Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Thursday, June 30, 2011

Perjalanan Jauh

Alhamdulillah.

Menulis lagi apabila sudah sekian lama tidak menulis, walaupun hakikatnya tidaklah terlalu lama meninggalkan halaman ini. Kini, berada di Sibu, InsyaAllah selama lebih kurang 9 bulan di sini untuk meneruskan satu perjuangan yang panjang.

Ya, perjuangan yang punya perjalanan yang panjang.



Enam tahun sebagai pelajar itu tidaklah terlalu lama jika dibandingkan dengan tanggungjawab yang bakal digalas selepas ini. Masih jauh dan terlalu jauh dengan amanah yang besar, sangat besar.

Moga-moga berjaya menjadi seorang manusia yang benar-benar berfungsi.
InsyaAllah.

********************

Sabtu yang lalu, buat pertama kali memandu dalam satu perjalanan yang jauh, kira-kira 6-7 jam perjalanan. Perjalanan Kuching-Sibu, tanpa berbekalkan apa-apa pengalaman, terus memberanikan diri untuk memandu.

Ya, walaupun diri ini punya lesen sudah hampir 4 tahun, tetapi baru lebih kurang 3 bulan memandu. Belum sempat menjelajah seluruh semenanjung Malaysia, kini si putih Abyadh sudah berada di Sarawak, sekarang menetap di Sibu bersamaku.

Perjalanan yang panjang dan jauh itu banyak mengajarku.

Maka, tersemat satu kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan. Ya, Allah itu Maha Berkuasa, dan segalanya mungkin dengan izinNya. Sehingga diri sendiri juga terkejut dengan apa yang berlaku, dan bagaimana boleh berlaku.
"Amal, sila berhati-hati."

"Amal, ingatlah orang yang tersayang dekat sebelah tu."
Hanya mampu bermonolog dalam hati.

Istighfar banyak-banyak, mungkin ini satu peluang untuk terus berbakti, jadi lebih baik.
"Kak Amal, kalau nampak Iz potong, akak jangan ikut, tunggu dulu. Tunggu jalan clear. Sikit lagi tadi, risau kita orang."

"Amal, kalau nak potong, tengok-tengok, ketepi-tepi dulu."
Nasihat sahabat yang turut sama dalam perjalanan.
Baik! Menurut perintah.

Ya, hidup dan mati hanya dalam pengetahuanNya.
Maka, hargai hidup dengan perbanyakkan amal dan ibadah.

Bertemankan seorang sahabat, juga 3 ekor ikan :) Bukan mudah mahu menjaga, apatah lagi menyelamatkan nyawa manusia, atau makhlukNya. Kerana nyawa itu bukan milik kita, tetapi milik Dia.

Biar aku lekat kenangan ini, di sini, agar aku dan kamu-kamu sentiasa beringat.

:)

********************

[selepas 2 hari baru sambung entry]

Peluang kedua dariNya.

Kali ini betul-betul terlibat dalam kemalangan yang tidak dirancang apatah lagi dijangka. Namun bersyukur kehadratNya kerana tiada yang cedera, hanya kereta yang 'luka'.

Kejadiannya agak dahsyat bagiku kerana terbabas atas divider yang terdiri daripada pokok-pokok renek, tetapi alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. 'Luka' kereta yang ku sangka sangat teruk, tidaklah seteruk yang disangka.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Ya, semua dengan pertolongan Allah. Aku tidak sedar seketika, pandangan seakan-akan ditutup sehingga keretaku berada diatas divider dan kakiku menekan brek. Pokok-pokok renek itu menerima kehadiran keretaku di tengah-tengah jalan itu.

Seandainya itu tidak berlaku, mungkin juga aku dan rakan-rakanku yang berada di dalam kereta dirempuh oleh kereta daripada arah bertentangan. Na'uzubillah min zalik.

Ya, kematian itu sangat hampir dengan kita pada setiap saat.
Ya, kematian itu suatu kepastian yang ditentukan masanya.

Sangat dekat.

Bersediakah kita?

Kematian itu sangat hampir sedangkan perjalanan hidup itu masih panjang dengan tanggungjawab dan amanah yang semakin bertambah.

Kisah ini moga menjadi pengajaran buat yang membaca.


********************

Perjalanan masih jauh, tetapi kita-kita kian letih.

Ada juga yang kian hanyut, mungkin kita-kita juga insan yang makin hanyut itu. Maka, beringatlah setiap waktu itu ada bayang-bayang yang mengikuti kita walaupun tidak kita sedar akan kehadirannya. Itulah maut yang telah Allah tetapkan buat setiap hamba-hambaNya, kematian itu suatu yang tiada sesiapa yang mampu menghalang.

Kita sibuk berangan jauh.
Terlalu jauh.

Sedangkan esok belum tentu milik kita.
Mungkin esok itu kita sudah berlangit dan berlantaikan tanah.

Perjalanan yang masih jauh ini bukan bermakna kita lupa apa yang sentiasa dekat dengan kita.

Perjalanan jauh itu tidak jauh.
Sangat singkat.

Cuma ada 2 perbezaan.
Sangat singkat disebabkan kita leka dengan dunia, atau,
Sangat singkat disebabkan kita sibuk dengan akhirat.

Muhasabah diri.
Nyawa ini pinjaman, bukan milik kekal kita.
Hanya bertemankan amalan, kelak kita bertemu Tuhan.

Waallahu'alam.

3/7/2011 Blog ini bukan diari, cuma kisah yang menjadi pengajaran buat diri, moga kelak ingat bahawa diri ini kerdil dan nyawa itu hanya pinjaman.

Si putih Abyadhku akan diketuk-ketuk biar nampak cun semula.
Masuk wad sekejap ya sayang :)

Monday, June 20, 2011

Yang Berlalu

Awan Sibu : kelak bersua lagi di sana.

Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah yang menganugerahkan segala nikmat kepada hamba-hambaNya. Walaupun ada di kalangan hambaNya yang lupa, lalai dan leka, Dia tidak pernah mengurangkan oksigen kurniaanNya, apatah lagi mengambil kembali pancaindera kita.

Kenapa?

Kerana Allah Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.

Manusia itu sentiasa diberi peluang untuk membetulkan keadaan, untuk membaiki diri dan situasi. Manusia itu sentiasa diberi peluang untuk memilih jalan, sama ada yang lurus atau bersimpang-siur. Manusia itu sentiasa diberi peluang untuk mencari turning point andai tersalah arah, mencari sign board U-turn untuk kembali ke jalan menuju destinasi.

Kerana apa?

Kerana Allah Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.

Manusia itu selalu leka andai dibuai kemewahan,
namun Allah tidak mengambil kemewahan itu.

Manusia itu selalu mengata, mengumpat makhluk ciptaanNya,
namun Allah tidak memotong lidahnya di alam dunia.

Manusia itu selalu mencari jalan untuk menjatuhkan orang lain,
selalu menyalahgunakan akal yang diberikan,
namun Allah tidak melenyapkan akal itu seadanya.

Manusia itu ada yang menyalahkan Pencipta andai ditimpa musibah,
"Kenapa..kenapa..kenapa aku?"
namun sebenarnya semua Allah telah jawab dalam kalamNya.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

(Mereka berdoa dan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami, dan beri Penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". [Surah al-Baqarah:286]

Usah dirisaukan dengan apa yang bakal dilalui, tetapi fikirlah bagaimana untuk melalui perkara yang berada di hadapan kita. Usah risaukan siapa kita pada masa akan datang, kerana hari ini yang menentukan siapa kita akan datang, maka fikirlah bagaimana untuk menjadi insan cemerlang hari ini.

Kerana Allah Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.

Kita, hambaNya tidak akan pernah kecewa.
Yakinlah bahawa hidup ini cuma sementara, tetapi yang sementara ini yang akan menentukan siapa kita di sana.

Sempena Hari Bapa.

Ingin aku coretkan rasa sebagai seorang anak yang selalu merindui masa bersama.

Ya, masa yang berlalu itu tidak akan kembali.
Andai kembali, ia sesekali tidak akan sama.
Kerana perpisahan itu telah pun terjadi, tanpa ku duga.

Dia insan istimewa.
Pendiamnya bukan diam biasa.
Marahnya dia bukan tanda tidak sayang.

Ya, aku anak tunggal perempuan, kami rapat sekali.
Gurau senda ketika bersama itu bahagia.
Geng gurau senda terbaik!

Tetapi bahagia itu bukan segalanya di atas dunia ini.

Waktu terlantarku di atas katil hospital, tidak pernah ku lihat dia menitiskan air mata. Tetapi aku yakin, dia selalu mendoakanku. Itu namanya hati kental.

Ya, babah juga yang meletakkan nama 'AMAL' itu dihadapan kerana teringat akan nama saudara di Mekah. Asalnya 'AUNI' tetapi selepas perbincangan, :) 'AMAL' yang terpilih.

Ya, katanya saudaranya itu menjadi doktor di Mekah.

'AMAL' itu bermaksud harapan atau cita-cita.
Itu harapan dia padaku, kini aku faham dan lebih mengerti.

Yang berlalu itu bukan semestinya perlu kita lupa, kerana yang berlalu itu banyak memberi makna pada diri untuk menjadi insan hari ini.

Yang berlalu itu walaupun pahit, tidak semestinya kita tinggalkan begitu sahaja tetapi kita jadikan ia pengajaran agar tidak berulang lagi, dan menjadikan kita lebih matang dalam menempuhi liku-liku hidup ini.

Yang berlalu biarkan berlalu,
namun jangan dilupakan begitu sahaja.

Buat bapa-bapa sedunia,
Dikau menjadi obor semangat kami semua,

Sentiasa menyala sekian waktu,


Dikau mengajar kami mengaji,
Alif..ba..ta..kami turuti ajaranmu,

Menjadikan kami hari ini,
Insan yang mengenali tulisan Al-quran.


Dikau insan terpilih dalam berjuta,

Moga baktimu di dunia terbalas di akhirat sana.

InsyaAllah.


********************
Carilah yang hilang, sebelum betul-betul ia menghilang.

Ya, baru-baru ini aku mengenali ramai insan yang mencari-cari sesuatu yang 'hilang'. Jangan ditunggu masa untuk mencari itu tiba, mulakan sekarang dan carilah hingga dapat. Andai sudah dapat, jangan dilepaskan hilang lagi. Genggam erat-erat, jangan lepaskan.

Kerana masa itu berlalu,
dan tidak akan kembali semula.

Hidayah Allah itu buat hamba-hambaNya, daripadaNya juga.
Mohonlah, ringankan lidah, ikhlaskan hati.

Walaupun perlu menangis, menangislah andai itu caranya.
Menangis itu bukan tanda lemah, itu kekuatan yang Allah berikan buat hambaNya.

Semakin lemah kita di hadapanNya, semakin kuat kita di jalanNya.
InsyaAllah.

Selalulah muhasabah diri.
Siapa diri kita?

Waallahua'lam.

20/6/2011 Sabtu ini akan bersama si putih Abyadh ke Sibu, InsyaAllah. Doakan perjalanan kami ke sana, doakan perjuangan kami di sana.

:)

Monday, June 13, 2011

Ada Lagi

Manusia yang hidup kebanyakkannya tidur (leka), apabila mati baru mereka terjaga (tersedar) -Saidina Ali r.a-

Sudah sekian lama aku tidak menulis, dan kini aku menulis lagi. Untuk ketuk-ketuk diri yang leka, masih lena tidur sedangkan detik kematian itu kian hampir. Bukan diri siapa-siapa, tetapi diri sendiri. Sedarilah, tanggungjawab manusia itu tidak akan pernah berkurang. Namun bertambahnya ia dari sehari ke sehari.

"Apa mahu dirisaukan, esok ada lagi.."

Pastikah kita, esok itu masih ada. Masih ada untuk kita. Masih ada untuk kita nikmati udara segar paginya. Masih adakah hari esok untuk kita?

Andai hari ini dilalui dengan kesedihan atau keluh kesah, maka ingatlah bahawa ada lagi jalan ke arah kebahagiaan, ada lagi penyelesaian bagi tiap-tiap persoalan. Tidak dilupa, ada lagi masa untuk kita lakukan pembaikan pada diri kita, tidak kira saat, waktunya.

Andai hari ini dilalui dengan penuh kebahagiaan, maka syukurilah setiap ketenangan yang hadir bersama kebahagiaan itu. Itu juga ujian buat manusia, adakah tatkala kita bahagia, gembira itu, kita ingat padaNya? Ada lagikah kebahagiaan itu pada hari esok?

Usah impikan kebahagiaan andai tiada usaha ke arahnya,
Usah idamkan ketenangan andai terus jauh daripadaNya.

InsyaAllah hari ini, mahu kongsikan 7 langkah menjadi Mukmin Profesional. Tidak kira bidang apa yang kita ambil, tinggi atau rendahnya pangkat kita, kita semua mampu.



Langkah 1

MENENTUKAN ARAH HIDUP

Manusia itu diibaratkan sebagai seorang pengembara yang berjalan menempuh segala yang ada dihadapannya. Andai tersesat dikeluarkannya kompas, peta sebagai panduan sepanjang perjalanan. Perjalanan ini akan melalui alam ruh, alam dunia, alam barzakh dan akhirnya akan bermukim di alam syurga yang penuh nikmat atau alam neraka yang penuh azab. Ia bergantung pada bekalan yang disimpan dan dibawanya.

Langkah 2

MENETAPKAN TUJUAN HIDUP

Hidup itu punya tujuan, punya matlamat. Salah satu cara untuk menuju ke arah pelaksanaan matlamat ini adalah dengan ibadah. Kerana apa?

Kerana ibadah itu adalah misi hidup yang menjadi penjamin untuk mencapai 'visi hidup' di dunia dan akhirat; tujuan dan keperluan; juga material dan kerohanian.

Ingat-ingat,

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku. [51:56]

Langkah 3

MENGIKUT JALAN ISLAM

Islam itu adalah cara hidup yang tidak boleh dipisah-pisahkan elemen-elemen di dalamnya. Perlu diamalkan secara keseluruhannya, hanya dengan itu, kenikmatan dan indahnya Islam itu dapat dirasai. InsyaAllah.

Dalam Islam, sentiasa ada jalan. Tidak ditinggalkan hamba-hambaNya itu menjadi tidak tentu arah, semuanya terarah, cuma manusia itu sendiri yang seringkali tersalah pilih jalan. Ya, semua jalan telah terbentang luas. Maka, carilah jalan menuju Tuhan.

Carilah jalan untuk berubah, membaiki diri.
Carilah jalan untuk selesaikan persoalan-persoalan yang telah terjawab.
Carilah jalan untuk hargai nilai hidup yang sementara ini.

Langkah 4

MENYEDIAKAN BEKALAN HIDUP

"Bekalan aku dah cukup, terlebih-lebih lagi."

Betul kah?

Dalam perjalanan ini, bekalan itu tidak boleh dilupa. Sentiasa perlu ditambah kerana ia selalu berkurang.

Sebagai hamba, semakin lemah kita di hadapanNya, semakin gagah kita di jalanNya.

Langkah 5

MEMILIKI PENDORONG HIDUP

Pendorong yang bagaimana yang kita mahu? Pendorong yang membantu atau sebaliknya. Ya, hidup ini punya pilihan. Mengingati Allah adalah salah satu cara untuk mencapai ketenangan yang optimum. Percayalah andai masih ada gusar di hati.

Untuk mencapai ketenangan dalam apa jua keadaan, maka hati perlu sentiasa mengintai Tuhan.

Kita berlari apabila di kejar anjing liar,
Kita melompat tinggi ketika lipas berlalu di hadapan,

Kita memasak ketika perut mula berkeroncong, walaupun hakikatnya kita bukan pakar dalam hal ini. Namun kita lakukan demi satu dorongan, iaitu lapar.

Ya, dorongan itu pelbagai. Terpulang kepada kita-kita untuk terdorong, didorong atau mendorong kerana sebagai manusia, kita punya fungsi dan peranan yang sangat penting.

Langkah 6

MENGATASI HALANGAN HIDUP

Hidup ini tidak akan sunyi dengan halangan, tidak akan seronok tanpa kesukaran kerana daripada itu kita banyak belajar untuk menjadi siapa kita sekarang. Halangan itu bukanlah untuk menjadikan kita lesu atau patah semangat, sebaliknya untuk kita atasi dan lalui.

Namun, apakah yang menyekat kita daripada lalui dan atasi halangan ini?
Muhasabah diri, carilah jalan.

Tidak akan sembuh derita jiwa seandainya racun diteguk bersama penawarnya. Untuk sembuh, perlulah segera dirawat agar langkahan itu terus maju. Jika tidak - semakin melangkah semakin lelah, semakin menempuh semakin jauh.

Andai lemah, bagaimana hendak melangkah lebih jauh?

Langkah 7

MENGHADAPI KESUDAHAN HIDUP

Sebelum tanah menjadi langit pada diri yang sepi, sedarilah bahawa detik yang pasti ini sesungguhnya amat dekat, malah semakin dekat.
MATI bukanlah satu pengakhiran, tetapi satu permulaan kepada satu perjalanan yang tidak akan berakhir. Ia petanda awal, sama ada akan bahagia atau derita, selamanya!
Merindui Pencipta, namun seringkali kalah dengan ujianNya. Namun, jangan sesekali berputus asa dengan jalan-jalan hidup yang kita lalui kerana jalan ini yang terbaik buat kita. Ya, manusia itu dicipta bukan untuk sia-sia.

Pengakhiran di dunia bakal tiba, bersedialah untuk menghadapinya dengan tenang.
InsyaAllah.

******************

Alhamdulillah, baru-baru ini sempat berprogram bersama adik-adik di Rumah Anak Yatim Laila Taib. Kita lihat diri kita kurang sana-sini, mahu itu mahu ini. Namun ada lagi insan yang merasa diri mereka serba kekurangan, selalu ditimpa nasib malang.

Sewaktu bersembang dengan mereka,

"Adik-adik, kmek tok sik pande klaka sarawak..boleh sikit-sikit jak."

Adik-adik dengan muka gembira,

"sik hal kak, kmek faham bahasa melayu."

Lega.

Bersama 3 orang adik-adik perempuan, kerana yang lelakinya di uruskan oleh rakan muslimin, cik Felda.

"Adik-adik, dah besar nanti, kitak mok jadi apa?"

"Doktor...doktor...doktor." Wow, tiga-tiga bercita-cita mahu menjadi doktor.

"Akak kmek mok jadi doktor pakar otak." Wow kuasa tiga, berpandangan jauh adik-adik ni.
Ya Allah, makbulkan doa insan-insan kecil ini yang punya potensi yang tinggi dalam memartabatkan agama mereka.
"Adik-adik, apa kenangan yang paling sik dapat kitak lupa?"

"Kenangan bersama keluarga."

Aduh, seperti tersalah soalan yang ku lontarkan. Tersentuh pula.

Jika aku sendiri sedih mengenangkan arwah ayah. Apatah lagi mereka, pasti rindunya membuak-buak tanpa mengerti lagi erti perjalanan hidup ini. Mungkin juga mereka lebih matang daripadaku.

Jernih wajah-wajah mereka.

Salah seorang daripada mereka mula penuh air di kelopak mata. Ya Allah..aku mengingatkan mereka kepada ibu bapa mereka yang tiada lagi. Namun, segera adik itu mengelap air matanya dan kembali tersenyum.

Aku pujuk-pujuk, main game, bercerita, nasihat-nasihat buat mereka gembira.
InsyaAllah, upload gambar-gambar adik itu di sini nanti.

Sangat rindu untuk bersama mereka lagi!

Ada lagi insan yang memerlukan perhatian kita,
Ada lagi insan yang lemah memerlukan kekuatan dan semangat,

Jangan kita lupa, hidup ini tidaklah lama.
Inilah masa untuk kita memberi!

Sama-sama muhasabah diri!
InsyaAllah.

Waallahua'lam.

19/6/2011 Lama sungguh tidak menulis, rasa skill dah mula tumpul.

InsyaAllah si putih Abyadh akan tiba minggu hadapan, boleh bawa jalan-jalan. InsyaAllah melancarkan urusan agamaku.

MPPB masih di ingatan, adik-adik Laila Taib menambah seri jiwa dan taman. Nampaknya aku suka berprogram, buat aku berfikir dan cari jalan pulang. InsyaAllah.

Thursday, June 2, 2011

Belajar

Alhamdulillah pagi hari yang InsyaAllah dilimpahi rahmat dan maghfirahNya ini, diri ini menulis lagi. Bukan untuk sesiapa, tetapi buat diri ini juga, juga buat pembaca yang sudi meluangkan masa bersama di laman sesawang ini.


Bagaimana kita memanfaatkan baki hidup yang ada?

Sebelum itu, dipanjatkan seinfiniti kesyukuran kepadaNya atas segala anugerah, insan-insan di sekelilingku. Insan-insan istimewa, yang memberi aku peluang untuk belajar daripada mereka sama ada pada waktu sedar atau sebaliknya.

Ya, dilihat luarannya gah, peramah,
Namun hatinya mudah luntur, goyah,

Ya, dilihat luarannya ceria, gembira,
Namun hatinya sedih tanpa suara,

Itulah insan bergelar manusia, yang berpotensi menjadi insan hebat pada pandanganNya. Kenapa? Mereka tahu apa yang mereka rasa, mereka tahu lemah itu pemusnah dan dilawannya dengan pelbagai cara. Mereka insan luar biasa! Teruskan berusaha dan nantikan hasilnya, InsyaAllah tidak mengecewakan.

Carilah DIA dalam segala urusan kita, mohonlah pimpinan dariNya agar kita tetap berada atas landasan sebenar dan tidak tersasar daripada apa matlamat yang ditetapkan.

Carilah DIA dalam solatmu,
Carilah DIA dalam doamu,
Carilah DIA dalam zikirmu,

Ingin berkongsi sedikit kisah yang mengetuk-ngetuk diri ini sewaktu di MPPB baru-baru ini. Datang seorang insan yang tidak dikenali selama ini, menghampiri dan memperkenalkan diri, juga apa hajat di hati.
Antara isi perbualan itu,

"Akak, penting sangat ke solat ni?"

Terkejut tanpa kata-kata.

"Adik solat selama ni, apa yang adik rasa?"

"Tak rasa apa-apa, rasa kena paksa. Kalau tak solat, tak dapat apa yang saya minta."

Hati tiba-tiba luntur, sedih. Istighfar dalam-dalam.
Pertamanya, kepada ibu dan ayah,
Didiklah anak-anakmu dengan agama. Jangan sampai insan yang dahulunya suci ini kotor disebabkan tangan kita-kita sendiri. Ambil tahu, jangan biarkan hati insan-insan ini kering kontang apabila taman-taman hati mereka tidak disirami dan dibajai.

Kasihanilah mereka.
Mereka, insan-insan yang berhak mengenal agama mereka sendiri.

Keduanya, kepada insan itu,
Agama Islam itu indah dan lengkap, selengkap-lengkapnya. Maka amalkanlah secara keseluruhannya. Jangan tinggalkan yang kecil-kecil kerana barangkali yang kecil-kecil itu juga yang akan melengkapkan atau merosakkan amalan kita.

Juga pesanan buat diri ini.
Sedarlah wahai diri, ramai lagi insan lain yang memerlukan.
Kenapa perlu berdiam diri?

Terima kasih kepada adik itu kerana banyak mengajarku, suburkan taman-taman yang selama ini kering. Namun, kita-kita tidak mampu mengubah persepsi, tidak mampu menjadikan orang lain beriman atau tahu agama. Kita hanya manusia yang bergelar hamba.

Ubahnya persepsi,
Tingkatnya prestasi,
Semua itu dengan berlaku apabila terbuka pintu-pintu hidayah,
Hidayah itu DIA yang punya, bukan milik kita.

Maka, usaha dan mohonlah.
Itulah ikhtiar kita.

Cukup pendahuluan, intro, muqadimah entry ini :)

Sebenar-benarnya, ingin berkongsi konsep belajar atau menuntut ilmu daripada tokoh-tokoh ini. Mudah-mudahan semangat belajar itu meningkat, tekad pula melekat kuat-kuat dalam diri. InsyaAllah.



Menurut Imam Al-Ghazali,
Pendekatan belajar dalam mencari ilmu dapat dilakukan dengan melakukan dua pendekatan, iaitu ta’lim insani dan ta’lim rabbani.

Ta’lim insani adalah belajar dengan bimbingan manusia. Pendekatan ini merupakan hal yang lazim dilakukani oleh manusia dan biasanya menggunakan alat indrawi yang diakui oleh orang yang berakal. Alat-alat indrawi adalah seperti mata, telinga, mulut dan segala pancaindera, anugerah istimewa daripadaNya. Segalanya ada, maka syukurilah, manfaatkan anugerah ini sebaiknya.

Menurut Imam Al-Ghazali lagi, dalam proses belajar mengajar sebenarnya terjadi eksplorasi pengetahuan sehingga menghasilkan perubahan-perubahan perilaku. Percaya atau tidak, maka percayalah. Kerana apa? Kerana apabila kita tahu sesuatu perkara, berlaku perubahan dalam diri dan diri-diri ini akan cuba mengambil tahu lebih lagi supaya betul-betul tahu. Eksplorasi ini panjang, perjalanannya jauh, maka bersabarlah dalam menuntut ilmu.

Apabila kita menjadi tahu, maka berlaku perubahan secara perlahan-lahan. Contoh termudah, apabila anak-anak diajar, harimau itu garang. Maka kanak-kanak akan menjauhinya.

Selain itu, apabila dikatakan pada si kecil,

"Tak baik tipu, berdosa tau, Allah marah."

Maka si kecil pun memahaminya mengikut cara si kecil itu sendiri. Takut untuk berbohong, sentiasa bercakap benar walaupun yang benar itu akan membuatkan si kecil itu dimarahi. Kepada penjaga si kecil ini, hargailah kejujuran mereka. Mereka insan istimewa! Selain itu, si kecil ini suka menyampaikan, membuatkan mereka bertambah istimewa.

"Tahu tak, mama kita kata tak baik tipu, berdosa, Allah marah."

"Tahu tak, mama kita kata tak baik mencuri, berdosa, Allah marah, nanti tangan kena potong."

:)

Tetapi, sedarkah kita,
Apabila kita meningkat dewasa, begitu susah untuk menyampaikan kebenaran.
Mengapa? Kita ada jawapan.

Teruskan.

Menurut Al-Zarnuji,
Belajar bernilai ibadah dan mengantarkan seseorang untuk memperoleh kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Oleh yang demikian, belajar harus diniati untuk mencari redha Allah, kebahagiaan akhirat, mengembangkan dan melestarikan Islam, mensyukuri nikmat akal, dan menghilangkan kejahilan.

Belajar atau menuntut ilmu adalah manifestasi rasa syukur manusia sebagai hamba kepada Allah SWT yang telah mengurniakan akal. Buah ilmu adalah amal. Pengamalan serta pemanfaatan ilmu hendaklah berpaksikan keredhaan Allah, iaitu untuk mengembangkan dan melestarikan agama Islam dan menghilangkan kejahilan, baik pada dirinya mahupun orang lain.

Inilah buah daripada ilmu yang menurut al-Zarnuji akan membawa kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat kelak.
InsyaAllah.
Al-Zarnuji adalah salah seorang tokoh pendidikan abad pertengahan yang telah memberikan solusi atau penyelesaian tentang bagaimana menciptakan pendidikan yang tidak hanya berorientasi pada keduniaan saja, tetapi juga berorientasi keakhiratan.
Bagi bakal-bakal guru atau pendidik,

Menurut Al-Zarnuji,
Para guru harus memiliki perangai yang terpuji.
Guru disyaratkan memiliki sifat wara’ (meninggalkan hal-hal yang terlarang), memiliki kompetensi (kemampuan) dibanding muridnya, dan berumur (lebih tua usianya).

Di samping itu, al-Zarnuji menekankan pada "kedewasaan" (baik ilmu mahupun umur) seorang guru. Hal ini senada dengan pernyataan Abu Hanifah ketika bertemu Hammad, seraya berkata: "Aku dapati Hammad sudah tua, berwibawa, santun, dan penyabar. Maka aku menetap di sampingnya, dan akupun tumbuh dan berkembang.
"

Sumber : Klik di sini

Muhasabah diri [wahai penulis, sila ketuk diri sendiri]
Dimana kita letak darjat ilmu itu dalam diri kita?

"Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat." [Surah Al-Mujadalah, ayat 11]

Rebut peluang dan ruang!

Waallahua'lam.

2/6/2011 Detik itu kian hampir, rebut peluang dan ruang!

Belajar daripada apa jua keadaan, daripada manusia mahupun Tuhan.
Selamat menuntut ilmu!

Kepada yang bakal bekerja, selamat menjalankan tugas.
Betulkan niat, ikhlaskan hati.

Jagai taman, jagai bunga :)
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

 
Blogger Templates