Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Tuesday, April 12, 2011

Mana Milik Kita

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita,
Semua yang ada, Allah yang punya.

Tidak ada kita punya,
Kita hanya mengusahakan saja,
Apa yang kita dapat, Allah sudah sediakannya.

Berfikir beserta zikir akan menjadikan kita hamba yang bergelar manusia yang unik. Dua dalam satu, 2 in 1. Cuma dalam pilihan hanya 1 jawapan, bukan dua-dua, atau bukan juga antara kedua-duanya.

Andai berjaya,
Kejayaan itu hanya milik Allah,

Andai kaya dan mewah,
Harta itu hanya milik Allah.

Andai gembira,
Perasaan itu hanya daripada Allah.

Apa milik kita?
Tiada apa milik kita,
Hanya bekalan amal yang akan menemani kita,
Bersaksi di hadapan Tuhan Yang Maha Esa.


Seperti mana masa itu berlalu,
Selagi itu kita perlu melangkah,
Biarpun langkahannya kecil,
Asalkan jangan berhenti,
InsyaAllah akan sampai ke destinasi yang dituju.


However, one things that you have to remember is LIFE IS A JOURNEY, NOT A DESTINATION.

Waallahua'lam.

12/4/2011 InsyaAllah memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri menempuh tahun 3 kali ke-2 :) New strength from Allah, beneficial for all. InsyaAllah.

Di rumah, ada aktiviti baru :)

Monday, April 11, 2011

Terima Kasih

Alhamdulillah, bernyawa lagi blog ini yang kian usang :) Terima kasih pada ramai yang bertanya,

"Amal ok ke?"

InsyaAllah, tiada apa yang dapat buat diri ini lemah kecuali dengan izinNya jua. Apabila duduk muhasabah diri. Ya, punya banyak kelemahan dan ini peluang dari Allah untuk diri ini memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

Bak kata Dr. Asri, mentor yang hebat, "Sebagai pelajar perubatan ni, bukan sekadar lulus gagal saja. Tetapi bagaimana kita mahu jadi doktor yang lebih baik. You'll do better."

Setuju! Ya, redha Allah lebih utama.
InsyaAllah.

Dr. Kyi Kyi Win dan Dr Thaung Thike banyak membantu kami sepanjang 2 minggu study week for remedial exam. Seperti ibu dan bapa :) Banyak beri nasihat untuk menjadi doktor yang hebat, bukan sahaja dari segi rawatan. Tetapi juga attitude yang benar-benar kukuh.

Terima kasih doktor-doktor semua.
:)



Diri ini tidak akan pernah putus asa. InsyaAllah, kerana aku punya Allah. Walaupun seberat mana bahu yang memikul, hakikatnya diri ini perlu banyak-banyak bersyukur kerana masih bernyawa dan diberi peluang untuk mendalami ilmu Allah. Aku punya tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan. Ramai insan di luar sana yang tidak punya peluang untuk merasai nikmat untuk menuntut ilmuNya, diuji dengan hebat, mereka tetap tabah.

Buat sahabat-sahabat perjuangan,
Selamat melangkah ke tahun 4 :) Ingat, perjuangan ini bukan mudah kerana hanya Allah yang memudahkan segala urusan. Jika ia mudah tanpa mengingati Allah, hati-hati ya. Ya, kita punya jalan hidup masing-masing. Selamat berjuang!

Ayuh telusuri jalan taqwa :)

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud : "Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya." [Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha.]

Kadangkala, dalam kita mejejaki ke arah pintu kejayaan, kita lupa apa yang perlu kita bawa untuk sampai ke pintu itu dan seterusnya membuka pintu tersebut. Kerana kelupaan itu, kita berjalan dengan megah.

Lalu berkata, "Kejayaan ini adalah daripada hasil usahaku."

Terus berjalan tanpa membetulkan niat yang kian terpesong hari demi hari. Namun, ada juga yang ditimpa kegagalan dan berhenti ditengah-tengah jalan.

Lalu mengatakan, "Kegagalan ini semua sebab kamu. Kamu yang menyebabkan aku gagal."
Ataupun, "Dia tu gagal sebab dia malas, banyak buang masa."

Wahai makhluk bumi, sandarkanlah segalanya kepadaNya. Kerana hanya dengan itu akan membuatkan dirimu tenang setenang-tenangnya. InsyaAllah, Allah itu lebih mengenali hamba-hambaNya. Cuma kita, manusia, lebih gemar mengenali makhlukNya daripada berkejaran mengenaliNya. Kita manusia yang pelupa.

Jalan hidup kita-kita, telah Allah tetapkan secara terperinci. Laluilah dengan tenang.

Ayuh telusuri jalan taqwa :)

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar: "Ya". Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?"

Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati." Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa."

Menurut Ibnu Abbas r.a. : "Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta'atiNya."

Moga kita-kita menjadi hamba-hambaNya yang bersyukur.
InsyaAllah.

Usah gelisah andai ditarik nikmat dunia,
Kerana InsyaAllah nikmat akhirat itu (syurga) menjanjikan segala yang bahagia.
Usah mengharapkan ganjaran dan janji Allah jika janji kita padaNya belum terlaksana.

Waallahua'lam.

11/4/2011 Ya, aku masih di tahun 3, InsyaAllah tidak akan sia-siakan peluang ini. Terima kasih atas semangat dan sokongan kalian.

Terima kasih Allah kerana masih meminjamkanku kekuatan ini.

:) Senyumlah, ummat Islam tidak akan kalah, apatah lagi rebah dan menyerah.

Wednesday, April 6, 2011

Y 398 : Model Alam

Segala puji bagi Allah yang memberi kudrat buat diri untuk terus menaip dalam keadaan yang pastinya berkehendakkan diri ini untuk 100% berserah padaNya untuk setiap keputusan aturan hidup ini selepas usaha yang merupakan jalan ikhtiar bagi seorang hamba.

Yang paling penting adalah kita belajar daripada apa yang kita lalui. Ya, itu sangat penting, jangan sia-siakan tarbiyyah daripada Tuhan. Moga dengan keyakinan yang teguh terhadap janji-janji Allah, menjadikan hati-hati ini sentiasa tenang menelusuri jalan-jalan menuju redhaNya. InsyaAllah. Janji-janji Allah, adakah kita ingat janji-janji kita padaNya? Kita lupa, hanya mempersoalkan janji-janji Allah. Tiada kesangsian, kerana JANJI ALLAH ITU PASTI.

********
Manusia itu hidup atas ihsan Allah. Kita tidak pernah menandatangani kontrak untuk hidup di dunia ini. Kita diberi peluang untuk melihat alam ciptaan Allah ini, namun berapa di kalangan kita yang bersyukur dengan anugerahNya. Ya, manusia itu lebih melihat perkara yang ada dihadapan mata mereka, perkara yang jelas. Matlamat juga diletakkan selaras dengan apa yang mahu dicapai.

Sebagai contoh, dalam satu situasi, kita diterima kerja selepas temuduga dan telah menandatangani kontrak dengan syarikat berkenaan. Dengan itu, kita berkerja dengan bersungguh-sungguh demi matlamat yang telah ditetapkan. Dengan target, mahu naik pangkat, atau dapat bonus, atau dinaikkan gaji. Segalanya jelas apabila kita tahu apa yang kita lakukan.

Betul atau tidak?

Dalam konteks seorang hamba, apakah matlamat kita? Sudah jelaskah? Ataupun masih kabur-kabur, tanpa hala tuju. Hanya mampu mengikut arus yang belum tentu arah tujunya, sama ada akan berhenti dipertengahan jalan, sesat dalam perjalanan atau menuju ke arah yang betul.

Adakah kita mahu menjadi seorang hamba yang hebat, tetapi kehebatan itu tidak boleh dibawa ke mana-mana?

Kita adalah model alam. Universal model. Yang sentiasa dilihat dan dinilai. Baik atau buruk penilaian seseorang itu bergantung pada perspektif mana mereka melihat. Jika model itu sememangnya mantap, daripada sudut mana sekalipun, dia tetap hebat.

Siapa model yang terbaik?

Seperti dalam firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang).” [Surah al-Ahzab, ayat 21]



Ya, Rasulullah adalah model yang terbaik alam ini. Menjadi ikutan sepanjang zaman. Namun, semakin tua alam ini, semakin lupa, keliru kita siapa yang sepatutnya menjadi ikutan.

Tidak perlu berangan ingin menjadi seorang model suatu hari nanti kerana pada saat ini juga, kita-kita adalah model alam bertaraf universal. InsyaAllah. Cuma untuk merealisasikan impian ini ada sedikit kesukaran yang perlu ditempuhi. Tiada perkara yang mudah di dalam dunia ini, sedangkan mahu makan sekalipun memerlukan usaha kita yang menyuap makanan itu ke dalam mulut.

Model alam, apakah kriteria yang perlu ada? Cukup syarat 5 + 6.

Apakah dia?

Kita perlulah..
1. Mengucap dua kalimah syahadah
2. Menunaikan solat fardu lima waktu
3. Berpuasa pada bulan Ramadhan
4. Membayar zakat
5. Mengerjakan Haji di Mekah bagi mereka yang mampu

Selain itu, kita perlulah..
1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada malaikat
3. Percaya kepada kitab
4. Percaya kepada nabi dan rasul
5. Percaya kepada hari akhirat
6. Percaya kepada qada' dan qadar

Apabila cukup syarat-syarat ini, dengan cara pelaksanaan yang betul, maka lahirlah seorang model yang hebat. InsyaAllah. Berbekalkan akhlak islami yang benar-benar diperhalusi dengan iman yang sentiasa mekar dalam diri, InsyaAllah, model yang hebat itu akan bersedia untuk menjalankan tugas sebagai seorang hambaNya yang patuh dan taat.

Yang merisaukan kini adalah kita lupa siapa kita, kita lupa Allah yang menganugerahkan segala nikmat buat kita-kita. Ya, kita lupa. Ya, susahnya mahu berubah, apatah lagi apabila mahu berubah menjadi lebih baik. Kerana mungkin sehingga satu tahap, kita akan lemah, putus asa kerana tidak mampu lagi menjadi yang lebih baik. Maka, terus leka di bawa arus dunia yang sering melekakan hamba-hambaNya.

Maka, model alam mana yang perlu dijadikan ikutan?

Tepuk dada, tanya iman.

Wahai ummah,
Sudah sampai masanya untuk bersatu,
Kerana ancaman demi ancaman makin mendekati,
Sehingga bila kita akan mendiamkan diri.

Adakah model yang hebat itu hanya duduk diam tanpa melakukan tugasannya? Iaitu memperagakan akhlak islami yang diperturunkan daripada Rasulullah. Dengan luhur tutur kata dan baik budi pekerti. Jom praktik :) InsyaAllah.

Muhasabah diri.
Sebelum mengharapkan yang terbaik, cuba jadi yang terbaik dahulu.

Wallahua'lam.



6/4/2011 April, bulan yang membawa diri menjadi lebih tua, mendekatkan diri pada mati.

Kini, diri hanya mampu berserah. Perjuangan itu akan tetap manjadi perjuangan :)
Tawakkaltu 'ala Allah.

Tidak akan pernah rebah, apatah lagi mahu berubah (kepada perkara yang tidak baik)
 

IMPIAN

Tulisan ini [8:53] menyedarkan diri ini bahawa nasib itu kita tentukan atas aturan Allah, tidak harus leka dengan dunia.

Tulisan ini [17:72] membuka mata diri ini untuk melihat dunia dari kacamata Islam yang syumul.

Tulisan ini [35:5] meletakkan diri dalam zon berjaga-jaga dengan dunia agar tidak mudah terpedaya.

Tulisan ini [95:4] tidak akan sia-siakan ciptaanNya yang sebaik-baik kejadian, maka berbaktilah.

Dengan izin Pemilik jiwa,
Mencapai kemucak cinta Ilahi ke syurga hakiki.
Melengkapi sebahagian iman ini. Insya Allah.

Bergelar doktor Islami menuju rahmah nur jannah. InsyaAllah.

AZ-ZIARAH

 
Blogger Templates