Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Sunday, August 18, 2013

Baitul Muslim Bukan Milik Aku

Berlanjutan daripada penulisan yang lepas, 1234 Betul Ke?, hari ini membawa diri dan pembaca kepada satu bentuk penulisan yang lebih fakta diselang-selikan dengan realiti. Entry sebelum ini bukanlah indicator bahawa sayalah yang paling O-sem dalam bab menjaga atau paling hebat dalam mengawal perhubungan atau bukan juga paling sempurna dalam tempoh pertunangannya. Bukan!

Ia hanya sebuah nukilan kenangan untuk dibawa ke hari tua, juga peringatan buat diri supaya istiqamah dalam apa jua perbuatan. Insya Allah. Moga baitul muslim yang terbina ini Allah redha. Amin.

Jagalah HAK ALLAH, maka Allah akan menjaga hakmu.

Bila diperkata soal Baitul Muslim atau singkatannya BM, persepsi mula tertumpu pada ustaz-ustazah, orang-orang yang berlatarbelakangkan ilmu pengajian Islam, orang-orang berkopiah dan bertudung labuh. Islam ini milik semua kan? Baitul Muslim perlu diterapkan dalam setiap rumah, dan setiap daripada kita ada peranannya. JOM ubah!

Apabila ditanya, 'Kau nak keluarga yang macam mana nanti?'

'Mestilah nak keluarga yang bahagia, penuh kasih sayang.' Jawapan common.

Apabila ditanya begitu, ramai yang jawab begini. Dan ini menunjukkan KITA SEMUA memerlukan BM ini. Tidak boleh lari haa! Kerana bahagia dan kasih sayang itu hanya akan datang apabila rumahtangga atau keluarga kita dipupuk dengan nilai-nilai Islam. Tidak percaya? It's true! Kena cuba baru tahu.

Bukan bahagia biasa-biasa tetapi BAHAGIA LUAR BIASA!

:)

Apakah itu BM?

Ada golongan yang apabila berbicara soal BM, terus katakan soal kelompok atau institusi mencari jodoh cara Islam. Sehingga ada yang salah faham.

"JOM berbaitul muslim!"

"Eh tak nak lah, aku nak cari sendiri. Tak nak guna agen-agen cari jodoh ni."

Ops! Ada salah faham di situ. Ya, memang ada institusi cari jodoh secara Islam ini. Tetapi Baitul Muslim itu sendiri ada definisinya sendiri.  Baitul Muslim ini bukanlah agensi, bukanlah persatuan semata-mata atau sebagainya (ada persatuan yang menggunakan nama ini). Maknanya perlu difahami dengan jelas.

Baitul Muslim dari istilah bahasanya sendiri bermaksud, rumahtangga muslim. Ia dibinanya daripada dua individu atau pasangan yang faham Islam untuk melahirkan generasi yang juga faham Islam dan mempraktikkannya. Asasnya adalah individu muslim dimana setiap daripada kita perlu sama-sama memegang amanah ini. JOM baiki diri!

 

Rumah? Pastinya perlu dibina, bukan terbinanya ia dengan sendirinya kan. Maka, binalah ia dengan batu-batu asas Islam yang benar dan jelas, juga kukuhkan ia dengan tiang-tiang aqidah yang jitu. Kelak rumah ini hendaklah dihias dengan bunga-bunga akhlak Islami yang indah. SubhanAllah!

Maka, itulah yang selalu dikata-katakan.
RUMAHKU SYURGAKU.

Namun, realitinya hari ini, anak-anak muda lebih suka berada diluar rumah bersama rakan-rakannya. Remaja-remaja kita lebih suka menghabiskan masa di shopping-shopping complex bersama kawan-kawan sebayanya. Kenapa? Bermula daripada rumah itu sendiri. Bukan salah rumah tetapi isinya yang perlu diperhati. Di mana keluarga? Apakah peranan keluarga?

"Habis tu, takkan tak boleh jumpa kawan, takkan tak boleh pergi shopping complex."

"Eh, siapa kata tak boleh jumpa kawan dan pergi ke shopping complex. Boleh, asalkan tidak buang masa begitu saja dan jumpa kawan untuk perkara yang berfaedah, eratkan tali persahabatan."

Bukan tidak boleh. BOLEH, cuma perbetulkan dan pelihara apa yang boleh itu :)

Dalam sesebuah keluarga itu, pasti ada masalah yang timbul. 'Dah cukup Islami dah tetapi kenapa masih ada masalah.' Hidup terlepas daripada masalah, apakah erti hidup? Itu bukan masalah, sebaliknya ujian yang penuh hikmah untuk kita terus berkasih sayang. Mencari penyelesaian yang terbaik demi keluarga, dan yang terutama demi agama.

Kembali kepada BM, kita ada tanggungjawab untuk membentuk dan membina. Siapa kata kita tidak boleh jadi arkitek kan. Boleh, malah boleh jadi arkitek yang lebih hebat daripada yang luar sana (maaf encik arkitek!). Bentuklah ikut acuan Islam, pilih acuan yang betul ya. Binalah dengan bahan bina yang betul sebab kita bukan bina rumah mainan, lego atau tanah liat. Kita mahu bina RUMAH ISLAM.

Anas bin Malik meriwayatkan daripada Nabi SAW., “Apabila seseorang melaksanakan pernikahan, bererti dia telah menyempurnakan separuh (1/2) agamanya, maka hendaklah dia menjaga separuh yang lain dengan bertaqwa kepada Allah” [HR. Baihaqi]

JOM sama-sama usaha. Bukan bagi mereka yang sudah berkahwin sahaja sebab setiap daripada kita ada keluarga kan? Maka, keluarga lah keutamaan kita. Sempurnakanlah apa yang belum, usahakanlah walaupun tidak sempurna mana.

BAITUL MUSLIM milik semua! Semua daripada kita ada peluang untuk merasai nikmatnya. Insya Allah.

Berkaitan dengan isu Mesir, teruskan berdoa. DOA senjata yang paling hebat dari Allah, jangan sia-siakan kehebatan yang Allah pinjamkan pada kita ini. Dalam masa yang sama, bentuk keluarga muslim. Jika semua memainkan peranan, tidakkah bakal bergoncang dunia dengan syiar Islam? Mustahilkah sejarah kegemilangan Islam dulu berulang kembali?

Jawapannya, TIDAK!
Hidup punya tanggungjawab.

:)

Mohon teguran andai ada salah dan silap. Maaf andai tersalah gaya bahasanya, but stand on the reality can make you feel great and move on to the better side. Yes, better view of Islam, our way of life. Insya Allah till Jannah.

Sekadar sebuah nukilan insan kerdil yang cuba jadi 'arkitek' luar biasa :)
Waallahu'alam.

18/8/2013 Asalnya mahu tulis lain, lain pula yang ditulis.
 Sekarang dalam Orthopaedics posting :) Wahai tulang-tulang, sila bersikap baik pada saya.

Maha Suci Allah, menciptakan manusia itu dengan sebaiknya, unik! Perhatikan pergerakan orang sebelah, tulang, otot, denyutan jantung, helaan nafas, semuanya meakukan tugasnya seiring dan sejalan.

Wahai umat Islam, ayuh bergerak seiring dan sejalan.
Pray for ummah!
Pray for Egypt!

Saturday, August 17, 2013

1234 Betul Ke?

Dulu 1234,
Sekarang nombor itu akan berterusan hingga ke akhirnya.

1234 adalah singkatan bagi 4 haribulan 3 2012. Apakah 4/3/2012 ini? Ia tarikh langkah pertama saya dalam menerima si dia, iaitu bekas tunang saya yang kini bergelar suami tersayang. Keputusan untuk bertunang dalam jangka masa yang lama (rasanya setahun tidak lama) mengajar diri untuk tawakkal padaNya 100%, tidak kurang. Bertunang dengan seorang yang hanya baru dikenali nama dan rupanya, seperti tidak jejak di bumi nyata. Mampu berserah, moga ini yang terbaik. Insya Allah.


"Betul ke ni?" Cetusan hati.

Awalnya dirisik oleh kakak ipar beliau. Membuat diri rasa seperti 'apa sedang berlaku ni'. Istikharah dan istisyarah menjadi panduan dalam membuat keputusan. Susah! Bukan mudah untuk tetapkan pendirian setelah apa yang telah berlaku sebelum ini. Kedatangan keluarga beliau, membuatkan lampu merah bertukar green light :) Kesungguhan dan hormat, bukan suatu yang diharapkan tetapi itu yang dapat membuka mata untuk memikirkan perkara dengan lebih serius. Insya Allah.


Kami hanya berta'aruf selepas bertunang. Sedikit demi sedikit tentang beliau, saya kutip sana-sini. Adik, kakak semua jadi sumber kaji selidik saya. Tidak ketinggalan kawan-kawan dan sahabat handai. Komen positif letak tepi, komen negatif ditengahkan untuk dianalisis (cewah! hehe). Oh, kita hampir sama. Info-info yang dikutip, disimpan kemas-kemas dan dicatat semuanya dalam satu file untuk dijadikan sumber rujukan (macam kes mahkamah kan). Biodata ahli keluarga juga diambil untuk melengkapkan lagi kaji selidik saya (hehe!).

Sepanjang pertunangan, kerap kali keluarga beliau datang ke rumah untuk ziarah apabila dapat tahu saya pulang bercuti ke semenanjung. Tidak pernah beliau datang seorang diri, selalunya bersama keluarga. Mulalah tangan sejuk-sejuk bila dapat tahu keluarga beliau hendak datang ziarah. Oh tidak!

Perbincangan perihal perkahwinan dan pernikahan ini banyak melibatkan persetujuan dua belah keluarga. Restu kedua ibu bapa kami harapkan, moga disitu ada barakah dan rahmatNya. Insya Allah. KIta bukan hanya berkahwin dengan si dia sahaja, tetapi 'berkahwin' sekali dengan keluarganya :)

Dah setahun bertunang, "Betul ke ni?"
Masih ada lagi persoalan ni.

"Bertunang macam tak bertunang"

Yelah kan, lihat orang lain bertunang. Semasa bertunang, mereka mesra. Kita ini pula macam kayu, ketuk sekali, bunyi sekali (sampai macam tu sekali, aduhai). Tidak pernah bertanya khabar, "Apa khabar?" Tidak pernah tanya pasal makan minum, "Dah makan ke belum?". Paling common soalan beliau, "Macam mana study?"

Tahu, beliau risau takut-takut pelajaran terganggu waktu tunang.
Insya Allah, tetapkan matlamat, betulkan niat.

Dalam masa yang sama, persiapkan diri untuk bergelar isteri. Mantapkan muwasofat tarbiyyah, usahakan. Walaupun mungkin tidak sempurna, mula gerak untuk ubah. Namun, tidaklah semata-mata untuk bergelar isteri tetapi selalu ingatkan diri bahawa bersiap untuk bertemu Tuhan itu lebih utama. Bersedia ke arah itu akan mempersiapkan kita untuk yang lainnya. Insya Allah.

Pertunangan kami hanya diketahui oleh ahli keluarga dan sahabat terdekat. Bukan tidak mahu dihebahkan tetapi lebih elok didiamkan terlebih dahulu (hipotesis yang dapat dibuat pada masa itu adalah, lebih lama bertunang, lebih besar dugaannya). Kami mengambil keputusan untuk hanya mendiamkan, namun tidak menafikan.

"Rahsiakan pertunangan dan hebahkanlah perkahwinan" [HR Ahmad]


Ya, besar hikmahnya!
Alhamdulillah, hati lebih terpelihara :)
Yang lainnya lebih terjaga, Insya Allah.

Tidak berhubung ke?

Eh kami berhubung. Berhubung bilamana ada keperluan. Bukan setiap hari. Remove beliau daripada friend list di mukabuku pada masa itu dianggap satu jalan yang baik bagi kami untuk lebih memelihara hati masing-masing (remove dia!). Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi bagi saya, ia sangat membantu. Waktu itu, saya lebih banyak berhubung dengan ahli keluarga beliau (cari-cari info lagi).

Hari demi hari berlalu. Setahun 3 bulan pertunangan yang dirasakan lama itu seperti sekelip mata berlalu. Dugaan demi dugaan datang. Bertahan dan terus bertahan.

Dalam hati, "Jika benar dia jodohku, tetapkanlah hati ini. Permudahkanlah."
Masa itu, masih ada persoalan, "Betul ke ni?"

Berat ni!

Ramai yang bertanyakan, "Macam mana dia boleh kenal akak/Amal?"

Diringkaskan cerita, beliau boleh dikatakan pembaca setia blog saya tanpa saya sedari (undetectable!). Boleh dikirakan bertahun-tahu juga dia menunggu masa itu. Masuk tahun ini, sudah 5 tahun lebih. Alhamdulillah, terima kasih kerana membaca dalam diam.

Diammu, 
Memelihara imanku dan imanmu,

Diammu, 

Menjaga rasa jiwaku dan rasa jiwamu.

Itulah hikmah diam, ia bukan suram.
Hanya tunggu masa untuk bersuara, apabila betul-betul sudah sedia.


Terima kasih, sayang!

Dalam waktu pertunangan ini, adakala kami akan jumpa dalam program Alumni, Get To Know, Thousand Words for Gaza dan MPPB (Minggu Pengurusan Pelajar Baru). Ya, kami boleh berbincang di alam maya dengan lancar (selalunya kami guna YM!). Tetapi...apabila bersua muka sewaktu program, seperti tidak pernah kenal. Sehingga ada yang menegur.

"Amal nak tahu, akak tengok kamu dua ni macam dalam dua dunia berbeza."

Pendek kata, macam alien (hehe!). Macam tidak pernah kenal, sedangkan waktu itu dah bertunang. Jadi alien sekarang better than jadi alien lepas kahwin nanti (ada pula macam tu ya). Sehinggakan mama tengok pun geleng-geleng kepala apabila melihat gelagat kami. Gelagat pilih baju pengantin, saya survey. Apabila sudah jumpa yang berkenan, minta kakak ipar call beliau, minta beliau datang tengok sendiri.

Dalam hati berkata, "Macam mana nak kahwin ni, tengok muka dan call dia pun tak sanggup."

Sehinggakan beberapa saat sebelum nikah pun, masih ada, "Betul ke ni?"
Kali ini, menjawab dalam hati dengan yakin, "Insya Allah, betul. Yakin kerana Allah!"

Bisikan syaitan, sila ketepi!
Tawakkal dan doa paling utama selepas usaha :)

Sehinggalah saya dan beliau dinikahkan.
Dengan sekali lafaz, SAYA kini isteri DIA.
Alhamdulillah.


Syukur hanya padaMu, ya Rabb...
Kisah kami baru bermula, moga sakinah, mawaddah wa rahmah akan terus bersama!
Menyuburkan mahligai syurga dunia kami yang akan dibawa ke akhirat nanti.
Insya Allah.

Jagalah HAK ALLAH, nescaya ALLAH akan menjaga hak kamu :)
Yakinlah!

Lagi satu, jangan kita persoalkan, 'kenapa kau tak kahwin lagi?'
Jangan kita persoalkan, 'Kau, bila lagi ni?'
Itu bukan urusan kita, itu urusan Allah, kita hanya mampu usaha.
Mereka sedang diuji, kita juga sedang diuji.
Doakan yang terbaik! :)

Kahwin awal. Ini bukan pertandingan atau perlawanan.
Semua sudah ada dalam aturanNya.
Doakan yang terbaik, kerana akhirnya, kita semua tetap akan bertemu Tuhan.
Pray for the best!
Pray for ummah!

Doakan kami agar kami selalu ingat matlamat hidup kami :)
Insya Allah. Hanya redha Allah yang kami cari. JOM!
# bersama suami dan anak buah #
17/8/2013 Pantas masa berlalu, daripada tidak kenal, kini kami jadi sahabat paling rapat diluar bila bersama. Dulu, guna panggilan 'Cik Kamal' sebab tak suka panggil orang 'Abang' (geli!)

Friday, August 16, 2013

Raya Kali Ini

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.

Puasa dan raya kali ini amat bermakna buat diri ini. Kebahagiaan itu milik Allah, maka bersyukurlah. Apabila berkumpul, itu anugerah. Apabila bergelak tawa, bergurau senda, itu anugerah. Anugerah Allah buat hambaNya untuk berkasih sayang. Andaikata selama ini, kasihnya layu, sayangnya tiada seri, maka waktu ini peluang menyuburkan kasih nan layu dan menyerikan sayang yang kian pudar. Ini kalilah!

Alhamdulillah.

Keluarga. Itu anugerah yang tidak ternilai andai ingin dikira-kira berapakah nilainya.
Keluarga. Itu anugerah amat indah untuk disyukuri dan disuburi dengan kasih sayang.
Keluarga. Itu anugerah bahagia bagi bersama menyuburkan keimanan dalam diri.

SubhanAllah.

Bersama membeli-belah :)
Kita melihat orang lain bahagia. Kita melihat orang lain punya keluarga yang riang, gembira dan ceria. Kenapa kita tidak punya semua itu? Bukan tidak punya, cuma perlu tahu bahawa nikmat bahagia itu pelbagai rupa. Cari bahagia dengan cari redha Allah dalam hidup berkeluarga. Syukur! Itu kunci utama untuk sentiasa rasa bahagia.

Raya kali ini, bersama encik suami tersayang. SubhanAllah, siapa sangka seorang insan yang selama ini tidak pernah dikenali. Hari ini, datangnya dalam hidup melengkapkan sebahagian agama, doktor hati, perantara penenang jiwa. Alhamdulillah! Maka, ini kali pertama kami beraya bersama :)

Ragam memilih baju raya :D
Sentiasa akan cuba mengenali antara satu sama lain. Insya Allah. Bahagia dalam berkeluarga, isinya bukan semata-mata CINTA. Dalamnya ada AMANAH, amanah bagi melaksanakan matlamat yang diletakkan dalam perkahwinan untuk dunia dan akhirat. Dalamnya ada JUJUR dan IKHLAS, jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai seorang hamba.

Kali ini kita raya bersama, abang kakak (Abang Aizat & Kak Mira) O-sem! :)
# Abang A dan Kak Noni beraya di Terengganu :)

Perkahwinan yang punya redha, dasarnya bukan suka-suka. Dasarnya bukan rasa seronok dan gembira semata-mata. Kerana hakikat kehidupan itu ada suka dan dukanya. Binalah dengan dasar keimanan dalam diri yang perlu sentiasa diupgrade. Insya Allah, redha dan barakah itu ada bersama. Bahagia dalam redhaNya!

Abang, moga JAUH ini lebih menjadikan kita DEKAT :)
Selamat Hari Raya daripada Amal, Kamal & Mama :)
Paling special raya kali ini, dapat beraya dengan keluarga baru. Alhamdulillah! Beraya di kampung suami di Kuala Kangsar dalam keadaan kesihatan yang tidak berapa baik mengajar diri supaya bersyukur dengan nikmat sihat yang Allah kurniakan. Gunakan masa sihat itu untuk bertungkus lumus bersungguh dalam beramal dan menghargai setiap detik berharga bersama keluarga tercinta. Insya Allah.


Full house!
Apabila 9 adik-beradik suami berkumpul, meriah! Alhamdulillah atas segala kurniaan, atas segala kemudahan, atas segala nikmat kasih sayang yang melimpah ruah yang Engkau kurniakan. Alhamdulillah! Penyatuan ini amat bermakna bagi kami :) Alhamdulillah!

Barisan atas: Sofi, si kecil Iyad, Imah, Amal, Abang Sayang, Abang Benny, Kak Madihah
Barisan tengah: Kak Farrah, Abang Emi, si kecil Saifullah, Mak, si kecil Ihfaz, Abah, si kecil Ahnaf, Abang Faiz, Kak Yong, Arham
Barisan bawah (orang bujang): Aiman, Izzah, Aisyah, Hafiz
Semoga Syawal seindah Ramadhan :)
Jangan sia-siakan tarbiyyah Ramadhan ini. Rugilah andai Ramadhan itu berlalu pergi tanpa meninggalkan apa-apa makna dalam diri. Alangkah ruginya andai kita masih sama seperti dahulu tanpa pembaikan diri. Ya, Allah lihat pada usaha kita. JOM usaha! :)

Insya Allah.

Salam sayang dari bumi Sarawak,
Maaf zahir dan batin :)

16/8/2013 Rindu pada insan itu, hanya mampu berdoa dari jauh. Moga didekatkan dalam kejauhan. Kuatkan kami! Be strong, Insya Allah! :)
Abang kata, "Amal, bila nak tulis kisah kita?"
"Kisah Tuan Puteri dan Putera Katak ke abang?" :D
*Akan datang*

Thursday, August 15, 2013

Titik Mula

Assalamualaikum wa rahmatullah wabarakatuh,

Setelah sekian lama diri ini tidak menaip, kini mencari semula titik mula. Hampir 3 bulan tidak menulis. Adakah beku akalku? Adakah ilham tidak muncul-muncul? Adakah kerana rasa cukup setakat ini?

Ya, masih mencari titik mula semula.

Entry yang terakhir, aku masih bujang.
Kini bergelar isteri orang.

Adakah ini akan mengubah 'temanku' ini?
'Teman' yang menjadi penghubung kami selama ini, tanpa ku sedari.

:)

Aku dan dia kini berjauhan.
Moga 'temanku' ini dapat mengisi jiwa aku dan dia :)
Insya Allah.
Moga diisi dengan sinar-sinar butir mutiara yang tidak kan pudar.

Mencari titik mula :)
Tidak akan berhenti menulis, itu keputusanku.
Kini, cari jalan ISTIQAMAH!

'Temanku' = fikraa
:)

 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates