Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Saturday, August 22, 2009

Ahlan ya Ramadhan..Mukmin Terbaik

Assalamualaikum

Ya ALLAH telah sekian lama tidak menulis di ruangan ini. Kenapa? Sibuk sangatkah sehingga tidak mampu, tiada kesempatan lagi menulis. Gunalah masa lapangmu sebelum masa sempitmu. Itu yang dapat dipelajari daripada keadaan hidup kini.

InsyaALLAH ramadhan sedang kita jalani selama sebulan, bukan satu tempoh masa yang lama tetapi membawa seribu makna bagi mukmin yang mengharapkan rahmat dan keampunan ALLAH. Pintu rahmat dan keampunan ALLAH senantiasa terbuka luas buat semua hamba-hambaNya. Kealpaan dengan tipu daya dunia menyebabkan manusia itu alpa lagi lupa akan nikmat kurniaanNya. Di bulan penuh barakah ini, mari bersama-sama kita memperbanyakkan ibadah kepada Yang Maha Esa, yang mentadbir sekalian alam. Semoga bulan pentarbiyyah selama sebulan ini dapat mendidik diri kita menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur dan mencari redha ALLAH. InsyaALLAH.

Firman ALLAH:
"Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada ma'ruf, dan mencegah kepada kemungkaran dan kamu beriman kepada ALLAH" (Surah al-'Imran : 110)

Jelas disini ALLAH menaiktaraf darjat hambaNya yang beriman, melakukan amar ma'ruf nahi munkar. Menjadi UMAT TERBAIK! Tidak mahukah kalian? 3 syarat buat hambaNya yang inginkan peningkatan dalam diri, membaiki kualiti rohani dan jasmani. Mewujudkan cabaran dalam diri menjadi ummat yang terbaik, insyaALLAH.

Firman ALLAH:
"Dan demikianlah Kami menjadikan kamu ummat wasatha supaya kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan rasul menjadi saksi atas perbuatan kamu" (Surah al-Baqarah :143)

Imam Ibn Kathir di dalam Tafsirul Quran al-Azim berkata, "wasatha dalam ayat ini bermaksud terbaik lagi gemilang" Juga digambarkan sebagai ummat yang bersikap adil sesama manusia. Manakala, di dalam al-Asas fit Tafsir, Said Hawa mentafsirkan 'ummatan wasatha' sebagai 'ummat yang terbaik lagi adil'. Ummat manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi adakah kita bersyukur? Adakah kita sentiasa mengingati Pencipta kita? Manusia mudah alpa dengan kesenanga yang dikecapi. Beringat-ingatlah, hidup hanya sementara, akhirat penentu segalanya, baik atau buruk pada 'akhirnya'.

Sempena bulan yang penuh rahmah dan barakah ini, mari bersama-sama kita meningkatkan amal kebajikan dan menjauhi segala pantang larang ALLAH. Biarlah pentarbiyyahan yang sebulan ini dapat meninggalkan kesan positif dalam diri kita dan membuang sejauh-jauhnya sifat mazmumah yang selama ini menjadi amalan seharian kita. Ia sukar tetapi tidak mustahil. Sesungguhnya disisi ALLAH itu tiada apa yang mustahil.

Berusaha menjadi ummat terbaik! Waallahu'alam.


Alhamdulillah sekarang melangkah masuk ke Block ke-7 (Gastrointestinal System and Hepatobiliary Tract) yang pastinya menantikan cabaran demi cabaran. Semoga terus cekal menghadapi onak ranjau hidup ini. SELAMAT BERJUANG!

Kepada sahabat baikku, semoga kalian terus istiqamah di landasan ini dan jangan biarkan diri kita dikawal hawa nafsu semata-mata. Pelihara hati daripada mati, tingkatkan iman, jauhi larangan.

