Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Monday, May 30, 2011

Jalinan

Detik-detik akhir di semenanjung, membuatkan jari-jemari ini untuk terus menulis dan menulis lagi. Ya, selepas ini mungkin juga blog ini akan sedikit terabai. Namun, diri ini akan terus berusaha agar blog ini tidak kosong, tiada sawang-sawang, biar nampak kemas selalu.

Jalinan.

Satu ikatan, atau bonding yang begitu erat. Bukan ada pada semua tempat, susah untuk ditemui dan juga dirasai. Satu nikmat yang bukan di semua tempat boleh dapat.

إِنَّمَا الْمًؤْمِنُوْنَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوْا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوْا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ

Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara. Kerana itu, damaikanlah kedua saudara kalian, dan bertakwalah kalian kepada Allah supaya kalian mendapatkan rahmat. [Surah al-Hujurat : 10]

Sewaktu di MPPB tahun lalu dan tahun ini, punya keunikan tersendiri. Ya, tahun ini, jalinan yang dirasai sangat mantap. Moga-moga rasa ini bukan sementara yang akan hilang sedikit demi sedikit sehingga tidak meninggalkan apa-apa kesan lagi. InsyaAllah.

Moga ianya terus mekar dan mewangi. Walaupun pada waktu mendatang kita tidak lagi bersua, namun titipkanlah doa sesama kita, moga-moga berjaya kita-kita ini dalam menjalani kehidupan sementara ini hingga akhirnya menuju matlamat yang telah kita tetapkan.

Pernahku berpesan pada adik-adikku di matrikulasi baru-baru ini,
"Adik-adik, akak ada satu formula belajar berkesan, SATU,
S-sedia

A-awal
T-tumpuan

U-usaha
Maka, amalkanlah dengan sebaiknya, dan akhirnya kepada Allah kita berserah."


Namun apabila merenung kembali apa yang telah aku sampaikan itu, SATU itu boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Ya, SATU boleh menjana kehidupan seharian kita supaya lebih fokus pada matlamat akhirnya.

Sedia. Sedia menghadapi apa jua rintangan yang bakal kita lalui, tempuhi. Susah atau senang, kita-kita perlu sentiasa bersedia untuk berfikir dan bertindak dengan sewajarnya.

Awal. Persediaan itu perlulah awal, jangan bertangguh-tangguh untuk bersedia. Awal dalam menentukan matlamat hidup, awal dalam melakukan perubahan dalam pembaikan diri. Semua perlu awal, rugilah andai terlewat.

Tumpuan. Siapa kata hidup ini tidak memerlukan tumpuan? Hidup perlu fokus, andai fokus itu hilang, maka semuanya menjadi tidak tentu arahnya.

Usaha. Usaha itu punya pelbgai cara, dengan kerah tenaga lahiriah dan juga dengan doa serta tawakkal kita hanya kepadaNya. Jangan kita salah ertikan usaha itu dengan hanya kerah tenaga yang akhirnya cuma kepenatan. Tetapi usaha itu lebih daripada satu ungkapan yang hanya memerlukan kita bergerak.

Usaha dengan doa,
Masanya akan tiba,
Dengan restu Ilahi,
Kelak pasti akan ditemui.

Dalam kita berusaha ke arah SATU matlamat ini, ingatlah akan persaudaraan yang perlu dipelihara sebaik-baik seperti memelihara bunga-bungaan di taman yang memerlukan baja bila tiba masanya, juga perlu disiram setiap hari bagi menjaga kesegaran yang ada.

Maka,
Bertegur sapalah dikala bersesempatan,
Sampaikan salam dikala kerinduan,
Lontarkan senyuman dikala bersua muka.

Peliharalah ia sebaiknya.

"Jangan kamu memutuskan hubungan, tidak bertegur sapa, membenci dan berhasad dengki. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Islam tidak menegur saudaranya lebih daripada tiga hari." [Riwayat al-Bukhari]

Seandainya berkata-kata, katalah perkataan yang baik-baik.

"Dan hendaklah kamu berkata kepada manusia itu dengan kata-kata yang baik (dengan kata-kata yang lembut dan tidak menyakitkan hati)" [Surah al-Baqarah : 83]

Ya, manusia itu punya perasaan, jagailah ia.

Andai terluka,
Kesembuhan itu pasti meninggalkan kesan,
Maka, jangan biarkan ia dilukai.

Ukhwah itu indah!

Kentalkan hati,
Tingkatkan prestasi!

Waallahua'lam.
Muhasabah diri itu kunci mukmin sejati yang sentiasa sedar diri.

30/5/2011 Detik waktu itu tidak pernah berhenti, sebab itu kita perlu bergerak.

Saturday, May 28, 2011

MPPB 2011/2012


Alhamdulillah selesai sudah Minggu Pengurusan Pelajar Baru 2011/2012 yang pasti meninggalkan sejuta kenangan buat semua AJKO-AJKO serta adik-adik yang kini meneruskan perjuangan di sana. Segala penat, lesu dan sakit itu ditutup dengan satu kenangan terindah yang tidak mungkin dilupakan.

Ya, ini kali ke-4, aku bersama adik-adik dan inilah yang terbaik. Nampaknya MPPB ini setiap tahun semakin baik dan mantap walaupun hakikatnya kekurangan itu sentiasa ada tetapi itu bukan bermakna kita lemah atau tidak berusaha untuk memberi yang terbaik.



AJKO-AJKO 2011/2012 : Terbaik!

Di sini segala kenangan ku lekat-lekat, moga suatu hari nanti aku akan kembali ke sana dalam keadaan yang lebih baik, untuk memberi yang terbaik kepada adik-adik semua. Selalu aku berpesan kepada adik-adik,

"Kami, AJKO-AJKO datang ke sini bukan untuk saja-saja tetapi untuk adik-adik. Kerana dahulu, kami pernah menerima pelbagai ilmu, kenangan di sini dan sekarang tiba masa untuk kami memberi ilmu, nasihat kepada adik-adik semua."

Ya, aku lihat semangat mereka bak api yang membara.
Tetapi aku risau seandainya baraan api itu akan malap.

Ya, aku lihat cahaya yakin pada wajah-wajah mereka.
Tetapi aku risau seandanya cahaya itu tidak lagi bersinar.

Wahai adik-adikku,
Hidup ini adalah sementara dan inilah peluang untuk adik-adik mengubah nasib diri, keluarga adik-adik. Bukan semua orang memdapat peluang seperti ini. Oleh itu, tiada sebab untuk berlengah, membuang masa.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka." [Surah Ar-Ra’ad, Ayat 11]



Medan perjuangan mula bersahut, maka sambutlah sahutan itu. Ayuh langkah, usah gentar. Langkah ke hadapan dengan mengambil segala iktibar di belakang.

Bagaimana mahu hadapi segala apa yang ada dihadapan?

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." [Surah Al-Imran ayat 200]

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" [Surah Al-Baqarah ayat 45]



Ya, setiap persoalan akan ada jawapan. Semuanya bergantung sama ada kita mahu menerimanya atau tidak. Diri kita mampu memilih, pilihan itu ada di hadapan mata. Maka telitilah setiap satu pilihan itu dengan baik.

Di MPPB kali ini, ku didatangi seorang adik yang ku anggap ujian buatku. Persoalan 'aqidah ditujukan kepadaku dengan mindanya yang tertutup, hanya hidayah Allah yang mampu membuka hijab padanya untuk mengenali sendiri agamanya ini.

Ya Allah, Bukalah hati adik ini, beri peluang padanya untuk mengenali agama.

Dia membuatku termenung satu malam, menitis air mata. Rupa-rupanya masih ramai yang perlukan bimbingan tetapi kita? Kita angkuh dengan ilmu yang kita ada, sehingga mereka menjauhkan diri daripada kita. Di mana kita di saat mereka memerlukan?

Maka sedarlah bahawa ISLAM itu milik semua.

1 Malaysia!

Setiap daripada kita perlu ada rasa tanggungjawab, walaupun sedikit, namun perlu ada! Kerana dalam tanggungjawab itu ada amanah yang perlu dilaksanakan. Kerana itu juga aku menerima tanggungjawab dalam unit didiplin bagi MPPB kali ini walaupun hakikatnya kelemahan itu selalu ada untuk membuat kita rasa lemah.

Namun, di mana datangnya pengalaman jika bukan daripada satu peristiwa yang tinggal kenangan yang bermula daripada satu langkah.

Maka, mulakan langkahan yang penuh dengan harapan.

Kepada siapa patut aku, kita-kita berharap?

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." [Surah At-Taubah ayat 129]

Fikir-fikirkan. Masa kian suntuk, namun sungguh susah mahu sedar.
Waallahua'lam.

Inilah antara kenangan kami bersama.
Main lekat-lekat, biar selalu ingat. InsyaAllah.

Selepas BBQ :)

Abg Pian & Der Pink! (apa yang sedang berlaku?)

Selepas riadah :)

K.A.M.I 2011/2012

Semoga susah senang yang kita lalui bersama, sentiasa terpahat d ingatan dan mngeratkan lagi ukhwah yang terbina. InsyaAllah. Semoga berjaya semua. Amin :)

29/5/2011 Di rumah, menghitung detik pulang ke sana.

Perjuangan baru bakal ku tempuh dengan penuh azam dan iltizam :) UNIMAS ~ 5 Jun (Dr. Amal Athirah Zarzilah 2014, InsyaAllah)

Friday, May 20, 2011

Puncak

Pokok amal adalah Islam,
Tiangnya adalah solat,
Puncaknya adalah jihad.

Daripada Mu'az bin Jabal r.a berkata bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:

"Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku tentang suatu amal yang dapat memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku daripada neraka"

Nabi SAW menjawab: "Engkau bertanya tentang perkara yang besar. Namun sesungguhnya ia adalah mudah bagi orang-orang yang dimudahkan oleh Allah S.W.T. Sembahlah Allah dan jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, kerjakanlah solat, keluarkanlah zakat, berpuasalah pada bulan Ramadhan, dan kerjakanlah ibadah haji ke Baitullah."

Kemudian Baginda bersabda: "Inginkah engkau ku beri petunjuk akan pintu-pintu kebaikan?"

Puasa itu adalah sebagai perisai,
Sedekah adalah amal yang menghapuskan kesalahan sebagaimana air yang memadamkan api,
dan Solatnya seseorang di tengah malam.
Kemudian Baginda membaca ayat pada surah as-Sajdah, ayat 16-17: 'Mereka merenggangkan diri daripada tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana mengerjakan solat tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.

Maka, tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang teah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan amal-amal soleh yang telah mereka kerjakan.'

Kemudian Baginda bersabda: "Pokok amal adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad."

Kemudian Baginda bersabda lagi: "Mahukah engkau kuberitahu tentang kunci daripada semua perkara itu?"

Mu'az bin Jabal menjawab: "Mahu, wahai Rasulullah."
Bold
Baginda lalu memegang lidahnya dan bersabda, "Jagalah (lidah) ini."


Lidah biawak :)

Baginda bersabda: "Semoga ibumu kehilanganmu (ungkapan hairan). Bukankah tidak ada yang menjerumuskan orang ke dalam neraka melainkan hasil daripada ucapannya (yang berbentuk maksiat)?"

[Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi]

Satu hadis ini InsyaAllah cukup untuk memberi kita kefahaman kepada kita-kita untuk tingkatkan amal dengan mempraktikkan Islam itu secara keseluruhannya. Juga, memperbaiki kualiti solat kita, supaya memberi kesan, impak maksima pada diri dan kehidupan kita.

Mengenai solat, umpamanya Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara jahat dan mungkar.” [Surah al-Ankabut, ayat 45].

Akhir pada puncaknya, memerlukan satu kesungguhan yang berterusan, bukan hanya sehingga pertengahan jalan. Untuk tiba di kemuncak itu, memerlukan usaha, bukan putus asa. Memerlukan semangat untuk bergerak, bukan semangat hanya dalam kata-kata.

Kena ketuk dengan tulisan sendiri.
Kena ketuk baru sedar.
Kalau tak ketuk?

InsyaAllah esok akan berangkat semula ke Matrikulasi Perak, Gopeng. Adakah aku mampu ketuk diri ini lagi apabila melihat kesungguhan adik-adikku di sana? atau aku akan ketuk adik-adik ini supaya sedar, kena bangun dari lena dan teruskan usaha dengan kesungguhan.

Align Center

Dalam berketuk-ketuk, perlulah lidah itu dijaga agar tidak menuturkan hal-hal yang sia-sia. Biar kata-kata jadi hikmah, jadi nasihat pada orang lain. Bukan kerana diri ini sempurna, tetapi untuk mengingatkan diri bahawa kita-kita ini bersaudara. InsyaAllah.

Waallahua'lam.

20/5/2011 InsyaAllah, doakan perjalanan selamat pergi dan pulang.
Drive? No! Tiada teman.
Jawapannya, nak bas :)

Tuesday, May 17, 2011

3 Tahun

InsyaAllah, setelah lebih seminggu tidak buat semak di blog sendiri, maka hari ini aku menulis kembali. Alang-alang menulis, biar panjang. Setelah terlalu banyak perkara yang mahu dikongsikan, namun satu pun tidak tertulis. Alangkah ruginya tidak dapat berkongsi. Ya, terlalu banyak, hingga banyak ilmu, kisah-kisah, idea terbang pergi jauh-jauh. Ya, hendak menulis bukan suatu perkara yang mudah, bukan sekadar menulis.

Dalam penulisan perlu ada 'ruh penulisan' itu sendiri. Bukan menulis hanya sebab mahu menulis, conteng-conteng. Tetapi kadang-kadang terconteng juga. Blog ini juga tempat aku memuhasabah diri, diri kita tidak sempurna, seringkali terlupa dan leka. 'Ruh penulisan' itu bukan untuk menjadikan apa yang ditulis itu bernyawa, tetapi memberi kesan pada pembaca, sekurang-kurangnya kepada diri sang penulisnya sendiri yang turut membaca.

InsyaAllah, cukup pendahuluan setakat itu :)
Sedarkan sang penulis (aku) bahawa menulis itu bukan saja-saja.
Kerana yang saja-saja itu hanya sia-sia.

3 tahun.
Punya banyak cerita disebaliknya.

Ya, menjadikan dia hari ini dengan segala aturanNya.
Ya, ini kisah dia yang kini 22 tahun.

3 tahun, umur dia ketika itu. Suka bermain seperti kanak-kanak lain. Berlari ke sana ke mari, melihat abang berbasikal, hanya melihat. Mungkin umur terlalu muda untuk berbasikal seperti abang-abangnya. Dia membesar dan membesar seperti kanak-kanak lain.

Ya, yang dia paling ingat, semasa kecilnya dia punya satu kegemaran. Seperti kanak-kanak lain, punya hobi sendiri. Bukan baca buku, bukan main basikal. Ketika umurnya 5 tahun, bukan 3 tahun, dia suka membasuh pinggan. Walaupun sinki itu tinggi, itu bukan halangan.

'Kerusi kecik kan ada. Boleh panjat.'

Setiap kali mahu basuh pinggan mesti ambil kerusi kecilnya. Apabila sudah tinggi sedikit, mula menjingkit kaki pula, tidak perlu guna kerusi lagi. Namun, pada suatu hari, pinggan yang dibasuhnya terlepas daripada pegangannya, lalu pecah.

Dia menangis, menangis tanpa dimarahi, menangis walaupun tiada yang pukul-pukul sebab pinggan pecah. Dia menangis sebab takut, takut dimarahi, takut dipukul. Automatik menangis.

Itulah situasi zaman kanak-kanak dahulu. Apabila melakukan kesalahan sedikit, cepat sungguh rasa bersalah, cepat betul menangis.

Bila meningkat dewasa, kenapa susah mahu rasa bersalah? Apabila melakukan kesalahan secara terang-terangan, tiada terdetik rasa bersalah. Namun, kadangkala menyalah insan yang tiada kena mengena, tidak bersalah. Apabila melakukan kesalahan tanpa disedari orang lain, mula tutup kesalahan, mula lari daripada masalah yang ditimbulkan.

Itu sesama manusia. Bagaimana pula dengan Pencipta? Yang Maha Mengetahui segala apa yang terbuku dalam hati-hati hamba yang diciptaNya.

Betullah, manusia itu pelupa.

Lupa bahawa agama itu nasihat,
Lupa bahawa al-Quran, as-sunnah itu panduan.


Ya, dia banyak belajar daripada zaman kanak-kanaknya.



Dia suka makan gula-gula. Tidak hairanlah giginya berlubang, rosak, tidak cantik. Dia suka makan gula-gula yang manis, yang masam.

Dia teringat, gula-gula itu ada pelbagai rasa, perisa. Suatu hari dia makan gula-gula yang awalnya masam, kemudian manis.

Masam gula-gula itu sementara,
Manis gula-gula itu juga sementara,

Kerana akhirnya rasa itu akan hilang,

Semua rasa tiada lagi.


Begitulah hidup kita, kesusahan mahupun kesenangan itu tidak pernah kekal kerana ada penghujung dari segala pengakhiran. [hati-hati juga, manis itu boleh merosakkan gigi]


********************

Ya, 3 tahun. Sudah 3 tahun dia bergelar pelajar perubatan di Bumi Kenyalang. Banyak yang dipelajari. Melihat pesakit, melihat sanak-saudara yang menziarahi, melihat nurse-nurse yang bertungkus lumus, doktor-doktor yang dedikasi.

Bila melihat perlu berfikir.

Cuma satu perkara,

Ramai dikalangan intelektual, para cerdik pandai, tidak lagi percaya Tuhan, terpesong daripada landasan aqidah yang sebenar. Kenapa? Ya, kerana mereka hanya menggunakan logik akal dalam beragama. Meninggalkan segala panduan yang disarankan oleh Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW.

Berhati-hati.


Dia perlu sedar diri, 3 tahun itu punya banyak erti.

Dia kena sedar,
Selepas 3 tahun ini, dia bakal berhadapan dengan nyawa pesakit.
Bukan menentukan hidup mati, tetapi perantara Allah.

Dia kena sedar,
3 tahun lagi, dia bakal berdepan dengan ramai orang, lebih ramai daripada orang-orang yang ditemuinya semasa belajar. Lebih berganda-ganda daripada itu.
Orang-orang ini bukan saja-saja datang, tetapi datang dengan aturan Allah. Maka, di situ terletak tanggungjawab untuk memberi kefahaman bahawa,

Kesembuhan hanya daripada Allah. Ubat itu hanyalah asbab kepada kesembuhan.
Namun, manusia itu perlu berusaha.

Dia kena sedar,
Niat belajar 3 tahun akan datang ini perlu selalu diperbaharui.
Bukan demi 'pass' semata-mata tetapi demi ilmu yang Allah telah amanahkan.
Ilmu biar kekal, serap baik-baik hingga ke hujung akar.

Ya, sangat-sangat penting,
Kena sedar selalu!

Waallahua'lam.

18/5/2011 Muhasabah lagi. Mahu jadi hamba yang bagaimana. Adakah yang terus lupa dan tidak berguna?

'Amal! Turun, ada pisang goreng.'

Terima kasih pada dia kerana banyak mengajar diri untuk sedar. InsyaAllah.

Thursday, May 5, 2011

Keliru

Keliru,
Sering buat diri buntu,
Buntu pemikiran,
Yang sebelum ini panjang,
Tajam dalam hujahan.

Keliru,
Apa yang diri mahu,
Atau hanya memuaskan nafsu,
Nafsu yang tidak pernah lesu,
Hanya pada-Mu tempat mengadu.

Keliru,
Apa yang mahu disampaikan,
Sehingga kini menanti,
Jawapan yang pasti,
Kian lelah menunggu,
Kerana tanggungjawab akhirat itu lebih penting,
Melebihi dunia, penuh tipu daya.

Keliru,
Buat jiwa yang tenang, kini goncang,
Cuma bertemankan harap pada Yang Maha Esa,
Berserah pada Yang Maha Kuasa,
Bergantung pada Pencipta Yang Maha Agung.



Keliru. Kenapa perlu keliru? Mungkin juga manusia itu berpandukan nafsu. Mungkin juga kerana tidak mampu membuat keputusan. Mungkin juga banyak pilihan, sehingga keliru disebabkan pandangan terhijab kerana tidak betul-betul berserah padaNya. Tidak betul-betul berikhtiar ke arah yang dihajati. Ya, segala itu mungkin.

Hati mula keliru sama ada mahu ikutkan arahan sang nafsu ataupun sang Pencipta. Ya, nafsu kena ingat, hati ini dibawah kendalian Allah, hanya Allah. Maka diri yang mempunyai hati, didik hati biar tidak layu, lalu mati kerana kerana baja nafsu yang tidak berkualiti itu.

Rasulullah pernah berdoa;

حدثنا أبو معاوية عن الأعمش عن أبي سفيان عن أنس قال : كان النبي صلى الله عليه وسلم يكثر أن يقول : { يا مثبت القلوب , ثبت قلبي على دينك , قالوا : يا رسول الله , آمنا بك وبما جئت به , فهل تخاف علينا ؟ قال : نعم , إن القلوب بين إصبعين من أصابع الله يقلبها

Diceritakan oleh Abu Mu'awiyah daripada Al-A'masy daripada Abu Sufyan daripada Anas bahawa Nabi SAW banyak berdoa: Wahai Tuhan yang menetapkan hati, tetapkan hatiku atas agamaMU. Mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, kami beriman denganmu dan apa yang kamu bawa, apakah kamu masih takut lagi tentang kami?Jawab baginda: Ya, sesungguhnya hati-hati manusia berada di antara dua jari Allah, Dia membolak balikkannya.
[Sunan Ibn Majah]

Ya, sesungguhnya hati-hati manusia dalam pengetahuan Allah. Mulut kata tidak, hati lain pula katanya. Mulut kata ya, hati menidakkan semua. Namun, Allah terlebih dahulu mengetahui segalanya, setiap penjuru hati kita.

Sambil buat blog walking, terjumpa satu ungkapan. Sama-sama kita renungi;
Menjadi telinga lebih baik dari menjadi bibir kerana bibir adalah senjata menyakitkan hati yang sedia luka.
Waallahua'lam apa yang mahu disampaikan oleh hambaNya yang mengungkapkan kata-kata ini. Namun, setiap anggota deria ini ada kurniaan Allah. Hadiah buat manusia, supaya manusia itu boleh mendidik, mengawalnya. Siapa kata kita tidak boleh menjadi pendidik? Kita-kita adalah pendidik diri kita. Mahu jadi pengawal pun tidak salah. Bibir boleh melukakan, telinga yang mendengar akan cuba mentafsir apa yang dikata, dan disampaikan ke hati, lalu terluka pula.

Manusia itu punya tanggungjawab pada diri sendiri, maka bertanggungjawablah! Manusia itu punya tanggungjawab kepada keluarga, bangsa dan agama, maka bertanggungjawablah!

Hati kita-kita perlu tetap, perlu teguh agar tidak mudah keliru, apatah lagi tergugat. Hati yang ada rasa tertipu pula, jangan hanya menyalahkan si pekata dusta itu tetapi sedarlah bahawa hati itu sendiri yang telah kalah, tewas dengan kata-kata nafsu sendiri.

Maka, tetapkanlah hati.



Alhamdulillah, tenang apabila mengingatkan diri sendiri yang lupa. Bersedih tanpa alasan yang kukuh itu adalah sia-sia. Ya, rasa keliru juga kerana hati tidak betul-betul tetap, tidak betul-betul yakin. Tinggalkanlah khilaf itu, kerana kelak ditakuti akan menjadi dosa.

Positifkan minda untuk jadi manusia yang bermanfaat.
Untuk diri sendiri, juga untuk semua.
InsyaAllah.

Waallahua'lam.

5/5/2011 Di atas dunia ini, aku bukan siapa-siapa. Hanya seorang insan yang mencari jalan pulang yang punya redhaNya.

Wednesday, May 4, 2011

Merci

Alhamdulillah, jari-jemari masih pantas menari-nari walaupun sudah lama juga tidak mengemaskini laman sesawang ini. Walaupun hakikatnya, tidaklah terlalu lama.

Alhamdulillah, terlalu banyak diri ini pelajari di rumah. Walaupun hakikatnya, diri ini juga merindui sahabat yang sedang berjuang di kala ini. Akurlah, bahawa perjalanan hidup setiap seorang daripada kita adalah berbeza.

Alhamdulillah, dapat bersama keluarga tercinta. Jalani hidup bersama untuk beberapa minggu ini sebelum berangkat semula ke Bumi Kenyalang bagi melaksanakan tanggungjawabku sebagai pelajar, anak, juga HAMBA.

Alhamdulillah, Allah memberi diri ini peluang itu mendalami ilmuNya. Lihat manusia lain? Mereka mahu, tetapi mereka tidak mampu. Kita? Kita mahu, kita juga mampu, cuma kita buat-buat tidak tahu. Kita lupa.

Alhamdulillah, kini mampu bergerak, walaupun hakikatnya lebih gemar bersembunyi di dalam rumah, menambah berat badan, aktiviti bina badan. Mampu bergerak dengan teman yang belum ku beri nama. Apakah nama yang sesuai bagi si putih ini?

Alhamdulillah, ukhwah yang dulu hanya biasa-biasa ini, bakal dieratkan kembali. Ya, sahabatku, Dila bakal menjadi isteri orang tidak lama lagi. InsyaAllah, semoga majlisnya dilimpahi rahmat kasih sayangnya. InsyaAllah, nantikan kedatangan kami (TB22) kumpulan tutorial matrikulasi 3 tahun dahulu.

Alhamdulillah, begitu banyak input yang ku peroleh sepanjang cuti ini. Namun, masih tidak mampu untuk berkongsi kesemuanya, mungkin kerana tidak tahu mahu dimulakan daripada mana. InsyaAllah, perkongsian yang sedikit mampu memberi kesan yang besar, kerana tidak yang bermula daripada besar jika tidak daripada kecil.

Alhamdulillah...

Alhamdulillah...

Alhamdulillah...

Terima kasih Allah.

***************

Dua hari lepas, diberi kesempatan oleh Allah untukku bersembang dengan seorang mak cik, tidaklah begitu lama aku mengenalinya tetapi aku banyak belajar daripada dia. Ya, saat ini aku merindui dia tetapi apa kan daya, kami jauh. Dia kuat, walaupun dalam nadanya dapat ku kesan rasa sayu itu.

Mak cik,
Seperti ada ikatan antara kita,
Namun,
Diri ini perlu sedar,
Umat Islam itu bersaudara,
Tiada apa yang mampu memutuskannya,
Ya, di dunia ini.

InsyaAllah, sebelum pulang ke Sarawak, akan ku berusaha bertemu dengan mak cik. Walau dengan apa cara sekalipun, dengan izin Allah juga. InsyaAllah. Ini masanya untuk bawa cik Putih berjalan-jalan.

Terima kasih Allah.

***************



InsyaAlah artikel kali ini diambil daripada IluvIslam, moga bermanfaat untuk kita lebih sedar serta tahu untuk mampu.

Apakah yang akan diucapkan sekiranya kita diberi penghargaan?

Merci... (bahasa parsi)
Syukran jazilan...
Terima kasih...
Thank you..

"Terima kasih sangat-sangat. Tak tahu macam mana nak balas segala kebaikan awak pada saya. Terima kasih sangat-sangat."

Bagaiman pula jika kita melakukan kesalahan dengan orang yang kita sayang?

Asiftu, ya akh/ukht...
Maafkan saya..
I'm sorry...

"Maaf..maaf sangat-sangat pasal kejadian tadi. Janji tak buat lagi. Maafkan saya ya. Maaf sangat-sangat."

Semakin banyak penghargaan yang diberi, semakin banyak juga perkataan terima kasih yang dituturkan. Rasa berterima kasih ini akan mudah hadir tanpa dipaksa dan tidak perlu di asuh kerana ia adalah fitrah. Ya, fitrah manusia.

Sebaliknya jika kita melakukan kesalahan. Lebih-lebih lagi dengan orang yang disayangi. Pasti sahaja, perkataan maaf itu segera dituturkan tanpa diminta. Itulah fitrah manusia.

InsyaAllah kali ini lebih fokus, berbicara perihal 'terima kasih'.

Justeru sifat berterima kasih kepada orang yang berjasa yang lahir pada diri seorang insan itu adalah juga suatu tuntutan syarak. Daripada sifat berterima kasih ini, maka lahirlah perasaan kasih sayang dan kemesraan. Namun apabila perasaan ini hilang ataupun seolah-olah tidak wujud lagi, ia hanya mengundang kebencian dan perpecahan. Di situ bakal wujudnya perselisihan dan pertelingkahan.

Bukan itu sahaja. Rasulullah SAW telah menjadikan sikap berterima kasih sesama manusia ini sebagai tanda seorang itu bersyukur kepada Allah. Sabda baginda SAW daripada Abu Hurairah r.a:

Mafhumnya: "Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah". (Hadith riwayat Ahmad dan At-Tirmizi. Kata Al-Albani: Sahih)

Itu sesama kita, manusia.

Bagaimana pula kita dengan ALLAH SWT yang Maha Memberi Nikmat kepada seluruh mahkluk-Nya? Dialah pemberi nikmat yang sebenar, malah menjanjikan tambahan nikmat kepada yang sentiasa bersyukur/berterima kasih sebagaimana Dia menjanjikan azab yang keras untuk yang tidak bersyukur.

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
[Surah Ibrahim 14 : 7]

Seharusnya sebagai seorang muslim tidak kira apa juga situasi samada di bantu, di beri nikmat malah apabila di timpa musibah dan pelbagai lagi situasinya, haruslah sentiasa berterima kasih/bersyukur kepada ALLAH, kerana didalamNya terkandung 1001 pelajaran dan peringatan buat mereka yang sentiasa berfikir.

Sedarkah kita bahwa ALLAH menjaga kita siang dan malam, menjaga kita 24 jam. ALLAH melayani kita baik saat kita sedar atau ketika kita tidur, ketika kita ingin melangkahkan kaki, ALLAH menggerakkah kaki kita, ketika kita ingin memegang sesuatu , Allah pun menggerakkan tangan kita, ketika kita ingin merasakan makan ALLAH membantu kita memasukkan sampai kedalam perut kita sehingga kita bisa merasakan kenyang.

Bayangkan apa jadinya bila ALLAH menarik nikmat-nikmat ini kembali? Semuanya jadi serba tidak kena.

SubhanALLAH..ALLAHuakbar

Oleh itu, berterima kasihlah dan sentiasa bersyukur, tapi jangan hanya syukur dimulut, tetapi perlu dirasakan dalam hati, tidak hanya didiucapkan tetapi dihayati, dirasakan sampai didalam hati, dalam rasa kita akan lebih baik lagi bila kita bersyukur dengan memperbaiki kualiti dan kuantiti ibadah kita, meningkatkan kekusyukan dalam solat wajib, meningkatkan solat sunnah, berdzikir dan pelbagai lagi.

Semoga Allah menjadikan kita hamba yang bersyukur dan menganugerahkan nikmat-Nya yang melimpah ruah. Juga mudah-mudahan kita menjadi umat yang bersatupadu diikat oleh perasaan kasih sayang dan disulami rasa terima kasih sesama kita.

Merci Allah.
Terima kasih Allah.

Waallahua'lam.
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

 
Blogger Templates