Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Thursday, January 27, 2011

Y 380 : Mak Cik



Mak Cik,
Andai mak cik tahu apa yang berlaku,
Apakah perasaan mak cik,
Sayu dengan mesej daripada mak cik,
'Kenapa lama tak hantar mesej'

Mak Cik,
Perasaan sayang itu sudah lama ada,
Tidak akan terpadam,
Walau apa pun yang berlaku,

Tangan ini selalu sahaja ingin tekan-tekan hantar mesej,
Namun terhenti dan padam semula,
Risau andai mesej ini memberi harapan,
Harapan kepada mak cik,

Namun,
Terharu dengan mesej mak cik,
'Pak Cik dan Mak Cik sihat, kami doakan agar amal beroleh kejayaan cemerlang'
Terima kasih mak cik!
InsyaAllah mak cik, Amal usahakan.

Mak Cik,
Ketahuilah mak cik,
AMAL SAYANG MAK CIK & PAK CIK..

Kasihilah selagi mampu,
Kerana kasih sayang itu daripada Allah,

Apabila betul pada tempatnya,
Peliharalah ia,
Andai tercemar,
Maka pudarlah sinar kasih kurniaan Ilahi ini.

Waallahua'lam.

27/1/2011 Bila taip huruf M A K mesti keluar nombor mak cik :) Tersenyum sendiri..

Tetapi banyak lagi dugaan yang perlu ditempuhi,
Dan ku serahkan segalanya pada Yang Maha Mengetahui.

Doakan yang terbaik untuk semua.
:) InsyaAllah.

Semoga berjaya semua.
Radiology exam...
Then flyin' back with balloon tomorrow night.
InsyaAllah :)

Wednesday, January 26, 2011

Y 379 : Alam Klinik 1



InsyaAllah jumaat ini akan berhadapan dengan peperiksaan Radiology, maka dengan ini X-ray, CT scan, MRI, barium enema, dan seangkatan dengannya perlu dihadam dalam masa dua hari ini.

Selepas peperiksaan, kemas-kemas barang untuk pulang ke pangkuan keluarga. Naik belon di malam hari, ditemani bintang-bintang dan bulan. Naik belon malam-malam, bersama teman seperjuangan yang lain, yang turut suka bertemankan bintang dan bulan.

Selasa baru-baru ini ada sesi klinik bersama doktor pakar, Mr. Ting, Sibu surgeon. Orangnya nampak biasa-biasa tetapi hebat ilmu dia, ilmu Allah jua. Cari ilmu, cari-cari sehingga ada 2 ilmu kehidupan aku perolehi.

Situasi 1

Seorang anak bersama ayahnya berpimpinan masuk ke dalam bilik untuk berjumpa dengan doktor. Ayahnya kelihatan sudah tua, jalannya juga seakan-akan tidak seimbang lagi. Aku memerhati dan dengar-dengar apa sebenarnya masalah pak cik ini.

"Pak cik, nanti kami mahu kasi buang batu dalam tempat kencing itu."

Wajah pak cik itu tenang sahaja. Anaknya juga begitu, setia mendengar perihal kesihatan ayahnya. Terdetik dalam diri, adakah aku akan sesetia, sesabar seperti pemuda ini menemani orang kesayangannya? Adakah aku mampu menjadi anak yang baik, solehah?

Sayu melihat si anak memimpin ayahnya. Wajahnya penuh dengan kesabaran, dalam hati mereka siapalah yang tahu. Dari jauh datang ke hospital untuk temujanji dengan doktor pakar. Cekal dan tabah itu bukan mampu dimilik semua orang. Ada yang sudah mengalah saat permulaan ujian, ada juga berputus asa di pertengahannya. Kita?


Situasi 2

Seorang wanita yang nampak sihat, cuma mukanya agak serius. Apa masalah kakak ini? Tertanya-tanya dalam diri. Mula bercakap-cakap dengan doktor tentang masalah kesihatannya serta perkembangan semasa.

"Akak, kita akan buang ketumbuhan pada tempat itu. Tapi bukan semua sebab ketumbuhan itu telah merebak pada banyak tempat. Kami buang untuk memudahkan akak menjaganya, kurangkan sakit juga."

"Akak kena jalani chemotherapy lagi."

Ya, doktor ingin membuang ketumbuhan itu kerana ia menganggu aktiviti seharian pesakit yang kerap sakit di bahagian itu. Aku melihat sendiri ketumbuhan itu yang berwarna kehitam-hitaman sehingga menarik kulit normal di sekitarnya.

Ya Allah, tabah sungguh kakak ini.

Walaupun dia tahu tiada penawar secara total bagi penyakitnya itu. Dia tetap berusaha bagi menjalani hidup seperti orang lain, yang sempurna.

Doktor hanya mampu memberi keselesaan pada pesakit kerana ketumbuhan/cancer itu telah merebak pada otot-otot di sekitarnya. Mustahil bagi membuang semuanya. Kakak ini nampak sihat, bagaimana keadaannya pada masa akan datang? Waallahua'lam. Moga Allah terus beri kekuatan pada kakak ini.

Ya, kita manusia tidak mampu menyembuhkan. Hanya mampu memberi rawatan dengan penyembuhan yang hakiki datangnya daripada Allah. Hanya mampu membaiki kualiti hidup, yang pastinya bertambah singkat. Sedaya upaya memanjangkan jangka hayat, yang hakikat aturannya tetap, hanya dalam pengetahuanNya.

Kuatkah kita andai diuji sebegitu?
Ujian yang Allah siapkan untuk kita itu layak untuk kita.
Usah dipersoalkan.
Layakkah kita mempersoalkan aturan Pencipta.
Yang Maha Mengetahui :)

Tenanglah menjalani hidup ini.
Jika rawatannya dengan air mata, itulah terapi yang terbaik.
Percayalah, ujian Allah itu tidak pernah sia-sia buat hambaNya.

Pengajarannya, berusahalah menjadi anak yang soleh, solehah. Hati akan tenang apabila dapat berbakti kepada mereka kerana Allah. Juga, persiapkan diri dengan kekuatan menghadapi ujian yang bakal ditempuhi, walaupun bukan mudah tetapi manusia mana yang dapat lari daripada aturanNya. Kita mampu laluinya! InsyaAllah.

Waallahua'lam.

26/1/2011 Study..sempat lagi menulis. Amal..Amal..

Mahu pulang, tapi kali ini tidak perlu cari jalan pulang sebab pilot ada, mama juga sedia menunggu di airport :)

Belon=kapal terbang (bahasa sarawak)

Tuesday, January 25, 2011

Y 378 : Muda



Terasa muda dengan lagu 'menuju wawasan' ni. Lagu zaman kanak-kanak tetapi rentaknya sudah digubah mengikut peredaran zaman. Rindu zaman kanak-kanak, kanak-kanak jujur, kata-kata tulus daripada hati :)

Mana tidaknya, dahulu dengan rasa tidak bersalah, kata mahu bawa rambutan untuk abang yang ada di belakang rumah. Terus-terang betul, kena marah dengan abang.

Dahulu...di bulan Ramadhan.

"Ha, Amal nak pergi mana bawa rambutan ni." Mama tegur.

Dengan sopan, seorang budak lalu dihadapan mamanya dan menjawab dengan tenang, "Nak pergi belakang, abang ejat nak makan rambutan."

"Ha, tak puasa la tu." Rahsia terbongkar, habislah abang aizat :)

Itu kenangan zaman kanak-kanak. Jujur benar, tidak pandai menipu.

Rasa gembira dengar lagu ini, buat diri tersenyum lebar.



Mahu jadi hamba yang sentiasa jujur dengan Penciptanya. Jika berbohong sekalipun Dia tetap tahu, jika dahulu boleh jujur, berkata yang benar. Kenapa sekarang tidak? Ya, hari ini haruslah lebih baik daripada semalam. Sepatutnya apabila lebih berakal, maka kejujuran itu telah tertanam dalam-dalam dalam diri kita. Tetapi sebaliknya yang berlaku.

Kita mencari alasan untuk kata 'tidak boleh',
Untuk perkara yang boleh jadikan kita hamba mulia,

Kita mencari alasan untuk kata 'tidak mampu',
Untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan,

Kita mencari alasan untuk kata 'tidak kuat',
Untuk menempuh ujian daripadaNya,
Sedangkan ujian itu adalah sumber kekuatan.

Sedarkah kita?

Rasulullah meninggalkan Islam itu cukup cantik untuk kita mengamalkannya sebagai satu cara hidup. Dalam Islam itu ada kesempurnaan, ada kesejahteraan, ada panduan yang jelas, tiada sebarang keraguan padanya.

Kenapa kita perlu mencari-cari, sedangkan jawapannya ada di hadapan mata. Kita boleh untuk menjadi umat yang cemerlang seperti umat terdahulu. Cuma perlu usaha keras dan bersama-sama melaksanakannya.

Jika tidak mampu, sekurang-kurangnya kita menjaga kecantikan agama kita. Bagaimana? Iman, hubungan dengan Allah perlu dijaga agar sentiasa dipeliharaNya daripada perkara dosa dan sia-sia. Akhlak, gilapkan biar mantap. Kerana manusia itu sentiasa dipandang tingkah lakunya setiap masa. Siapa kata kita tidak boleh? Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya.

Muhasabah diri.
Moga terhindar daripada perkara yang menjauhkan kita daripadaNya.
InsyaAllah.

Peringatan buat diri terlebih dahulu.
Kerana yang menyampaikan itu punya lebih tanggungjawab.

Mahu jadi hamba yang jujur pada Penciptanya :)
Hamba yang bersemangat muda..

Waallahua'lam.

25/1/2011 Sehingga kini aku menulis, peringatan buat diri yang lupa. Bekalan buatku, perkongsian ilmu :)

InsyaAllah..Alhamdulillah.
Umat Islam harus cemerlang!

Thursday, January 20, 2011

Y 377 : Menang



Mujahid khaira ummah.
Mujahidah solehah.

Ini adalah impian kita-kita hambaNya yang mendambakan redha Allah. Impian itu bukan mudah untuk direalisasikan tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan. Asalkan kita berusaha ke arah itu dan istiqamah dalam gerak usaha.

Impian ini InsyaAllah akan mengingatkan kita untuk terus bertekad menghadapi segala apa halangan dihadapan. Tetapi kadangkala manusia itu kecundang juga, bukan kadangkala malah selalu jatuh, luka, berdarah. Ingat, luka dan berdarah itu boleh sembuh. Kalau jatuh sekalipun boleh bangun semula kerana kudrat itu milik Allah, anugerah buat hamba-hambaNya.

Impian itu terlaksana bukan hanya dengan kata-kata. Tetapi dengan tindakan yang sewajarnya mengikut landasan syariat ketentuan Tuhan. Setiap tindakan, atur langkah kita punya peraturan. Di sana letaknya keindahan Islam, kita punya garis panduan.

Mujahid khaira ummah.
Mujahidah solehah.

Perjalanan menggapai impian ini, akan ada halangan yang mengambil tempat. Mujahid dan Mujahidah ini perlu berusaha keras untuk menentang musuh, iaitu syaitan dan hawa nafsu. Kita kenal sangat dengan musuh-musuh ini tetapi seringkali juga terpedaya.

Jangan risau, sekali kita terpedaya, sebenarnya kita banyak belajar hal kreativiti, strategi musuh kita. Ingati Allah, itu terapi yang hebat dalam berhadapan dengan musuh-musuh ini. Ingat akan Allah serta melaksanakan segala yang diperintahkan, juga menjauhi segala laranganNya.



Sekadar perkongsian, peringatan buat diri. Juga pembaca yang sudi baca blog insan biasa yang hanya bergelar hamba ini. Berhubung dengan melawan hawa nafsu, Imam al-Ghazali mengklasifikasikan 3 kategori manusia dalam usaha memerangi hawa nafsu:

Menyerah kalah

Hawa nafsunya telah bermaharajalela dalam diri. Kuat! Sehingga tidak dapat lagi dikalahkan. Mereka ini mempertuhankan hawa nafsu, sama ada mereka sedar atau tidak sedar.

"Maka, pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya" [Surah al-Jathiyah:23]

Sedang dan sentiasa berjuang

Mereka ini umpama sentiasa tarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya menang dan ada kalanya kalah. Merekalah orang yang sedang bermujahadah! Berjuang di jalanNya, mereka berpegang dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W.

"Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu."

Orang yang sentiasa menang

Mereka berjaya menguasai hawa nafsu dengan sepenuhnya. Mereka terpelihara daripada melakukan maksiat kecuali sangat sedikit.
Perjuangan ini adalah perjuangan jangka masa panjang. Bukan perjuangan jangka masa pendek, yang apabila melihat akan hasilnya, lalu berpuas hati dan berasa lega. Sedangkan musuh-musuh kita tidak akan pernah puas melemahkan kita, menarik kita terbabas daripada landasan sebenar.

"Hari ni aku berjaya bangun awal solat subuh. Alhamdulillah!"
Keesokkan harinya kembali lewat, terlambat bangun.

"Hari ini aku berjaya menahan marah. Sabar..sabar menang!"
Keesokan harinya apabila ada sesuatu terjadi, mula marah-marah.

Kenapa ini terjadi?

Manusia. Kita mudah lupa apa azam yang telah kita tetapkan. Setiap awal tahun ada azam baru. Dah tetapkan awal-awal, namun akhirnya lupa. Sebab itu perlu selalu diperingatkan, atau mahu selalu kena ketuk-ketuk baru boleh ingat semula.

:)

Mahu jadi orang yang menang!
Tetapi sebelum itu perlu sentiasa berjuang untuk menang :)



Waallahua'lam.

20/1/2011 Menang tidak boleh seorang-seorang, kena ramai-ramai :)

Terima kasih sahabat :)
Mahu tulis sikit-sikit saja, sekali tulis, terpanjang pula.

Wednesday, January 19, 2011

Y 376 : Wahai Hati



Bila menangis, akhirnya akan terasa sedikit ketenangan.
Tetapi apabila hati menangis, perit sungguh rasanya.

Hati menangis kerana tersedar,
Kerdilnya aku sebagai hamba,
Namun seringkali alpa,
Leka dengan dunia yang mempersona,
Terbuai dengan kata-kata dusta,
Yang akhirnya membuat diri menderita..

Hati ini menangis hari ini. Namun hati ini juga belajar untuk menerima setiap ketentuan Tuhan. Kenapa ditakdirkan begini? Kerana itu aturanNya yang punya pengajaran disebalik segalanya. Perlu yakin, bukan hanya percaya.

Wahai hati,
Menangislah jika itu keranaNya,
Menangislah tatkala dirimu menampung dosa,
Menangislah kalau rasa belum jadi hamba berguna.

Wahai hati,
Jangan menangis kerana manusia,
Jangan menangis kerana dunia,
Jangan menangis kerana hal sia-sia.

Biar hati dikata sekeras batu bila berhadapan dengan dunia. Manusia itu akan diuji dengan kelemahan yang ada ada diri. Kenapa? Kerana kasih sayang Allah, Dia mahu kita belajar jadi manusia yang berguna untuk agama. Kuat berhadapan dengan hujan dan petir :)

Waallahua'lam.

19/1/2011 Wahai kamu, jagai hati dia, jangan biar hati dia menangis, hanya ALLAH tempat aku mengadu. Kuatkan aku..aku mahu :) Biar apa yang datang.

Skrip dalam kisah hidup. Hadapilah dengan tenang wahai diri.

Tuesday, January 18, 2011

Y 375 : Jalan Pulang



Jika kita pergi ke mana-mana tempat, kita pasti akan pulang ke rumah, hostel, atau tempat tinggal kita. Untuk pulang, kita perlu tahu jangan pulang, bukan hanya rela meredah hujan, panas terik tanpa tahu mana destinasi dan hala tuju.

Selalunya apabila kita pergi ke satu tempat, kita akan keluar dan pulang, melalui jalan yang sama. Atau mungkin kita sudah biasa dengan jalan di tempat itu, maka jalan lain ditempuh sewaktu perjalanan pulang.

Begitulah hari-hari kita, pada waktu paginya kita keluar ke medan perjuangan masing-masing, ada yang mencari ilmu, ada juga mencari rezeki bagi menampung hidup dunia yang sementara. Yang pasti, jalan yang kita lalui itu, kita tahu itu jalan yang betul. Yang akan menemukan kita dengan destinasi yang ingin kita tuju.

Perjalanan hari-hari ini adalah hidup kita. Hidup yang punya hala tuju dan destnasi. Kadangkala perjalanan hidup jadi kabur disebabkan sifat leka, alpa juga lupa kita. Kita terus menerusi hidup dalam perjalanan yang kabur, tidak jelas. Sehingga sampai satu masa, kita tersedar bahawa kita telah sesat. Kita sedar ini bukan jalan hidup yang akan menemukan kita dengan destinasi iaitu matlamat hidup kita.

Maka, kita memilih jalan untuk pulang. Bertekad untuk kembali kepada hidup yang diredhai, menjauhi kesesatan yang nyata itu. Kita mencari jalan pulang. Dalam mencari jalan pulang itu bukan mudah. Halangan demi halangan akan ditempuh, sama ada ingin menerusi jalan yang sama atau mencari jalan lain untuk pulang (bermaksud cara untuk kita berubah).

Kita perlu bertanya orang-orang yang arif tentang jalan pulang kita. Mereka ada alim ulama, ustaz-ustaz, ibu ayah, sahabat-sahabat dan mereka yang kita percayai, yang dapat membantu. Selain bertanya, kita boleh cari peta, untuk cari peta juga perlu bertanya. Peta itu ibarat ilmu yang membawa kita kembali kepada matlamat asal, untuk berilmu, perlu berguru.

Dan apabila segala usaha telah dibuat, kita akan meneruskan jalan dengan berharap akan menemui jalan pulang. Kita berserah selepas berusaha. Terus berharap, dan sebagai manusia kita akan berdoa (fitrah manusia berTuhan).

Dengan izinNya, itu dia....JALAN PULANG!

Moga JALAN PULANG itu ada redha Allah.
Moga JALAN PULANG itu menjadikan kita hamba yang bersyukur.

:)

Wahai manusia,
Carilah JALAN PULANG dengan pimpinan Tuhan,
Bukan dengan pimpinan syaitan dan hawa nafsu.

Waallahua'lam.

18/1/2011 Berhati-hati dengan kesesatan yang tidak nyata.

Ya Allah, tunjukkan aku jalan pulang..
Selamat berjalan-jalan diatas pentas dunia milik Tuhan.
Berjalan-jalan untuk mencari mutiara buat persembahan di akhirat sana.

Tulis-tulis buat diri, supaya sedar, cepat-cepat cari jalan pulang.

**Kurang daripada 2 minggu, mahu pulang ke tanahair. Jalan pulang dengan kapal terbang, wahai pilot, jangan lupa baca doa naik kenderaan :) Bukan pilot je, tapi kita semua!

Saturday, January 15, 2011

Y 374 : Tudung



Kata seorang yang berilmu, "Tudung wanita itu ada empat. Tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara dan tudung pada hati."

"Tudung pada wajah. Jangan sampai wajah kita ini mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran buat lelaki ajnabi."

"Tudung pada mata. Jangan mata ini memandang lelaki lain yang bukan mahramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang dan juga tidak memandang."

"Tudung pada suara. Jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat atau mempersona."

"Tudung pada hati. Sentiasalah mengingati Allah, juga bertasbih kepadaNya."



"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." [Surah an-Nisa':31]

Realitinya kini, jumlah yang bertudung semakin ramai. Alhamdulillah. Cuma yang merisaukan adalah kualitinya yang menurun.

Bukanlah bertudung itu diertikan apabila bertudung labuh atau berjubah. Bukanlah betudung itu untuk tujuan lain seperti mengikut peredaran zaman, mahu digelar orang 'baik-baik' atau sebagainya. Menutup aurat itu adalah satu kewajipan, yang sangat-sangat bermanfaat pada diri juga agama kita. Tidak percaya?

Fikir-fikirkan.

"Hidup ini perlu kreatif." kata seorang sahabat.

Ya, aku setuju. Hidup ini perlu kreatif, dengan tetap di atas syariat Islamiyah yang sebenar-benarnya. Sebab lain, kerana syaitan itu juga kreatif dalam menutup mata kita ke arah kebenaran.

Terbaca satu baris kata, "Kekadang itu syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam, tetapi dia mewujudkan daerah 'grey' yang hakikatnya bukan lagi kebenaran."

Hati-hatilah dalam membaikpulih diri kerana dalam perjalanan ke arah matlamat itu akan ada musuh yang mengganggu lalu halangan jalan, sama ada yang kita nampak atau sebaliknya. Dalam melakukan perubahan juga perlu dituruti dengan pengisian yang sewajarnya.

