Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Friday, September 23, 2011

Lebih dari Itu

Baca punya baca, jumpa!
Bila sudah jumpa, kongsi!

:)

Moga bermanfaat untuk bersama kita perbaiki diri, menjadi hambaNya yang benar-benar mengaplikasikan Islam sebagai cara hidup dalam segala aspek. Selamat membaca, dan muhasabah diri dikala masih diberi peluang ini.

Di mana Islam dalam kehidupan kita?

Adakah hanya di masjid atau surau?
Atau hanya dalam majlis-majlis ilmu?
Atau hanya bersama rakan-rakan sefikrah?

Fikirkan, Islam itu adalah satu cara hidup yang syumul. Tidak boleh dipisah-pisah mengikut acuan sendiri, kerana acuan yang Allah sudah sediakan itu sudah cukup lengkap. Kerana hanya Dia yang tahu apa yang terbaik buat hambaNya, sejauh mana ujian yang perlu ditempuh sebelum beristirehat dalam syurgaNya. Ya, hanya Allah yang tahu.

Jom kongsi!
Solat itu bukan sekadar satu kewajipan tetapi lebih daripada itu.
Punya kelebihan yang luar biasa, jika dilaksanakan dengan khusyuk dan sempurna rukunnya.

Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya. Dikala ada peluang untuk hidup dalam barakah, kenapa kita lepaskan peluang ini?

Sedar atau tidak, solat adalah salah satu acuan muslim dan muslimah sejati. Seandainya acuannya sendiri tidak betul, bagaimana bentuk akhirnya? Pastinya terkesan juga, rosak.

Jom kongsi!
Antara kelebihan solat selain kewajipannya sepertimana yang kita sedia maklum adalah;



Pertama, solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." [Toha:14]

Dekatkan diri denganNya di dalam solatmu,
Namun, jangan tinggalkanNya walau sekali,

Ingatilah Dia selalu,
Nescaya ketenangan kelak engkau perolehi.

Kedua, solat adalah tanda kesyukuran. Muslim atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepadaNya.

Itulah salah satu tanda kesyukuran seorang hamba.
Apabila dikurnia segala nikmat, adakah senang hanya menerima tanpa memberi?

Manusia itu mudah lupa [penulis, sila ketuk diri sendiri!].
Kenapa lupa?
Kerana leka dengan kemewahan dunia sementara.
Kerana lalai dengan keseronokan rekaan manusia.

Sila jangan lupa :)

Ketiga, ibadah solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis yang bermaksud:

"Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." [Hadis riwayat Muslim]

Keempat, solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran.

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." [al-Ankabut:45]

'Dia tu solat je lebih, tapi perangai.....'
Pernah dengar atau tuturkan dialog ini?

Satunya, siapa kita untuk menghukum manusia dengan hanya sekali pandang?
Keduanya, kenapa tidak menegur sebaliknya hanya menambah timbangan dosa?
Ketiganya, ketika melihat orang lain, buka pintu hati untuk melihat diri sendiri...

Cermin diri dengan cermin semulajadi anugerah Allah...

Adakah aku seperti dia?
Cukupkah, diterimakah amalanku?

Re-check semula amalan.
Perbaiki mana yang lemah, perbetulkan mana yang salah.

Kelima, solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!

"Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." [al-Mukminun: 1-2]

Hayya 'ala Solah!
Hayya 'ala Falah!

Setiap hari dilaungkan, 5 sesi setiap hari.
Apa tunggu lagi, sahutlah seruan.

Keenam, solat dapat mententeramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria.

Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." [al-Ma'arij:19-23]

Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati. Ikutilah, contohilah sunnah Rasulullah, kenapa yang lain juga dijadikan sanjungan?

Ambil peluang!

Waallahu'alam.

Untuk teks asal, klik sini.

'Fuh! Banyak lagi kena baiki ni.'

Tahu pun, tulis-tulis untuk ketuk diri sendiri daripda terus leka.
Ketuk-ketuk biar selalu ingat.

** Ambil peluang, beli tiket senyap-senyap, akhirnya mama tahu :)

Pulangku bukan kerana tiket murah,
Bukan kerana seronok-seronok nak balik lepas exam,
Bukan kerana homesick,

Tetapi kerana SATU!
SATU janji dalam diri sebelum aku melangkah ke bumi Sarawak ini.

Saturday, September 17, 2011

Perlahan

Assalamualaikum wa rahmatullah.

Aktiviti mengemaskini blog kian perlahan. Tidak tahu apa sebabnya, bukan tidak mahu tetapi mungkin leka dan alpa, buatkan diri tiada masa. Tidak tahu ke mana perginya ilham menulisku.

Ya Allah..

Mana perginya insan yang suka menulis itu?
Yang pastinya tulisannya bukan untuk saja-saja.
Walaupun tulisannya hanya biasa-biasa, itulah sebenarnya yang membina.

Alhamdulillah dengan kudrat rahmatNya, 1 pagi! Tulis!

:)

Sekadar satu perkongsian, sebuah hadis daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Quran itu kecuali hanya tulisannya.Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali." (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Adakah Islam itu hanya sekadar nama?

Sedangkan itulah rahmat kepada sekalian alam daripadaNya Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Andai hanya tinggal nama, maka mana perginya 'ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP' ataupun 'ISLAM IS THE WAY OF LIFE'. The only way, that's true!

Kita lupa. Kita lupa bahawasanya Islam itu bukan sekadar nama, bukan semata-mata atas kad pengenalan, identiti diri. Islam itu merangkumi setiap inci cara hidup kita, sesekali jangan pisahkan.

Selalu berkumandang.
'Jangan pisahkan aku dan dia'
'Tuhan tolonglah ku cinta dia'

Andai dia yang dimaksudkan adalah Islam, alangkah indahnya. Sehingga merayu, memohon padaNya untuk ditetapkan hati dalam nikmat iman dan Islam. SubhanAllah.

Cinta akan nikmat persaudaraan Islam.
Cinta akan nikmat perpaduan ummat sejagat.
Cinta akan cara hidupnya yang sempurna.

Alangkah indahnya.

Adakah al-Quran itu hanya satu tulisan?

Apabila dibaca, tidak rasa gentar di hati. Bahaya!
Apabila dibaca, tiada kesan dalam pembentukan diri. Bahaya!

Sedangkan itu mukjizat teragung, yang kekalnya hingga ke akhir zaman. Lengkap, selengkapnya merangkumi semua aspek kehidupan, perundangan, perniagaan, sains, perubatan dan sebagainya. Yang didalamnya terdapat banyak pengajaran dan peringatan. Juga adanya sumber ketenangan dan rawatan spiritual jiwa, rohani.

Kita lupa.
Lupa untuk hayati isinya yang penuh makna.
Lupa untuk praktikkan segala apa yang diperintahNya.
Lupa status kita sebagai hamba.

Alangkah indahnya al-Quran itu diambil segala kandungannya buat panduan. Panduan ke arah pembangunan generasi yang cintakan Allah dan RasulNya.

Alangkah indahnya.

Masjid, masih berfungsi sepenuhnya?

Masjid-masjid tersergam indah, namun hanya tersergam indah dengan rekaannya yang menakjubkan. Rekaan manusia yang perolehi ilham dariNya. Fungsinya pudar, kurang difahami.

Masjid fungsinya bukan sekadar tempat solat berjemaah, walaupun itu antara fungsi utama masjid, seharusnya kita tidak lupa fungsi lainnya seperti tempat menyebarkan dan perkembangan ilmu pengetahuan; akidah, syariah dan tauhid, tempat pembentukan peribadi ummat Islam dan lain-lainnya.

Untuk bacaan lebih lanjut tentang Fungsi Masjid, sila klik di sini.

Sedari fungsinya, InsyaAllah masjid-masjid ini akan gah, bukan sahaja di mata dunia tetapi awani rahmat Allah yang berpanjangan. InsyaAllah.

Muhasabah diri.
Di mana Islam dalam diri kita?
Ingat Allah dikala susah dan senang :)

Waallahua'lam.



Rawatlah hati andai dikotori :)

Alhamdulillah, sekarang sudah 3 minggu dalam posting Obstetrics and Gynaecology. Kali kedua, alhamdulillah jalani dengan lebih tenang dan InsyaAllah ilmu juga makin bertambah.

Apabila niat belajar dibetulkan, InsyaAllah dipermudahkan.

Di kala melihat ibu-ibu melahirkan, tercetus dalam hati..

"Ya Allah, begitu susah melahirkan insan baru ke dunia ini. Hampir separuh nyawa diperjuangkan demi satu nyawa, anugerah terindah buat ibu-ibu dan bapa-bapa."

"Adakah selepas anak-anak ini lahir, mereka sanggup berkorban demi ibu bapa mereka sepertimana ibu bapa mereka lakukan sebelum ini?"

Anak-anak, sila jadi baik!

Dalam menuntut ilmu, ambillah seberapa banyak peluang untuk belajar, untuk rasa lebih bersyukur, untuk perbaiki diri yang serba kekurangan.

Di setiap ruang, pasti ada peluang untuk menjadi lebih baik.

:)

** "Dulu duduk dalam perut mama 9 bulan, janji nak keluar bulan 5 tapi keluar akhir bulan 4. Kawan-kawan kata 'Amal nakal dalam perut mama, sebab tu sekarang Amal nakal.' Boleh percaya ke mama?"

:D

Saturday, August 20, 2011

Kisah Ramadhan

Setelah sekian lama tidak menulis.
Bersawang juga blog ini kerana lama ditinggalkan.
Sekarang masa untuk kemas sawang, sapu debu-debu di lantai.

Tamat sudah medicine posting, dan di akui sepanjang masa itu ada masa untuk menuntut ilmu. Tidak kiralah di mana kita berada, hakikat menuntut ilmu itu tetap ada. Di jalan raya, ketika memandu juga kita belajar daripada gelagat pengguna-pengguna jalan raya.

Long journey, with many things to learn.

Kisah bulan Ramadhan, cuma satu catatan yang biasa-biasa.
Tiada pula yang istimewa.

Kisah 1

Ahad, menuju ke hospital dengan Abyadh. Esoknya dijangka perlu present BST (bed-site teaching) masa ini digunakan untuk cari-cari case di ward. Jalan-jalan dalam ward selepas zohor, mak cik, pak cik, ramai yang tidur, rehat-rehat.

Menuju pada seorang pak cik. Dalam cerita punya cerita, aku terkesan dengan ayat pak cik.
"Anak, bila kita muda, kadang-kadang kita lupa yang kita akan tua. Semua kita makan, tak kisah tentang kesihatan. Waktu senang kita lupa yang adanya waktu susah."
Setuju!
Mulut masih diam, dengar.
Bukan senang nak dengar kata hati pesakit-pesakit kita.
"Alhamdulillah. Pak cik boleh puasa, bila puasa ni, sakit pak cik kurang sikit.Rasa sihat sikit. Bagus puasa ni."
Setuju!
Ringan badan.
Bukan ringan badan sebab mengurus, tetapi ringan badan untuk 'dating'.
Lebih-lebih lagi di malam hari.

Belajar di hospital, bukan sahaja bab medik tetapi lebih daripada itu. Mungkin ini yang dikatakan sambil menyelam minum air. Cuma terfikir, andai menyelam sambil minum air, tidakkah kita akan tenggelam?

Kita lupa saat kita senang.
Kita lupa saat kita ketawa, gurau senda.

Kita ingat bila kita sedih.
Kita ingat bila kita susah.

Jika manusia, apabila diperlukan bila susah, dilupakan ketika waktu senang. Maka, terasa hatilah, merajuk, sakit hati. Kasihan hati, sakit kamu.

Namun, terfikirkah kita, sebenarnya kita dahulu yang lakukan hal tersebut. Bukan dengan teman-teman, tetapi kepada Pencipta kita. Perasan atau tidak? Kita lupa Allah saat senang, saat bahagia depan mata, saat senda tawa dan ketawa riang. Kita ingat Allah bila datangnya kesusahan, keperitan, di saat kesunyian dan keseorangan.

Namun, kesempurnaan Allah itu tidak sekali akan pudar kerana kesempurnaanNya tidak memerlukan sokongan hamba-hambaNya. Sebaliknya, manusia itu yang perlu hidup berTuhan untuk mencapai satu kesempurnaan.

Kisah 2

Pergi bazaar tiap-tiap hari. Beli itu, beli ini.

Tiba giliran bazaar Permai. Ada seorang mak cik, yang aku kenal sewaktu program bersama Aman Palestin awal tahun ini. Setiap kali ke bazaar, mesti bertegur sapa.

Mak cik dan suaminya menjual kebab dan beberapa lauk pauk. Jika membeli di gerainya, ada sahaja yang diberinya. Malu, bertambah segan juga. Kita membeli untuk membantu, tetapi kita pula yang diberinya macam-macam.

Daripada itu juga menyedarkan diri, berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Namun, bersenang hatilah dalam menerima, InsyaAllah ada barakahnya. Jangan pula hanya mahu memberi, tetapi enggan menerima kebaikan orang lain.
Matlamat kita sama, apa salahnya sama-sama ke arah kebaikan.

Tidak salah kan?

Kisah 3

Abyadh. Sudah lebih 2 bulan berada di bumi Sarawak. Dia pernah terima pengajaran dan ujian, sekarang Abyadh kuat! Esok hari akan membawanya untuk buat 'medical check-up' oleh doktor-doktor pakar.

Selalu mandikan Abyadh, sehingga diperli rakan-rakan.
"Berkilat dah tu.." "Amal, tolong basuhkan motor ni sekali."

Namun waktu mandikan Abyadh, tiba-tiba terfikir, mampu ke aku nak bersihkan dalaman Abyadh ini. Vacuum tidak ada.

"Biar dulu lah, mandikan luaran saja."

Terdetik dalam hati, apa guna bersih hanya pada luaran semata-mata.
Apa guna cantik/kacak luaran sahaja.

Biar bersih dalam dan luar. Jangan abaikan salah satu daripadanya.

Dalam tetap lebih penting. Kebaikan itu patut datang daripada dalam diri, harap-harap dengan cara itu lebih kekal dalam kebaikan, InsyaAllah. Andai bersih luar sahaja? Bayangkan, naik kereta yang bersih, berkilat luarnya tetapi masuk kereta, macam semak samun. Rasa apa? Best?

Begitu juga hati.

Andai Allah kurniakan kita nikmat kecantikan (hakikatnya ciptaan Allah itu cantik-cantik belaka), itulah bonus untuk kita untuk lebih cantik dalamnya. Andai tidak cantik sekalipun (hanya anggapan manusia, anda cantik), kebaikan dalaman itu nanti yang akan menyerlah apa yang ada dalam hati-hati kita. Tetap cantik!

Rupa letak tepi.

Ingat selalu pada matlamat hidup di dunia sementara ini.
Banyakkan muhasabah diri.

Bersihkan luar dan dalam.
InsyaAllah bersih juga laluan ke arah kebaikan.

Si Abyadh (bukan manusia)
Abyadh pernah luka, namun kini dia kuat!

Si Abyadh
Semalam sudah mandi luar dan dalam :)
Esok servis semula, jadi lebih baik
Bersedia untuk perjalanan jauh :)

Abyadh lahir pada 26/4/2011
tetapi badan dia tidak akan membesar!

Waallahu'alam.

20/8/2011 Takziah buat kak Shikin yang diuji dengan pulang bondanya ke pangkuan Pencipta. Kak, semoga tabah hadapi segala rencah hidup ini.
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

 
Blogger Templates