Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Tuesday, December 6, 2016

Milk Booster Ibu-ibu

Jari-jemari menari-nari atas papan kekunci, sebelah tangan memegang roti (hehe!) Macam mana tak bam-bam, makan saja kan. Insya Allah ingin berkongsi 20 makanan yang boleh menambah susu badan. Setiap orang ibu mesti ada aim masing-masing.

 'Saya nak susukan anak at least 6 bulan.'

'Saya nak susukan anak selama 2 tahun. No formula milk okay!'

Lihat, betapa gigihnya ibu-ibu kita ini. Tidak pernah menyerah untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Kita sebagai anak? Sudahkah kita menghargai ibu-ibu kita?

Friday, December 2, 2016

Aku Hanya H.O

H.O = House Officer (Maka jadilah hospital itu rumah utama kami selama 2 tahun ini)

Mungkin ini yang ingin digambarkan, betapa sibuknya seorang H.O, sehinggakan hospital menjadi rumah utama. Lebih daripada setengah hari dihabiskan di tempat ini. Yang dahulunya asing, kini tidak lagi.

15 Disember 2016, tarikh ini sepatutnya saya telah pun menamatkan program Housemanship ini. Namun, Allah lebih tahu. Allah kurniakan seorang puteri buat kami sekeluarga dan memberiku rehat selama 90 hari sebelum betul-betul menamatkan Housemanship ini. Maka Insya Allah bulan 3 tahun hadapanlah nampak gayanya, dengan izin-Nya.

Hari ini, sahabat-sahabat seperjuangan yang lain sudah tahu penempatan mereka untuk M.O (Medical officer) nanti. Mesti semua tengah counting days untuk tamatkan hidup sebagai H.O ini, bestnya. HOORA-HOORAY!

HOORA-HOORAY sangat kan, sebab kehidupan M.O itu menunggu-nunggu untuk ditempuhi.
*tiba-tiba scary*

Saya bukanlah H.O yang hebat, perfect. Biasa-biasa sahaja. Fikir hendak QUIT? Mestilah ada. Siap fikir nak jadi businesswoman, nak buat perniagaan sendiri. Nak jual itu, nak jual ini. Ingat dahulu masa mula-mula, ada sahabat yang berangan nak quit dan nak jadi penjual air, guru tadika dan macam-macam (hehe!). Dan sekarang mereka ini jugalah yang bakal menamatkan Housemanship di pertengahan Disember ini.

Wednesday, November 9, 2016

Kapsul Pagi: Doktor Muslim

Nak jadi apa?
Apa cita-cita bila dah besar nanti?
Soal guru kepada anak didiknya (peringkat sekolah rendah).

Masing-masing berebut mengangkat tangan (saya! saya! saya!)
Masing-masing meluah rasa hati yang nak jadi apa bila besar nanti.

Saya nak jadi DOKTOR, cikgu!
Saya nak jadi PEGUAM, cikgu!
Saya nak jadi SAINTIS, cikgu! (sebab suka sangat subjek sains)

Soalan menjadi lebih mencabar apabila berada di peringkat sekolah menengah (hehe!)

Kenapa kamu nak jadi DOKTOR?
Sebab nak BANTU ORANG LAIN, cikgu. Nak berbakti pada masyarakat.

Tuesday, November 1, 2016

Pejam Celik

Allahu-Akbar!

Pejam celik, pejam celik, kita masih bernyawa, nadi masih berdenyut, jantung masih berdengup. Hanya dengan izin-Nya. Pejam celik, masih dikurnia kudrat untuk berjalan, berlari dan berdiri. Ya, tidak lain, ini hanya dengan izin-Nya.

Pejam celik, sudah hampir dua tahun bergelar seorang doktor. Merawat pesakit yang datang dan pulang. Datangnya mereka dengan kesakitan yang berada dalam ketetapan-Nya, pulangnya mereka ke pangkuan keluarga atau ke pangkuan Pencipta. Ini semua diluar bidang kuasa kita.


Siapa sangka, mereka yang mampu tersenyum hari ini, keesokan harinya kaku.
Siapa sangka, mereka yang menangis hari ini, keesokannya mampu tersenyum lebar.


Friday, December 11, 2015

Selalu Senang Lupa Susah

Housemanship, satu fasa mencabar dalam hidup, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak lagi single, dan lebih-lebih-lebih lagi buat mereka yang sudah ada anak. Sehingga satu tahap, anak seperti tidak kenal lagi ibunya sendiri apabila pulang dari kerja. Mana tidaknya, oncall 2-3 kali seminggu, pergi kerja sewaktu anak tidur, balik kerja, tinggal beberapa jam sahaja sebelum masuk tidur. Esok ulangi rutin yang sama.

Begitulah hidup seorang doktor yang mungkin diagung-agungkan oleh sesetengah orang. Tetapi sebenarnya, tanggungjawab itu melebihi masa yang ada. Betullah kata Imam Hassan Al-banna. Tanggungjawab bertarung nyawa yang hakikatnya, ajal itu sudah ada ketentuannya. Hidup kami adalah menghidupkan ikhtiar, bukan putus asa.

Menghidupkan ikhtiar. Merawat itu satu ikhtiar, mencari rawatan itu juga suatu ikhtiar. Jika kita dalami betul-betul, kenapa kita perlu berikhtiar? Kenapa kita perlu berusaha untuk hidup?

Thursday, December 10, 2015

Berkat Basmallah

Alhamdulillah bakal menempuh posting ke 4 daripada 6 posting dalam alam housemanship ini. Pejam celik, pejam celik sudah setahun saya berkhidmat dalam KKM. Alhamdulillah. Pelbagai pengalaman diperoleh, daripada sebutir mutiara yang boleh disimpan sehingga segumpal sampah yang boleh dibuang selepas direnyuk-renyukkan (sampai begitu sekali!).

Kena marah?
*angkat tangan tinggi-tinggi*
"Saya pernah kena marah depan orang ramai."

Kena puji?
*angkat tangan sambil lambai-lambai*

Kelas Pertama

Maaf kerana aku terfikir, kenapa anak-anak terlalu pentingkan kerja (adakah kerana wang?), sehingga terkeluar ungkapan ini, 'kami sibuk kerja, bukan tak nak jaga, kami ada banyak komitmen'

Statement di atas adalah daripada entri yang lepas, membuatkan diri ini teringat semasa ditugaskan di wad kelas pertama. Sarat dengan pengalaman berharga, lebih fahami erti hidup, kekeluargaan dan tanggungjawab. Sejak hari pertama di sini, sudah terbayang pelbagai tanggapan yang dilontarkan apabila berbicara tentang first class.

Wednesday, December 9, 2015

Kisah O.T

Alhamdulillah.
Maha Suci Allah.

Empat hari lepas berkesempatan bersama sahabat Alumni KMPk dan sahabat Weekenders yang super O'sem daripada jauh dan dekat untuk sama-sama meraikan warga emas di Rumah Orang-orang Tua Al-Ikhlas. Alhamdulillah.

Inilah kali pertama menjejakkan kaki ke sana. Sebelum ini, mampu lihat dari jauh, paling tidak pun menonton di kaca TV, bagaimana hidup mereka, bagaimana kesihatan mereka. Hanya mampu tertanya-tanya, tiada jawapan. Empat hari lalu, diri ini diberi peluang itu untuk turun padang, mendekati mereka.

Ya, O.T!

Saturday, August 8, 2015

SS

SS bukan Syok Sendiri
SS bukan juga Senyum Sorang-sorang :)

Tetapi SS kali ini untuk Siapa Sangka.
Alhamdulillah. Segala rencana ini atas izinNya jua.
Alhamdulillah.

Siapa sangka...
Jari-jemari masih menari-nari di laman ini setelah kian lama menyepi walaupun realitinya hidupnya tidak pernah sepi, sebaliknya kesibukannya melanda sehari-hari. Hampir 10 bulan dibiarkan laman ini berdebu, tidak dibersihkan. Kasihan...

Friday, August 7, 2015

Jawab-jawab

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.

Masih lagi bernafas di pagi Jumaat ini. Penghulu segala hari. Lama sangat jari-jemari tidak menari-nari atas keyboard. Kalau ada jari menari-nari atas keyboard pun, sebab buat discharge summary pesakit-pesakit di wad, sebab order ubat-ubatan buat pesakit kesayangan.