Yang kita lihat baik, elok itu,
Perlu kita muhasabah..
Yang kita buat baik, molek itu,
Perlu fikirkan, adakah diiringi redha ALLAH?

Waallahua'lam.

15/1/2011 Jarang sekali tulis perihal wanita. Mahu jadi Mujahidah Solehah seperti orang itu selalu kata. Mampukah? Jom sama-sama kita usaha :)

Saturday, January 8, 2011

Y 373 : Hadiah 2

Align Center

SubhanAllah
Alhamdulillah
Allahuakbar!


Dalam perjalanan Sibu-Bintulu-Miri, dalam asyik melihat alam sekeliling, sambil tangkap-tangkap gambar guna mata dan juga handset, terlihat satu gabungan warna yang indah. Apa lagi, pandang puas-puas (fokus..fokus, bising dalam kereta yang melambung-lambung)

:)

Kebetulan nampak, tengok, fikir dan syukur. Hidup ini dalam pengetahuanNya. Yang disangka-sangka juga bila-bila boleh berlaku, tiada yang mustahil. Cuma perlu bersedia untuk menghadapi segala yang bakal ditempuhi dengan tenang serta berpegang pada kepercayaan yang SATU itu.

Pelangi, penuh warna warni. Selalu hadir selepas hujan, menggembirakan hati-hati hamba yang melihatnya. Tetapi waktu tangkap gambar tu tidak hujan! Ya, Allah Maha Menjadikan, lagi Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Apa jua penjelasan sains mengenai kehadiran pelangi itu, sains hadir juga dengan ilmu Tuhan. Sains itu sendiri milikNya, cuma masih ada yang angkuh dan menafikan. Teori itu cuma bagi memudahkan, menyuruh manusia berfikir, juga buat manusia bersyukur.

Maka syukurilah segala nikmat.
Kerana syukur itu satu fitrah hamba kepada Pencipta.

Waallahua'lam.

Thursday, January 6, 2011

Y 372 : Alam Surgery 1



1431H/ 2010M sentiasa dalam ingatan sampai bila-bila :)

Kenangan bercampur pengalaman.
Mesti dia-dia juga tersenyum, kerana dia-dia yakin Allah yang aturkan segalaNya.
Moga dia-dia terus istiqamah di jalanNya, berusaha jadi hamba yang bersyukur.

Wahai si dia-dia,
Usah berangan terlalu jauh,
Lihat apa yang ada di hadapanmu sekarang,
Hadapilah dengan tenang.

InsyaAllah.

Siapakah si dia-dia?

Semuanya daripada Allah, yang mahu hambaNya belajar untuk hidup.
Hidup yang hanya berharap padaNya.
Maaf jika kata-kataku penuh tersirat, hanya supaya si dia-dia berfikir.

[Di atas untuk si dia-dia]



InsyaAllah sekarang masuk alam baru. Alam SURGERY! :) Main dengan alat-alat besi, lihat-lihat mereka yang hebat bermain alat ini, juga buka-buka badan manusia untuk dilihat isi dalamnya.

SubhanAllah moga aku banyak belajar dalam posting ini.
Belajar menjadi hamba yang tidak mudah longlai dan lesu.
Mahu jadi sekuat besi yang mereka main-main.

Fokus..fokus :)

Mahu terus belajar.
Perlu betulkan niat selalu, agar tidak terkeluar landasan.
Mahu terus rajin.
Bukan rajin yang sia-sia, tetapi rajin bermanfaat demi ilmu Tuhan.

Waallahua'lam.

Wednesday, January 5, 2011

Y 371 : Hadiah 1



Dalam jalan-jalan kami ke Bintulu dan Miri baru-baru ini, sambil-sambil tadabbur alam milik Tuhan, banyak yang kami lihat, kiri kanan atas bawah. Dalam langkah demi langkah, dapat erat-eratkan lagi ukhwah yang sedia terbina.

Siapa sangka 4 orang ini mampu merantau jauh.

Diri sendiri tidak percaya :)

Kami terima banyak hadiah,
Hadiah daripadaNya yang berupa persaudaraan,
Hadiah nikmat alam nan indah..



Terima lagi hadiah,
Hadiah kasih sayang,
Kasih sayang sesama insan,
Kasih sayang akan alam milik mutlakNya,
Mari berkasih sayang :)



Terima dan terima lagi hadiah,
Naik kereta melambung-lambung (Jalan berbukit-bukau),
Namun Allah anugerahkan keselamatan sepanjang perjalanan,
Alhamdulillah..
(Terima kasih kepada Cik Yani dan Azizah dan Hanis)



Hadiah diterima,
Dengan tangan terbuka dengan penuh kesyukuran,
Tumbuh-tumbuhan berzikir,
Haiwan duduk diam juga berzikir,
Kita?
Lemahnya, sedangkan kita ciptaanNya yang istimewa.
Tetapi selalu lupa.
Kenapa?



Banyak hadiah tetapi masih jarang berterima kasih. Kenapa lupa? Kena ketuk baru ingat, itu pun tidak kekal lama. Bagaimana mahu bagi sentiasa ingat, biar betul-betul melekat?

Wahai hamba Allah,
Sedarlah dirimu bahawa saat ini akan berakhir,
Kerana yang abadi hanya di sana nanti,

Wahai hamba Allah,
Hadiah ini semua untuk hambaNya,
Bukan untuk disia-sia tetapi buat tatapan ummat,
Yang mahu berfikir dan berzikir,
Inilah hadiah istimewa yang tiada nilai,
Supaya kita dekat dan semakin dekat denganNya.

Waallahua'lam.

5/1/2011 Ini baru kisah alam, belum perihal awan Miri dan Bintulu lagi. SubhanAllah menarik, banyak pelangi kami jumpa, kebetulan yang tidak dijangka.

Cukup lekat-lekat untuk kali ini buat kenangan diri sendiri, juga sahabat-sahabat yang mengenali. InsyaAllah.

Ingatlah bahawa saat ini akan berakhir..

Saturday, January 1, 2011

Download : Pre-Clinical

Alhamdulillah, InsyaAllah nota-nota hasil kerja tangan sendiri telah diupload dan kini boleh dimuat turun. InsyaAllah memudahkan yang sukar. Mohon jika terdapat sebarang kesalahan, boleh maklumkan pada pemilik blog ini.

Jika ada sesiapa mahu turut serta menyumbang dan berkongsi, amat dialu-alukan. InsyaAllah, moga usaha yang sedikit ini berterusan. Nota-nota ini dalam bentuk PDF file yang dibuat dalam bentuk rumusan bagi memudahkan pembacaan. InsyaAllah.

Anatomy

Anatomy Mnemonics
Anatomy 1 - Cranial Fossa
Anatomy 2 - Cranial Nerves
Anatomy 3 - Ears


Physiology

Physiology 1 - Cardiovascular System


Pathology

Pathology 1 - Central Nervous System
Pathology 2 - Leukemia
Pathology 3 - PBL Summary


Selamat menjelajahi ilmu Tuhan.
Waallahua'lam.

Medi-Link 2011

Medi-Link, InsyaAllah akan memudahkan mereka-mereka yang tercari-cari laman web yang sesuai bagi dijadikan rujukan semasa pembelajaran. Cuma sekadar cadangan untuk dikongsi bersama ilmu yang ada di dalam laman web-laman web ini.

Anatomy and Physiology



Laman web ini amat menarik kerana dihimpunkan link-link yang berguna bagi pembelajaran untuk anatomy dan physiology. Terdapat juga animasi, laman web ini sesuai untuk sesiapa sahaja yang mahu tahu. http://bio-alive.com/animations/anatomy.htm


Inner-Body Web Site



Kuasai, fahami dan hayati keunikan tubuh kita. InsyaAllah moga kita lebih bersyukur. http://www.innerbody.com/htm/body.html


Radiology : Learning




Mahu cuba? Jangan tidak cuba, pastinya menarik. InsyaAllah. http://www.learningradiology.com/toc/tocsubsection/tocarchives2010.htm

InsyaAllah himpunan laman web yang ada di sini akan dikemaskini daripada semasa ke semasa. Jika ada sebarang cadangan, atau mahu berkongsi laman web yang berinformasi, sila tinggalkan linknya di sini.

Waallahua'lam.
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates