Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Saturday, October 25, 2014

Throwback (Part 1: Kenapa DOKTOR?)

Kemas-kemas,
Bersih-bersihkan,
Buang sawang-sawang, debu-debu yang ada.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang Menghidupkan dan yang Mematikan. Masih diberi kesempatan untuk terus bernafas dini hari, moga ia tidak sia-sia. Berbulan-bulan lamanya laman ini tidak diusik. Berapa bulan ya? Ada dalam empat bulan laman ini terbiar (kasihan).

Bukan kerana tiada idea, ilham atau tiada apa untuk dikongsikan. Bukan juga kerana tiada masa kerana ada sahaja si lagha sana-sini. Maka, kalau diikutkan tiada asbab untuk tidak menulis. Sedangkan dahulu, menulis ibarat makanan, tidak tulis terasa laparnya. Ibarat minuman, tidak menulis mula terasa dahaganya. Ibarat sistem pernafasan, tidak menulis terasa sesak di dada. Wah, dahsyat! Tetapi itulah hakikatnya.

Kali ini, dikala sedang menanti detik-detik hari konvo 7 hari lagi, mula teringat-ingat kenangan dahulu ketika di alam universiti. Ya, saya di UNIMAS, Universiti Malaysia Sarawak. Sering menjadi kekeliruan dengan UMS, Universiti Malaysia Sabah.

Lamanya menuntut ilmu di Sarawak tidak terasa apabila berada di tahun akhir pengajian, terasa masa itu sangatlah singkat. Sekelip mata sahaja sudah berada di tahun akhir, terus hilang rasa 'lamanya', 'bestnya tengok senior dah habis study', 'bilalah dapat pakai jubah konvo'. Malah, mula datang, 'seramnya nak kerja nanti', 'dah bersedia ke aku ni'. Perjuangan diteruskan hingga ke akhirnya.

Yang menjadikan ia menjadi kenangan yang tidak akan dapat dilupakan adalah dikala saya menduduki peperiksaan akhir profesional, saya sedang mengandung 4 bulan. Maka kenangan muntah-muntah, pening-pening, nangis-nangis, letih-letih, semua ada. Insya Allah akan dicoretkan di sini dalam bahagian akhir 'Throwback' nanti.

Tahun 1

Saya hanya pelajar biasa-biasa yang bakal berdepan dengan pelajar yang jauh lebih hebat. Daftar ke UNIMAS lewat seminggu, dengan keputusan saat akhir menyebabkan saya tidak sempat mengikuti Minggu Alihan Pelajar, ala-ala orientasi. (Hehe, lega!) Tetapi tidak terlepas dengan orientasi peringkat fakulti.

Bilik berada di tingkat 4. Fuh! Memang menguji kekuatan kaki yang tidak berapa kuat. Teman sebilik saya pada masa itu, Munirah atau seronok dengan panggilan Cik Mun.

Seperti tidak percaya pada masa itu sudah berada di Sarawak.
Seperti tidak percaya, saya di sini untuk belajar dalam bidang perubatan.
(Fuh! Boleh ke buat ni)

Dahulu, sayalah orang yang benci doktor. Mana tidaknya, sikit-sikit apabila ditanya hendak jadi apa, mesti DOKTOR, DOKTOR, DOKTOR. (Tak suka!)

Saya tidak suka pergi klinik/hospital.
Saya tidak suka makan ubat (tak reti telan).
Sayalah orangnya.

Tetapi,
Betullah bahawa hidup ini bukan kebetulan tetapi ketetapan.
Ketentuan yang telah diaturkan oleh Tuhan.

Di tahun satu ini, sering ditanya, KENAPA NAK JADI DOKTOR? Pada masa itu, mula tertanya-tanya. Kenapa ya? Sebab ini pilihan saya (sebab tak muhasabah). Sebab saya hendak tolong orang (common sangat). Sebab kerjaya ini lain daripada yang lain (apa yang lainnnya).

Antara asbab yang selalu diberikan;
"Sebab mak ayah suruh, nak realisasikan impian mak ayah."
"Sebab nak bantu ramai orang, nak berkhidmat untuk masyarakat."
"Sebab kerjaya ni lain, want to be different."

