Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Saturday, November 19, 2011

PM


Peribadi muslim, hidupnya berpandukan al-Quran dan sunnah. Hidupnya lebih kepada memberi, ibarat menanam padi yang menunggu hasil tuaiannya. Tetapi hasil tuaian bagaimana yang kita mahukan? Adakah sekadar hasil yang rosak sebahagiannya? Bagaimana dengan nilainya nanti? Pasti terjejas bukan?

Peribadi muslim, hidupnya dalam ketenangan kerana hakikat aturan hidup itu adalah dibawah penguasaanNya. Tiada yang mampu menabur rasa gelisah dalam diri, mahupun timbul persoalan atas apa jua yang terjadi. Ketenangan hakiki milik peribadi muslim sejati!

Peribadi muslim, menjadi ikutan, contoh tauladan bagi yang lainnya. Namun, tidak sesekali terdetik rasa bangga diri kerana dirinya menjadi ikutan. Tetapi berlipat kali ganda kesyukuran atas sifat kebersamaan untuk hidup berTuhan. Hidup bersyariat yang punya erti sebenar kebahagiaan.

PM -- Peribadi Muslim

Peribadi muslim itu sungguh hebat andai dipraktikkan dengan sebaiknya. Sangat hebat! Hakikatnya, dalam pelaksaannya itu punya dugaannya yang tersendiri. Ibarat mahu melalui jalanan yang berduri, maka berhati-hatilah dalam pengembaraan yang panjang kerana mungkin juga kelak kita akan merasai pedihnya terkena duri itu. Tetapi dengan itu akan membuat kita lebih berhati-hati dengan duri-duri yang selebihnya di jalanan.

Itu sekiranya melalui jalan darat, berduri! Susah kan?

Ya, sekarang kita cuba jalan air. Mahu gunakan jalan laut atau sungai sahaja? Itu terpulang kepada kita, kerana matlamat akhirnya pasti ingin sampai ke destinasi yang hendak kita tuju. Dan kejayaan untuk sampai ke destinasi itu bergantung kepada bagaimana persediaan kita sebelum perjalanan, semasa perjalanan, dan juga bagaimana kita sampai ke destinasi itu. Semua detik itu di ambil kira.

Melalui jalan air juga tidak kurang ujian yang bakal di tempuh. Tiada yang kurang, manusia itu sentiasa diuji. Walaupun ujiannya kecil, itulah kayu ukur iman kita, jati diri kita sebagai muslim. Jom teruskan perjalanan!

Jika melalu jalan laut, bersedialah dengan ombaknya.
Jika melalui jalan sungai, bersedialah dengan derasnya.

Ujian itu fitrah kehidupan manusia. Dengan peribadi muslim yang hebat, ujian-ujian itu menjadikan diri lebih matang, juga berfikiran lebih jauh. Ujian yang dilalui itu tidak menjadi sia-sia namun menjadi nilai tambah dalam menjadikan diri lebih dekat denganNya dan mensyukuri setiap detik kehidupan yang sekejap cuma.

Peribadi muslim hebat!

Namun, berapa orang antara kita yang menyahut cabaran ini?
[Ketuk-ketuk kepala sendiri, tahu tetapi saja-saja buat tak mampu]

Kan rugi begitu?

PM -- Private Message

Pemikiran kita berkitar di dalam sebuah kotak, jarang ke luar kotak. Maka kita tidak dapat melihat dengan baik apa sebenarnya yang berlaku dalam kehidupan yang boleh kita pelajari, yang boleh kita jadikan satu batu loncatan untuk menjadi lebih baik.

Private message :)



PM (1)
Macam di dalam laman mukabuku!

Kita sedar akan pesanan tersebut, sebab ternyata warna merah itu menunjukkan ada seseorang menghantar pesanan. Kita klik, kemudian kita baca.

Tetapi private message daripada Allah itu berbeza.

Bukan semua orang nampak.
Bukan semua orang perasan.
Bukan semua orang sedar.

Allah persembahkan kesenangan orang lain pada kita.

Kita berkata, "Senangnya hidup orang tu, bilalah hidup kita nak senang."

Apakah yang kita faham dengan erti sebuah kesenangan? PM : Walaupun Allah tidak memberi apa yang kita minta, tetapi Allah selalu mencukupkan apa yang kita perlu. Betul kan? Bukankah itu salah satu bentuk kesenangan.

Walaupun kita ditimpa ujian, namun Allah tetap sahaja memberi kita kekuatan untuk menempuh ujian-ujian itu. Itu juga satu keperluan, Allah juga yang mencukupkannya. Itu juga satu bentuk kesenangan untuk kita menempuh hari-hari mendatang.

Kita berkata, "Aku dah tak mampu nak hadapi semua ni lagi."

Sedar atau tidak, kita sebenarnya dalam proses melalui ujian tersebut. Kita mampu! InsyaAllah.

Kita berkata, "Kasihannya orang tu, nak makan pun susah."

PM : Syukurilah segala nikmat pemberian Tuhanmu, hargailah masa senangmu sebelum datang pula masa susahmu. Namun, kadangkala ungkapan itu hanya terlisan dilidah, bukan datang daripada hati yang betul-betul mahu menghayati pesanan Tuhan.

Ajar hati ini untuk mengenal erti kehidupan. Susah atau senang, itu fitrah kehidupan. Melihat mereka yang susah, terdetikkah hati untuk membantu? atau hanya sekadar membatu?

Sekurang-kurang kita membantu dengan doa tulus ikhlas untuk membantu walaupun daripada sudut zahirnya kita tidak mampu. Belajar untuk berkeadaan sedar setiap waktu.

[Kena ketuk juga diri sendiri ni]

PM -- Perdana Menteri

Perdana menteri. Siapa perdana menteri kita?

Bukan itu persoalan utamanya. Adakah kita bermenterikan nafsu kita semata-mata? Yang bermaharajalela mengarah segala gerak geri kita, mengawal hati untuk lupa hidup ini hanya sementara.

Bagaimana kita mendidik diri kita supaya terdidik?

Ya, bukan mudah kan?

Langkah pertama, didik diri untuk mengingati Allah selalu. Setiap masa, setiap waktu. Patuhi segala perintahNya, juga menjauhi segala laranganNya. Usaha ke arah itu! InsyaAllah.

Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). [Surah al-Baqarah : 152]

Jadilah perdana menteri yang hebat dan adil kepada diri sendiri. Perdana menteri yang terdidik dalam setiap segi, dari setiap sudut.

Wahai diri, sahut langkah pertama!

"Aku bersama hambaKu di mana sahaja dia mengingatiKu dan ketika bergerak kedua-dua bibirnya mengingatiKu" [Hadis Qudsi]

Rasulullah bersabda, "Perumpamaan orang yang mengingati Tuhannya dan orang yang tidak mengingatiNya seperti orang hidup dan mati."

Belajar laksanakan langkah pertama untuk jadi perdana menteri yang hebat!
InsyaAllah.

:)

Waallahu'alam.

20/11/2011 Cantik pula tarikh ni!

Kenapa perlu cepat? Kenapa perlu lambat? Moga diberi petunjuk dan dipermudahkan urusan. InsyaAllah. Dua-dua boleh tetapi tetap kena pilih satu.

Mama, satu kejutan nak buat pada hari tu nanti :) Just for u!

2 Buah fikiran:

mr. thesedi said...

Assalamualaikum...
semoga saudara serta keluarga sihat & berbahagia..
terima kasih di atas perkongsian ilmu tersebut...

AAZar @ Fikraa 'Abdullah said...

Waalaikumussalam wbt,
InsyaAllah, moga bermanfaat..

 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

 
Blogger Templates