikian?

Semoga ALLAH meredhai, berkati setiap usaha kita. Usaha tu lebih menilai daripada result semata-mata. Ingat, hidup kita akhirnya akan kembali kepadaNYA, tujuan hidup kita bukan 'A', bukan juga 'doktor' atau sebagainya. Alangkah baiknya kita sandarkan segalanya padaNYA, dapat 'A' kerana ALLAH, membuktikan agama ISLAM menitikberatkan ilmu, ilmu untuk kemaslahatan ummah. Jadi 'doktor' kerana ALLAH, meningkatkan kesedaran akan cara hidup ISLAM walaupun sedang ditimpa musibah seperti sakit. Alangkah baik begitu. Mari bersama kita praktikkan =)

InsyaALLAH beberapa aktiviti telah dirancang sepanjang cuti ini. Rancangan penting supaya tabiat membuang masa dapat dkurangkan =) Antaranya:
  • Ziarah ke Matrikulasi Perak
  • Ziarah ke SMK Wangsa Maju Seksyen 2
  • Ziarah ke SMK Sungai Pusu, Gombak
  • Talk @ SMKSP & SMKWM2
  • Cuti-cuti Malaysia ke Kelantan
  • Kemaskini Blog2
  • Baca buku (suatu kemestian)
  • Kemas Bilik dan kawasan sewaktu dengannya
  • Cooking time! (Mama, saksikan skill baru amal memasak =>)
  • Ziarah sahabat di KUIS dan UIAM
InsyaALLAH rasa padat 2 minggu cuti final ni. Harap bermanfaat dan bertambah ilmu dan iman. InsyaALLAH akan datang 'Warkah Kehidupan' mengungkap erti kesabaran yang abstrak untuk ditentukan tahapnya.

Waallahu'alam.


p/s: sambung kemas beg..tak habis2 lagi.

Wednesday, May 20, 2009

2 Neo-Blogs

Assalamualaikum

InsyaALLAH dalam masa terdekat ini akan ada 2 blog baru dimana menempatkan himpunan laman web-laman web yang bermanfaat buat semua. InsyaALLAH.
  • Himpunan laman web Islamik (I-WOL)
  • Himpunan laman web Hal-Ehwal Perubatan (Xcell-Med)
InsyaALLAH kita cuma merancang. Actually untuk kemudahan diri sendiri, tapi tidak salah untuk berkongsi. Ilmu bukan milik sesiapa tetapi milik Dia, jangan kita bermegah dengan ilmu yang ada, tetapi bersyukurlah dengan ilmu yang ALLAH kurniakan pada kita.

Sebelum ini ada sebuah hadith yang telah dikongsikan tapi rasanya alangkah baiknya jika kita ulang semula. Hadith yang ringkas tetapi maksudnya, simboliknya menarik.

Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.” (Riwayat al-Bukhari)



Ilmu,
Ibarat pokok yang rendang buahnya,
Boleh dipetik sesiapa yang mahukannya,
Malah buahnya gugur bila tiba masanya,
Indahnya pokok yang rendang,
Rendangnya bukan ke mana,
Ia merendang ke akhirat..

Waallahu'alam

Koleksi Hadith 40 - Pertama

Assalamualaikum

InsyaALLAH dari semasa ke semasa, akan diselitkan entry hadith 40 karangan Imam Nawawi. Diharapkan dapat diabil iktibar dan pengajaran yang terkandung dalam hadith-hadith ini. InsyaALLAH. Bersama kita hayati sabda Junjungan kita, Nabi Muhammad, Kekasih ALLAH.
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih.
Antara pengajaran hadis:
Niat adalah teras segala amalan. Amalan baik mesti disertakan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara', tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik. Demikian juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seumpama kerana riya', menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.

Ulama ada berkata: Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya.


Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam lslam di mana umat lslam diperintahkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau perempuan, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya.


Walaupun hijrah sudah tiada lagi, namun hijrah dengan makna meninggalkan maksiat kepada melakukan taat, ia juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala.





Niat
Umpama tiang,
Dipasak nan teguh,
Berdiri tegak tanpa gundah,
Tetapi kadangkala,
Tatkala angin bertiup,
Tatkala hujan lebat membasahi bumi,
Ia condong ke tepi,
Disebabkan itu, ia perlu senantiasa dibetulkan,
Supaya ia tetap teguh berdiri..

Waallahu'alam

Reborn~

Assalamualaikum,

Telah sekian lama tidak menulis, baru saat ini ada sedikit kesempatan. Apa khabar sahabat2 semua? Masih bercuti barangkali. Baru lepas exam, MCQ tadi. Quite tough..level 5 punya difficulty. Alhamdulillah semua berjalan dengan selamat, kesihatan juga baik. Cuma sekarang berserah 100% pada-Nya. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Semoga semua berjaya melepasi tahap ini dengan redha dari ALLAH. Jika berjaya tanpa redhaNya pun tidak bermakna. Dari perspektif pandangan mata manusia, memang hakikatnya kejayaan dinilai dari markah keputusan. Tetapi usaha itu lebih dinilai disisi ALLAH. Ya ALLAH, kurniakan kejayaan kepada kami semua yang layak dengan usaha kami, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Sesungguhnya kejayaan yang diimpikan ini bukanlah untuk diri sendiri tetapi untuk agama, bangsa dan keluarga kami. Ya ALLAH, perkenankanlah doa dan hajat kami. Amin.

This blog is under construction..re-born time! Mungkin mengambil masa sedikit. Diubahsuai mengikut kegemaran diri. Sebelum ni pink? Actually tak berapa suka warna tu, tapi baju pink ada je =) Apa orang kata..Ekspresi dirimu..so, I choose mixed blue-white, favourite colour. Pilihan colour tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. InsyaALLAH blog kali ini lebih simple dan..here it is!

Orientasi di matrikulasi selesai sudah. Ada seorang adik di mtrikulasi yang dahulunya pelajar PDT, sekarang PST hantar sms "Salam. Akak tak datang matrik ke?" Terharu akak, adik msg.."Bukan taknak datang dik..akk tgh study week skrg. Minggu depan akk exam. Macam mana orientasi?" Dia balas, "Penat sangat la kak, tak tahu nak mengadu kat sapa" Kesian..Nasib baik akak tak jadi AJKO, habislah adik nanti. "Sabar jelah ye, dik" Akak-akak dan abang-abang AJKO, apa kalian buat sampai penat bebenor adik-adik tu..Hee

Cukup setakat ni dahulu. First entry at the reborn blog. InsyaALLAH akan istiqamah menulis dan berkongsi segala yang dapat dimanfaatkan bersama. Semoga ukhwah berkekalan, insyaALLAH abadan abadaa. Waallahu'alam.

ALLAH melihat setiap gerak geri manusia. Tetapi adakah manusia memperlihatkan dan mensyukuri nikmat ciptaanNYA? FIKIR-FIKIRKAN. KURNIAAN AKAL FIKIRAN DARI-NYA BUKAN SIA-SIA

Sunday, May 3, 2009

Hadith Pilihan [1]

Assalamualaikum,

Hadith2 buat renungan semua..tak sempat nak bincangkan apa2 perkara. Moga hadith ini dapat kita renungi dan hayati bersama, insya-ALLAH.

KETETAPAN AJAL

Dari Abdullah r.a katanya:”Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri nabi s.a.aw berdoa:”Ya Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suamiku, Rasulullah s.a.w dan dengan bapaku Abu Sufyan dan dengan saudaraku Muawiyah.” Maka bersabda nabi s.a.w :”Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tak dapat diubah) memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungannya serta rezeki yang yang sudah dibahagi-bahagikan yang tak dapat disegerakan sebelum tiba waktunya dan tak dapat diundur sedikit juapun dari waktu yang telah ditetapkan sejak mula. Seandainya engkau memohon kepada Allah Taala perlindungan dari siksa neraka atau dari siksa kubur itu lebih baik dan lebih bagus.” (Riwayat Muslim)


DURI DAN PAHALA

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:”Pada suatu ketika ada seseorang berjalan di jalan raya. Ia melihat duri lalu dibuangkannya. Tuhan memberinya pahala dan ampunan.” (Riwayat al-Bukhari)


ILMU, IMAN DAN AMAL

Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Bersama-sama kita renungkan sabda-sabda junjungan kita, Nabi Muhammad, insan mulia, lagi terpuji. InsyaALLAH 18-20mei kelak akan tercetus satu peperangan di dalam auditorium A dan makmal (End Of Year Examination) Doakan kami disini, semoga kejayaan milik kita bersama, insyaALLAH dengan redhaNYA =) Study2...(",)
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates