Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Thursday, December 30, 2010

Y 370 : Terkesan



Umar Abdul Aziz dan Bumi Cinta, dua buah buku yang sempat dimiliki semalam selepas lebih kurang 1 jam berlegar-legar dalam Popular Delta Mall, Sibu.

Alhamdulillah.

Moga-moga aku dapat manfaat daripada buku ini. InsyaAllah.

Hari ini sewaktu membaca buku Umar Abdul Aziz, karangan Abdul Latip Talib selepas subuh tadi, ada satu ayat yang amat terkesan dalam diri. Pastinya ada ayat lain, tetapi ada satu ayat yang mengetuk pintu minda supaya sedar.

Sewaktu Khalifah Umar Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah selepas pemergian Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, beliau naik ke atas mimbar lalu mengucapkan puji-pujian Allah serta mengucapkan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad, seterusnya berkata,

Saya berpesan kepada kamu, bertakwalah kepada Allah kerana ketakwaan itu lebih penting daripada segalanya. Beramallah kamu untuk akhiratmu nescaya Allah menyelesaikan urusan duniamu. Perbaikilah tinkah lakumu dihadapan umum. Banyakkan mengingati mati dan buatlah persiapan menghadapinya, nescaya mencegah kamu hidup berfoya-foya mengikut nafsumu. Sesiapa yang tidak mengingati saat kematiaannya, nescaya dia mati dalam kehinaan.
Kena ketuk, baru sedar.

Rempah ketaqwaan perlukan iman dan ikhlas, juga istiqamah. Ya, ketaqwaan itu kunci segala tindakan. Percaya atau tidak, percayalah. Ketaqwaan itu akan memandu kita dalam setiap urusan, di mana ianya akan lebih teratur, sistematik dan yang paling penting redha Allah diraih bersama.

Apa itu Taqwa?

Sahabat Omar bin Khattab pernah bertanya kepada sahabat Ubai bin Kaab berkenaan maksud Takwa.

Ubai berkata, “Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?” Jawab Omar, “Ya pernah.” Ubai bertanya lagi, “Apakah yang kamu lakukan ketika itu?” Omar berkata, “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu).” Berkata Ubai, “Itulah taqwa.”

Daripada jawapan ini dapat disimpulkan, takwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak terjebak dengan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh semasa beramal berlandaskan Quran dan sunah.

Beramallah untuk akhiratmu. Dengan itu urusan dunia akan turut lancar. Bagaimana untuk kita selalu beringat untuk beramal untuk akhirat? Adalah dengan mengingati mati, demikian akan membuat kita berkejar-kejar membuat amal soleh. Menyiapkan bekalan untuk dipersembahkan di akhirat nanti.

Sentiasa mengingati mati yang dituruti dengan amalan soleh untuk ke akhirat itu akan mencegah kita daripada terjebak dengan dorongan berfoya-foya oleh nafsu. Sangat berkait, jika salah satu tertinggal atau ditinggalkan, maka disitulah terdapat kekurangan.

[Peringatan tegas buat diri]

Bermujahadah bagi melaksanakannya tidak semestinya dengan turun ke medan perang. Sedarkah? Sedangkan jihad kubra itu adalah dengan menangani hawa nafsu sendiri.

Maka, di situ ada kelemahan.
Maka, di situ juga perlu dibetul-betulkan.

Cuma dikala berusaha untuk memperbaiki. Hadir pula rasa lesu.
Maka lemah kembali jasad yang dahulunya kuat dengan azam dan iltizam.
Terkulai lesu, longlai tidak bermaya.

Adakah hambaNya dicipta untuk berlemah-lemah?
Sedangkan bilangan tentera yang sedikit mampu menumpaskan musuh yang ramai?

Usah lemah, apatah lagi menyerah.
Jika jatuh, bangunlah kerana ini bukan masa untuk mengeluh.
Jika runtuh, binalah semula benteng iman yang utuh.

Waallahua'lam.

30/12/2010 Banyak membaca jadikan kita banyak berfikir. Namun jangan ditinggal Al-Quran kerana itulah sumber ilmu, sumber akal untuk berfikir dalam iman.

Get ready for next posting..get ready for our journey in Miri :)

Wednesday, December 29, 2010

Y 369 : Peguam Bela



Dahulu cita-cita utamaku adalah peguam, mahu menjadi peguam yang mantap dengan hujahnya, tegas dalam urusannya membela nasib mereka yang teraniaya. Peguam bela. Tetapi itu adalah angan-angan yang sudah pasti kini hanya tinggal kenangan. Kenapa? Kerana sekarang aku memikul amanah berat daripada Tuhanku untuk berbakti kepada ummah juga masyarakat khususnya dalam bidang perubatan.

Selain bidang ini, bidang lain tidak ketinggalan. Jika diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan cerita-cerita, InsyaAllah bersedia untuk curahkan segalanya untuk dijadikan iktibar, pengajaran bagi menghadapi hari-hari mendatang. Aku juga banyak belajar daripada makhlukNya, kerana sudah tentu pengajaran itu datang daripadaNya juga secara tidak langsung.

Waktu sekolah rendah,

“Amal, dah besar nanti nak jadi apa?” Cikgu bertanya untuk mengisi buku rekod sahsiah.

“Amal nak jadi cikgu.” Bersemangat waktu itu.

Semangat berkobar-kobar untuk menjadi guru. Bukan senang hendak mengajar, begitu susah kita belajar, untuk menyampaikan ilmu itu pun tidak kurang susahnya.

Waktu awal zaman sekolah menengah,

“Amal, apa cita-cita kamu?” Soal cikgu di dalam kelas. Jawab ikut giliran dan itu giliran aku.

“Amal nak jadi peguam.” Tiba-tiba bertukar.

Mungkin pengaruh persekitaran juga. TV :) Semakin hari pelbagai cita-cita mula terbit dalam fikiran. Cikgu sentiasa ada dalam diri. Peguam, pakar forensik, ahli kimia, saintis mula mendapat tempat di jiwa anak muda ini. Doktor? Tidak terfikir langsung.

Sehinggalah aku menghidap satu sakit kronik 5-6 tahun yang lalu. Doktor mula mendapat tempat.

Ya, perjalanan hidup ini banyak yang tidak disangka-sangka yang perlu kita terima dengan tenang hati. Kerana itu semua adalah ketentuanNya juga dan itu yang terbaik.

Peguam.
Peguam bela.

Tugasnya membela. Jika mereka yang teraniaya itu kita bela, siapa yang akan bela diri kita kelak? Inilah yang ingin ditekankan. Atas atas-atas itu cuma pendahuluan :)

Siapa mahu bela nasib kita di dunia?

Siapa lagi jika bukan kita sendiri. Jika selalu mengharapkan orang lain, lain jadinya kerana pengharapan itu hanya layak padaNya. Pengharapan yang tulus ikhlas daripada seorang hamba kepada Pencipta. Belalah nasib diri dengan amalan yang baik, nescaya kisah akhir hidup kita juga akan baik-baik. InsyaAllah.

Juga, kita mampu untuk membela nasib saudara-saudara kita yang dizalimi dengan bantuan juga bantahan terhadap kekerasan. Contohnya isu Palestin. InsyaAllah sama-sama kita membantu, membela nasib mereka sekadar mampu kita. Kerana Pembela yang Maha Kuasa sentiasa dekat dengan mereka.

Ya Palestinian,
Jangan khuatir kerana Allah bersama kita semua.

Siapa mahu bela nasib kita di alam barzakh?

Tiada yang mampu membantu melainkan amalan kita. Dengan memperbanyakkan amalan, bersungguh dan istiqamah dalam melaksanakan amal soleh. InsyaAllah janji Allah itu tidak pernah mungkir, bersabar dan tenanglah wahai hati-hati yang menagih cintaNya.

Siapa yang mahu bela kita di akhirat nanti?

Boleh ke upah peguam bela versi akhirat? Tidak. Di sana kita sendiri, hanya mengharapkan amalan di dunia diterima, juga mengharapkan syafaat daripada Rasulullah. Di sanalah penentuan, bahagia atau sengsara hidup kita selamanya, lagi kekal abadi.

Peguam bela? Kita mampu menjadi peguam bela. Peguam bela yang tegas, istiqamah dalam mencari jalan untuk menang semasa perbicaraan. Untuk menang memerlukan bukti yang kukuh, juga fakta-fakta yang berkaitan, perlu dahulu mendalami kes (hidup) tersebut.

Mari jadi peguam. Kita semua mampu membela nasib kita, juga saudara kita.
Mari jadi cikgu. Kita semua adalah cikgu. [Jemput baca artikel Doktor vs Guru]

Muhasabah diri.
Kerana disitu letaknya salah satu kunci perubahan.

Waallahua’lam.

29/12/2010 Bagiku, orang ‘kaya’ adalah mereka yang kaya dengan akhlak yang baik, kaya dalam pengabdian kepada Pencipta.

Bagiku, orang yang ada ‘rumah besar’ itu adalah mereka yang di dalam rumahnya penuh dengan kasih sayang keranaNya. Walaupun rumah itu kecil, kasih sayang itu akan menjadikan rumah itu luas.

Mahu orang ‘kaya’ dan ada ‘rumah besar’ :)
InsyaAllah.

Mahu berjalan-jalan tadabbur alam ke Bintulu dan Miri. InsyaAllah.
Moga perjalanan selamat :)

Selamat menjejaki surgery posting (last but not least posting in Sibu.
InsyaAllah.

Saturday, December 25, 2010

Y 368 : Ill



Ilmu.

Adakah ilmu itu akan membuat kita ill?
Persoalan bonus sehingga kadangkala kita tuntut ilmu itu hingga rasa loya, mahu muntah.
Pernah rasa?

Kenapa kita perlu menuntut ilmu? Kenapa kita perlu menjadi orang yang berilmu?

Sedarkah kita bahawa daripada kecil lagi kita telah diasuh dan diajar, belum dikira lagi dengan asuhan sejak di dalam rahim ibu. Sedarkah? Ilmu juga kan.

Sejak kecil kita diajar bercakap, 'mamamama..papapapa'
Sejak kecil kita diajar duduk dan berjalan, bangun-bangun jatuh.
Sejak kecil kita diajar berdikari, agar besar nanti boleh hidup sendiri.
Sejak kecil lagi kita diajar mana baik, mana buruk.

Itulah juga ilmu, tarbiyyah, didikan daripada ibu ayah kita. Kita ikut sebab kita tidak tahu apa-apa, al-maklumlah baru sahaja lahir ke alam yang belum pernah dijejak.

Dalam perut ibu boleh berenang-renang dalam amniotic fluid. Boleh tendang-tendang perut ibu. Si ibu berkata, "Dah lahir nanti jangan nakal-nakal ya. Jadi anak yang soleh." Sambil membelai bayi dalam perut dari luar. Itu pun ajaran, pesanan dan nasihat secara tidak langsung, merupakan doa ibu kita. Moga termakbul, InsyaAllah.



Manusia itu diciptakan sebagai khalifah dimuka bumi dengan sebaik-baik ciptaan. Dengan akal fikiran yang membolehkan manusia itu berfikir mana hak, mana batil. Kerana itu juga kita dituntut menuntut ilmu.

Dengan ilmu dapat membuatkan kita dekat dengan Allah, ingat pada Dia selalu [zikrullah].
Dengan ilmu dapat buat kita berfikir akan keagunganNya yang tiada tolok banding.
Dengan ilmu dapat memartabatkan Islam di puncak tertinggi, InsyaAllah.

Dengan ilmu boleh membuat kita buta??

Tetapi kadangkala ilmu itu kita salah guna. Jadikan kita lupa siapa Pencipta, sombong dan angkuh dengan segala nikmat, jauh sekali untuk mengingati Allah. Dengan gelaran ciptaan terbaik membuat kita meninggi diri, tidak menjaga hak makhluk lain.

Sampaikankan haiwan dan tumbuh-tumbuhan itu lebih mulia, kerana mereka 24 jam berzikir kepada TuhanNya, Tuhan kita, Allah yang Maha Esa. Pemilik mutlak segala yang ada.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. [At-Tin:4]
Di dalam Al-Quran juga diterangkan pelbagai jenis nikmat di dunia, juga bakal diperoleh bagi penghuni tempat bahagia yang abadi di akhirat sana nanti. Juga pelbagai kisah tauladan manusia dan segala pengajaran sebagai panduan bagi manusia untuk menjalani hari-hari mendatang sebagai khalifah di muka bumi.

Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu? [At-Tin:7]
Sedalam mana pun ilmu kita, kita masih tidak ada sebab untuk mendustakan segala apa yang telah disyariatkan. Sedalam mana pun ilmu kita, kita tetap tidak akan dapat menakluki dunia kerana dunia ini bawah jagaan, taklukan Tuhan.

Setinggi mana ilmu kita, jangan lupa kita hidup berTuhan.
Sedalam mana ilmu kita, jangan lupa Rasulullah sebagai contoh tauladan.
Sehebat mana ilmu kita, ilmu itu tetap milik Allah.

Berhati-hati dalam menuntut ilmu kerana musuh Islam ada di mana-mana bagi menggoyahkan iman, juga pegangan kita. Tuntutlah ilmu, ingatlah pada Dia :) Moga hati-hati ini tenang belajar ilmu Tuhan. Moga hati-hati pandai tunduk pada syariat yang ditetapkan.

Jika rasa diri bukan dalam kalangan yang berilmu atau masih tidak cukup ilmu, jangan malu-malu, kita sama-sama belajar. Tidak istilah 'bodoh' atau 'bengong' kerana manusia itu diciptakan dengan nikmat akal, usah persiakan.

Dan ilmu yang bermanfaat itu ada pelbagai jenis, boleh didapati dalam bentuk penulisan, juga boleh diperoleh melalui deria pendengaran, dan tidak lupa dengan pemerhatian.

Wahai diri,
Engkau baca, engkau perlu buat.
Sia-sia engkau tulis jika sekadar lekat-lekat.

Waallahua'lam.

26/12/2010 Esok exam, doakan kejayaan kami semua.

'Ya Allah permudahkanlah urusan kami, redhailah setiap langkah usaha kami' Amin..

Aku perhatikan dia selalu.
Aku tahu dia tahu.
Walaupun jarak memisahkan aku dan kamu.
Moga Allah izinkan kita bertemu.
Pada suatu waktu.
Sabarlah, berdoalah, usah jemu.

[Buat dia-dia yang disayangi]

Study, InsyaAllah lepas ni akan ke Miri, tadabbur alam milik Ilahi :)
Raya cina jauh lagi, tapi dah mula menghitung hari [jadi pantun, hanya kebetulan]

Adakah di dunia banyak kebetulan?
Sesungguhnya itu semua dalam pengetahuanNya.

 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

 
Blogger Templates