Saturday, August 8, 2009

Koleksi Hadith 40 - Keempat

Assalamu'alaikum Lama juga tidak menaip dilaman ini. EOB (End of Block) lama sudah berakhir. Susah senang, diri sendiri yang merasa. Tawakkaltu 'ala ALLAH itu sebaik-baiknya. Banyak perkara hendak dicoretkan tetapi lebih molek kiranya kita sambung hadith 40 ini dahulu sebelum berganjak ke agenda seterusnya (hee..ayat sejak belajar BM) Harap dapat dimanfaatkan bersama, dihayati dengan sebaik mungkin kerana kurniaan AKAL oleh ALLAH adalah untuk hambanya berfikir bukan leka lagi alpa. SELAMAT MEMBACA!

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):

Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim



Pengajaran hadith ini ialah kejadian manusia itu jelas ternyata unik dan tiada tandingannya. Walaupun manusia mencipta robot yang dapat melakukan kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh manusia tetapi robot itu tidak akan sama sekali sempurna seperti manusia dengan akal fikiran yang mampu mentafsir dan membezakan baik buruk sesuatu perkara itu.

Proses kejadian manusia yang berperingkat-peringkat ini telah diceritakan melalui al-Quran sejak dahulu lagi, di zaman Rasulullah ketika ayat al-Quran itu turun beransur-ansur. Tetapi baru di zaman ini manusia benar-benar arif mengenai proses kejadian manusia berdasarkan ilmu sains yang kian berkembang pesat di era kemodenan, namun demikian, sudah tentu tidak sempurna kerana hanya ALLAH yang Maha Mengetahui akan sesuatu itu walaupun sebesar zarah.

Sebelum kita melihat muka bumi ini, ada 4 perkara yang telah ALLAH tetapkan, iaitu rezekimu, ajal kematianmu, nasibmu samada senang atau sebaliknya. Begitulah kejadianmu, jangan kita menyalahkan takdir atau mengadu domba akan nasib malang yang menimpa atau berputus asa dengan nikmat ALLAH. Nikmat ALLAH bukan hanya kesenangan, kesusahan itu juga suatu nikmat jika kita teladaninya dengan sebaik mungkin. Ajal? Usah kita berterusan bersedih akan pemergian orang tersayang, hakikatnya ia pahit, perit untuk diterima.

Amalan manusia itu akan senantiasa diperhatikan. Oleh siapa? Anda boleh menjawabnya dengan baik. Walaupun kita banyak melakukan amal baik pada awalnya tetapi sebaliknya pada akhirnya, ia tetap akan dinilai. Mungkin amalan yang buruk ini akan mencacatkan amalan baik yang telah kita lakukan sekian lama. Istiqamahlah dalam berbuat kebajikan. Semoga ALLAH senantiasa melimpahkan rahmatNYA kepada kita semua, InsyaALLAH.

Waallahu'alam.

Saturday, August 1, 2009

UPPS 2008/2009 dalam Kenangan..

Assalamualaikum, sahabat-sahabat sekalian,

UPPS? Unit Perwakilan dan Pengurusan Surau Kolej Perubatan UNIMAS meninggalkan seribu kenangan dalam sewaktu diberi amanah untuk dilaksanakan dalam organisasi ini. Pahit manis dirasai bersama sesama ahlijawatankuasa, kerja dipikul bersama tanpa rasa ia satu beban. Semoga kenangan ini akan dibawa sehingga tamat menuntut disini, insyaALLAH. Kepada pucuk pimpinan UPPS, diucapkan selamat bertugas. Semoga langkah-langkah kalian senantiasa digerakkan demi kerja-kerja ISLAM dan membaiki setiap kelemahan secara berhikmah.

Ini tayangan multimedia sewaktu MUKTAMAR AGUNG UPPS 2008/2009 bagi perlantikan ahlijawatankuasa UPPS 2009/2010. Kenangan..Sebak rasanya meninggalkan unit ini. Tetapi apakan daya, apa salahnya memberi peluang kepada rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk berbakti dibawah unit ini. Selamat melaksanakan amanah yang diberikan.

 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates