Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Friday, September 24, 2010

Y 331 : Mereka

Assalamualaikum wa rahmatullah, InsyaAllah aku dapat beraya di Kuching, di Kolej Perubatan. InsyaAllah sambil menyelam minum air. Tetapi bila dikirkan semula, menyelam sambil minum air akan menyebabkan penyelam itu lemas. Oleh itu sambil menyelam itu jangan lupa untuk menikmati keindahan dasar lautan yang indah ciptaan Tuhan :) Lalu berfikir, adakah Allah jadikan ini semua untuk sia-sia sahaja? "Sambil menyelam hayati keindahan dasarnya" Peribahasa baru :) bila zaman beredar, pembaharuan perlu ada. Sebelum bergerak ke mana-mana elok kiranya kita hubungi keluarga kita, terutama kedua ibu bapa kita. Izin mereka amat bermakna :)

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu. [Surah Luqman : 14]
Merekalah antara intan berlian berlian di atas muka bumi ini. Tanpa mereka, siapa kita di atas muka bumi ini. Siapa kita untuk hidup sendiri? Ya, semua dengan izin Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Dihidupkan manusia itu dengan fitrah kasih dan sayang. Saling perlu-memerlukan antara satu sama lain.

Jasa mereka tiada nilaian, tiada harganya. Pergi mereka tiada berganti. Ibarat luka, sembuhnya tiada lagi kesakitan, hanya tinggal kesan luka berpanjangan. Ibu dan bapa, perginya tidak pernah akan kembali, yang tinggal hanyalah kenangan, ingatan dan kasih sayang yang berpanjangan. Maka, berbaktilah kepada mereka selagi hayat mereka masih dikandung badan. Jangan juga dilupa, berbaktilah kerana belum tentu hidup kita panjang untuk mencurahkan bakti dan kasih sayang kepada mereka.


Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : “Saya telah bertanya kepada Nabi SAW : “Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah ? Baginda menjawab : “Sembahyang dalam waktunya.” Beliau bertanya lagi : “Kemudian amalan manakah pula?” Baginda menjawab: “Kemudian berbakti kepada ibubapa. ” Beliau bertanya lagi: “Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “Berjihad di jalan Allah. ” Beliau berkata lagi: “Baginda SAW telah berbicara kepada saya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda SAW menambah lagi, pasti Baginda SAW menambah untuk saya. ” [Hadis riwayat Bukhari]

Keutamaan mentaati dan berbakti kepada ibu bapa tidak dapat dinafikan, mereka anugerah Allah buat setiap hamba-hambaNya. Selain ibu bapa mengganggap kita sebagai kurnia paling bernilai daripada Allah. Kita juga perlu sedar bahawa ibu bapa aset dunia akhirat yang perlu dijaga hati dan perasaan mereka.

Rasulullah S.A.W bersabda : "Dosa yang paling besar ada tiga iaitu mensyirikkan Allah, menderhakai ibu bapa dan bersaksi dusta."
Dosa besar? Nau'zubillah min zalik. Redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Maka, beringat-ingatlah dalam meniti hari-hari mendatang. Hidup bukan untuk selamanya, dan semestinya hidup kita bukan sendiri-sendiri kerana untuk berdiri sahaja sudah pasti perlukan seseorang disisi. Merekalah ibu dan bapa.

Rupa-rupanya banyak yang boleh dikupas mengenai pembaktian kepada kedua ibu bapa, InsyaAllah akan disusuli dengan post yang berkaitan dengan ibu dan bapa. Sesiapa yang ibu bapanya sudah kembali menemui Pencipta, sedekahkanlah al-Fatihah buat mereka. Doa anak yang soleh, solehah adalah bekalan buat mereka di sana.

Waallahua'lam.

24/9/2010 Alhamdulillah posting obstetrics and gynaecology ini banyak mengajarku menjadi manusia yang lebih tahu erti susah dan senang.

Dahulu aku hanya tahu kesusahan untuk melahirkan..
Sekarang aku melihat sendiri saat-saat genting kelahiran..
Kelak suatu hari nanti, aku akan merasainya sendiri..

Ia bukan satu kesusahan, tetapi rahmat Allah buat perhiasan terindah dunia yang bergelar ibu :)

Seronok naik roller coaster balik Kuching, banyak tadabbur alam. Terima kasih pak cik-pak cik! Alhamdulillah~

Wednesday, September 22, 2010

Y 330 : Jalan-Jalan Raya

Assalamualaikum wa rahmatullah,

Alhamdulillah hampir dua minggu hari raya dirai, raya ke sana, ke sini. Walaupun dapat beraya bersama keluarga hanya untuk 2 hari, alhamdulillah itu sudah memadai daripada mereka yang tidak punya saudara-mara mahupun keluarga. Alhamdulillah disambut dengan kesederhanaan, bukan semua dapat merasai kesederhanaan ini kerana ada juga mereka yang tidak punya apa-apa.

Banyakkan bersyukur ke hadrat Tuhanmu..

Ada sahabat yang jemput raya bersama. Maaf dihulur kerana perlu pulang ke Sarawak pada raya ke 3 :) InsyaAllah tahun hadapan dengan izinNya kita beraya bersama.

Jalan-jalan, berpatah balik ke belakang. Cerita jalan-jalan 2 hari rayaku di Semenanjung Tanah Air yang penuh bermakna. Kali ini 2 orang kakak ipar sabar melayan kerenah adik suami mereka. Masak..masak..masak, suka masak dengan mereka. Suka beraya dengan mereka! Alhamdulillah.

Jom jalan-jalan raya,

Kali ini aku dibekalkan dengan sebuah kamera DSLR hadiah hantaran perkahwinan abang tempoh hari. Bila kamera ditangan, semua gambar diambilnya. Yang paling seronok, dapat tangkap gambar AWAN :) Juga tidak ketinggalan dapat ambil gambar bersama keluarga dan sanak saudara yang jarang sekali berjumpa.


Jalan-jalan raya,

SUKA LIHAT kereta-kereta penuh dijalanan. Kenapa? Bukan lihat kereta-kereta yang pelbagai rupa tetapi waktu inilah kereta-kereta ini penuh dengan ahli keluarga, lengkap. Lengkap berbaju raya, yang lelakinya segak bersongkok. TETAPI berhati-hati dalam pemanduan, inagtlah orang yang tersayang. Bergembira tidak salah, asalkan berpada-pada. Warna-warni, INDAHNYA NIKMAT BERKELUARGA DENGAN KASIH SAYANG-NYA.

Jalan-jalan raya,

SUKA LIHAT baju kurung kerana waktu ini baju ini menjadi kemestian, ayu si wanita yang memakainya, InsyaAllah segalanya terjaga. Menjelang hari ini juga, baju ini dijual disana-sini. TETAPI berhati-hati dalam berpakaian, jangan mudah tertipu dengan keindahan semata-mata, syariat perlu dipelihara sebaiknya. INDAHNYA NIKMAT HIDUP SEBAGAI ISLAM.

Jalan-jalan raya,

SUKA LIHAT ahli keluarga bersalam-salaman, ampun maaf sama dipinta, mengeratkan hubungan yang terpisah mahupun yang sedia terjalin mesra. TETAPI dalam ziarah-menziarahi pula, jangan dilupa adab-adab yang perlu dijaga. INDAHNYA ISLAM SEBAGAI PANDUAN HIDUP KITA.

Jalan-jalan raya,

SUKA LIHAT awan, bintang dan bulan yang tidak segan silu menghiasi alam dengan izinNya. Tenang hati melihat segalanya terbentang luas di depan mata. TETAPI berapa banyak pasang mata yang melihat dan mensyukuri anugerah kurniaanNya ini? INDAHNYA HIDUP DIKELILINGI CIPTAAN-NYA YANG TIADA TANDINGAN.

Jalan-jalan raya,

SUKA LIHAT rumah-rumah, bangunan-bangunan, pondok-pondok di tepi-tepi jalan. Kerana ciptaannya, rekaannya, binaannya kukuh. Bukan kagum pada berdirinya ia TETAPI kagum dengan Penciptanya kerana hanya dengan izin dan ilham daripadaNya segalanya terjadi. Bangunan, rumah itu dibina dengan ilham dan kudrat daripadaNya. Maka, bersyukurlah kerana tiada yang lain di dunia sementara ini selain dengan izinNya, aturanNya yang terbaik!

INDAHNYA HIDUP BERTUHAN :)

Wallahua'lam.

22/9/2010 Gambar-gambarada pada abang, nanti nak letak :) Hias blog dengan gambar!

Baiki diri bukan kerana manusia kerana bukan manusia itu matlamat kita. Baiki diri, persediaan bertemu Dia. Itulah akhirnya.


Ramai nak perbaiki diri kerana mahu mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Hidup berkeluarga, mesti segalanya sempurna tetapi adakah sempat melalui zaman itu? Hidup ini hanya sementara, tiada apa yang kekal selamanya.

Mama..kena kuat macam mama :)

Saturday, September 18, 2010

Y 329 : Sajak Dia

Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh,

Minggu lepas semasa dalam bilik seminar, dapat satu SMS daripada seseorang. Identiti dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu. SMS kali ni lain daripada yang lain, MMS barangkali, ada lagu yang sayu, gambar yang menenangkan, juga satu sajak yang memberi makna yang amat mendalam bagi diri ini yang sering lupa dan alpa.

Bila terhantuk baru sedar, hidup bukan calang-calang tempat persinggahan.
Yang pastinya ujianNya memenuhi ruang lingkup alam.
Maka, dekatkanlah diri kepadaNya, doa, usaha dan tawakkallah.
Hanya kepadaNya, segalanya.

Selepas kelas, baru dapat baca dan hayati maksudnya. SubhanAllah, Allah menghantar dia buat hambaNya yang amat memerlukan kata-kata yang dapat mengekalkan diri sebagai seorang yang sedar dalam tindakan.

Ada baiknya ku kongsikan sajak itu disini sebelum terpadam tanpa kenangan bernilai buat diri. Ku tujukan juga pada sahabat-sahabat muslimatku yang tekun menuntut ilmu Tuhan. Teruskan perjuangan hingga ke akhirnya.

Hayatilah teman..

Perempuan yang suci adalah perempuan yang dijaga oleh Allah,
Tidak sedikit pun Allah membenarkan mana-mana lelaki menyentuh dirinya walaupun hatinya,
Kerana Allah teramat mencintainya,

Tetapi andai kita bergelumang dengan cinta lelaki,
Di mana Allah untuk menjaga kita?
Allah seperti melepaskan kita kepada seseorang yang lebih banyak mengecewakan kita,

Jika Allah datangkan kesedaran dalam diri supaya meninggalkan cinta seorang lelaki,
Bermakna Allah mahu ambil kita kembali untuk dijagaNya,
Mengapa masih ragu-ragu?

Kekuatan usah ditunggu tetapi harus dicari,
Hargailah kesempatan yang Allah berikan,

"Sebesar-besar dosa adalah dosa yang dilakukan ketika kita rasa berdosa melakukannya" [Iman Al-Ghazali]



Ukhtiku,
Aku bangga melihatmu derita dalam perjuangan,
Dari melihatmu gembira dalam kelalaian,

Ukhtiku,
Aku bangga mendengar tangisanmu kerana pengorbanan,
Dari melihat tawamu dalam pengkhianatan,

Ukhtiku,
Aku bangga andai dikau mati di medan kebenaran,
Dari hidup dalam kesesatan,
Kerana jangan lupa ukhtiku,

Muliamu bukan pada pangkat dan harta tetapi kerana ISLAM..

Panjang juga sajak dia :) InsyaAllah kandungannya akan ku praktikkan. Terima kasih ya adik, jazakillahu khair. Semoga kita kelak menjadi hambaNya yang sentiasa patuh dan taat padaNya.

Mari usaha, laksana amanah Tuhan :)

Waallahua'lam.

18/9/2010 Yang putus, tidak muktamadnya putus kerana kelak jika Allah mahu ia bersambung kembali, maka bersambunglah selamanya. InsyaAllah.

Apa yang penting?
Yakin pada Allah!
Kerana janji-janjiNya itu kepastian.

Dia -- Adik Hani :)
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

 
Blogger Templates