Alhamdulillah, seminggu yang lepas berkesempatan untuk turut serta dalam seminar Ibubapa Soleh Anak Cemerlang 2012 (ISAC). Alhamdulillah, banyak ilmu yang berguna diperolehi dan Insya Allah mungkin di sini boleh dijadikan medan perkongsian ilmu yang sedikit ini. Tidak banyak, sedikit dan sedikit itu lebih baik daripada tidak ada apa-apa. Betul kan?
Hadirin yang hadiri terdiri daripada ibu-ibu, juga bapa-bapa, termasuk jugalah kami bakal ibu-ibu, Insya Allah. Terasa janggal berada di kalangan mereka, al-maklumlah mereka lebih banyak pengalaman berbanding kami yang belum lagi berkahwin. Maka, tumpuan dilontarkan ke hadapan, fokus-fokus.
SLOT 1 : YOUR FOOD, IT'S YOU!
Daripada Puan Shazamawati Hashari.
"Anak-anak itu ibarat mutiara yang belum digilap. Maka IBU BAPA lah yang perlu mengilap butir-butir mutiara ini."
Bagaimana?
Salah satu caranya melalui pemakanan. Apa yang kita makan itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi siapa kita di kemudian hari. Dalam soal pemakanan ini, Setiap inci penyediaannya perlu diambil kira termasuklah pembelian bahan-bahan atau makanan itu daripada duit yang halal sumbernya. Adab makan itu juga perlu dijaga daripada awal hingga akhirnya.
Insya Allah, dalam mencari redha Allah itu, kita akan cenderung ke arah kebaikan dan secara tidak langsung membimbing langkah untuk menjadi insan yang lebih baik. Yang penting, kita usahakan dahulu.
MENGAPA perlu makan sedikit tetapi berulang kali:
- Melajukan metabolisma badan (BMR-body metabolism rate)
- Mengawal rasa lapar
- Sentiasa bertenaga
- Membaiki penyerapan makanan
- Mengurangkan simpanan lemak
:)
Maka, amalkan pemakanan yang sihat. Dengan itu, amalan seharian akan lebih teratur. Insya Allah.
SLOT 2 : ANAKKU SEHEBAT HASAN DAN HUSIN!
Daripada Ustazah Nor Saleha Mohd Salleh
Hebat!
Anak-anak yang hebat itu, terbentuk daripada ibu bapa yang hebat. Walaupun ibu bapa itu kelihatan biasa-biasa saja sekalipun, namun kehebatan itu tidak semestinya kelihatan pada luarannya sahaja kan. Setiap ibu bapa itu mampu melahirkan anak yang hebat. Ya, sehebat Hasan dan Husin!
Dalam institusi kekeluargaan itu juga perlu dijaga keharmoniannya. Agar sentiasa berada di dalam satu persefahaman dan bukan buruk atau salah sangka.
Antara caranya adalah:
Pertama, mengamalkan budaya musyawarah iaitu perbicangan untuk mencapai satu persepakatan. Sangat penting! Tidak perlu terlalu formal dalam perbicangan itu tetapi lebih fokus pada isu yang hendak dibincangkan bersama percambahan idea untuk menyelesaikan sesuatu konflik kekeluargaan yang timbul.
Kedua, qudwah yang baik iaitu contoh tauladan yang baik. Anak-anak itu cenderung meniru kelakuan ibu bapa mereka. Ibu bapa itu perlu memainkan peranan menunjukkan cara hidup Islam secara praktikalnya kepada anak-anak.
Contoh,
"Ahmad, kenapa tidak beri salam sebelum masuk rumah? Tak baik." Tegur mak.
"Mak pun kadang-kadang tak beri salam sebelum masuk..." Monolog seorang anak.
Contoh lain,
"Ahmad...Abu...kenapa gaduh-gaduh ni, siap tinggi-tinggi suara lagi. Tak habis-habis lah kamu berdua ni!" Mak bersuara.
"Mak dengan abah pun selalu gaduh dan tinggi suara kan...." Kata anak di dalam hati.
Tunjukkan dahulu, Insya Allah mata-mata butir-butir mutiara yang melihat itu akan ikut tingkah laku kita. Insya Allah. Jangan lupa untuk berdoa kerana itulah satu-satunya senjata ummah yang tidak pernah ketinggalan zaman. Moden sentiasa! Ibu bapa, banyakkan berdoa!
Ketiga, wariskan solat dan Al-Quran kepada anak-anak. Ajari mereka dengan sebaiknya.
Ayuh, membangun dengan ummah yang jitu aqidahnya!
[Ketuk-ketuk diri yang masih banyak sangat kekurangan dan kelemahan]
SLOT 3 : FORUM MEMBINA GENERASI HARAPAN!
Key word : CONTOHILAH RASULULLAH!
Walaupun perlu kembali kepada zaman dahulu kala, namun warisan yang ditinggalkan itu sangat relevan untuk dipraktikkan di zaman ini. Kreatif!
Insya Allah.
Sama-sama kita usaha ke arah itu.
Sekadar secebis cetusan minda orang muda :)
Waallahu'alam.
29/4/2012 Cepat sungguh masa berlalu, sedangkan diri masih lagi merangkak. Bila mahu berjalan dan berlari ni? Bangun-bangun!
2.40 pagi, Insya Allah moga bermanfaat walaupun sedikit.
Terima kasih room-mate yang bagi pinjam broadband! :) Jazakillahu khayra katheera!
Cerita pada mama tentang impian dia, ALHAMDULILLAH support 100%! No doubt, dia memang ramai supporters :) Allahu yusahhil...Matlamat biar jelas, niat biar betul, jangan tersasar.