Maha Suci Allah.
Empat hari lepas berkesempatan bersama sahabat Alumni KMPk dan sahabat Weekenders yang super O'sem daripada jauh dan dekat untuk sama-sama meraikan warga emas di Rumah Orang-orang Tua Al-Ikhlas. Alhamdulillah.
Inilah kali pertama menjejakkan kaki ke sana. Sebelum ini, mampu lihat dari jauh, paling tidak pun menonton di kaca TV, bagaimana hidup mereka, bagaimana kesihatan mereka. Hanya mampu tertanya-tanya, tiada jawapan. Empat hari lalu, diri ini diberi peluang itu untuk turun padang, mendekati mereka.
Ya, O.T!
Bukan Operation Theater.
Tetapi orang-orang tua.
Ini kisah mereka, kisah orang-orang tua. Bukan ingin menceritakan kisah silam mereka, atau membongkar kisah sedih kehidupan mereka, tetapi ini bagi menyelami ibrah disebalik kisah-kisah mereka ini. Insya Allah, di mana ada cebisan pengajaran, mohon dikutip, disimpan dan dimanfaatkan.
*Ok, ayat bunga-bunga*
Langkah pertama ke dalam rumah mereka, dilihat katil di kiri, kanan, depan, belakang. Sana-sini diletak katil, namun teratur dan tersusun rapi. Dalam fikiran ini, mungkin penghuninya ada dalam 10-20 orang, namun tekaan ini meleset apabila daripada langkah pertama ke hujung rumah, ada hampir 50 katil. Fuh! Banyak betul.
Maka dengan itu, memerlukanku bergerak daripada katil ke katil. Alhamdulillah walaupun tidak semua sempat diperiksa namun telah diusahakan mana termampu.
Rupa-rupanya ada juga dalam kalangan pelawat yang lain yang menjadikan ziarah ke rumah orang-orang tua ini sebagai rutin bulanan/mingguan mereka sehingga mereka sangat dikenali dalam kalangan penghuni rumah ini. Meriah! Siap ada rombongan satu bas! Alhamdulillah.
Dalam berjumpa dengan mereka, seorang demi seorang, pelbagai gelagat yang aku lihat. Ada yang sekali jumpa tetapi seperti sudah kenal lama sehingga tidak mahu lepaskan tangan kami dalam genggaman mereka, ada yang suka bersendirian, ada yang suka bernyanyi (sedap! lagu klasik P.Ramlee ada, Ya hanana pun ada), ada yang berbahasa tamil (layankan sahaja, asalkan mereka gembira).
"Assalamualaikum Mak Cik, apa khabar?" sapa kami.
"Alhamdulillah, sihat. Macam inilah Mak Cik hari-hari. Selera makan tak ada, malam-malam orang lain makan, Mak Cik tidur saja, malas nak makan. Mak Cik ada kencing manis (Diabetes mellitus)."
"Nanti cucu Mak Cik datang, nak bagi dia biskut ni ha. Tadi ada orang ramai-ramai tu bagi. Mak Cik bukan makan sangat pun."
"Kenapa cucu Mak Cik tak jaga Mak Cik?" memberanikan diri untuk bertanya (selama ini tanya dalam hati sahaja.)
"Macam mana cucu Mak Cik nak jaga, umur baru 16 tahun, dia ke sekolah nanti, siapa nak jaga Mak Cik. Kaki sebelah kiri ni dah kena potong sebab kencing manis. Tapi cucu Mak Cik kata nak jaga Mak Cik bila dia dah kerja, ada rumah nanti."
*Besar hati cucu Mak Cik ni*
"Anak Mak Cik mana?"
"Mak Cik ada 3 orang anak, 2 lelaki, seorang perempuan. Yang perempuan tu manja, anak bongsu. Mereka kerja."
"Eh sama lah, saya pun ada 2 abang, saya seorang je perempuan tapi saya tak manja Mak Cik."
"Anak-anak Mak Cik ada kereta besar-besar, Lexus, Toyota, rumah besar. Mak Cik dah cakap, nak buat apa rumah besar-besar tu. Nanti tak ada orang jaga."
"Mak Cik dah berapa lama tinggal sini?"
"8 bulan."
Tiba waktu makan tengah hari, makanan diagih-agihkan, pelawat-pelawat, sukarelawan yang hadir mengambil pinggan-pinggan makan itu untuk menemani penghuni di sini menikmati hidangan mereka. Special kan!
"Tolong suapkan boleh?" Mak Cik makan bersuap, kami mengambil peluang ini menyuap Mak Cik ini. (lemah-lembut Cik Ina ni suap Mak Cik, berselera sungguh!)
Kami senyum.
Apa kesimpulan daripada perbualan kami?
Duduk diam-diam, tunduk dan fikirkan baik-baik. Bukan ingin salahkan sesiapa, dan ini bukan masa untuk itu. Husnuzon. Ada kalangan anak-anak yang menghantar ibu-bapa mereka di sini kerana tiada siapa yang boleh menjaga mereka di rumah ketika ketiadaan anak-anak.
Tetapi...
Maaf kerana aku terfikir, kenapa anak-anak mampu beli kereta besar tetapi tidak mampu menggaji pembantu rumah untuk menjaga ibu-bapa mereka.
Maaf kerana aku terfikir, kenapa anak-anak terlalu pentingkan kerja (adakah kerana wang?), sehingga terkeluar ungkapan 'kami sibuk kerja, bukan tak nak jaga, kami ada banyak komitmen'
Jika kata-kata ini yang terkeluar daripada ibu-bapa kita dahulu, mungkin kita tidak jadi seperti mana kita sekarang. (tiba-tiba teringat kisah di hospital, apabila ungkapan di atas dikeluarkan daripada mulut seorang anak, rasa nak pang pang pang saja).
*maaf kalau terasa, entri ini untuk aku sedar*
Alangkah baiknya jika kita sama-sama sedar.
Satu lagi perkara yang aku lihat, pengunjung/pelawat yang datang mengambil gambar dengan mereka ini (gembira sangat mereka) dilayan dengan begitu baik. Alhamdulillah.
Tetapi, moga selfie-selfie kita dengan mereka ini bukan untuk bermegah-megah, menunjuk-nunjuk dengan kehadiran kita. Cukup sekadar kenangan, moga apabila kita lihat semula gambar ini, kita akan sedar dan insaf dengan realiti dunia hari ini.
Segera muhasabah.
Semoga kita dalam kalangan yang menghargai ibu-bapa kita. Jagai mereka sebaiknya.
Teguran, pengajaran buat diri ini yang kadangkala lupa dan alpa juga.
Moga menjadi iktibar buat kita semua.
Waallahu'alam.
O.T sangat berkait dengan my next posting
Hye Mr. Surgical!
Allahu yusahhil :)
0 Buah fikiran:
Post a Comment