Sekali buka untuk edit blog, nampak mesej daripada adik-adik mencurah-curah tidak berbalas. Maaf sangat-sangat sebab sudah lama tidak membuka laman ini atas kesibukan yang hanya dijadikan alasan selama ini. Maka entry ini buat menjawab mesej-mesej yang ada, harap sedikit sebanyak membantu, mungkin juga tidak membantu sebab ada soalan yang di luar pengetahuan diri ini.

Jom jawab~
Maka soalan-soalannya digunting dan tampal.
Assalamualaikum. Saya nk tnya, btul ka rmai stdent dgree yg susah nk grduate kt unimas sbb sstem ny agak lain or lbih kurg mcm sstem kt unimas ni agak strict sgt2. Sbb ada snior saya yg ckp mcmtu, tp saya x ykin sgt. Lgpun saya bru nk msuk asasi kt unimas jugakk. Tiba2 rsa tkut pulak nk smbung dgree T.T.
Respon: Waalaikumussalam. Susah nak graduate? Alhamdulillah sudah ramai para graduan UNIMAS yang kini bergelar pegawai perubatan yang berjaya dan ada di kalangan mereka yang bergelar doktor pakar. Sistemnya agak strict (pandangan peribadi) tetapi sangat-sangat membantu dalam berdepan dengan alam kerjaya yang jauh lebih mencabar. Jangan biarkan perasaan takut itu menghalang adik mengejar cita-cita adik ya :)
Next...
Hai,akak.saya mndpat twaran tmuduga utk medic di unimas.tmuduga dia mcm mna ea?mungkin ad aptitude test ke?
Respon: Maaf sangat-sangat untuk soalan perihal interview. Zaman akak dahulu tidak ada interview. (Ok, nampaknya pemilihan untuk kemasukan semakin ketat). Semoga berjaya! Doa dan tawakkal bebanyak.
Ada banyak lagi soalan tetapi banyak yang sudah lama, harapnya adik-adik ini sudah mendapat jawapan bagi soalan mereka di sumber lain. Pertanyaan yang ditujukan di e-mail lebih cepat dibalas (memerlukan 2-3-4 hari juga, maaf jika tidak berbalas sebab terlepas pandang). Maka boleh cuba bertanya melalui e-mail ini, amalathirah@yahoo.com.

Doakan moga-moga selepas ini boleh menulis lagi, boleh berkongsi lagi pengalaman, ilmu untuk dijadikan pengajaran dan nilai tambah dalam hidup kita. Walaupun tidak banyak, biar sikit daripada tidak berisi apa-apa.

Jom lumba-lumba jad baik!

Wednesday, October 29, 2014

Throwback (Part 3: Stress!)

Throwback...
Membuat saya mula rindu saat-saat semasa di Sarawak bergelar budak medik. Menangis, ketawa bersama menjadikan kami erat, merasai apa yang sahabat lain lalui. Tekanan, sentiasa datang dan pergi. Namun, jalan ini perlu juga kami tempuhi dengan redha dan berlapang dada. Ya, bukan mudah.

Hingga kini, saya masih teringat-ingat sahabat-sahabat di sana yang sangat kuat, tabah lalui setiap detik hidup ini. Pastinya aturanNya itu bukan sia-sia, bahkan terkandung 1001 hikmah. Saya percaya itu! 5-6 tahun di Sarawak hanya sebahagian kecil daripada kisah hidup ini. Sedangkan panjang lagi kisah ini untuk dicoretkan, bukan hentinya hanya di dunia fana, tetapi kisahnya hingga ke syurga (Insya Allah!).

Stress?
Tekanan?

Bukan budak medik sahaja yang akan lalui detik-detik tekanan memuncak ini, tetapi semua si penuntut ilmu akan merasainya. Cuma yang bezanya adalah tahap tekanan dan cara berhadapan dengan tekanan tersebut. Adakah kita akan lari daripada sumber tekanan tersebut, atau berhadapan dengan tekanan yang ada di hadapan mata, atau bagaimana?

Itu pilihan kita.
Siapa tidak pernah stress kan? Saya pun pernah (last-last menangis).

Ada banyak fenomena apabila berhadapan dengan tekanan ini. Lebih-lebih lagi apabila adanya tekanan dalam menuntut ilmu. Daripada mana datangnya minah stress ni? (tiba-tiba jadi minah). Datangnya tanpa diundang, tiba-tiba datang rasa murung, tidak ada mood, rasa cepat nak marah dan sebagainya. Semua rasa serba tak kena.

Insya Allah kali ini berkongsi kisah daripada pengalaman sendiri dan juga pemerhatian. Ya, situasi kita tidak sama tetapi sekurang-kurangnya ada sedikit sebanyak kesamaan di dalamnya. Cara mengatasi stress ini pula ada pelbagai, pilihlah yang terbaik untuk diri sendiri. Mungkin cara saya bukan yang terbaik kerana saya juga belajar daripada setiap inci kisah hidup saya, itulah bekal saya.

JOM kongsi!

Melihat kalendar, tarikh peperiksaan sudah dekat tetapi masih belum ada persediaan. Hendak buat persediaan, stress! Kerana masa tetap berjalan, sedangkan tidak tahu mahu mula daripada mana. Hendak study, tekanan datang, study entah ke mana.

Fenomena ini sering berlaku dalam kalangan pelajar (macam saya dahulu). Ya, tekanan dalam menuntut ilmu. Mahu tidak mahu, kena face-to-face juga dengan stress ini. So, be smart! Belajar ada caranya, ada tekniknya. Bukan belajar sahaja, memasak, melukis pun ada tekniknya. Bukan suka-suka saja.

Ini antara cara yang saya guna semasa ulangkaji saat akhir sebelum Final Profesional Exam. Cuba bayangkan, dua minggu study week untuk cover semua yang kita belajar dalam masa 5 tahun (Oh tidak!) Kalau kita fikirkan 5 tahun, memang rasa hendak lari jauh-jauh, kalau boleh hendak putar balik masa, guna pintu ajaib dan sebagainya
 
Maka, mulalah perang dengan diri sendiri. Sometime forced can make you move! Ya, tekanan akan membuatkan kita mula bergerak. Tambahan pula, pada masa itu mujahidah dalam kandungan turut berperang bersama. Morning sickness membuatkan saya lesu. Semasa study group juga, setengah jalan sahaja, rasa hendak tidur, pening, sakit kepala (akhirnya tekup kepala dengan bantal dan menangis).

'Kenapa lah aku lemah sangat ni?'

Ada course-mate bertanya, "Macam mana nak study kak?"
Pada masa itu, tidak boleh tangguh-tangguh lagi ini. Kena ada planning dari sekarang. Hendak cover semua, memang tidak sempat. So, macam mana? Ini antara cara yang digunakan masa itu.
  • Ulangkaji topik yang MUST KNOW dahulu (1st thing 1st!)
  • Tekankan bahagian yang tidak faham, keliru dan penting.
  • Bahagian yang kurang faham/tidak faham, catatkan. bawa soalan itu dan ajukan kepada sahabat dalam study group atau pensyarah (jangan buat-buat tahu, risau konsepnya salah).
  • Banyakkan latihan soalan tahun-tahun lepas (jika ada) untuk biasakan diri menjawab soalan dan menjawab berdasarkan soalan. Insya Allah. Bagi saya, adaptation itu sangat penting, adaptasi dengan bentuk soalan.
  • Bagi Short Case, buat latihan dengan kawan. Biasakan diri dengan setiap step.
Itu baru perihal Fenomena 1. Tekanan bukan alasan untuk kita tidak belajar, sebaliknya ia adalah booster unutk terus ke hadapan. Insya Allah.

Bukan study sahaja yang boleh mengundang tekanan. Banyak masalah lain yang dapat mendatangkan stress ini. Ya, stress adalah pendatang tanpa izin. Antara lainnya, konflik kekeluargaan, persahabatan juga dapat melahirkan tekanan dalam diri. Masalah kewangan juga tidak kurang hebatnya tekanan yang dihadapi itu.

Maka, bertindak dengan bijak. Lebih elok jika dibawa berbincang.Tidak dilupa, pergantungan kita kepada ALLAH tetap NO.1, tidak akan sesekali jadi nombor 2. Kalau kita cuba macam-macam cara sekalipun, tetapi Allah tidak tarik tekanan itu pergi, makanya tekanan itu tetap akan ada (jangan kita lupa).
  • PALING PENTING, DOA jangan dilupakan. Saat penting bagi kekuatan rohani kita. Mohonlah kepadaNya, luahkanlah segala hajat padaNya. Hanya kepadaNya tempat bergantung. 
  • BACA AL-QURAN, itu peneman. Hayati juga tafsirannya. Ada satu masa, saat tekanan di tahap genting, sedang membaca Al-Quran. Dapat rasakan seolah-olah Al-Quran itu berbicara dengan kita, menjawab segala persoalan dalam jiwa kita dan memujuk hati yang dalam gundah gulana. Memang awesome! (Wajib cuba!)
  • SENYUM! Amat penting, cuba dahulu, baru tahu kesannya (luar biasa!)
Banyakkan muhasabah diri. Bagaimana tekanan itu datang? Jangan sesekali lari daripada tekanan, kerana itu tidak akan menyelesaikan apa-apa sebaliknya akan menjadikan keadaan bertambah teruk.

Saya juga pernah stress. Kita semua pernah stress. Dan ini kisah saya berbekalkan pengalaman dan pemerhatian.

Moga bermanfaat walaupun sedikit cuma.
Juga nukilan kenangan buat saya, dan mungkin pengalaman ini tidak akan berulang lagi.

#Auni tidur, ummi tulis#

Tuesday, October 28, 2014

Throwback (Part 2: Budak Medik)

Kisah budak medik itu ada macam-macam ragamnya, berbeza-beza al-kisahnya. Ada yang manis, pahit, masin dan pelbagai rasa bergantung kepada diri masing-masing. Tidak ada bezanya dengan budak-budak lain (budak-budak sangat ke). Saya pun salah seorang daripada budak itu dahulu, dan kini masih rindu untuk menjadi budak itu.

Antara yang MESTI ada dalam dialog budak medik ini,
"Anak/awak/kamu belajar dekat mana? Ambil bidang apa?"

Maka jawablah si budak ini,
"Saya belajar dekat UNIMAS, Sarawak/etc. Ambil bidang perubatan."

Antara respon yang ada,
"Jadi 'orang Sarawak' lah lepas ni, bawalah balik 'orang' sana."
"Wah! bakal doktor, hebat anak ni."
"Ooo...."

Ini realiti si budak medik. Atau spesifiknya, budak medik di UNIMAS.

Ada orang kata...
Budak medik ini seorang ulat buku, tetapi ada juga antaranya yang buat bukunya berulat sebab mula buka bila hendak dekat-dekat exam, sebab sebelum itu hanya bergantung pada slide lecture atau nota yang disediakan. Buku tebal-tebal letak tepi kecuali untuk dijadikan rujukan semasa membuat slide untuk seminar atau case presentation (ada 50% macam saya). Namun, ada juga yang sebaliknya.

Ada orang kata...
Budak medik ini tiada masa untuk bersosial, tidak ada masa untuk beriadah, berprogram sebab 24 jam di dalam bilik, rajin study. Study..study..study. Setiap malam stay up, tidak cukup tidur malam.

Mungkin bergantung pada diri sendiri bagaimana hendak manage diri untuk jadi insan yang lebih produktif. Juga dipengaruhi keadaan sekeliling, persekitaran dan sahabat seperjuangan.

Semasa di alam universiti dahulu, saya lihat junior-junior saya sangat aktif. Bersukan sana-sini, berprogram di hujung minggu. Sempat lagi pergi ke Taman Negara Bako, berenang-renang di air terjun, laut, ziarah ke Serikin untuk membeli belah untuk dibawa pulang ketika cuti perayaan. Memang tidak berhenti gerak! Bagi yang sedang praktikal di Sibu, sempat ke Bintulu, Miri, berbatu-batu jauhnya.

Saya pun tidak kurang gatal kakinya, pergi ke sana-sini. Al-maklumlah, ilmu itu perlu dicari. Maka, bertebaran mencari majlis-majlis ilmu yang ada. Terbang sana-sini bersama Abyadh (si putih yang banyak berjasa walaupun tidak mampu terbang). Ulang alik daripada Kuching ke Samarahan itu perkara biasa. Gunakan peluang yang ada selagi mana ada di Sarawak ini, selepas ini belum tentu dapat rasai pengalaman yang sama.

Yang paling penting, kena pandai bahagikan masa dan fokus dimana tidak campur-adukkan urusan belajar, personal, usrah, program luar dan sebagainya. Apabila mula tidak dapat, agihkan masa, mula rasai tekanan yang luar biasa, dan mula mengasingkan diri daripada semua perkara. Ya, saya pun pernah laluinya.

Soal study? Ya, terus terang, saya tidak reti stay up sebab memang mudah tertidur. Dan itu bukan cara saya study daripada dahulu hingga kini. Seorang yang suka membuat nota sendiri sejak daripada sekolah menengah sehingga ke alam universiti membuatkan saya perlu juga, mahu tidak mahu study setiap hari walaupun hanya satu fakta dengan sebaris ayat. Tetapi kadang-kala MALAS itu tetap ada (tak dapat lari). Buat nota tapi tidak study-study, maka terperap nota itu hingga detik-detik akhir sebelum exam.

Membuat nota dan study itu jauh sekali bezanya kerana orang yang buat nota ini belum tentu dia study. Dan orang yang study, memang sah-sah dia study kan, Nota adalah adjunct semata-mata, alat bantu belajar. Terpulang pada diri masing-masing, macam saya, saya tidak suka baca buku teks yang berjela-jela panjang ayatnya sedangkan faktanya hanya ada dalam 1-2 baris sahaja (itu saya, pastinya kita berbeza).

Ada course-mate yang tidak suka buat nota. Katanya, kalau buat nota sekalipun, dia tidak akan baca. Akhirnya, kena juga buka buku teks berkaitan (Ya, obviously kita berbeza). Ada juga yang menggunakan gadget masa kini dengan sepenuhnya iaitu dengan merakam, take a picture dan sebagainya.

Di sini, dikongsikan beberapa kaedah study, bergantung pada kesesuaian diri;
  1. Fokus semasa sesi pembelajaran -- study --study
  2. Buat nota, ulangkaji dengan menggunakan short notes atau mind maps
  3. Membuat rakaman semasa sesi pembelajaran -- dengar semula -- study
  4. Study group (adjunct) * tersangat penting!
  5. ...................
Jangan lupa, lecturers sentiasa berlapang dada untuk membantu. Bertanyalah, bertanyalah. Insya Allah mereka sentiasa sudi membantu. Kadang-kala boleh buat kita terharu dengan kesediaan dan kesudian mereka. Respect! Insya Allah di sana ada keberkatan dalam menuntut ilmu.

Fenomena lain si budak medik ini, segelintir pelajar bidang lain tidak suka dengan mereka ini. Ada yang kata mereka ini sombong (mungkin ada tetapi tidak semua), ada yang kata ini 'budget bagus' (orang kata, bukan saya) 'anak emas' dan sebagainya. Macam-macam anggapan. Apa sekalipun, berpijaklah di bumi nyata, kita semua adalah manusia biasa. Yang pasti ada khilafnya, tidak ada yang sempurna melainkan Yang Maha Pencipta.

Kesimpulannya, budak medik, bukan budak medik adalah manusia biasa. Tidak ada apa yang istimewa. Masing-masing ada peranan dalam kehidupan. masing-masing mampu menyumbang ke arah kebaikan.

Maka, berusahalah!

Moga entry ini memberi sedikit pencerahan.
Kita semua adalah sama, berstatuskan hamba :)

Kenapa guna 'budak'? Macam merendah-rendahkan sahaja. Tidak sama sekali! Budak itu hakikatnya sentiasa mahu belajar, daripada tidak tahu kepada tahu. Budak itu, tidak pernah putus asa, sentiasa mengambil peluang untuk mencipta kisah hidup mereka, sentiasa mengumpul tarbiyyah pengalaman untuk digunakan pada masa akan datang. Insya Allah.

Saya dahulu dan kini juga adalah seorang BUDAK :)

Moga bermanfaat!
Waallahu'alam.

Saturday, October 25, 2014

Throwback (Part 1: Kenapa DOKTOR?)

Kemas-kemas,
Bersih-bersihkan,
Buang sawang-sawang, debu-debu yang ada.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang Menghidupkan dan yang Mematikan. Masih diberi kesempatan untuk terus bernafas dini hari, moga ia tidak sia-sia. Berbulan-bulan lamanya laman ini tidak diusik. Berapa bulan ya? Ada dalam empat bulan laman ini terbiar (kasihan).

Bukan kerana tiada idea, ilham atau tiada apa untuk dikongsikan. Bukan juga kerana tiada masa kerana ada sahaja si lagha sana-sini. Maka, kalau diikutkan tiada asbab untuk tidak menulis. Sedangkan dahulu, menulis ibarat makanan, tidak tulis terasa laparnya. Ibarat minuman, tidak menulis mula terasa dahaganya. Ibarat sistem pernafasan, tidak menulis terasa sesak di dada. Wah, dahsyat! Tetapi itulah hakikatnya.

Kali ini, dikala sedang menanti detik-detik hari konvo 7 hari lagi, mula teringat-ingat kenangan dahulu ketika di alam universiti. Ya, saya di UNIMAS, Universiti Malaysia Sarawak. Sering menjadi kekeliruan dengan UMS, Universiti Malaysia Sabah.

Lamanya menuntut ilmu di Sarawak tidak terasa apabila berada di tahun akhir pengajian, terasa masa itu sangatlah singkat. Sekelip mata sahaja sudah berada di tahun akhir, terus hilang rasa 'lamanya', 'bestnya tengok senior dah habis study', 'bilalah dapat pakai jubah konvo'. Malah, mula datang, 'seramnya nak kerja nanti', 'dah bersedia ke aku ni'. Perjuangan diteruskan hingga ke akhirnya.

Yang menjadikan ia menjadi kenangan yang tidak akan dapat dilupakan adalah dikala saya menduduki peperiksaan akhir profesional, saya sedang mengandung 4 bulan. Maka kenangan muntah-muntah, pening-pening, nangis-nangis, letih-letih, semua ada. Insya Allah akan dicoretkan di sini dalam bahagian akhir 'Throwback' nanti.

Tahun 1

Saya hanya pelajar biasa-biasa yang bakal berdepan dengan pelajar yang jauh lebih hebat. Daftar ke UNIMAS lewat seminggu, dengan keputusan saat akhir menyebabkan saya tidak sempat mengikuti Minggu Alihan Pelajar, ala-ala orientasi. (Hehe, lega!) Tetapi tidak terlepas dengan orientasi peringkat fakulti.

Bilik berada di tingkat 4. Fuh! Memang menguji kekuatan kaki yang tidak berapa kuat. Teman sebilik saya pada masa itu, Munirah atau seronok dengan panggilan Cik Mun.

Seperti tidak percaya pada masa itu sudah berada di Sarawak.
Seperti tidak percaya, saya di sini untuk belajar dalam bidang perubatan.
(Fuh! Boleh ke buat ni)

Dahulu, sayalah orang yang benci doktor. Mana tidaknya, sikit-sikit apabila ditanya hendak jadi apa, mesti DOKTOR, DOKTOR, DOKTOR. (Tak suka!)

Saya tidak suka pergi klinik/hospital.
Saya tidak suka makan ubat (tak reti telan).
Sayalah orangnya.

Tetapi,
Betullah bahawa hidup ini bukan kebetulan tetapi ketetapan.
Ketentuan yang telah diaturkan oleh Tuhan.

Di tahun satu ini, sering ditanya, KENAPA NAK JADI DOKTOR? Pada masa itu, mula tertanya-tanya. Kenapa ya? Sebab ini pilihan saya (sebab tak muhasabah). Sebab saya hendak tolong orang (common sangat). Sebab kerjaya ini lain daripada yang lain (apa yang lainnnya).

Antara asbab yang selalu diberikan;
"Sebab mak ayah suruh, nak realisasikan impian mak ayah."
"Sebab nak bantu ramai orang, nak berkhidmat untuk masyarakat."
"Sebab kerjaya ni lain, want to be different."

Asbab 1 : "Sebab mak ayah suruh, nak realisasikan impian mak ayah."

Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ada yang inginkan anak seorang doktor, agar di hari mendatang, anak ini dapat menjaga, merawat mereka. Hidup anak mereka akan senang sebab income bulanan dalam kerjaya ini boleh tahan.

Namun begitu, kesedaran akan minat anak-anak perlu diberi perhatian, ibu bapa adalah sebagai pembimbing, penunjuk arah. Dan Allah akan memelihara anak-anak kita dalam apa jua bidang yang mereka ambil, pada masa inilah tawakkal si anak dan ibu bapa perlu diletak setinggi-tingginya.

Jika kerana nama, pangkat dan status, itu tidak kekal lama. Dan itu bukanlah tujuan sebenar adanya doktor, mereka adalah sekadar perantara yang punya amanah dan tanggungjawab yang besar. Mereka merawat, bukan menyembuhkan. Bangga dengan 'DR.' di hadapan nama? DR = Da'ie Rabbani. Ya, besar peranannya. Maka, dengan itu setiap daripada kita adalah DR.

Asbab 2  "Sebab nak bantu ramai orang, nak berkhidmat untuk masyarakat."

Ingat doktor sahaja yang dapat tolong orang? Ingat doktor sahaja yang dapat menabur bakti kepada masyarakat? (marah doktor nanti ni). Orang lain tak dapat tolong?

Setiap daripada kita punya peranan untuk membantu, untuk berkhidmat untuk keluarga, saudara mara dan orang awam.

NAK atau TAK NAK,
TAK MAMPU atau TAK MAHU?

Itu persoalannya. Buka mata untuk melihat setiap peluang yang ada untuk MEMBERI, membantu apa yang mampu. Banyak sangat peluang, setiap kerjaya itu dapat membantu.

Guru,
Membantu anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat pada masa akan datang. Mengasah bakat dan menyuburkan bakat sedia ada, menanam minat pelajar kepada perkara-perkara yang bermanfaat.

Arkitek,
Bantu orang sekeliling dengan struktur bangunan yang memudahkan orang awam yang menggunakannya. Bantu orang kurang upaya untuk menggunakan kemudahan yang ada. Bantu menerapkan nilai Islam dalam seni bina yang dibuat. Kan cantik!

Promoter,
Bantu pelanggan memilih produk yang baik dan sesuai, menepati syara'. Mencadangkan pakaian-pakaian yang sempurna dalam penutupan auratnya. Mencadangkan produk-produk yang tahan lama. Ya, jujur penting dalam segala hal.

Pengawal keselamatan,
Bantu menjaga keselamatan penduduk setempat. Banyak jasanya! Kita boleh buat sepertimana mereka buat? Berjaga malam bagi memastikan keselamatan kawasan yang dijaga. Memang awesome! Sangat kagum dengan mereka ini.

Setiap kerjaya itu berperanan untuk membantu. Tidak ada yang tidak.

Asbab 3 : "Sebab kerjaya ni lain, want to be different." 

Apa yang different nya? Tidak ada yang luar biasa. Kami makan, minum, tidur. Masih ke shopping complex, beriadah dan sebagainya.

How to be different?

Bezanya hanya taqwa. Bukan pangkat, wang ringgit atau rupa paras. Dan ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Maka, perbaiki diri kita untuk menjadi someone different :)

DOKTOR adalah manusia biasa dan semua orang boleh menjadi doktor bergantung pada pentafsiran masing-masing. Doktor haiwan, doktor gigi, doktor kereta, doktor mesin, doktor cinta, doktor hati dan sebagainya. Yang pentingnya, setiap daripada kita punya peranan masing-masing. Setiap daripada kita bertanggungjawab terhadapnya.

Semua orang perlu dihormati, tiada sebab untuk direndah-rendahkan. Moga kita tergolong dalam golongan khalifah yang ingat akan janji kita di alam ruh dahulu. Insya Allah.

Cukup dahulu setakat ini, bakal bersambung, versi #throwback :)
Insya Allah, moga bermanfaat.

#Auni tidur, ummi menulis#

Thursday, June 12, 2014

Soal Jawab Perubatan di UNIMAS

Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh,

Lama rasanya laman ini tidak diusik-usik, ditambah-tambah kandungannya. Sekali tengok, banyak komen berkaitan dengan medik dan UNIMAS. Soalannya, mungkin berulang dari semasa ke semasa dengan soalan yang sama. Insya Allah disini dimuatkan soalan-soalan pelawat-pelawat yang sudi ziarah ke sini. Moga perkongsian ini bermanfaat buat sesiapa sahaja yang punya persoalan yang sama.

Soalan 1:
Salam. Kak, kiranya UNIMAS cawangan Kuching ni hanya untuk perubatan sahaja ke?

Jawapan 1:
Buat pengetahuan adik-adik, entry yang adik-adik baca di blog adalah entry tahun 2010. Maka dalam masa 4 tahun ini, begitu banyak perubahan telah dibuat. Kini, Fakulti Perubatan UNIMAS terletak di dalam Kampus Induk (Main Campus) di Kota Samarahan. Baru digunakan pada tahun ini oleh pelajar-pelajar tahun 1 dan 2. Manakala Fakulti cawangan Kuching, digunakan oleh pelajar-pelajar klinikal tahun 3, 4, dan 5. Ini bagi memudahkan pergerakan ke Hospital dan klinik-klinik bagi tujuan praktikal. Namun, ada berita mengkhabarkan, semua pelajar akan dipindahkan ke Kampus Induk tetapi tidak pasti bila akan dilaksanakan.

Soalan 2:
Assalamualaikum akak. Saya dapat asasi sains hayat di situ jugak. Nak tanya, kalau saya nak bidang yang ke arah medik, itu bergantung pada result spm atau pun result asasi?

Jawapan 2:
Waalaikumussalam. Bagi pelajar Asasi UNIMAS, pointer UNIMAS yang menentukan your next step, bukan result SPM. Insya Allah buat yang sehabis baik dan berdoalah, yang terbaik daripada Allah akan tiba! :)

Soalan 3:
Salam, nak tanya, ada lagi tak interview untuk perubatan lepas keluar result fasa 2 matrikulasi?

Jawapan 3:
Waalaikumussalam. Bagi soalan ini, tidak dapat jawapan yang pasti kerana ia melibatkan pihak MARA, JPA dan pihak-pihak lain yang menawarkan tajaan bagi pelajar-pelajar lepasan matrik, asasi dan sebagainya. Boleh hubungi pihak yang berkenaan.

Soalan 4:
Kak....ambil perubatan dekat UNIMAS tak ada biasiswa bantuan ke?

Jawapan 4:
Insya Allah belajar di mana-mana pun ada bantuan samada pihak JPA, MARA, Yayasan negeri atau pihak-pihak swasta yang lain. Insya Allah tidak perlu dirisaukan perihal kewangan ini kerana bantuan selalu ada, yang penting adalah betulkan niat kita dan bersungguh dalam menuntut ilmu.

Soalan 5:
Akak...ramai orang kata student dapat 4.00 flat saja dapat apply medik, yang tak dapat 4.00 flat ada peluang tak?

Jawapan 5:
Insya Allah ada peluang, akak dahulu pun bukan pelajar 4.00 flat. Buat yang terbaik, Insya Allah tawakal setinggi-tingginya dan Allah akan beri apa yang terbaik untuk kita.

Soalan 6:
Adakah program perubatan UNIMAS hanya untuk bumiputera sahaja?

Jawapan 6:
Program perubatan UNIMAS untuk semua. Bukan hanya untuk bumiputera, cuma ada rationya (tidak pasti berapa). All the best!

Soalan 7:
Kak..nak tanya, berapa orang yang repeat. Kalau boleh bagi ratio/anggaran. Terima kasih.

Jawapan 7:
Bagi soalan ini, anggarannya tidak menentu setiap tahun. Tiada kuota bagi pelajar repeat. Betulkan persepsi, repeat itu bukan halilintar, bukan ribut taufan yang buat kita putus harap. Mereka yang repeat itu bukan pemalas, bukan juga tidak pandai, itu ketentuan yang perlu dilalui. Jadikan itu sumber kekuatan untuk terus berjuang, tiada istilah rugi atau buang masa. Adakah kita tahu apa yang terbaik untuk diri kita? Tidak. Allah lebih tahu :)

Ada juga adik-adik yang menyatakan pointer mereka, dan bertanyakan adakah mereka layak? Terus terang dimaklumkan disini bahawa persaingan sangat tinggi, masing-masing. Makanya, yang terbaik akan diterima masuk dengan izin Allah. Sebaik-baiknya 3.8 ke atas kerana kini UNIMAS mempunyai pelajar asasi mereka sendiri, keutamaan atau kuota akan diberikan kepada mereka.

Buat adik-adik yang berhasrat untuk berjumpa di UNIMAS, kini penulisnya telah menamatkan pengajian dan berada di Semenanjung Malaysia. Insya Allah mungkin boleh berjumpa di lain masa dan ditempat yang berbeza. SELAMAT DATANG ke UNIMAS, universiti yang sarat dengan cerita, kisah pengajaran buat diri untuk menjadi seorang manusia yang berstatus hamba.

Setakat ini sahaja buat masa ini. Waallahu'alam.

Thursday, May 8, 2014

Bersama, Itu Kita

Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh,

Hampir setengah tahun jari jemari tidak menari-nari atas papan kekunci ni. Nak tak nak, kena tulis juga. Sesuatu perkara itu ada titik permulaan, moga inilah titiknya. Insya Allah. Banyak sungguh perkara nak diconteng-conteng dengan kemas di laman ni, namun akhirnya hilang begitu sahaja.

Sepanjang 6 bulan ini, macam-macam berlaku, macam-macam ingin dikongsi namun tidak kesampaian.

*Ilham yang datang terbang melaang-layang*

Kini, aku menulis bukan sebagai seorang pelajar. Tetapi sebagai seorang lepasan ijazah sarjana muda, ataupun seorang yang tidak bekerja (penganggur agaknya ya).

Selepas hampir 6 bulan tidak menulis, Insya Allah kali ini buat suami tersayang yang dicintai kerana Allah. Sebuah sajak yang tidak terungkap dek kata-kata, cuma leretan kata menyusun bicara :) Juga buat sahabat jauh dan dekat. Kita hamba, bukan pengatur langkah ke singgahsana untuk bahagia tetapi hamba yang mengejar redha untuk ke syurgaNya.

Mujahadah, kita bersama,
Suka dan duka, itu rencah hidup di dunia,
Susah dan senang, itu sunnah berjuang.

Aku diuij,
Tanpa ujian, manusia itu tidak akan sedar, bahawa hidup ini ada tujuan.

Aku diuji,
Tanpa ujian, kita akan terus leka, lalai dengan dunia yang hanya permainan.

Aku diuji,
Tanpa ujian, akan selamanya sangkaan kita adalah orang yang beriman.

Mujahadah, kita bersama,
Pahit dan manis, itu perasa alam maya nan sementara,
Hitam putih, teruskan hidup walaupun perlu bertatih.

Aku sedih,
Sedih itu sementara, kerana yang lebih sedih apabila kita gagal raih syurga di sana,
Sebaliknya menempah neraka yang azab pedih menanti hambaNya.

Aku sedih,
Sedih itu sementara, yakinlah bahawa bahagia itu akan hadir jua akhirnya,
Berkat sabar dan sedar akan ketentuanNya itu terbaik buat kita-kita.

Aku sedih,
Sedih itu sementara, bukan kita seorang sahaja bersedih,
Ia fitrah yang dimiliki setiap yang bergelar manusia.
Namun, berbahagialah hidup berTuhan walaupun dalam kesedihan, itu menenangkan.

Mujahadah, kita bersama,
Biar jatuh, asalkan terus patuh,
Biar payah, namun tidak sesekali menyerah.

Berbahagialah!

Waallahu'alam.

#Obstacle is a sword to become stronger#

Monday, November 25, 2013

PJJ - Pandang Jeling-Jeling

Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh,

Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ) semakin menjadi sebutan ramai. Insya Allah tulisan kali ini sempena setengah (1/2) tahun kami bersama menelusuri liku-liku, simpang-siur kehidupan yang ada turun naiknya.

KENAPA MEMILIH PJJ?

Pandang jeling-jeling 1: Ada segelintir pihak menganggap PJJ ini sebagai satu alternatif kahwin awal walaupun perlu berjauhan selepas itu kerana takut hubungan itu tidak terjaga dan membawa kepada perkara yang tidak baik. Pendek kata untuk menjauhkan diri daripada zina.

Pandang jeling-jeling 2: Ada segelintir pihak lagi menganggap PJJ ini tidak patut kerana fitrah isteri adalah berada disamping suami. Dengan anggapan andai berjauhan tidak dapat memenuhi tanggungjawab dan amanah juga tidak dilaksanakan dengan baik.Dengan itu matlamat perkahwinan itu sendiri tidak dapat dilaksanakan iaitu penyatuan dua hati menjadi satu.

Namun begitu, manusia itu diberi peluang untuk memilih tetapi Allah jua yang akan melaksanakan pilihan kita. Andaikata dalam aturannya tidak sepertimana yang kita pilih atau rancang, maka tidak akan ada pelaksanaan terhadap pilihan yang kita telah buat.

Jawapannya sungguh subjektif. PJJ 1 atau PJJ 2. Masing-masing ada asbab tersendiri untuk diketengahkan. Apa jua jawapan kita, Allah jualah yang punya jawapan sebenarnya. No doubt!

Bagi pengalaman diri sendiri, saya tidak pernah merancang untuk berkahwin sewaktu belajar. Tidak pernah. Adakah saya berkahwin sewaktu belajar untuk menjaga hubungan? Elak zina? Boleh sahaja tunggu sehingga habis pengajian kerana kami berjauhan (saya di Sarawak, dia di Shah Alam) dan berhubung hanya apabila ada perkara yang ingin dibincangkan. Namun, kuasa Allah mendahului segala-galanya. Kami disatukan dikala saya di tahun akhir pengajian, sementara dia sudah bekerja hampir setahun. Namun kini, kami berdua adalah pelajar universiti kerana Mr. Zawj kini menyambung pengajian di peringkat setersunya dalam jurusan seni bina.

Ini bukan kerja saya.
Ini urusan Allah semata-mata.

Apabila telah diaturkn begitu. Maka perlu alert dengan tugas dan amanah sebagai isteri/suami. Be creative dalam pelaksanaan amanah dan tanggungjawab ini. Perlu diusahakan walau dengan apa cara sekalipun. Apabila Allah dah tetapkan suatu jalan itu, harus ada destinasi yang ingin dituju (matlamat).

Insya Allah.


PJJ ADA RISIKO?

Risiko 1: Bagi yang baru mengenali, akan mengalami sedikit kesulitan dalam mengenali dan memahami isteri/suami anda. Al-maklumlah baru sahaja kenal. Maka, salah faham mudah berlaku, lebih-lebih lagi apabila adanya masalah komunikasi. Namun bagi yang sudah lama kenal juga, kebarangkalian wujudnya permasalahan itu pastinya ada kerana kita berkahwin dengan 'orang' yang berbeza, sebelum kahwin dan selepasnya.

"Kami dah lama kenal. Saya dah kenal sangat dengan sikap/ragam dia."

Ops tidak!

"Kamu tidak akan kenal dia selagimana tidak tinggal bersama untuk jangka masa yang lama."

Sungguh! bukan mudah untuk mengenali. Lebih-lebih lagi bagi yang baru mahu kenal-kenal dengan pasangan. Maka, bersedia dengan apa jua kemungkinan.

Risiko 2: Apabila dua jiwa bersatu, maka wujudlah kasih dan sayang. Itu fitrah. Sesiapa yang tidak pernah kenal sebelum nikah sekalipun, selepas akad nikah, dengan izin Allah datanglah encik dan puan Cinta dalam hati. Maka, detik perpisahan untuk berada di kejauhan itu sangat perit kerana mulalah akan ingat-ingat pada suami/isteri. Hadirlah encik dan puan Rindu.

Maka bersedialah. Dekatkan diri dengan Allah, itu kuncinya. Kerana Allah jualah yang menjaga hubungan suami isteri itu. Jaga hubungan dengan Allah, Insya Allah hubungan yang lainnya akan terjaga.

Risiko 3: Apabila sudah biasa berjauhan, ada segelintir pasangan yang sudah terbiasa. Maka apabila sudah terbiasa, kasih sayang mula menghilang sedikit demi sedikit kerana sebuah kebiasaan yang membinasakan. Mula hadir Encik Benci (tidak suka itu, tidak suka ini).

Mula tidak kisah suami/isteri calling-calling ke tidak.
Mula tidak kisah suami/isteri bergaul dengan siapapun.
Mula tidak kisah apa yang suami/isteri lakukan.

Makan minum tidak ditanya.
Khabar iman apatah lagi untuk ditanya.

Beware!


Hidup berumahtangga itu adalah dengan kasih dan sayang. Lengkap melengkapi dan ingat-mengingatkan dikala lupa dan alpa. Kerana itu jualah kita disatukan.

Dan itu jualah yang saya risaukan akan berlaku dikala berjauhan dengan Mr. Zawj yang tercinta ini. Namun, perlu diingat selalu, kasih sayang itu juga daripada Allah, milik mutlak Allah. Maka, dekat dengan Allah itulah kuncinya. Sebagai manusia, kadangkala kita terjauh dan saat itu akan digunakan syaitan sebaiknya untuk merosakkan segala dinding kasih sayang yang terbina.

Beware!

BAGAIMANA  UNTUK BERHADAPAN DENGAN PJJ?

Bagaimana? Insya Allah ada caranya. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, ingin sekali dikongsikan bersama. Bukan sahaja boleh dipraktikkan dalam hubungan suami-isteri, tetapi boleh digunakan dalam hubungan berkeluarga. Agar ia harmoni sentiasa. Insya Allah. Ada beberapa kaedah yang boleh digunapakai, Insya Allah. Moga hubungan terus terpelihara. Bersiaplah andaikata memilih PJJ pada awal perkahwinan.

Tips 1: Berbincang dengan bakal pasangan perihal medium komunikasi sewaktu berjauhan.

Ini sangat-sangat penting dan tidak boleh diambil mudah. Zaman sekarang ini, macam-macam medium ada. Daripada yang free sehinggalah yang berbayar. Contohnya seperti skype, viber dan seangkatan dengannya ataupun menggunakan plan mobile yang berpatutan.

Saya dan Encik Zawj berhubung menggunakan Digi Smart Plan. Dapat berhubung free tanpa sebarang charge dikenakan. Kadangkala kami guna skype untuk video call. Kini, dunia di hujung jari tetapi tidak semua perkara dihujung jari kerana kasih sayang mekarnya di dalam hati.

Tips 2: Walaupun berjauhan, kerap kali berhubung antara satu sama lain.

Paling tidak pun seminggu sekali kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Lebih-lebih lagi pelajar seperti kami, masa berhubung menjadi terhad namun kami tetap berhubung tiap-tiap hari sekurang-kurangnya 5-10 minit.

Tips 3: Luahkan apa sahaja yang terpendam, jangan disimpa-simpan.

Menangis bila perlu kerana itu akan lebih menghidupkan hati. Namun jangan berlebih-lebih kerana itu hanya akan melemahkan hati. Marah, sedih, rindu, geram, luahkan sahaja semua. Namun, luahkan pada Allah terlebih dahulu sebelum meluahkan pada cinta ke-3 mu.

Encik-encik Zawj yang perlu banyak bersabar (hehe) kerana kaum hawa ini lembut hatinya. Mudah menangis. Namun, kaum hawa jangan jadi terlalu lemah, kerana tangisan semata-mata tidak dapat menyelesaikan apa-apa.

Tips 4: Gunakan nama panggilan yang sewajarnya bagi mengeratkan kasih dan sayang.

Tips 5: Andai berjumpa setelah sekian lama berjauhan, guna masa untuk lakukan aktiviti bersama-sama.

Gunakan masa semaksimanya seperti beriadah, berkayak, berbasikal dan sebagainya. Selain itu, jangan lupa solat jemaah bersama, adakan sesi tazkirah bersama, tadabbur ayat-ayat cinta Allah. Boleh juga hadiri majlis ilmu bersama. Ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengeratkan hubungan memekarkan lagi kasih sayang yang selama ini memang subur. Insya Allah.

Tips 6: Ketahui jadual waktu, aktiviti mingguan pasangan.

Ambil tahu jadual waktu kerja atau study pasangan anda agar mudah untuk berhubung dan dapat mengurangkan salah faham. Selain itu, tahu juga bila waktu rehatnya, bila jadual usrahnya, program yang lainnya. Insya Allah ini dapat mengelakkan salah faham.

Pelbagai cara lagi boleh digunakan, terpulang pada individu tersebut untuk mengekalkan Sakinah Mawaddah wa Rahmah dalam hidup berumah tangga dan keluarga mereka.

Semoga sedikit perkongsian ini bermanfaat.

Hidup berkeluarga juga, perlu sangat-sangat dijaga keharmoniannya. Kunci utama kebahagiaan itu adalah pengabdian secara total kepada Allah. Ihfazillah, yahfazka (teringat nama anak buah yang comel, Ihfaz!) yang membawa maksud, 'Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu'. Jaga hubungan dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan manusia.


Insya Allah. Keluarga muslim bermula dengan individu muslim.
Individu muslim itu dibina daripada dalam ke luar.
Pelihara IMAN, jaga AMAL :)
Insya Allah.

******************************

Happy anniversary NIFSU SANAH, suamiku!
6 bulan itu sangat sekejap berlalu, sekelip mata.
Pandang jeling-jeling (PJJ), "Eh dah 6 bulan! Alhamdulillah. Semua dengan izinNya."


Rasa seperti baru semalam kita bernikah, tetapi kini berjauhan.
Pejam jeling-jeling, sudah 6 bulan.

Daripada tidak kenal, kepada lebih kenal.
Daripada bisu tidak berbicara, kini dia teman gelak tawa.
Daripada tunduk malu bila bersua, kini wajah dia ku tatap sentiasa.

Moga Allah pelihara kami dan kamu-kamu semua.
Dalam barakah Allah sentiasa :)

Melangkah dan terus melangkah untuk jadi hamba yang tahu BERSYUKUR.
Berkejar dan terus berkejaran untuk menggapai REDHA-NYA di puncak tertinggi
Insya Allah.

JOM!
Waallahu'alam.

Sunday, November 24, 2013

Rabbi Yassir


Cukup Allah bagi kami, kepadaMu kami berserah dan kami memohon pertolongan. Moga dipermudahkan segala urusan. Kerana yang memudahkan itu hanya Allah, tiada selain darinya.

JOM amalkan bersama :)
Balighu anni walau ayah (Sampaikanlah walaupun satu ayat).

24/11/2013 Akibat tak dapat balik, rasa nak tulis saja :) Moga bermanfaat.

Thursday, November 21, 2013

New Author: Hasil Tangan

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.

Moga laman ini akan terus bernyawa dan subur hendaknya dengan kehadiran insan yang sudi sama menulis. Insya Allah. Dengan kekangan masa dengan agenda dunia (moga tidak sia-sia, bersama akhirat jua) ini, hadir insan ini untuk turut sama memberi dan berkongsi.

"Amal, kenapa tak update blog?"

"Memang nak update. Tapi tulah dia, tak update-update lagi ni. Habis ilham terbang. Abang jadi author sekali ye."

"Boleh-boleh. Nanti add abang as author ye."

"Baik! Insya Allah."

Sudah lama blog ini tidak berubah wajah. (Sabar-sabar). Insya Allah bakal berubah tetapi bukan sekarang. Masih banyak agenda, perkara yang lebih aula menanti untuk dilangsaikan. Insya Allah.

Muhasabah buat diri ini.

Kita menulis bukan untuk saja-saja. Setiap perbuatan kita bukan saja-saja. Setiap perkataan yang keluar, setiap baris kata yang ditaip bukan sekadar tatapan mata bagi memenuhi ruang sahaja. Tetapi ia lebih daripada itu. Memberi dan terus memberi. Dan itu bukan mudah untuk istiqamah. Mungkin ada dalam hati-hati yang terdetik.

Mengharapkan orang LIKE (Eh! ini bukan mukabuku).
Mengharapkan orang puji dan hargai (Eh! kita bukan anak raja).
Menunjukkan kitalah yang terhebat (Eh! saya dan kamu hanya hamba)

Oh tidak!

Moga dijauhkan daripada segala apa yang membawa kepada kerosakan hati dan keruntuhan umat. Insya Allah. Moga diperlihara daripada fitnah-fitnah yang memudarkan keindahan alam ciptaanNya ini.

Terima kasih Encik Zawj kerana sudi membantu!

Encik Zawj, Ahmad Zulkamal Mohd Ziyadi selesai dengan presentationnya.
Nama pena beliau adalah Takwaman :) Beliau juga merupakan blogger suatu ketika dahulu. Moga bermanfaat! Insya Allah.

Encik Syukur di Bumi Jogja 2

Hari ini, biarlah lukisan alam ini berbicara kerana bicara alam ini jauh lebih indah terus, direct daripada Penciptanya. Tulisan tangan ini juga begitu, ilham daripadaNya. Cuma gambar memberi seribu kata, cuma perlukan mata yang terbuka untuk melihat dan hati untuk perhati dan menghayati. Insya Allah.


Lukisan alam 1: Gambar di atas memperlihatkan insan yang gigih berusaha walaupun pendapatannya tidak seberapa. Mungkin ada yang berkata, "tak berbaloi berpenat lelah, hasilnya cuma sedikit." Ini bukan soal banyak atau sedikit, ini soal usaha, dan rasa untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

Allah tidak memandang hasilnya tetapi melihat setiap langkah dan helaan nafas kita dalam berusaha mendapatkan hasilnya. Kita rasa tidak berbaloi kerana kita hidup senang. Kita rasa hasilnya sedikit sehingga kita lupa yang sedikit itu juga adalah rezeki daripada Allah dan mereka bersyukur dengan itu.

Kita? Mungkin itu sebabnya kurang rasa syukur kerana kita terlalu melihat perkara dan benda yang besar-besar. Dan tidak sedar bahawa diri kita ini jika dilihat daripada skop alam semesta, kita tidak kelihatan langsung. Betapa kerdilnya kita. Bilamana kita memandang rendah pada makhluk lain, ingatlah kita tidak setinggi mana untuk berlagak hero atas muka bumi ini. Hanya pelakon tambahan yang belum tentu baik lakonannya.

Lukisan alam 2: Inilah surau yang kami singgah tempoh hari. Boleh refer pada penulisan yang lepas. Surau yang disangka telah ditinggalkan dan tidak digunakan. Sangkaan meleset apabila gedung berbunyi memecah kesunyian senja yang berlabuh. Kanak-kanak berlari-lari ke surau ini. Adakah kita akan berkejar-kejar ke surau/masjid? (tunduk bawah-bawah).

Jelas. ISLAM itu boleh hidup dimana-mana, tidak kira tempat, tidak kira waktu. Kerana apa? Kerana dalam timeline hidupnya ada matlamat yang ingin dicapai, bukan saja-saja.



Lukisan alam 3 & 4: Kayuhan kaki ini tidak akan terhenti demi mencari sesuap nasi. Kesabaran yang dibawa bukan diletak pada kuatnya kayuhan kaki atau rajinnya tangan tetapi kesabaran itu terletak dalam hati yang ada azam dan tekad yang jitu untuk ubah cara hidup.

Rasa sayu hati bilamana mengenang kemalasan diri, mengenang keluhan yang tidak henti-henti. Mungkin Encik Syukur merajuk sebab lama menunggu untuk disapa. Allah. Moga kita tidak lupa untuk berterima kasih pada Pencipta. Insya Allah.


Ini kami yang kepenatan, berjalan daripada pagi ke malam. Apabila pelajar perubatan bersama pelajar-pelajar architecture, memang rasa lainnya. Pastinya ada perbezaan, dunia kita berbeza. Kerana perbezaan ini juga saya dan Encik Zawj disatukan. Alhamdulillah.


Lukisan alam 5: Wayang kulit ini indah bila dihayati jalan ceritanya. "cekap betul tangan pak cik ni." Bukan setakat memainkan satu watak, tetapi 3 watak sekaligus dalam satu masa. Terpegun! Wataknya pelbagai tetapi yang mengawal karakterya seorang.

Begitu juga peranan manusia. Hidup ini bermatlamatkan SATU tetapi peranan kita sebagai manusia itu banyak (lebih daripada satu). Mungkin saya kini bergelar pelajar perubatan yang sibuk dengan pelajarannya. Tetapi saya juga seorang isteri, anak dan Insya Allah da'ie yang akan selalu bergerak. Setiap satu gelaran, peranan yang akan dimainkan juga berbeza.

Kompleks ciptaan Allah ini bukan saja-saja. Kompleksnya ada makna :) Mainkan peranan kita dengan sebaiknya dengan setiap detik waktu yang Allah berikan pada kita.


Insya Allah mungkin di lain hari, lukisan alam di tempat yang berbeza pula. Harap sangat dapat bertemu dengan Encik Syukur lagi agar diri tidak terasa terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Insya Allah. Sebab bilamana tidak berjumpa dengan Encik Syukur, mungkin akan terserempak dengan Encik Lalai Alpa (minta dijauhkan).

Peringatan buat diri ini, untuk dikongsikan dengan semua. Insya Allah.

Lihatlah dengan mata yang terbuka dan bersedia untuk melihat. Tarbiyyah daripada Allah bukan hanya di masjid-masjid atau di surau-surau atau di kuliyyah agama. Tetapi lebih daripada itu. Betul, ini tidak tipu. Melihat pokok, bunga, orang-orang di jalanan juga mampu mendidik hati dengan izinNya.

Insya Allah. Waallahu'alam.

Akhir sekali...


Wahai Encik Zawj, jumpa lagi tahun depan. Moga kita dekat walaupun berjauhan. Moga matlamat kita menggerakkan kita seiring dan sejalan untuk dekat denganNya. Amin. Insya Allah.

Seiring dan sejalan,
Seindah aturan Tuhan,
Mencari redha-Nya,
Matlamat bersama,
Bahagia dalam rahmatNya.

"Abang, nyanyi sikit lagu Nurul dengan Ajai guna lirik ni." (geleng-geleng Encik Zawj).
# Gurau senda itu menjadi seri dikala berjauhan #

Thursday, October 31, 2013

Encik Syukur di Bumi Jogja

Dengan nama Allah, hari ini masih diberi nafas untuk terus dihelakan. Alhamdulillah. Fuh! Masih ada kesempatan untuk terus gerakkan tangan beri manfaat sebanyak yang boleh. Insya Allah.

Beberapa minggu lepas, saya berada di sebuah negara yang belum pernah dijejakkan kaki sebelum ini. Ini kali pertama ke oversea, walaupun sudah berpuluh-puluh kali berulang-alik ke over the sea. Inilah saya! Kali ini menemani encik zawj untuk menjalankan tugasnya disana. Ala-ala field trip, site visit. Ya, mengambil peluang ini untuk lebih mengenali encik zawj, sahabat-sahabatnya dan persekitarannya. Sambil menyelam, kita cari mutiara-mutiara di dasar lautan.

Setibanya di sana, mula dengar bahasa yang sebelum ini hanya didengar di dalam sinetron TV.

"Mbak mahu ke mana?"

"Mbak dari Malaysia ya?"

 Angguk-angguk. "Ya pak."

Sepanjang perjalanan, sentiasa mencari mutiara-mutiara yang boleh di bawa pulang.

Mutiara 1: Usaha tangga untuk ke Menara Jaya

Apabila kita kata berjaya, sangat sujektif. Ada yang sudah dapat masuk universiti, sudah dianggap berjaya. Ada yang dapat jadi top 10 student sudah dianggap berjaya. Ada yang dapat masak satu lauk satu hari, sudah dianggap berjaya. (hehe!) Berbeza-beza kan.

Begitu juga di negara yang sudah saya lawati ini. Jogjakarta. Usaha mereka untuk hidup, Masya Allah. Super awesome! Daripada usia mda hingga ke lanjut usia, masih berusaha untuk mencari sesuap nasi.Saya ke Malioboro, di tepi-tepi jalan ada beca, kereta kuda. Saya bersama group encik zawj (4 orang) mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Sepanjang kaki melangkah itu, ada sahaja gerangan yang menegur untuk ajak naik beca, naik kereta kuda. Hanya mampu senyum, tidak terkata apa-apa.

"Enggak apa-apa Pak, kami jalan kaki saja."

Barangkali bagi mereka, siapa yang dapat customer dianggap berjaya. Mungkin (angkat bahu). Sekali naik RM6 harga matawang Malaysia. Akan dibawanya bersiar-siar sekitar Malioboro (bukan pekan kecil tapi besar!). Sebelum pulang, kami sempat naik beca sekitar pekan itu. Wah! Super hebat kaki Pak Cik. Rasa kasihan pula, banyak kawasan berbukit. Berat kami berdua, mahu lebih 100kg. Super tabah Pak Cik ni.

Ramai juga penjual-penjual jalanan. Berusaha keras untuk menjual. Sehingga terpancarlah sifat defensive encik zawj. Kini lebih mengenali. Insya Allah. Alhamdulillah wa Alhamdulillah.

Mutiara 2: Sederhana, cukup apa yang ada

Hidup mereka disana sangat sederhana.Sedangkan kita disini, mencari kemewahan tanpa hala tujuan. Semasa kami berjalan-jalan sekitar pekan untuk melihat struktur bangunan dan cara hidup masayarakat disini. Kami tercari-cari surau. Tiba di satu perkampungan dan ada satu surau yang nampak seperti mahu dibangunkan dan seperti tidak digunakan. Namun kami rehat disitu dan tertidur sehingga masuk waktu maghrib. Orang kampung mula memenuhi surau, kanak-kanak juga ramai.

SubhanAllah!

Kami solat jemaah disana. Mereka hidup sederhana dan serba cukup. Harmoni! Sedangkan kita disini, ada sahaja yang tidak cukup, kononnya hidup tidak sempurna. Ada sahaja yang kurang sehingga tidak terlihat nikmat melimpah ruah yang Allah telah berikan.

Kita lihat masalah itu sebagai suatu kekurangan sehingga lupa masalah itu yang akan menjadikan kita insan yang lebih kuat dan capable untuk hadapi jalan hidup yang seterusnya. Oh kita lupa!


Mutiara 3: Yakin sentiasa dibawa jalan-jalan bersama

Kami sempat ke kawasan perkampungan berhampiran dengan gunung Merapi. Gunung berapi yang dijangka meletus setiap 5 tahun. Kali terkahir meletus adalah pada tahun 2010. Sekarang 2013 (selamat-selamat). Kena beringat, 'Kun fayakun' bukan agenda manusia.

Di bawah kawasan gunung berapi itu, ada yang buka perniagaan. Ada ala-ala kawasan pelancongan, ada jeep untuk bawa naik ke gunung berapi, untuk melihat sendiri kesan-kesan letusan. Kami tidak berkesempatan untuk naik ke atas disebabkan masa yang tidak mengizinkan.

Sempat saya berborak dengan orang disana.

"Kalau gunung berapi ini meletup, kawasan ini bagaimana mbak?" Tanya saya.

"Kawasan ini pun rosak, hancur, kena asap dan debu panas." Jelas kakak itu.

"Lepas rosak, bina semula lah ye tempat ni." Tanya lagi.

"Iya, kami bina semula perkampungan disini tapi sekarang lebih di bawah." Kata kakak itu lagi.

"Mbak tidak takut ke? Mbak tidak cari kerja lain yang lebih selamat." Sambung tanya.

"Kami yakin, disini rezeki kami. Keturunan kami disini." Tenang dia menjawab.

SubhanAllah. Tertanya-tanya, bagaimana mereka hidup. Mampukah saya hidup seperti mereka? Betullah, setiap apa ujian buat hambaNya itu berkadar dengan kemampuan hamba-hambaNya. No doubt!

Mutiara 4: Sabar itu bawa aman

Apabila meletak diri sebagai rakyat di Jogja ini, terasa diri tidak akan tertahan dengan keadaan di sini. Kereta banyak, jalan sesak, bunyi hon di sepanjang jalan. Fuh! Sabar memang kena tinggi.

Pernah kata kepada Encik Zawj, "Abang, kalau Amal bawa kereta disini, mesti ramai orang Amal langgar."

 Pecah gelak tawa.

Tetapi itulah kenyataannya. Allah meletakkan kita dimana kita mampu untuk hidup, mampu menyesuaikan diri. Bukan suka-suka Allah letak kita di serata dunia ini. Hakikatnya, kita bersaudara!

Moga penulisan ini bermanfaat untuk diri kami dan kamu-kamu :)

Waallahu'alam.

Terima kasih Encik Syukur kerana menampakkan diri di bumi Jojga :)
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

 
Blogger Templates