Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Monday, November 25, 2013

PJJ - Pandang Jeling-Jeling

Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh,

Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ) semakin menjadi sebutan ramai. Insya Allah tulisan kali ini sempena setengah (1/2) tahun kami bersama menelusuri liku-liku, simpang-siur kehidupan yang ada turun naiknya.

KENAPA MEMILIH PJJ?

Pandang jeling-jeling 1: Ada segelintir pihak menganggap PJJ ini sebagai satu alternatif kahwin awal walaupun perlu berjauhan selepas itu kerana takut hubungan itu tidak terjaga dan membawa kepada perkara yang tidak baik. Pendek kata untuk menjauhkan diri daripada zina.

Pandang jeling-jeling 2: Ada segelintir pihak lagi menganggap PJJ ini tidak patut kerana fitrah isteri adalah berada disamping suami. Dengan anggapan andai berjauhan tidak dapat memenuhi tanggungjawab dan amanah juga tidak dilaksanakan dengan baik.Dengan itu matlamat perkahwinan itu sendiri tidak dapat dilaksanakan iaitu penyatuan dua hati menjadi satu.

Namun begitu, manusia itu diberi peluang untuk memilih tetapi Allah jua yang akan melaksanakan pilihan kita. Andaikata dalam aturannya tidak sepertimana yang kita pilih atau rancang, maka tidak akan ada pelaksanaan terhadap pilihan yang kita telah buat.

Jawapannya sungguh subjektif. PJJ 1 atau PJJ 2. Masing-masing ada asbab tersendiri untuk diketengahkan. Apa jua jawapan kita, Allah jualah yang punya jawapan sebenarnya. No doubt!

Bagi pengalaman diri sendiri, saya tidak pernah merancang untuk berkahwin sewaktu belajar. Tidak pernah. Adakah saya berkahwin sewaktu belajar untuk menjaga hubungan? Elak zina? Boleh sahaja tunggu sehingga habis pengajian kerana kami berjauhan (saya di Sarawak, dia di Shah Alam) dan berhubung hanya apabila ada perkara yang ingin dibincangkan. Namun, kuasa Allah mendahului segala-galanya. Kami disatukan dikala saya di tahun akhir pengajian, sementara dia sudah bekerja hampir setahun. Namun kini, kami berdua adalah pelajar universiti kerana Mr. Zawj kini menyambung pengajian di peringkat setersunya dalam jurusan seni bina.

Ini bukan kerja saya.
Ini urusan Allah semata-mata.

Apabila telah diaturkn begitu. Maka perlu alert dengan tugas dan amanah sebagai isteri/suami. Be creative dalam pelaksanaan amanah dan tanggungjawab ini. Perlu diusahakan walau dengan apa cara sekalipun. Apabila Allah dah tetapkan suatu jalan itu, harus ada destinasi yang ingin dituju (matlamat).

Insya Allah.


PJJ ADA RISIKO?

Risiko 1: Bagi yang baru mengenali, akan mengalami sedikit kesulitan dalam mengenali dan memahami isteri/suami anda. Al-maklumlah baru sahaja kenal. Maka, salah faham mudah berlaku, lebih-lebih lagi apabila adanya masalah komunikasi. Namun bagi yang sudah lama kenal juga, kebarangkalian wujudnya permasalahan itu pastinya ada kerana kita berkahwin dengan 'orang' yang berbeza, sebelum kahwin dan selepasnya.

"Kami dah lama kenal. Saya dah kenal sangat dengan sikap/ragam dia."

Ops tidak!

"Kamu tidak akan kenal dia selagimana tidak tinggal bersama untuk jangka masa yang lama."

Sungguh! bukan mudah untuk mengenali. Lebih-lebih lagi bagi yang baru mahu kenal-kenal dengan pasangan. Maka, bersedia dengan apa jua kemungkinan.

Risiko 2: Apabila dua jiwa bersatu, maka wujudlah kasih dan sayang. Itu fitrah. Sesiapa yang tidak pernah kenal sebelum nikah sekalipun, selepas akad nikah, dengan izin Allah datanglah encik dan puan Cinta dalam hati. Maka, detik perpisahan untuk berada di kejauhan itu sangat perit kerana mulalah akan ingat-ingat pada suami/isteri. Hadirlah encik dan puan Rindu.

Maka bersedialah. Dekatkan diri dengan Allah, itu kuncinya. Kerana Allah jualah yang menjaga hubungan suami isteri itu. Jaga hubungan dengan Allah, Insya Allah hubungan yang lainnya akan terjaga.

Risiko 3: Apabila sudah biasa berjauhan, ada segelintir pasangan yang sudah terbiasa. Maka apabila sudah terbiasa, kasih sayang mula menghilang sedikit demi sedikit kerana sebuah kebiasaan yang membinasakan. Mula hadir Encik Benci (tidak suka itu, tidak suka ini).

Mula tidak kisah suami/isteri calling-calling ke tidak.
Mula tidak kisah suami/isteri bergaul dengan siapapun.
Mula tidak kisah apa yang suami/isteri lakukan.

Makan minum tidak ditanya.
Khabar iman apatah lagi untuk ditanya.

Beware!


Hidup berumahtangga itu adalah dengan kasih dan sayang. Lengkap melengkapi dan ingat-mengingatkan dikala lupa dan alpa. Kerana itu jualah kita disatukan.

Dan itu jualah yang saya risaukan akan berlaku dikala berjauhan dengan Mr. Zawj yang tercinta ini. Namun, perlu diingat selalu, kasih sayang itu juga daripada Allah, milik mutlak Allah. Maka, dekat dengan Allah itulah kuncinya. Sebagai manusia, kadangkala kita terjauh dan saat itu akan digunakan syaitan sebaiknya untuk merosakkan segala dinding kasih sayang yang terbina.

Beware!

BAGAIMANA  UNTUK BERHADAPAN DENGAN PJJ?

Bagaimana? Insya Allah ada caranya. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, ingin sekali dikongsikan bersama. Bukan sahaja boleh dipraktikkan dalam hubungan suami-isteri, tetapi boleh digunakan dalam hubungan berkeluarga. Agar ia harmoni sentiasa. Insya Allah. Ada beberapa kaedah yang boleh digunapakai, Insya Allah. Moga hubungan terus terpelihara. Bersiaplah andaikata memilih PJJ pada awal perkahwinan.

Tips 1: Berbincang dengan bakal pasangan perihal medium komunikasi sewaktu berjauhan.

Ini sangat-sangat penting dan tidak boleh diambil mudah. Zaman sekarang ini, macam-macam medium ada. Daripada yang free sehinggalah yang berbayar. Contohnya seperti skype, viber dan seangkatan dengannya ataupun menggunakan plan mobile yang berpatutan.

Saya dan Encik Zawj berhubung menggunakan Digi Smart Plan. Dapat berhubung free tanpa sebarang charge dikenakan. Kadangkala kami guna skype untuk video call. Kini, dunia di hujung jari tetapi tidak semua perkara dihujung jari kerana kasih sayang mekarnya di dalam hati.

Tips 2: Walaupun berjauhan, kerap kali berhubung antara satu sama lain.

Paling tidak pun seminggu sekali kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Lebih-lebih lagi pelajar seperti kami, masa berhubung menjadi terhad namun kami tetap berhubung tiap-tiap hari sekurang-kurangnya 5-10 minit.

Tips 3: Luahkan apa sahaja yang terpendam, jangan disimpa-simpan.

Menangis bila perlu kerana itu akan lebih menghidupkan hati. Namun jangan berlebih-lebih kerana itu hanya akan melemahkan hati. Marah, sedih, rindu, geram, luahkan sahaja semua. Namun, luahkan pada Allah terlebih dahulu sebelum meluahkan pada cinta ke-3 mu.

Encik-encik Zawj yang perlu banyak bersabar (hehe) kerana kaum hawa ini lembut hatinya. Mudah menangis. Namun, kaum hawa jangan jadi terlalu lemah, kerana tangisan semata-mata tidak dapat menyelesaikan apa-apa.

Tips 4: Gunakan nama panggilan yang sewajarnya bagi mengeratkan kasih dan sayang.

Tips 5: Andai berjumpa setelah sekian lama berjauhan, guna masa untuk lakukan aktiviti bersama-sama.

Gunakan masa semaksimanya seperti beriadah, berkayak, berbasikal dan sebagainya. Selain itu, jangan lupa solat jemaah bersama, adakan sesi tazkirah bersama, tadabbur ayat-ayat cinta Allah. Boleh juga hadiri majlis ilmu bersama. Ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengeratkan hubungan memekarkan lagi kasih sayang yang selama ini memang subur. Insya Allah.

Tips 6: Ketahui jadual waktu, aktiviti mingguan pasangan.

Ambil tahu jadual waktu kerja atau study pasangan anda agar mudah untuk berhubung dan dapat mengurangkan salah faham. Selain itu, tahu juga bila waktu rehatnya, bila jadual usrahnya, program yang lainnya. Insya Allah ini dapat mengelakkan salah faham.

Pelbagai cara lagi boleh digunakan, terpulang pada individu tersebut untuk mengekalkan Sakinah Mawaddah wa Rahmah dalam hidup berumah tangga dan keluarga mereka.

Semoga sedikit perkongsian ini bermanfaat.

Hidup berkeluarga juga, perlu sangat-sangat dijaga keharmoniannya. Kunci utama kebahagiaan itu adalah pengabdian secara total kepada Allah. Ihfazillah, yahfazka (teringat nama anak buah yang comel, Ihfaz!) yang membawa maksud, 'Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu'. Jaga hubungan dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan manusia.


Insya Allah. Keluarga muslim bermula dengan individu muslim.
Individu muslim itu dibina daripada dalam ke luar.
Pelihara IMAN, jaga AMAL :)
Insya Allah.

******************************

Happy anniversary NIFSU SANAH, suamiku!
6 bulan itu sangat sekejap berlalu, sekelip mata.
Pandang jeling-jeling (PJJ), "Eh dah 6 bulan! Alhamdulillah. Semua dengan izinNya."


Rasa seperti baru semalam kita bernikah, tetapi kini berjauhan.
Pejam jeling-jeling, sudah 6 bulan.

Daripada tidak kenal, kepada lebih kenal.
Daripada bisu tidak berbicara, kini dia teman gelak tawa.
Daripada tunduk malu bila bersua, kini wajah dia ku tatap sentiasa.

Moga Allah pelihara kami dan kamu-kamu semua.
Dalam barakah Allah sentiasa :)

Melangkah dan terus melangkah untuk jadi hamba yang tahu BERSYUKUR.
Berkejar dan terus berkejaran untuk menggapai REDHA-NYA di puncak tertinggi
Insya Allah.

JOM!
Waallahu'alam.

Sunday, November 24, 2013

Rabbi Yassir


Cukup Allah bagi kami, kepadaMu kami berserah dan kami memohon pertolongan. Moga dipermudahkan segala urusan. Kerana yang memudahkan itu hanya Allah, tiada selain darinya.

JOM amalkan bersama :)
Balighu anni walau ayah (Sampaikanlah walaupun satu ayat).

24/11/2013 Akibat tak dapat balik, rasa nak tulis saja :) Moga bermanfaat.

Thursday, November 21, 2013

New Author: Hasil Tangan

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.

Moga laman ini akan terus bernyawa dan subur hendaknya dengan kehadiran insan yang sudi sama menulis. Insya Allah. Dengan kekangan masa dengan agenda dunia (moga tidak sia-sia, bersama akhirat jua) ini, hadir insan ini untuk turut sama memberi dan berkongsi.

"Amal, kenapa tak update blog?"

"Memang nak update. Tapi tulah dia, tak update-update lagi ni. Habis ilham terbang. Abang jadi author sekali ye."

"Boleh-boleh. Nanti add abang as author ye."

"Baik! Insya Allah."

Sudah lama blog ini tidak berubah wajah. (Sabar-sabar). Insya Allah bakal berubah tetapi bukan sekarang. Masih banyak agenda, perkara yang lebih aula menanti untuk dilangsaikan. Insya Allah.

Muhasabah buat diri ini.

Kita menulis bukan untuk saja-saja. Setiap perbuatan kita bukan saja-saja. Setiap perkataan yang keluar, setiap baris kata yang ditaip bukan sekadar tatapan mata bagi memenuhi ruang sahaja. Tetapi ia lebih daripada itu. Memberi dan terus memberi. Dan itu bukan mudah untuk istiqamah. Mungkin ada dalam hati-hati yang terdetik.

Mengharapkan orang LIKE (Eh! ini bukan mukabuku).
Mengharapkan orang puji dan hargai (Eh! kita bukan anak raja).
Menunjukkan kitalah yang terhebat (Eh! saya dan kamu hanya hamba)

Oh tidak!

Moga dijauhkan daripada segala apa yang membawa kepada kerosakan hati dan keruntuhan umat. Insya Allah. Moga diperlihara daripada fitnah-fitnah yang memudarkan keindahan alam ciptaanNya ini.

Terima kasih Encik Zawj kerana sudi membantu!

Encik Zawj, Ahmad Zulkamal Mohd Ziyadi selesai dengan presentationnya.
Nama pena beliau adalah Takwaman :) Beliau juga merupakan blogger suatu ketika dahulu. Moga bermanfaat! Insya Allah.

Encik Syukur di Bumi Jogja 2

Hari ini, biarlah lukisan alam ini berbicara kerana bicara alam ini jauh lebih indah terus, direct daripada Penciptanya. Tulisan tangan ini juga begitu, ilham daripadaNya. Cuma gambar memberi seribu kata, cuma perlukan mata yang terbuka untuk melihat dan hati untuk perhati dan menghayati. Insya Allah.


Lukisan alam 1: Gambar di atas memperlihatkan insan yang gigih berusaha walaupun pendapatannya tidak seberapa. Mungkin ada yang berkata, "tak berbaloi berpenat lelah, hasilnya cuma sedikit." Ini bukan soal banyak atau sedikit, ini soal usaha, dan rasa untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

Allah tidak memandang hasilnya tetapi melihat setiap langkah dan helaan nafas kita dalam berusaha mendapatkan hasilnya. Kita rasa tidak berbaloi kerana kita hidup senang. Kita rasa hasilnya sedikit sehingga kita lupa yang sedikit itu juga adalah rezeki daripada Allah dan mereka bersyukur dengan itu.

Kita? Mungkin itu sebabnya kurang rasa syukur kerana kita terlalu melihat perkara dan benda yang besar-besar. Dan tidak sedar bahawa diri kita ini jika dilihat daripada skop alam semesta, kita tidak kelihatan langsung. Betapa kerdilnya kita. Bilamana kita memandang rendah pada makhluk lain, ingatlah kita tidak setinggi mana untuk berlagak hero atas muka bumi ini. Hanya pelakon tambahan yang belum tentu baik lakonannya.

Lukisan alam 2: Inilah surau yang kami singgah tempoh hari. Boleh refer pada penulisan yang lepas. Surau yang disangka telah ditinggalkan dan tidak digunakan. Sangkaan meleset apabila gedung berbunyi memecah kesunyian senja yang berlabuh. Kanak-kanak berlari-lari ke surau ini. Adakah kita akan berkejar-kejar ke surau/masjid? (tunduk bawah-bawah).

Jelas. ISLAM itu boleh hidup dimana-mana, tidak kira tempat, tidak kira waktu. Kerana apa? Kerana dalam timeline hidupnya ada matlamat yang ingin dicapai, bukan saja-saja.



Lukisan alam 3 & 4: Kayuhan kaki ini tidak akan terhenti demi mencari sesuap nasi. Kesabaran yang dibawa bukan diletak pada kuatnya kayuhan kaki atau rajinnya tangan tetapi kesabaran itu terletak dalam hati yang ada azam dan tekad yang jitu untuk ubah cara hidup.

Rasa sayu hati bilamana mengenang kemalasan diri, mengenang keluhan yang tidak henti-henti. Mungkin Encik Syukur merajuk sebab lama menunggu untuk disapa. Allah. Moga kita tidak lupa untuk berterima kasih pada Pencipta. Insya Allah.


Ini kami yang kepenatan, berjalan daripada pagi ke malam. Apabila pelajar perubatan bersama pelajar-pelajar architecture, memang rasa lainnya. Pastinya ada perbezaan, dunia kita berbeza. Kerana perbezaan ini juga saya dan Encik Zawj disatukan. Alhamdulillah.


Lukisan alam 5: Wayang kulit ini indah bila dihayati jalan ceritanya. "cekap betul tangan pak cik ni." Bukan setakat memainkan satu watak, tetapi 3 watak sekaligus dalam satu masa. Terpegun! Wataknya pelbagai tetapi yang mengawal karakterya seorang.

Begitu juga peranan manusia. Hidup ini bermatlamatkan SATU tetapi peranan kita sebagai manusia itu banyak (lebih daripada satu). Mungkin saya kini bergelar pelajar perubatan yang sibuk dengan pelajarannya. Tetapi saya juga seorang isteri, anak dan Insya Allah da'ie yang akan selalu bergerak. Setiap satu gelaran, peranan yang akan dimainkan juga berbeza.

Kompleks ciptaan Allah ini bukan saja-saja. Kompleksnya ada makna :) Mainkan peranan kita dengan sebaiknya dengan setiap detik waktu yang Allah berikan pada kita.


Insya Allah mungkin di lain hari, lukisan alam di tempat yang berbeza pula. Harap sangat dapat bertemu dengan Encik Syukur lagi agar diri tidak terasa terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Insya Allah. Sebab bilamana tidak berjumpa dengan Encik Syukur, mungkin akan terserempak dengan Encik Lalai Alpa (minta dijauhkan).

Peringatan buat diri ini, untuk dikongsikan dengan semua. Insya Allah.

Lihatlah dengan mata yang terbuka dan bersedia untuk melihat. Tarbiyyah daripada Allah bukan hanya di masjid-masjid atau di surau-surau atau di kuliyyah agama. Tetapi lebih daripada itu. Betul, ini tidak tipu. Melihat pokok, bunga, orang-orang di jalanan juga mampu mendidik hati dengan izinNya.

Insya Allah. Waallahu'alam.

Akhir sekali...


Wahai Encik Zawj, jumpa lagi tahun depan. Moga kita dekat walaupun berjauhan. Moga matlamat kita menggerakkan kita seiring dan sejalan untuk dekat denganNya. Amin. Insya Allah.

Seiring dan sejalan,
Seindah aturan Tuhan,
Mencari redha-Nya,
Matlamat bersama,
Bahagia dalam rahmatNya.

"Abang, nyanyi sikit lagu Nurul dengan Ajai guna lirik ni." (geleng-geleng Encik Zawj).
# Gurau senda itu menjadi seri dikala berjauhan #
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

Blog Archive

 
Blogger Templates