InsyaAllah jumaat ini akan berhadapan dengan peperiksaan Radiology, maka dengan ini X-ray, CT scan, MRI, barium enema, dan seangkatan dengannya perlu dihadam dalam masa dua hari ini.
Selepas peperiksaan, kemas-kemas barang untuk pulang ke pangkuan keluarga. Naik belon di malam hari, ditemani bintang-bintang dan bulan. Naik belon malam-malam, bersama teman seperjuangan yang lain, yang turut suka bertemankan bintang dan bulan.
Selasa baru-baru ini ada sesi klinik bersama doktor pakar, Mr. Ting, Sibu surgeon. Orangnya nampak biasa-biasa tetapi hebat ilmu dia, ilmu Allah jua. Cari ilmu, cari-cari sehingga ada 2 ilmu kehidupan aku perolehi.
Situasi 1
Seorang anak bersama ayahnya berpimpinan masuk ke dalam bilik untuk berjumpa dengan doktor. Ayahnya kelihatan sudah tua, jalannya juga seakan-akan tidak seimbang lagi. Aku memerhati dan dengar-dengar apa sebenarnya masalah pak cik ini.
"Pak cik, nanti kami mahu kasi buang batu dalam tempat kencing itu."
Wajah pak cik itu tenang sahaja. Anaknya juga begitu, setia mendengar perihal kesihatan ayahnya. Terdetik dalam diri, adakah aku akan sesetia, sesabar seperti pemuda ini menemani orang kesayangannya? Adakah aku mampu menjadi anak yang baik, solehah?
Sayu melihat si anak memimpin ayahnya. Wajahnya penuh dengan kesabaran, dalam hati mereka siapalah yang tahu. Dari jauh datang ke hospital untuk temujanji dengan doktor pakar. Cekal dan tabah itu bukan mampu dimilik semua orang. Ada yang sudah mengalah saat permulaan ujian, ada juga berputus asa di pertengahannya. Kita?
Situasi 2
Seorang wanita yang nampak sihat, cuma mukanya agak serius. Apa masalah kakak ini? Tertanya-tanya dalam diri. Mula bercakap-cakap dengan doktor tentang masalah kesihatannya serta perkembangan semasa.
"Akak, kita akan buang ketumbuhan pada tempat itu. Tapi bukan semua sebab ketumbuhan itu telah merebak pada banyak tempat. Kami buang untuk memudahkan akak menjaganya, kurangkan sakit juga."
"Akak kena jalani chemotherapy lagi."
Ya, doktor ingin membuang ketumbuhan itu kerana ia menganggu aktiviti seharian pesakit yang kerap sakit di bahagian itu. Aku melihat sendiri ketumbuhan itu yang berwarna kehitam-hitaman sehingga menarik kulit normal di sekitarnya.
Ya Allah, tabah sungguh kakak ini.
Walaupun dia tahu tiada penawar secara total bagi penyakitnya itu. Dia tetap berusaha bagi menjalani hidup seperti orang lain, yang sempurna.
Doktor hanya mampu memberi keselesaan pada pesakit kerana ketumbuhan/cancer itu telah merebak pada otot-otot di sekitarnya. Mustahil bagi membuang semuanya. Kakak ini nampak sihat, bagaimana keadaannya pada masa akan datang? Waallahua'lam. Moga Allah terus beri kekuatan pada kakak ini.
Ya, kita manusia tidak mampu menyembuhkan. Hanya mampu memberi rawatan dengan penyembuhan yang hakiki datangnya daripada Allah. Hanya mampu membaiki kualiti hidup, yang pastinya bertambah singkat. Sedaya upaya memanjangkan jangka hayat, yang hakikat aturannya tetap, hanya dalam pengetahuanNya.
Kuatkah kita andai diuji sebegitu?
Ujian yang Allah siapkan untuk kita itu layak untuk kita.
Usah dipersoalkan.
Layakkah kita mempersoalkan aturan Pencipta.
Yang Maha Mengetahui :)
Tenanglah menjalani hidup ini.
Jika rawatannya dengan air mata, itulah terapi yang terbaik.
Percayalah, ujian Allah itu tidak pernah sia-sia buat hambaNya.
Pengajarannya, berusahalah menjadi anak yang soleh, solehah. Hati akan tenang apabila dapat berbakti kepada mereka kerana Allah. Juga, persiapkan diri dengan kekuatan menghadapi ujian yang bakal ditempuhi, walaupun bukan mudah tetapi manusia mana yang dapat lari daripada aturanNya. Kita mampu laluinya! InsyaAllah.
Waallahua'lam.
26/1/2011 Study..sempat lagi menulis. Amal..Amal..
Mahu pulang, tapi kali ini tidak perlu cari jalan pulang sebab pilot ada, mama juga sedia menunggu di airport :)
Belon=kapal terbang (bahasa sarawak)
0 Buah fikiran:
Post a Comment