Asbab 1 : "Sebab mak ayah suruh, nak realisasikan impian mak ayah."

Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ada yang inginkan anak seorang doktor, agar di hari mendatang, anak ini dapat menjaga, merawat mereka. Hidup anak mereka akan senang sebab income bulanan dalam kerjaya ini boleh tahan.

Namun begitu, kesedaran akan minat anak-anak perlu diberi perhatian, ibu bapa adalah sebagai pembimbing, penunjuk arah. Dan Allah akan memelihara anak-anak kita dalam apa jua bidang yang mereka ambil, pada masa inilah tawakkal si anak dan ibu bapa perlu diletak setinggi-tingginya.

Jika kerana nama, pangkat dan status, itu tidak kekal lama. Dan itu bukanlah tujuan sebenar adanya doktor, mereka adalah sekadar perantara yang punya amanah dan tanggungjawab yang besar. Mereka merawat, bukan menyembuhkan. Bangga dengan 'DR.' di hadapan nama? DR = Da'ie Rabbani. Ya, besar peranannya. Maka, dengan itu setiap daripada kita adalah DR.

Asbab 2  "Sebab nak bantu ramai orang, nak berkhidmat untuk masyarakat."

Ingat doktor sahaja yang dapat tolong orang? Ingat doktor sahaja yang dapat menabur bakti kepada masyarakat? (marah doktor nanti ni). Orang lain tak dapat tolong?

Setiap daripada kita punya peranan untuk membantu, untuk berkhidmat untuk keluarga, saudara mara dan orang awam.

NAK atau TAK NAK,
TAK MAMPU atau TAK MAHU?

Itu persoalannya. Buka mata untuk melihat setiap peluang yang ada untuk MEMBERI, membantu apa yang mampu. Banyak sangat peluang, setiap kerjaya itu dapat membantu.

Guru,
Membantu anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat pada masa akan datang. Mengasah bakat dan menyuburkan bakat sedia ada, menanam minat pelajar kepada perkara-perkara yang bermanfaat.

Arkitek,
Bantu orang sekeliling dengan struktur bangunan yang memudahkan orang awam yang menggunakannya. Bantu orang kurang upaya untuk menggunakan kemudahan yang ada. Bantu menerapkan nilai Islam dalam seni bina yang dibuat. Kan cantik!

Promoter,
Bantu pelanggan memilih produk yang baik dan sesuai, menepati syara'. Mencadangkan pakaian-pakaian yang sempurna dalam penutupan auratnya. Mencadangkan produk-produk yang tahan lama. Ya, jujur penting dalam segala hal.

Pengawal keselamatan,
Bantu menjaga keselamatan penduduk setempat. Banyak jasanya! Kita boleh buat sepertimana mereka buat? Berjaga malam bagi memastikan keselamatan kawasan yang dijaga. Memang awesome! Sangat kagum dengan mereka ini.

Setiap kerjaya itu berperanan untuk membantu. Tidak ada yang tidak.

Asbab 3 : "Sebab kerjaya ni lain, want to be different." 

Apa yang different nya? Tidak ada yang luar biasa. Kami makan, minum, tidur. Masih ke shopping complex, beriadah dan sebagainya.

How to be different?

Bezanya hanya taqwa. Bukan pangkat, wang ringgit atau rupa paras. Dan ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Maka, perbaiki diri kita untuk menjadi someone different :)

DOKTOR adalah manusia biasa dan semua orang boleh menjadi doktor bergantung pada pentafsiran masing-masing. Doktor haiwan, doktor gigi, doktor kereta, doktor mesin, doktor cinta, doktor hati dan sebagainya. Yang pentingnya, setiap daripada kita punya peranan masing-masing. Setiap daripada kita bertanggungjawab terhadapnya.

Semua orang perlu dihormati, tiada sebab untuk direndah-rendahkan. Moga kita tergolong dalam golongan khalifah yang ingat akan janji kita di alam ruh dahulu. Insya Allah.

Cukup dahulu setakat ini, bakal bersambung, versi #throwback :)
Insya Allah, moga bermanfaat.

#Auni tidur, ummi menulis#

0 Buah fikiran:

 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates